Catitan & Gambar di Cameron Highland
Kali terakhir saya ke Cameron
Highland (CH) ialah pada tahun 1992. Ketika itu saya di tingkatan 3
menyertai rombongan sekolah dengan menaiki bas. Sudah banyak kali saya
berhasrat untuk ke CH bersama isteri dan anak-anak, tetapi banyak kali
telah tertangguh. Jadi, kali ini mesti jadi! (InsyaALLAH).
Perjalanan
Kami sekeluarga bertolak dari Shah Alam
pada jam 9.30 pagi. Dengan memandu purata 125 km/j di Lebuhraya
Utara-Selatan, kami sampai di persimpangan keluar Simpang Pulai lebih
kurang pada pukul 11.15 pagi. Saya membuat keputusan untuk mengisi
petrol sampai penuh, kerana khuatir tiada stesen petrol di CH sana.
Tetapi rupa-rupanya ada dua stesen minyak di CH sana, iaitu Shell dan
Petronas yang kedua-duanya terletak di pekan Brinchang.
Perjalanan dari persimpangan Simpang
Pulai ke Tanah Rata mengambil masa selama 2 jam perjalanan. Sebenarnya
boleh juga ke CH menggunakan jalan di persimpangan keluar Tapah. Tetapi
disebabkan ramai yang menyarankan ikut Simpang Pulai, maka saya pilih
Simpang Pulai. Ramai yang kata menggunakan jalan ikut Simpang Pulai
lebih selesa dan baik jalannya. Dan itulah yang saya alami sepanjang
mengikuti laluan ini. Jika ikut laluan Tapah, jalannya
berbengkang-bengkok dan laluannya sempit. Dan agak berisiko. Saya juga
risau anak-anak saya muntah jika ikut exit Tapah. Jika itu berlaku,
pasti ia akan mengganggu keseronokan.
Sampai Di Hotel
Kami sampai ke Tanah Rata pada 1.15
petang. Saya telah membuat tempahan secara online 5 hari sebelum tarikh
check-in. Alhamdulillah, saya dapat kadar yang lebih murah berbanding
jika membuat tempahan melalui panggilan telefon atau walk-in. Jadi, di
sini mungkin saya boleh sarankan agar sesiapa yang ingin menginap di CH,
buatlah tempahan awal melalui internet.
Saya memilih untuk menginap di Century
Pines Resort atas komentar baik yang saya terima dari adik yang pernah
menginap di sana. Selain hotelnya hotel baru, lokasinya juga yang
terletak di Tanah Rata merupakan antara faktor menarik. Berbanding
Brinchang yang padat dengan manusia dan kenderaan, Tanah Rata adalah
pekan yang agak rileks. Banyak bangunan-bangunan dan taman awam di
Tanah Rata.
Sepanjang menginap di situ selama 3 hari
dan 2 malam, secara keseluruhannya saya boleh katakan hotel tempat saya
menginap ini OKlah. Cuma terdapat beberapa kakitangan hotel yang boleh
saya labelkan sebagai ‘kerek’. Mereka ini terdiri dari non-Malaysian
(mungkin Filipinos) yang bekerja di hotel tersebut. Sudahlah
tidak pandai berbahasa Melayu, takdak senyum langsung! Bahasanya pula
agak kasar! Rata-rata kakitangan berbangsa Melayu di hotel ini yang
saya temui selalu memberikan senyuman dan ramah serta sopan. Itulah
nilai orang kita, orang Malaysia .
Tempat Makan
Perkara pertama yang menjadi kerisauan
saya adalah tempat makan di CH. Sepanjang melalui jalan melalui
pekan-pekan kecil hinggalah ke Tanah Rata, seakan tidak banyak kedai
makanan orang Islam di CH sana. Namun, alhamdulillah, rupa-rupanya
banyak juga gerai dan kedai makanan orang Islam di CH. Terutama sekali
di Tanah Rata. Berderet kedai-kedai makan orang Islam di Tanah Rata
sana. Jadi jika hendak mencari kedai makan orang Islam di Tanah Rata
memang tiada masalah. Malah sedap-sedap belaka.
Di Brinchang pula, walaupun tidak banyak
kedai makanan orang Islam di sana , namun terdapat juga beberapa kedai
yang boleh menjadi kunjungan orang Islam untuk menjamu selera. Sedap
atau tidak sedap ni subjektiflah. Mungkin pada saya ia sedap, tetapi
orang lain tidak. Harga? Bolehlah tahan…tidaklah mahal.
Gambar sekitar Brinchang (klik untuk besarkan):
Kesimpulannya, memang tiada masalah untuk
menjamu selera di CH. InsyaALLAH banyak gerai dan kedai makanan yang
Halal dan Toiyyiba :)
Tempat Menarik
Antara tempat menarik yang telah kami singgah dan lawati ialah:
-
Masjid – Terdapat 2
masjid yang sempat kami sekeluarga singgah di CH ini. Satu di Tanah
Rata dan satu lagi di Brinchang. Gambar Pertama ialah di Tanah Rata
yang terletak berdekatan dengan hotel tempat kami menginap. Manakala
gambar kedua ialah masjid yang terletak betul-betul di tengah pekan
Brinchang.
