Catatan Perjalananku -Madinah Al Munawarah 


Alhamdullillah akhirnya aku selamat kembali dari tanah suci Mekah. Dua tiga bulan sebelum berangkat ke sana aku amat khuatir, takut-takut aku tidak mampu bertahan untuk duduk dalam pesawat untuk tempoh yang agak lama. Bayangkanlah 8 jam duduk di atas kerusi. Sepanjang tempoh aku sakit belum pernah aku duduk di atas kerusi biasa. Duduk di atas kerusi roda pun dua jam aku sudah mulai gelisah inikan pula dudk di kerusi biasa untuk tempoh 8-9 jam.

Satu perkara lagi yang aku risaukan ialah tentang ‘buang air’. Air kecil tiada masalah bagiku kerana kencingku secara terus masuk ke beg kencing yang seumur usiaku akan berada di sisiku. Ini tentang air satu lagi..faham-fahamlah ya! Oleh kerana aku hilang deria rasa jadi situasi ‘bocor’ boleh terjadi bila-bila masa tanpa aku sedar dan tanpa di kawal. Bayangkanlah jika ianya berlaku habis satu pesawat. Silap-silap pesawat terpaksa membuat pendaratan kecemasan.…hahaha (ini hanya lawak bodohku saja).

Hari yang di nantikan tiba, Mei 20, 2007 aku ke KLIA dengan rombongan seramai 16 orang ahli keluargaku. Setelah selesai pendaftaran aku ditolak masuk ke dalam pesawat Saudi Arabia pada pukul 7.00 petang. Aku dan isteriku mengambil tempat duduk kelas bisnes sementara ahli keluarga yang lain kelas ekonomi atas sebab masalah fizikalku. Maka terpisahlah kami untuk seketika.

Aku disambut oleh krew penerbangan di pintu masuk. Setelah surat ‘pengesahan doktor’ di tunjukkan aku di bawa masuk ke tempat dudukku. Alhamdullilah aku di tempatkan di bahagian hadapan sekali dan mudahlah untuk kerusi rodaku masuk. Di sini cuma ada 14 tempat duduk sahaja. Kerja mengalihkan aku ke tempat duduk dilakukan oleh isteri dan anakku kerana mereka lebih arif tentang keadaan fizikalku. Jika tersilap angkat boleh membuatkan aku menjerit kesakitan.

Pesawat mulai bergerak, gegaran pesawat membuat aku sedikit kekejangan. Isteriku memegang badanku sehingga gegaran pesawat hilang. Setengah jam di udara aku meminta isteriku melaraskan tempat dudukku ke posisi baring. Untuk merehatkan saraf dan ototku aku mengambil pil beclofen dan ubat tahan sakit. Sepanjang penerbangan tali pinggang sentiasa terpasang di badanku. Cuma sesekali badanku mengelunsur dan perlu di angkat semula oleh isteriku.

Jam 12.30 malam (5.30 pagi waktu Malaysia) aku tiba di Madinah. Segala bagasiku di uruskan oleh anak-anakku. Semasa menjalani proses imbasan salah satu begku telah di tahan kerana ada sesuatu di dalamnya. Pegawai yang bertugas meminta begku di buka. Setelah menyelongkar isi di dalamnya, sebuah ‘alat motor’ untuk mengepam tilam anginku (ripple mattress) dan ubat-ubatanku di bawa keluar. Setelah di terangkan fungsi alat/ubat tersebut barulah begku di lepaskan.

Di situ sedia menanti wakil agensi/muasasah menguruskan perjalanan kami ke hotel penginapan. Semua bagasi di masukkan ke dalam bas yang sedia menanti kami. Aku bertanya kepada muasasah yang bertugas adakah alternatif lain buatku kerana aku tidak mampu untuk menaiki bas. Aku di maklumkan hanya bas sahaja yang di sediakan untuk kami.

Aku berasa kecewa dan marah kerana pehak muasasah se olah-olah tidak prihatin pada keadaan fizikalku. Setelah berbincang pehak muasasah masih tidak mahu bertolak ansur dan akhirnya aku mengalah atas nasihat isteriku. Kesabaranku mula teruji di bumi yang suci ini.

“Sabar bang kita datang nak buat ibadah, ini semua ujian dari Allah” kata isteriku untuk menenangkan keadaan.

Sebentar kemudian datang se orang pemandu teksi yang memang sedia menanti untuk meng ‘ngap’ kami. Dia sedia menghantar kami dengan bayaran Riyal 50 (RM 50). Aku tiada pilihan dan terpaksa membayar untuk perjalanan lebih kurang 20 minit sahaja.

Aku sampai di Taibah Hotel lebih kurang jam 2.00 pagi. Kami daftar masuk dan terus ke bilik untuk berehat.

Jariku mulai terasa letih, tunggu ceritaku seterusnya bagaimana terharunya perasaanku sehingga menitis airmata bila berada di dalam masjid Nabawi


Semalam setelah selesai sahaja aku menulis catatan pertama di blog, isteriku terus memusingkan kedudukanku ke posisi mengereng. Tiba masanya pula untuk lukaku (bedsore) di bersihkan. Sejak dua minggu lalu lukaku menampakkan tanda-tanda kurang sehat kerana duduk yang terlalu lama.

“Luka abang makin besar dan dalam,” kata isteriku sambil membersihkan lukaku.

“Macam ni abang kenalah ikut nasihat doktor, buat operation tampal luka tu,”kata isteriku lagi. Aku hanya berdiam diri sahaja.

