Hidup Gaya Surah al-Waqi'ah

klik tuk besarkan

Assalamualaikum wbt.

Baiklah. Sebelum anda teruskan pembacaan, saya ingatkan ini adalah entri yang sangat panjang. Jika rajin, bacalah. Jika sebaliknya, cukup sekadar tengok lukisan saya dan tafsirkan sendiri mengikut citarasa masing-masing.

Entri Untuk Yang Berseorangan

Sebelum ini, banyak entri saya menyentuh tentang hidup berdua, jodoh dan sepertinya. Tapi kali ini, saya 
titipkan khas untuk mereka yang masih tiada pasangan atau dengan kata ringkasnya masih solo, mencari-cari lagi, tak kahwin lagi. Ini bukan entri yang mengajak supaya tidak kahwin dan terus membujang, tidak sama sekali. Tapi nukilan ni adalah untuk menindan lantas menghapus rasa sunyi, rasa keseorangan yang kadang-kadang hadir menjengah diri yang tidak berteman. Lihat yang lain kahwin, rasa nak kahwin. Tapi diri sendiri masih belum cukup persediaan. Jadi, entri ini direka khas untuk yang belum cukup persediaan. Termasuk juga saya sendiri. 

Rasa sunyi? Rasa sendiri? Keseorangan? Rasa mahu berteman tapi belum bersedia dan bukan masanya? Jangan risau. Siapa kata single tak boleh bahagia? 

Boleh. Dengan idea saya ini. Mungkin.

Tips 1: Hidup Tidak Rasa Sunyi Gaya Surah al-Waqi'ah.

Suka saya sebutkan di sini, ini bukanlah pentafsiran semula ayat al-Quran atau cubaan untuk mentafsirkan ayat al-Quran. Ini adalah interpretasi atau mengambil inspirasi dan intipati dari tafsir Surah al-Waqi'ah yang sedia ada sahaja. 

Mukaddimah, Surah al-Waqi'ah mengandungi 96 ayat. Jika anda perhatikan ayat 1 hingga ayat 6 adalah ayat mengenai hari kiamat. Allah menceritakan bagaimana bumi ini digoncang, gunung-ganang yang selama ini begitu gah berdiri boleh hancur lebur dan menjadi debu berterbangan dengan izin Allah. Dengan peringatan pembukaan surah ini sahaja sudah menggerunkan hati kecil kita. Tak sempat untuk kita merasa sunyi atau keseorangan bila fikirkan dahsyatnya hari kiamat. Itu tips pertama. Gerunkan dahsyat kiamat Allah, menghapus sunyi dalam hati.

Kemudian, dari ayat 7 hingga 10, Allah menceritakan bahawasanya nanti manusia akan dibahagikan kepada tiga golongan besar. Iaitu, أَصْحَابُ الْمَيْمَنَةِ "Ashaabul Maimanah" yakni puak pihak kanan yang dikaitkan dengan bahagia, أَصْحَابُ الْمَشْأَمَةِ "Ashaabul Mash-amah" sebagai puak pihak kiri yang dikaitkan dengan seksa, dan puak yang ketiga pula ialah وَالسَّابِقُونَ السَّابِقُونَ orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak). Ini adalah golongan penting yang patut kita ambil cakna. Tanya diri, kita berada di dalam golongan yang manakah? 


Tips 2: Hidup Single Siap-Siaga Gaya Surah al-Waqi'ah

Menariknya, ayat 11 hinggalah ayat ke-40 (hampir separuh surah) menceritakan tentang nikmat-nikmat yang menunggu golongan bahagia dari puak kanan "Ashaabul Maimanah" dan "orang-orang yang telah mendahului" di syurga kelak. Orang-orang yang bahagia ini adalah orang-orang yang beriman pada Allah meskipun tidak melihat Allah. Beriman dengan perkara-perkara ghaib meskipun tidak pernah melihat dengan mata kasar. Percaya dan beriman dengan Rasulullah SAW meskipun tidak sezaman dengan Baginda. Bukan saja lafaz percaya dengan lidah, tapi hati mengiyakan, perbuatan melaksanakan. 