-
Kampung Taman Sedia –
Terletak di Tanah Rata, ia merupakan kawasan penempatan orang Islam di
CH yang saya rasa hampir 100% penduduknya adalah orang Islam. Terdapat
surau, tadika Islami, pusat dakwah dan lain-lain kemudahan yang
menggambarkan bahawa aktiviti orang Islam di sini agak aktif. Di sini
juga terdapat beberapa taman agro yang memang menjadi kunjungan orang
ramai dari dalam dan luar negara. Kami sekeluarga sempat melawat ke
salah satu pusat penanaman dan jualan strawberi, dan menikmati strawberi
bercicahkan coklat. Mmmm, memang sedap
Jika ingin membeli buah, jem, jus, aiskrim atau apa-apa produk
berasaskan strawberi, belilah di sini. Ia insyaALLAH dihasilkan oleh
muslim. Harganya sangat berpatutan.
-
Taman Agro MARDI – Taman
Agro ini terletak berdekatan dengan hotel tempat kami menginap iaitu di
Tanah Rata. Nak masuk kena bayar tiket (Dewasa RM3, Kanak2 RM1.50).
Di dalam taman ini terdapat banyak jenis bunga, buah dan sayur-sayuran
yang ditanam dan dibuat kajian. Ia adalah tempat yang menarik untuk
dilawati. Terdapat juga pusat jualan di dalam taman ini.
-
Cameron Bharat Tea Plantation – Saya
agak teruja apabila melihat keindahan pemandangan hijau yang meliputi
bukit-bukau apabila melawati tempat ini. Terdapat 2 lokasi Cameron
Bharat Tea Plantation ini. Yang saya suka akan pemandangannya ialah
yang berdekatan Tanah Rata. Kawasannya lebih tinggi dan kami dapat
melihat keindahan ‘carpet’ hijau dari atas. SubhanALLAH… Sempat juga
kami sekeluarga berjalan-jalan dan melepak selama 15 minit di sana
sambil menikmati Masala Tea. Sedap, harga secawan mak aih…RM5.
-
Time Tunnel – Tempat ini
terletak di Brinchang. Apa yang menarik di sini ialah ia merupakan
muzium tempatan yang mengumpulkan barang-barangan lama yang memang
menjadi nostalgia buat pengunjung yang datang ke situ. Saya dan isteri
terkenang akan zaman kanak-kanak kami. Nabilah, Husna dan Faisal tak
habis-habis tanya apa itu dan apa ini. Mereka nak tahu apa bendanya dan
apa kegunaannya. Harga masuk ke Time Tunnel ini ialah dewasa RM5,
kanak2 RM2.
-
Butterfly Farm – Saya
suka apabila melihat anak-anak saya teruja dengan terdapat banyaknya
rama-rama di tempat ini. Mereka semakin teruja apabila rama-rama
ini hinggap di atas kepala mereka. Masing-masing kami ketawa kerana
lucu. Anak-anak saya dapat melihat jelas bagaimana rama-rama ini
menyedut manisan bunga dengan menggunakan sesungutnya. Bukan sahaja
rama-rama terdapat di sini, malah berbagai-bagai jenis ular, cicak,
iguana, kumbang, kala jengking, katak dan labi-labi juga terdapat di
sini. Harga tiket, RM5 dewasa, RM2 kanak-kanak.
-
Selain tempat-tempat di atas, antara
tempat lain yang sempat kami lawati ialah Kea Farm Market (Brinchang),
Cactus Point (Brinchang), Pasar Malam Brinchang, Kedai MultiCrops dan
lain-lain kedai yang menjual cenderahati.
Itulah lebih kurang catitan lawatan kami
sekeluarga ke CH. Lawatan kami dilakukan pada bulan Disember, memang
selalu hujan waktu kami ke sana. Saya pernah terbaca di dalam internet
bahawa waktu terbaik yang dicadangkan untuk ke CH ialah pada bulan April
atau Mei, WAllahu A’lam. Dikatakan pada waktu itu cuacanya lebih baik
dan memudahkan untuk pengunjung melakukan lawatan atau jungle-tracking.
Oh ya, tentang suhu di sana, tidaklah
sejuk sangat. Anak-anak saya memang saya minta mereka pakai baju sejuk
sebab saya khuatir mereka selsema disebabkan musim hujan di sana.
Isteri memang tak pakai baju sejuk, memadai dengan tudung labuhnya.
Saya pula hanya berbaju-T lengan pendek di sana, mungkin lemak sedia ada
sudah memadai untuk menjadi penebat kesejukan
. Di hotel ada dipaparkan bahawa suhu di CH paling sejuk ketika itu
ialah 18° darjah Celcius. Rasa macam duduk dalam bilik yang berhawa
dingin gitu. Paling sejuk yang kami alami ialah ketika kami di Kea
Farm Market, Brinchang. Ketika itu jam sudah pukul 6.15 petang,
berkabus dan sangat sejuk. Anak-anak teruja apabila bercakap ada ‘asap’
keluar dari mulut mereka .
Itulah lebih kurang al-kisahnya…
Mudah-mudahan catitan ini dapat
memberikan sedikit gambaran ringkas tentang CH. Saya membuat keputusan
untuk menulisnya di blog ini kerana sebelum saya ke CH, saya telah
mendapat manfaat hasil tulisan dan perbincangan orang lain tentang CH di
internet samada melalui blog ataupun forum. Melalu FB pun ada. Jadi,
disebabkan itulah saya menulis catitan ini, supaya orang lain dapat
mengambil manfaat sebagaimana saya telah mendapat manfaat daripada orang
lain, insyaALLAH.
Sekian,
Comments
Post a Comment