TIPU HELAH SYAITAN DAN PANDUAN UNTUK MENEPISNYA 



 



Di surau tempat saya pada masa ini, pada hari Ahad selang seminggu, ada kuliah subuh yang disampaikan oleh Usataz Zaidi, mantan Timbalan Mufti  Negeri Sembilan menggunakan kitab Minhajul Abidin karangan Imam al Ghazali seperti gambar di bawah. Hari minggu yang lalu, pelajaran telah sampai kepada fasal mengenai tipu helah syaitan.






Kitab yang kami gunakan sebagai rujukan.

1


Menurut Imam al-Ghazali, syaitan mempunya tujuh strategi atau pelan yang digunakan untuk menipu daya manusia. Kalau pelan pertama gagal, dia mencuba pelan ke - 2 pula, dan begitulah seterusnya. Maka berbahagialah orang-orang dapat "membaca" dan menepis ke tujuh-tujuh gerak langkah syaitan tersebut yang semata-mata untuk memperdayakan kita sebagai manusia yang lemah ini.



Berikut saya salinkan karangan imam al-Gahazali tentang tipu daya tersebut serta cara-cara untuk kita melawannya. Walau pun bahasanya menggunakan Bahasa Melayu lama, namun saya percaya semua pembaca boleh memahaminya.




" Adapun fasal tipu daya dan tipu helah daripada syaitan maka perjalanan demikian itu dan misalnya: bahawa tipuan dan helah syaitan terhadap anak adam supaya meninggalkan taat kepada Allah Taala ada tujuh wajah (jalan):



1. Bahawa syaitan menegah ia anak Adam daripada taat kepada Allah Taala, maka siapa-siapa yang dipelihara oleh Allah daripada syaitan akan menolaknya syaitan itu dengan bahawa katanya (anak Adam): "aku amat berhajat sekali kepada demikian (beribadat dan taat kepada Allah) kerana tak dapat tiada aku mesti mengambil bekal daripada dunia yang fana ini untuk akhirat yang kekal abadi tidak ada kesudahan baginya"



2. Syaitan menyuruh ia anak Adam supaya melewat-lewatkan ibadah atau menempoh-nempohkan ibadah. Maka jika siapa-siapa yang dipelihara oleh Allah Taala daripada syaitan akan menolaknya syaitan itu dengan katanya: "ajalku bukanlah pada tanganku (kuasaku) dan jika aku takhirkan amalan hari ini kepada esok hari maka amalan esok hari, bilakah aku hendak kerjakan ? Pada tiap-tiap hari ada amalannya yang tertentu (yang tersendiri)".



3. Syaitan menyuruh anak Adam supaya bersegera mengerjakan amalan maka berkatalah syaitan baginya segeralah cepat-cepatlah mengerjakan amalan baik supaya engkau dapat mengerjakan bahagian-bahagian daripada amalan yang lain pula, maka jika dipelihara oleh Allah Taala ditolaknya syaitan itu dengan katanya: "sedikit amalan yang dikerjakan dengan sempurna segala rukun dan syaratnya adalah lebih baik daripada amalan yang banyak yang tidak sempurna segala rukun dan syaratnya" 

4. Syaitan menyuruh anak Adam supaya mengerjakan amalan baik dengan sempurna hal keadaannya kerana hendak diperlihatkan kepada manusia (kerana riya'), maka jika dipelihara oleh Allah Taala ditolaknya syaitan itu dengan katanya:"apakah faedahnya aku perlihatkan amalanku kepada manusia ? Tidakkah memadai aku perlihatkan kepada Allah Taala?"

5. Syaitan menghendaki menjatuhkan anak Adam di dalam 'ujub (menghairankan diri sendiri), di dalam hati hati orang yang beramal maka berkata ia: "betapa bersarnya martabat engkau ! dan betapa sedar engkau daripada kelalaian (ghaflah)! dan betapa banyaknya kelebihan engkau ! maka jika dipelihara oleh Allah Taala ditolaknya syaitan itu dengan bahawa berkata ia: "nikmat yang besar dan banyak itu bagi Allah Taala pada demikian (yakni pada kebesaran darjat dan kesedaran hati daripada kelalaian dan banyak kelebihan) itu bukanlah perbuatanku maka semuanya itu Allah taalalah yang memberi taufiknya kepada ku untuk membolehkan aku mengerjakan amal yang amat berharga dengan kurniaannya dan ihsannya dan kalaulah tanpa kurniaannya maka apalah harganya amal ku ini dengan dibandingkan banyaknya nikmat Allah taala atasku manakala dosaku pula amat banyak sekali baginya ?"