Ketika single inilah kita ada banyak ruang dan masa untuk melaksanakan perintah-perintah Allah dan Rasulullah. Kita tidak terikat dengan sesiapa, cuma terikat dengan keluarga sahaja. Namun, perintah Allah "birrul waalidain" (berbuat baik terhadap orang tua), wajib kita penuhi samada ketika single hatta ke akhir hayat. Ketika berseorangan inilah, hati tampak lebih tenang. Tidak ada tanggungjawab seberat tanggungjawab seorang suami terhadap isteri dan keluarganya, atau tanggungjawab isteri terhadap suami dan anak-anaknya.  Ketika berseorangan inilah, mampu bertenaga untuk bangkit di waktu malam untuk qiyamullail dan bertahajjud. Ada masa untuk hafal al-Quran walaupun seminima separuh muka surat sehari. Ada masa untuk berzikir walaupun hanya 100 kali lantunan "Subhanallah wa bihamdihi" setiap hari yang dijanjikan mendapat keampunan dosa menurut sebuah hadis yang sahih. 

Sebelum Kau & Aku Bersatu

Ada masa yang cukup untuk menimba ilmu dan menguprade iman semahunya. Atau ada masa untuk mencari pekerjaan yang baik dan bekerja bersungguh-sungguh sebagai persediaan untuk ke zon yang seterusnya iaitu alam rumahtangga. Dengan kata lain, masa single inilah dimanfaatkan sebaiknya untuk memantapkan sahsiah diri dan menyediakan diri sebagai orang yang betul-betul ready menempuh kehidupan berumahtangga yang lebih mencabar. Orang yang menganggap single adalah waktu terbaik untuk berkawan bebas tanpa batasan adalah orang yang sempit pemikirannya. Ia mengikut nafsunya, bukan tunduk pada imannya. 

Namun, sepi itu datang lagi? Baik, tak mengapa. Saya ada solusinya. Saya senaraikan dulu nikmat-nikmat yang dibentangkan oleh Allah di dalam Syurga menurut Surah al-Waqi'ah ini:

  • Duduk di dalam Syurga itu di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata. Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan. (ertinya menduduki tempat duduk yang menyenangkan yang dapat saling berhadapan satu sama lain)
  • Dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka.  Dengan membawa piala-piala minuman dan teko-teko serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir.
  • Dapat minum arak special yang tidak memabukkan atau memeningkan kepala.
  • Ada buah-buahan special (seperti buah bidara yang tidak berduri, pisang Syurga) dan daging-daging burung yang special mengikut citarasa masing-masing. Air sungai yang lazat sentiasa mengalir. Kesemua ini tidak putus-putus dan tidak akan pernah habis selama-lamanya.
  • Dilayani oleh Huurul 'Ein bidadari-bidadari yang cantik parasnya, tidak ada setandingnya di dunia ni, tiada sesuci, sebersih, seputih, semulus, segebunya dan mereka ini dara selama-lamanya. Dikatakan dalam kitab tafsir, bidadari adalah makhluk lain yang diciptakan Allah dalam bentuk pemuda-pemudi yang sedap mata memandang dan boleh dinikmati penghuni syurga.
  • Tidak ada satu pun perkataan yang buruk-teruk akan didengari dalam Syurga melainkan yang baik-baik belaka. Ucapan "Selamat! Selamat!" diucapkan antara satu sama lain.
Kalau nak saya huraikan satu persatu secara lebih terperinci lagi tentang nikmat-nikmat dalam Syurga ni, memang tak tertulislah di blog ini. Cuma bila sebut Syurga, terbayang dalam kepala kita, Syurga ni tempat yang indah. Ada segalanya yang kita nak. Lebih indah, lebih moden, lebih canggih dari dunia kita ni. Janganlah kita fikir, "alah, kat Syurga bukan ada internet, bukan ada PS3". Saya jawab, "Pernah masuk Syurga ke tahu ada tade?"
Kalau boleh, biar otak kita dipengaruhi kuat dengan nikmat-nikmat janji Allah ni, contohnya:


