Pakaian Harian Adalah Pakaian Solat Kita
“Hidayah, jom kita singgah surau kejap untuk solat Asar. Waktu dah masuk nih…” Nabilah menepuk lembut bahu Hidayah sambil matanya memandang ke arah surau berdekatan.
“Takpe, aku solat kat rumah jelah. Aku tak bawa telekung.”
Balas Hidayah sambil memuncungkan bibirnya.
“Aku pun tak bawa telekung. Aku pakai pakaian ni je untuk bersolat. Alaa… kau pinjam je telekung kat surau tu…” Nabilah mencadangkan.
“Alaaaa, tak
naklah. Telekung kat situ tak best. Ada bau. Aku tak boleh pakai
pakaian aku ni untuk bersolat macam kau. Kau tengoklah tudung dan baju
aku ni, nipis dan jarang…!“ Jawab Hidayah sambil menggosok kain baju dan tudungnya dengan hujung jari.
Inilah antara senario yang selalu ada dalam masyarakat kita.
Sepatutnya pakaian yang mereka pakai samada ke tempat kerja, belajar,
beraktiviti atau bersantai boleh dijadikan pakaian untuk solat juga.
Kaum lelaki mungkin jarang kita jumpa seperti senario di atas.
Biasanya senario tersebut berlaku di kalangan Muslimah.
Ramai wanita tidak berasa yakin dengan pakaian yang mereka pakai untuk dijadikan sebagai pakaian untuk solat. Kerana apa?
Kerana mereka sendiri sedar bahawa
pakaian tersebut tidak memenuhi tuntutan syara`. Antaranya kerana
nipis, ketat, sendat, mendedahkan aurat sebahagiannya dan lain-lain
lagi. Itu bermakna mereka tidak menutup aurat sepenuhnya ketika
berpakaian harian. Dan ini ternyata suatu yang dilarang agama dan
berdosa.
[Baca mengenai etika pakaian Muslimah di sini: Busana Muslimah: Antara Betul & Salah ]
Buat wanita yang berpakaian menutup aurat
secara sempurna, kalian sudah boleh mengerjakan solat dengan pakaian
tersebut. Tidak perlu telekung lagi. Tidak perlu bawa beg telekung
lagi. Dan tak perlu meminjam telekung yang berbau kurang enak yang
selalu terdapat di surau-surau lagi.
Dengannya juga para muslimah terhindar
dari sifat menangguhkan solat yang selalu mereka lakukan lantaran tiada
telekung untuk digunakan. Sekaligus, dapat mengecap pahala amalan utama
iaitu mengerjakan solat pada awal waktu di tempat yang sesuai dengan
berpakaian harian yang menutup aurat dengan sempurna.
Islam ini mudah. Apabila kalian tidak
mengikuti ajaran Islam sepenuhnya, bermakna kalian menyusahkan diri
kalian sendiri. Bertelekung ketika solat adalah antara kelecehan yang
dicipta sendiri oleh wanita dan ia merupakan paradigma wanita Melayu.
Kefahaman agama boleh menganjakkan kalian dari paradigma tersebut.
Lelaki Melayu dulunya juga berparadigma
bahawa apabila mahu solat, mesti dengan kain pelikat dan baju Melayu.
Kini mereka telah menganjak keluar dari paradigma itu. Ramai dengan
selamba memakai seluar panjang, baju-T dan tanpa kopiah mengerjakan
solat. Ini memudahkan mereka.
Wanita juga boleh menganjakkan paradigma
seperti yang telah disebut di atas. Asalkan faham tuntutan agama dan
tepatinya, in shaa’ ALLAH beres!
Tulisan ini bukan berniat mahu menyuruh
muslimin meninggalkan jubah dan serban, dan muslimah meninggalkan
telekung yang berwarna putih ketika bersolat. Tetapi ia sekadar solusi
mudah dan cepat buat Muslim dalam keadaan-keadaan tertentu. “Mudahkanlah, janganlah disusahkan.”
Dan yang lebih utama dari tulisan
ini ialah untuk mengajak kita semua (terutamanya Muslimah) bermuhasabah
mengenai pakaian harian kita, samada ia sudah betul-betul menepati
tuntutan syara` sehingga ia boleh dijadikan sebagai pakaian solat? Atau
tidak?
Semoga kita semua dikurniakan hidayah dan taufiq oleh ALLAH Ta`ala, amin…
Allahu A`lam
Comments
Post a Comment