6. Syaitan berkata dan membisik dihati anak Adam: "hendaklah engkau bersunguh-sungguh mengerjakan ibadat didalam sir (yakni tersembunyi) jangan diketahui oleh orang lain kerana Allah Taala akan menzahirkan amal sir engkau itu kepda orang lain dan mereka akan memuji engkau dan mereka akan mengatakan bahawa engkau hamba Allah yang ikhlas". Dan syaitan itu mencampur adukan terhadap setiap orang yang beramal akan amalannya dengan tipu dayanya dan helahnya secara halus dan lemah lembut, dan bermaksud syaitan itu dengan demikian (dengan perkataan dan bisikan yang tersebut) supaya memasukan sebahagian daripada riya'.  Maka siapa-siapa yang dipelihara oleh Allah Taala ditolaknya dengan katanya: "wahai malhun (yang jauh dari rahmat Allah) sampai sekarang engkau datang (mengekori ) aku dengan cara (jalan) merosakkan amalku, dan sekarang engkau datang kepadaku dengan cara (jalan) berpura-pura untuk memperbaiki amalanku pada hal maksud engkau untuk merosakkan amalku.  Sesungguhnya aku hamba Allah taala dan ia Subhanahu wataala tuhanku  dan Ia yang mencipatan aku, dan jika Allah berkehendak menzahirkan (menyatakan) amalku atau menyembunyikannya dan ia berkehendak menjadikan aku mulia atau menjadikan aku hina dan demikan itu semuanya (yakni pekerjaan menzahir/menyembunyi itu) terserahlah kepadanya (kerana semuanya itu urusannya) dan aku tidak peduli (tidak hiraukan) jika menzahir ia amalku itu kepada manusia atau tidak menzahirkannya kepada mereka kerana itu bukanlah urusan mereka dan dan tidak ada sesuatu di sisi mereka samada manfaat atau mudharat".

7. Kemudian datang pula syaitan kapda anak Adam dengan wajah yang ketujuh setelah gagal mempengaruhi dengan wajah yang keenam, dan berkata ia: "tidak berhajat lagi bagi engkau menyusahkan diri untuk mengerjakan ibadat kerana bahawasanya jika engkau telah dijadikan dan ditetapkan oleh Allah pada azali bahagia nescaya tidak memberi mudharat meninggalkan amal (yakni engkau tetap jadi orang yang berhagia), dan jika dijadikan dan ditetapkan engkau oleh Allah pada azali orang celaka nescaya tidak memberi manfaat kepada engkau beramal dan tetaplah engkau jadi orang celaka". Maka jika siapa-siapa dipelihara oleh Allah taala daripada syaitan itu ditolaknya dengan katanya: "sesungguhnya aku ini seorang hamba dan berhak (berkewajiban) atas hamba mengikut suruhan (perintah) bagi kehambaannya (perintah tuhannya) dan tuhan itu lebih mengetahui dengan ketuhanannya menghukumkan sekehendaknya dan berbuat ia apa sahaja yang dikehendakinya, dan amal aku itu tetap memberi manfaat bagiku walaubagaimana pun keadaan aku (yakni samada berbahagia atau pun celaka) kerana jika aku dijadikan (ditetapkan) seorang yang berbahagia maka aku amat berkehendak kepadanya (kepada amal itu) untuk menambahkan pahalaku di akhirat, dan jika aku dijadikannya seorang yang celaka maka aku pun berkehendak kepadanya juga supaya aku tidak mencaci (mencercakan) diriku dengan meninggalkan perintah tuhanku itu, selain itu bahawa Allah Taala tidak menyiksakan aku atas taat dengan segala hal (kelakuan), dan tidak mudharat bagiku atasnya jika aku dimasukan ke neraka pada hal aku taat kepada Allah Taala, lebih suka (senang) bagiku bahawa dimasukan ke neraka pada hal aku bermaksiat kepada Allah taala".

Maka keadaanya tidaklah seperti demikian kerana janji Allah Taala itu adalah tepat mesti berlaku dan firmannya adalah benar. Dan sesungguhnya Allah Subhanallaha Wa Taala telah berjanji kepada orang yang mengerjakan taat akan diberikan pahala, maka barang siapa bertemu dengan Allah Taala (dengan mati) dalam keadaan beriman dan taat kepadanya tidak dimasukkan ke neraka samasekali, dan masuk syurga, jadi masuknya seseorang itu ke syurga bukanlah kerana perbuatan dengan amalnya tetapi masuknya syurga kerana semata-mata janji Allah yang benar yang maha tinggi lagi maha suci.

Dan bagi ini makna (iaitu masuk dengan semata-mata janji Allah yang maha mulia dan kurniaannya yang besar bukanlah dengan amal) telah firman Allah Taala menghikayatkan keadaan orang yang berbahagia ketika mereka berkata:

 ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى صَدَقَنَا وَعۡدَهُ 


Ertinya: segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjinya kepada kami (yakni dengan dimasukki kami ke dalam syurga).

Maka hendaklah engkau sedar, semoga engkau dirahmati oleh Allah sesungguhnya perkara taat kepada Allah seperti yang engkau lihat dan engkau dengar iaitu banyak sekali godaan dan tipu daya syaitan supaya mengganggukan engkau. Dan kiaslah atas perkara yang tersebut segala kelakuan dan perbuatan, dan pohonlah pertolongan dengan Allah Taala dan mintalah perlindungan dengannya daripada syaitan yang direjam, maka segala sesuatu itu berada di bawah kudratnya dan kuasanya subhanallah wataala, dan kepadanya kita memohon taufik untuk mendapat keredhaanNya ". 

Sekian, semoga entri ini ada manfaatnya kepada kita semua.

copy from  http://al-lavendari.blogspot.com

Comments

Popular posts from this blog