AES, Trafik dan Pemandu
1. Sangat bising. Itu yang boleh saya kata. Orang Malaysia secara
tipikal memang merasakan diri mereka itu betul kerana itu adalah
kebiasaan.
2. Di dalam kes pelaksanaan AES atau Automated Enforcement System
yang dipasang dengan kamera untuk meraka pesalah trafik yang melanggar
had laju, mendapat perhatian umum. Jelas mentaliti sebahagian kita
sangat marah dengan cadangan pelaksanaan ini.
3. Alasan utama ialah had laju yang ditetapkan tidak bersesuaian.
Bagi mereka kebanyakan negara maju, rakyat dibenarkan memandu kenderaan
tanpa had dan itu adalah hak asasi mereka. Selain daripada itu, adalah
menjadi satu keperluan undang-undang negara ini menaikkan had maksimum
had laju yang sedia ada iaitu 110km/j di lebuhraya ke 130km/j.
4. Mereka juga berpandangan, adalah tidak logik had laju di jalan
raya tidak malar dan berubah-ubah khususnya di lebuhraya. Perkara ini
akan menyebabkan pemandu terpaksa memperlahankan kenderaan mereka pada
jalan-jalan tertentu dan kemudiannya terpaksa memecut semula. Oleh
kerana had laju terlalu rendah maka mereka dikenakan saman.
5. Ada juga sebahagian yang berpandangan bahawa pemanduan dan kadar
laju pemanduan mereka adalah bukan disengajakan. Ini kerana pemandu
telah terlewat atau jalan yang mereka lalu ada kemalangan sebelumnya dan pelbagai perkara yang menyebabkan mereka perlu sampai ke destinasi
pada waktu yang ditetapkan.
6. Apa yang boleh saya katakan di sini sebagai sebahagian warga yang
menyokong AES, alasan kebanyakan mereka menolak AES adalah sebab-sebab
bagi memuaskan peribadi masing-masing. Masyarakat kita memberi alasan
kerana mereka tidak boleh buat itu atau ini. Mereka tidak memberi alasan
demi kebaikan orang lain.
7. Alasan lambat tidak perlu dijadikan alasan untuk memecut
kenderaan. Kalian perlu bijak merancang masa perjalanan. Sekiranya
berlaku kemalangan dan sebagainya, perkara itu pastinya dapat kita tolak
ansur dengan keperluan untuk sampai di destinasi. Lebih baik membawa
dengan berhemah daripada berlaku pula kemalangan terhadap diri kita. Bak
kata orang biar lambat asalkan selamat. Hendak mengejar destinasi,
kelak nanti lembih lambat kita sampai kerana perkara yang tidak baik.
8. Kita juga perlu faham bahawa keadaan jalan raya atau lebuh raya
kita bukan semua berisiko rendah. Kadang kala pada tempat tertentu
(walaupun di lebuh raya), risiko pemanduan adalah pada keadaan tinggi
dan di situ penilaian telah dibuat oleh pakar dan perlu bagi pengurangan
halaju kenderaan. Ini tiada tujuan lain semata-mata untuk mengurangkan
risiko kemalangan. Walau bagaimanapun, orang kita memang lebih “pakar”
dengan menidakkan risiko ini atas keperluan diri semata-mata.
9. Di Jepun, walaupun kereta mereka dan lebuh raya mereka maju,
tetapi rakyat masih mematuhi had laju yang ditetapkan. Malah tidak pula
sampai 100km/j. Lebuh raya lebar sekalipun, masih 90km/j. Hampir
kebanyakan negara mempunyai had kelajuan pemanduan sekitar 110-120.
Tetapi bagi saya cukup lah sekadar 130. Usahlah
kita merujuk negara Jerman yang kononnya tidak mempunyai had kelajuan
pemanduan tetapi kerajaan mereka menyarankan untuk tidak melebihi
130km/j.
10. Bagi saya, semuanya bergantung kepada sikap kita dan kepercayaan
kita. Kita perlu percaya bahawa memandu dengan relax dan enjoy alam
sekeliling lebih baik dari terkejar-kejar destinasi. Jika itu yang
dipegang insyaAllah kita tidak akan merasa terburu-buru untuk memandu
dan dengannya kita tidak perlu gusar dengan AES.
11. Kurikulum Pemanduan di lebuhraya (3 lorong) juga menyarankan
lorong di sebelah kiri sekali adalah untuk pemanduan perlahan, lorong
tengah untuk memandu laju dan memotong, dan lorong paling kanan adalah
untuk memotong. Walau bagaimanapun kesemua pemanduan tersebut tertakluk
pada had laju yang dibenarkan pada sesuatu tempat.
12. Selain sikap kita, pihak kerajaan perlu menggiatkan jaringan rel
seluruh negara. Negara seperti Jepun, korea, Amerika dan Britain,
mendahului dalam pembangunan jaringan rel. Kesilapan negara kita kerana
mendahului jaringan kenderaan bermotor daripada kenderaan rel dan
akibatnya rakyat lebih menggunakan kenderaan bermotor. Hasilnya mereka
menggunakan penilaian sendiri untuk memandu. Sebaliknya sekira jaringan
rel diperkenalan sejak dulu, rakyat lebih bergantung kepada pengangkutan
awam dan tiada isu rakyat mahu membawa kenderaan sendiri.
13. justeru, kerajaan perlu terus giat dan menjadikan agenda
pengangkutan awam di bandar atau antara bandar khususnya sepanjang
jaringan pantai barat dalam perancangan pembangunan bandar. Sebarang
bandar baru yang dibangunkan perlulah dirancang dengan pengangkutan
berrel dan dihubungkan dengan jaringan rel lain.
Comments
Post a Comment