"Aku target nak dapat Ainul Mardhiyyah (nama bidadari syurga), aku nak Hurul 'Ein (bidadari syurga juga). Mereka ni lebih cun dari awek-awek cuns yang ada di dunia ni. Persetankanlah awek-awek yang duk posing2 di facebook tu. Nantilah wahai bidadari2 syurga, aku pasti dapat kamu semua. Mulai hari ini, aku nak rajin pergi masjid untuk berjemaah. Lawan malas juga satu perjuangan!"

Apa kaitan segala nikmat ini dengan kesepian yang melanda?

Sepi logiknya datang bila anda tidak sibuk dengan sesuatu. Ada waktu lapang terbuang. Mana mungkin orang yang sibuk tiba-tiba merasa sepi? Jadi, bila datangnya sepi, fikirlah bagaimana caranya untuk meraih segala nikmat di Syurga Allah ini. Antaranya fikir:

1. Bagaimana caranya untuk aku solat lima waktu dengan mengurangkan rasa malas ketika bersolat?
2. Bagaimana caranya untuk aku cuba praktiskan solat-solat sunat sekurang-kurangnya Solat Sunat Dhuha setiap hari?
3. Bagaimana caranya untuk aku bangkit di sepertiga malam untuk melaksanakan Tahajjud?
4. Bagaimana caranya untuk aku jadi lebih soleh dan solehah?

Bila dah ada jawapannya, susun-atur baliklah hidupmu. Biar hidup lebih bermakna. Bila kita sibuk untuk melaksanakan solat-solat ini sahaja, sudah cukup untuk membuatkan kita tak ada masa nak layan sepi. Hidup penuh beribadah. Letakkan dalam kepala:


"Pasangan yang ditakdirkan akan datang jua dengan usaha bila tiba masanya yang telah ditetapkan Allah. Sabarlah."

Semua nikmat dalam surah ini mampu digapai bila kita dah jadi lebih better dari semalam. Setiap hari upgrade diri. Setiap hari cuba jadi yang terbaik. Untuk apa semua ini? Supaya tidak malu berhadapan dengan Allah dan Rasulullah di akhirat nanti. Masa muda lah ada kudrat yang cukup. Bila masa-masa muda kita dah biasa rajinkan diri bersolat sebagai contoh, masa-masa tua nanti akan secara automatiknya biasa buat rajin bersolat dan solat malam.


Jika masa muda tak biasa, masa tua lagilah liat. Tidak logik bila masa muda malas ke kuliah agama, masa tua tiba-tiba menjadi rajin, kecuali bila betul-betul dah insaf. Tapi, benarkah kita sempat insaf dan berubah masa tua nanti? Jangan sampai sakit dan tak berdaya baru kau nak ingat Dia. Ingat, amalan masa muda lebih berkualiti dari amalan masa tua.

Ubat Sepi Yang Beracun

Anda sentiasa sangka ianya adalah ubat, tapi sebenarnya adalah racun yang membunuh dalam diam. Ubat sepi yang salah, antaranya:-

1. Bila sepi, kita cari kawan bukan sejantina untuk bersembang, keluar jalan-jalan. Kenapa tidak jadikan dia pasangan hidup terus? Dia halal dinikahi. Kenapa hanya untuk bersembang? Orang yang kita sembang tu ada perasaan juga bila kita sangat baik dengan dia. Dia juga boleh jatuh hati dengan kita tanpa kita sedari.
Bukan tidak boleh, tapi jangan berlebihan.

2. Bila sepi, kita sibukkan diri di laman sosial. Di twitter, di facebook dan lain-lain. Sangka kita, rasa itu akan hilang. Tapi secara tak langsung, banyak pula yang mengganggu fokus kita sebab di laman sosial majoriti bercerita tentang hati dan perasaan. Natijahnya, hati tidak tenang, jiwa lebih serabut. Sepi tak hilang pun.


