UCAPAN KSN Majlis Penyampaian Surat Kenaikan Pangkat JUSA & Jawatan Gred Khas Sektor Awam -

05/12/2012


Bismillahirrahmaanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
 
YBhg. Datuk Farida binti Mohd. Ali
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan)
 
Ahli-ahli Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam dan Ahli-ahli Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran
 
YBhg. Tan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan
 
Para hadirin yang saya hormati sekalian
Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah kurnia dan izin-Nya jua, dapat kita bersama-sama berkumpul petang ini di dalam Majlis Penyampaian Surat Kenaikan Pangkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Jawatan Gred Khas Sektor Awam Bilangan 2 Tahun 2012.
 
UCAPAN PENGHARGAAN

2.      Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada hadirin sekalian di atas kesudian untuk sama-sama hadir ke majlis pada petang ini. Sesungguhnya majlis ini merupakan satu bentuk pengiktirafan dan penghargaan Kerajaan ke atas prestasi pegawai-pegawai yang menerima surat kenaikan pangkat pada hari ini.
 
Hadirin yang dihormati sekalian,
TANGGUNGJAWAB SERTA PERANAN PEGAWAI GRED UTAMA DAN GRED KHAS

3.      Perkara paling penting di dalam memastikan jentera pentadbiran Kerajaan dan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang efisien adalah pucuk kepimpinan yang berkesan. Dalam hubungan ini, YBhg. Tan Sri, Dato’ Sri- Dato’ Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan selaku pegawai pengurusan tertinggi Perkhidmatan Awam telah diamanahkan untuk menggalas tanggungjawab ini. Tanggungjawab dan amanah ini menuntut komitmen serta usaha yang jitu dari barisan kepimpinan perkhidmatan awam demi memastikan agenda pembangunan serta transformasi negara dapat dijayakan.

 4.     Teras perkhidmatan awam pada masa ini tertumpu kepada penyampaian perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah (value added). Saya sering mengingatkan semua penjawat awam agar menghayati pendekatan ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’, di mana kita meletakkan diri kita dalam kedudukan rakyat yang merupakan pelanggan atau stakeholder utama perkhidmatan yang kita berikan. Sekiranya seluruh penjawat awam mampu menghayati pendekatan ini, maka sudah tentulah kita akan terus berusaha membuat penambahbaikan berterusan ke atas mutu serta sistem penyampaian perkhidmatan.

5.      Justeru, sebagai pemimpin, peranan utama kita adalah untuk menjadi peneraju kepada transformasi minda, melalui perubahan cara berfikir dan cara bertindak, bagi pegawai-pegawai di bawah seliaan kita. Hayatilah prinsip leading by example.
 
Para hadirin sekalian,
PRINSIP BARU PERKHIDMATAN AWAM

6.      Bagi memastikan perkhidmatan awam kekal relevan di dalam realiti semasa di mana the customer is always right, wajarlah juga perkhidmatan awam sentiasa bersedia untuk berubah dan melaksanakan adaptasi dan transformasi. Dalam hubungan ini, Y.A.B Perdana Menteri telah menggariskan enam (6) prinsip yang sewajarnya diamalkan oleh semua penjawat awam iaitu Cepat, Tepat dan Integriti (CTI) serta Produktif, Inovatif dan Kreatif (PCI). Prinsip-prinsip ini menuntut agar semua penjawat awam menyampaikan perkhidmatan yang memenuhi kehendak pelanggan dengan cepat dan tepat, dan pada masa yang sama berkhidmat dengan penuh integriti. Ingatlah kita adalah penjawat awam, maka oleh itu perlu sentiasa berkhidmat dan bertindak demi kepentingan awam. Sebagai pemimpin kita mempunyai tanggungjawab untuk memupuk budaya jujur, telus dan berdedikasi dalam menjalankan tugas, demi menjaga nama baik perkhidmatan awam.  Kita perlu menyemai sikap di mana semua penjawat awam mempunyai nilai “self-worth” yang tinggi, di mana pegawai berpegang pada ciri moral dan etika yang kukuh. Sekiranya konsep ini berjaya dihayati, sudah tentulah semua penjawat awam akan melaksanakan tugas dan amanah dengan berintegriti.

7.      Selain itu, peningkatan produktiviti perkhidmatan awam amat dituntut oleh kepimpinan Negara, dan dalam usaha memastikan tuntutan tersebut direalisasikan, kita hendaklah mempunyai keupayaan untuk berfikir dan bertindak dengan lebih kreatif dan inovatif. Penjawat awam perlu sentiasa menerokai pendekatan baru yang mampu memberi impak yang pantas dan meluas, demi peningkatan produktiviti serta output dan impak yang dihasilkan.
 
KERJASAMA DALAM PERKHIDMATAN AWAM

8.      Suka juga saya menekankan di sini akan kepentingan untuk kita, seluruh perkhidmatan awam bertindak dan bergerak sebagai satu pasukan. “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Mungkin ada yang menganggap ini merupakan klise semata-mata, namun hakikatnya tanpa persefahaman yang utuh serta kerjasama yang teguh, mustahil bagi perkhidmatan awam melaksanakan transformasi secara total ke arah peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan secara berterusan. Kerjasama dan persefahaman ini akan dapat terjalin dengan adanya ejen perubahan (change agent) yang akan menjadi peneraju ke arah satu matlamat yang sama, dan di sini sekali lagi saya melihat tanggungjawab yang amat penting terletak di bahu YBhg. Tan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan.
 
YBhg. Tan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

HARAPAN DAN EKSPEKTASI

9.      Sepertimana saya nyatakan di awal ucapan saya tadi, majlis ini adalah satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan yang diberi oleh Kerajaan kepada YBhg. Tan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Pengiktirafan ini membuktikan bahawa kerajaan mempunyai kepercayaan serta keyakinan penuh terhadap keupayaan dan kewibawaan YBhg. Tan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan untuk memimpin perkhidmatan awam keseluruhannya ke arah menjadi sebuah perkhidmatan awam yang boleh dibanggakan. But with great power comes great responsibility, and all the hopes and expectations that come with it.

10.    Justeru, sekali lagi saya menyeru agar kita semua berusaha gigih bagi memenuhi ekspektasi stakeholder dan pelanggan. Marilah sama-sama kita lipat gandakan usaha kita dalam mendukung inisiatif-inisiatif transformasi yang diilhamkan oleh pucuk kepimpinan Negara. Selain itu, suka juga saya mengingatkan dan menekankan bahawa kita perlu sentiasa menjaga imej dan nama baik Perkhidmatan Awam kerana selaku the public face of the service, segala tindakan dan percakapan kita akan diteliti dan diperhatikan, dan sebarang perceived weakness akan dijadikan sasaran.
 
Para hadirin sekalian,

PENUTUP

10.    Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih di atas segala komitmen serta kerjasama semua yang berada di dalam majlis pada petang ini ke arah penambahbaikan berterusan mutu sistem penyampaian perkhidmatan awam. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua penerima surat kenaikan pangkat pada hari ini, dan saya berharap agar pengiktirafan serta kepercayaan yang diberi dapat memberikan suntikan semangat agar kita semua terus berusaha dengan lebih gigih dan cemerlang lagi pada masa akan datang.
 
Sekian,
Wabillahittaufik walhidayah
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

 http://www.pmo.gov.my/

Comments

Popular posts from this blog