Tips 3: Hidup Single Takut Pada Allah Gaya Surah al-Waqi'ah


Ayat 41-56 mengandungi senaraian azab-azab yang dikenakan pada puak kiri yang tidak mentaati perintah Allah. Mari saya sebutkan satu dua azabnya walaupun tidak kesemuanya.
  • Diseksa dalam angin (hawa angin yang sangat panas) yang membakar dan air yang menggelegak serta naungan dari asap hitam yang tidak sejuk dan tidak pula memberi kesenangan.
  • Memakan pohon Zaqqum (bila lapar).
  • Meminum air yang sangat panas (bila dahaga).
Saya ambil satu sahaja. Dalam neraka nanti, ahli neraka akan terasa lapar juga. Kita di dunia pun tak boleh tahan lapar, puasa pun mengeluh-ngeluh sampai gastrik. Apatah lagi mereka. Zaqqum adalah makanan yang sangat pahit. Bila makan saja buah Zaqqum ni, tekak akan terasa haus sangat-sangat. Macam orang yang tercekik, nak air sangat-sangat. Dikatakan sehingga ke usus hausnya. Tidak dapat tidak, mereka terpaksa telan juga air yang mendidih dalam neraka sehingga hancur lebur segala isi dalam badan. Kemudian terbentuk kembali tubuh yang hancur tadi. Over and over again berlaku. Rasa sakit setiap saat. Sakit ini berterusan berjuta-juta tahun dalam neraka! 

"Tertumpah air panas di tangan sudah merasa pedihnya, apatah lagi telan dan minum air yang tengah mendidih."
Fahami Konsep "Aku Hanya Hamba Hina"

Menerusi Surah al-Waqi'ah ini, Allah terus-terang mencabar kita yang selama ini angkuh hidup di atas dunia Dia. Sahutlah cabaran Allah kalau dah rasa hebat sangat! Senarai cabaran dari Allah:-


  • Ayat 57 - Kami telah menciptakan kamu, maka mengapa kamu tidak membenarkan ( hari berbangkit)?!
  • Ayat 58-59 - Maka terangkanlah kepadaku tentang nutfah (mani) yang kamu pancarkan. Kamukah yang menciptakannya, atau Kami kah yang menciptakannya?!
  • Ayat 63-64 - Maka terangkanlah kepadaku tentang yang kamu tanam? Kamukah yang menumbuhkannya ataukah Kami yang menumbuhkannya?!
  • Ayat 68-69 - Maka terangkanlah kepadaku tentang air yang kamu minum.Kamukah yang menurunkannya dari awan ataukah Kami yang menurunkan?!
  • Ayat 71-72 - Maka terangkanlah kepadaku tentang api yang kamu nyalakan (dari gosokan-gosokan kayu). Kamukah yang menjadikan kayu itu atau Kami-kah yang menjadikannya?!
Nah! Jelas sekali cabaran-cabaran Allah. Jika kamu hidup berseorangan di dunia, terasa cukup ada harta, ada kerja ada segalanya, tapi tidak mahu tunduk sujud pada Allah, maka sahutlah cabaran Allah ini dulu. Jika mampu kau ciptakan dan lakukan ini berseorangan menentang Allah, kau memang layak jadi Tuhan. Tapi saya pasti, hendak ciptakan oksigen pun tidak mampu, apatah lagi nak lawan Tuhan. Apatah lagi nak tolak undang-undang Allah. "Ah! Undang-undang Allah undang-undang tak relevan dengan masyarakat majmuk!" Hari ini kau berani berkata-kata, tapi cubalah berkata-kata sedemikian tatkala dicampak laju-laju ke dalam lubuk neraka yang apinya marak menjulang.

Jelas sekali kita hanya hamba yang lemah. Wajib tunduk mengalah pada Allah dan Rasulullah. Wajib buang sikap degil dan malas paksa diri taat kepada Allah. Jika kita sendiri tidak paksa diri sendiri, siapa lagi yang mampu?  

Jika kita hidup berseorangan, tapi kita malas nak masak, malas nak keluar beli makanan, tak mungkin nasi akan terhidang dengan magiknya di hadapan kita? Begitu jugalah proses berubah. Kita takkan jadi baik jika kita tak cuba untuk jadi baik. Kita takkan cinta Allah jika kita tak cuba untuk mencintai.

Dalam Surah al-Waqi'ah ini disebut dua kali pengulangan ayat yakni pada ayat 74 dan ayat 96 (ayat terakhir):

Maka bertasbihlah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Maha Besar.

Ya, kalau dah tahu kita ini hanya hamba, maka hiduplah cara hamba. Taat pada Allah, taat pada Rasulullah, taat pada al-Quran dan Hadis, taat pada ibu bapa dan guru (pada bukan perkara maksiat), taat pada ulama-ulama. Banyakkan bersolat. Kenapa perlu banyak bersolat? Dalam solatlah masa yang paling banyak sekali kita sebut nama Allah. Kita kan malas, kita jarang berzikir. Jadi, dengan bersolatlah caranya.


Terapi sepi paling mujarab adalah:

Sabar dan solat. Sebab solat adalah pakej lengkap. Boleh berdialog dengan Allah melalui al-Fatihah, ada zikir-zikir ketika rukuk, i'tidal, sujud, duduk antara dua sujud, tahiyyat awal dan akhir, ketika salam. Ada taubat dan keampunan. Ada jalan keluar dari apa jua masalah.

Tips 4 : Hidup Single Ingat Mati Gaya Surah al-Waqi'ah

Saya perhatikan lagi ada beberapa tempat dalam surah ini jelas-jelas sekali berkisar tentang kematian, antaranya, firman Allah:-
  • Kami telah menentukan kematian di antara kamu dan Kami sekali-kali, tidak dapat dikalahkan. ( ayat ke-60 )
  • Maka mengapa ketika nyawa sampai di kerongkongan, padahal kamu ketika itu melihat, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu. Tetapi kamu tidak melihat, maka mengapa jika kamu tidak dikuasai (oleh Allah)? ( ayat  83-86  )
  • Kamu tidak mengembalikan nyawa itu (kepada tempatnya) jika kamu adalah orang-orang yang benar? (ayat ke-87 )
  • Adapun jika dia (orang yang mati) termasuk orang yang didekatkan (kepada Allah), maka dia memperoleh ketenteraman dan rezeki serta syurga keni'matan. ( ayat 88-89 )
Lihat, betapa surah ini begitu menggerunkan hati-hati yang menghayati. Manusia mencabar Allah dengan angkuh dan bodoh sombong, mengumpul jutaan bala tentera sekalipun untuk menghadapi Allah, ingatlah bahawasanya Allah lah yang memegang setiap nyawa dan dengan mudah sekali mencabut nyawa-nyawa musuh Allah. Allah tidak akan pernah kalah. Islam juga tidak akan kalah walaupun sampai ke akhir zaman.

Siapa yang kalah akhirnya? Kita yang degil pada Allah. Kitalah yang kalah. Kita enggan sujud pada Allah, kitalah orang-orang yang telah kalah. Kita malas bersolat, kitalah orang-orang yang benar-benar kalah. Kita adalah Losers bila kita bongkak di depan Allah.

Habib Ali al-Jufri berkata:

"Ini hakikatnya. Samada kamu ingat ataupun terlupa, kamu akan mati..kamu akan mati..Selepas kamu meninggal dan disemadikan, kamu akan dihakimi. Kamu akan bangkit berdiri untuk dihakimi oleh Yang Maha Menghakimi, Allah Azza Wajalla. Dia  (Allah) akan mengimbas kembali, mengingatkan kembali, menyoal kembali setiap hari yang kamu pernah lalui, setiap jam, tiap detik, tiap waktu. Dia akan menyoal kamu, Dia akan menghakimi kamu! Apabila kamu dah ingat semula apa yang kamu lakukan dulu, maka di sinilah (neraca) yang akan menentukan arah kamu ketika meniti di Sirat nanti. Samada ke Syurga, atau jatuh ke dalam api Neraka. Inilah yang patut kita renungkan dan perhatikan sekarang. Bila kamu dah faham tentang ini (mati dan hari kebangkitan) dan percaya ianya pasti akan berlaku, hati akan mulai tersedar kembali dan mahu patut taat kepada Allah semula. Rasa untuk mentaati Allah inilah yang kita mahukan, ia tercetus dari gerun dan takut. ( Gerun pada azab Allah, takut pada Allah )."
Kata ulama, "Dunia ini ibarat dua siang, hari ini dunia, esok akhirat."
Kehidupan sebagai seorang yang single tidak dapat tidak, mesti mengingati mati setidak-tidaknya sekali dalam 24 jam. Tidak perlu fokus pada soal hati, tapi fokuslah pada soal mati. Soal hati belum tentu jadi, tapi soal mati pasti terjadi!
Jadi, tolong. Jangan buang masa dengan terlampau fikir soal hati. Di saat ada ruang dan waktu yang panjang sebelum kamu berkahwin, gunakan sebaiknya. Amalkan mengingati mati, biarkan jadi tabiat hatta selepas kahwin dan akhir hayat.

Tips 5: Hidup Single Gaya أَصْحَابِ الْيَمِينِ (Ashaabul Yamin) Surah al-Waqi'ah.

Sebelum bernikah, pastikan hidup ketika bergelar bujang dipenuhi dengan amalan-amalan golongan Ashaabul Yamin atau golongan kanan yang mendapat rahmat Syurga Allah di akhirat kelak. Allah sudah berjanji dalam surah ini pada ayat 91 dengan janji yang baik:


فَسَلَامٌ لَّكَ مِنْ أَصْحَابِ الْيَمِينِ 
maka keselamatan bagimu kerana kamu dari golongan kanan.
dan Allah janji buruk bagi mereka yang mengikut golongan sebaliknya, berbuat murka Allah pada ayat 92-94:
 وَأَمَّا إِن كَانَ مِنَ الْمُكَذِّبِينَ الضَّالِّينَ 
Dan adapun jika dia termasuk golongan orang yang mendustakan lagi sesat, فَنُزُلٌ مِّنْ حَمِيمٍ 
maka dia mendapat hidangan air yang mendidih, وَتَصْلِيَةُ جَحِيمٍ 
dan dibakar di dalam neraka.

Yakinlah jika kamu ketika bujang ini berubah dan cuba berubah untuk menjadi seorang baik, insyaAllah akan ditempatkan dalam golongan kanan. Jangan waktu bujang ini dihabiskan dengan berfoya-foya, berjoli sana-sini, "dah tua baru nak bertaubat", "waktu yang terbaik untuk mencuba jadi seperti org bujang liar." Waktu muda inilah waktu untuk merubah diri. Bukan waktu lanjut usia. Waktu muda inilah waktu tarbiyyah diri paling berkesan. Waktu terbaik untuk jadi baik dan buat baik.

Apakah itu 'buat baik' dan 'kebaikan'? Apa pula 'kejahatan'?


Al-Nawwas bin Sam'an melaporkan, Nabi Muhammad SAW bersabda, "Kebaikan adalah peribadi yang terpuji, dosa adalah apa yang bergelut dalam hati sedangkan saudara tidak mahu orang lain mengetahuinya."

Tidak jelas lagi? Baik, Hadis ada menjelaskan:


Wabisah bin Ma'bad melaporkan, "Saya pernah datang bertemu dengan Rasulullah SAW. Kemudian beliau bertanya kepada saya, 'Saudara datang ini hendak bertanya berkaitan kebaikankah?' Saya menjawab, 'Benar'. Lantas Baginda berkata, 'Tanyalah hati saudara. Sebenarnya kebaikan itu adalah perkara yang apabila saudara melakukannya, jiwa dan hati saudara berasa tenang. Walaupun saudara bertanyakan hal itu kepada orang lain dan mereka memberikan pendapat yang berbeza dengan perkara yang saudara rasakan itu. Manakala kejahatan dan dosa itu pula adalah apabila saudara tidak tenang dan saudara berasa teragak-agak dan risau dalam hati. Walaupun saudara bertanya hal itu kepada orang lain dan mereka memberikan pendapat yang berbeza dengan apa yang saudara rasakan itu."

Jelas sekali jawapan Rasulullah SAW tercinta.

Yang buat baik balasnya Syurga. Yang biarkan diri sesat, balasnya neraka. Sepadan dengan ayat kedua terakhir dari surah ini ayat 95, firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya (yang disebutkan ini) adalah suatu keyakinan yang benar."


Penutup

Demikianlah panjangnya huraian saya. Namun, saya tidak menyesal tulis sepanjang ini tanpa siapa pun membacanya kerana diri saya telah membacanya berulang kali sebagai tambahan ilmu kepada diri sendiri. 


Akhir sekali, saya rumuskan dari keseluruhan Surah al-Waqi'ah ini walaupun baru satu surah dengan 96 ayat, ia sudahpun melebihi dari cukup untuk mereka yang mahu memikirkannya dengan serius. Sudah lebih dari cukup untuk mereka yang baru-baru hendak berubah. Dalam surah ini Allah menyebut jelas di akhirat nanti ada beberapa golongan, namun yang tidak beruntung tetap golongan kiri yang ingkar perintah Allah. Yang ingkar ini pula Allah cabar supaya cuba adakan sebagaimana Allah telah adakan di muka bumi ini, tapi ia pasti mustahil untuk disahut oleh sesiapa pun yang bernama hamba. Beruntunglah golongan yang taat, mereka mendapat nikmat di syurga yang melimpah ruah, dan sebaliknya. Aspek hidup dan mati hamba mewarnakan lagi surah ini dengan lebih menginsafkan. Kita takut mati, tapi tidak takutkan Allah. Berakar dari kemahuan dan ketaksuban pada dunia semata-mata.

Kesemua yang tersenarai dalam surah ini, sudah cukup untuk kita lebih bijak hidup sebagai orang bujang. Tidak membuang masa fikirkan benda yang tidak pasti, fikirlah barang yang pasti antaranya mati, hari kebangkitan, Syurga dan Neraka. Jodoh tidak pasti ada. Tapi jodoh kita dengan Allah, dengan Syurga dan Neraka, dengan kematian, dengan akhirat itu sangat-sangat pasti ada.

Khulasahnya, hidup single itu indah bila kita sedar; cinta pada Allah dan Rasulullah SAW itu lebih tinggi dari cinta kepada orang yang belum pasti adalah pasangan hidup kita.

Janganlah dianggap remeh apa yang saya cuba sampaikan ibrah dari Surah al-Waqi'ah ini dari sisi pandangan saya sendiri. InsyaAllah, ada manfaatnya suatu hari nanti. Sebab saya yakin firman Allah pada ayat ke-81 surah ini sendiri menyebutkan dengan jelas:

أَفَبِهَـٰذَا الْحَدِيثِ أَنتُم مُّدْهِنُون 

Maka apakah kamu menganggap remeh saja Al Qur'an ini?

Hidup berseorangan, sebelum tibanya waktu kamu hidup berdua dan berkeluarga adalah waktu terbaik untuk menguji samada diri meremehkan ayat-ayat al-Quran atau tidak. Senang sahaja, jika kita masih sibuk dengan hal kita sendiri dan terus menerus tidak melakukan persediaan untuk menghadap Ilahi apatah lagi untuk upgrade iman dan taqwa diri sendiri..maka secara tak langsung sudah meremehtemehkan nasihat-nasihat al-Quran.

Al-Quran sudah berkata-kata, tinggal kita yang menjadikan nasihat-nasihat Kalamullah itu sesuatu yang nyata.

Ruj: Al-Mahawir al-Khamsah li al-Quran Karim li Muhammad al-Ghazali.
http://selamattinggal.blogspot.com

Comments

Popular posts from this blog