Isteriku mengambil alat penyepit dan mengukur kedalaman lukaku lalu menunjukkan kepadaku.

“Haa dalam ni luka abang,”sambil menunjukkan penyepit kepadaku.

“Ya Allah dalamnya luka abang, kenapa tunjuk kat abang, diam-diam sajalah,”kataku pada isteriku. Hatiku kembali risau.

Sudah lima tahun luka ini tidak sembuh-sembuh. Sudah berbagai ubat kucuba tetapi masih belum pulih juga. Dalam hati aku berdoa “Ya Allah kau sembuhkan lukaku ini, ringankanlah penderitaanku ini”.

Berbalik kepada ceritaku di Madinah, sedang aku cuba melelapkan mata kedengaran laungan azan dari Masjid Nabawi yang jaraknya lebih kurang 100 meter dari hotel penginapanku. Jam ketika itu menunjukkan pukul 3.00 pagi. Dalam hatiku berkata “Awalnya waktu subuh di sini.”.

Jam 4.06 pagi kedengaran sekali lagi laungan azan. Sangkaanku tadi meleset, rupanya azan pertama tadi bukannya azan waktu subuh. Aku tidak pasti mengapa ada dua kali azan. Di Makkah pun begitu jua, ada dua kali azan di waktu subuh. Oleh kerana keletihan aku cuma bersholat di bilik sahaja. Anak dan isteriku bergegas ke masjid.

Setelah keletihanku hilang, isteriku menyiapkan diriku untuk sama-sama ke masjid bersholat dzohor. Cuaca di luar agak panas suhunya sekitar 40c tetapi berangin. Di jalan raya banyak laluan (ramps) untuk kemudahan penguna kerusi roda.


Masjid Nabawi...indahnya!!




Pertama kali masuk ke dalam Masjid Nabawi mataku terpegun melihat keindahan ukiran seni rekanya. Sebentar kemudian laungan azan dzohor ke udara. Semasa azan di laungkan aku tidak dapat menahan rasa sebakku. Berjurai-jurai air mataku jatuh, aku tidak menyangka dalam keadaanku begini aku berpeluang berjamaah di dalam masjid yang penuh bersejarah ini. Inilah kali pertama dan masjid pertama aku bersholat jemaah sejak aku bergelar OKU.

Setelah selesai bersholat aku dibawa oleh anakku menziarah makam Nabi Muhammad s.a.w yang terletak di bahagian depan masjid tersebut. Suasana menuju ke kawasan makam rasullullah agak kelam kabut dan berhimpit-himpit. Aku agak bimbang semasa berasak-asak menghampiri makam rasullullah, bimbang kalau ada jemaah yang terjatuh dan mungkin menghempap badanku. Rata-rata jemaahnya berbangsa arab yang mempunyai tubuh badan yang besar dan sasa.

Jemaah tidak di benarkan berhenti ketika menghampir pagar makam rasullullah, sekadar lalu begitu sahaja. Setelah berasak-asak alhamdulllillah aku berjaya menghampir tepi pagar makam rasullullah. Dari celah-celah pagar berwarna keemasan dapat kulihat makam rasullulah berwarna kehijauan. Dari situlah aku memberi salam dan menyampaikan salam dari teman-teman blogku .

Di sebelah malamnya selepas waktu Maghrib aku sekali lagi pergi menziarah ke makam rasullullah. Keadaannya sama juga seperti di waktu siang, berhimpit-himpit dan bertolak-tolak.

Semasa menanti waktu sholat Isyak, aku terharu bilamana ada beberapa orang jemaah berbanga arab menegurku dalam bahasa melayu dan sempat mendoakan agar aku sembuh dari penyakitku. Semasa keluar di perkarangan masjid aku terlihat beberapa papan tanda arah yang tertulis dalam bahasa melayu. Aku kira orang melayu memang terkenal di Madinah ini.

Keesokan harinya aku mengambil peluang berjalan-jalan di sekitar kedai-kedai yang berhampiran dengan hotel penginapanku. Nanti kusambung ceritanya lagi ya! 

Hari kedua di Madinah aku sempat singgah di beberapa buah kedai semasa pulang dari sholat Zohor. Sepanjang jalan menuju ke hotel penginapan terdapat banyak kedai-kedai yang menjual berbagai cenderahati dan kain pakaian.

Aku singgah sebentar di sebuah kedai untuk membeli beberapa helai jubah dan selendang. Semasa di dalam masjid aku asyik melihat pak arab pak arab memakai jubah dan selendang. Sungguh cantik jubah-jubah yang mereka pakai. Jadi aku juga turut teringin memakai jubah dan selendang seperti mereka. Bila lagi nak pakai ya, masa inilah!!

Semasa memilih-milih jubah aku tersenyum bila salah seorang penjual berbangsa arab bercakap melayu denganku.

“Dari Malaysia?, bagus! Anwar Ibrahim baik, Abdullah Badawi baik, Mahatir panas!”

Aku tumpang senyum melihat gelagat mereka. Rupanya mereka pun turut mengikuti perkembangan politik di negara kita.

Di sebelah pagi sebelumnya, pihak muasasah telah mengadakan ziarah di sekitar tempat sejarah di Madinah. Oleh kerana hanya bas sahaja yang di sediakan oleh muasasah jadi aku dan isteriku tidak berpeluanglah mengikutinya.

Aku agak terkilan dengan cara agensi pelancongan yang mengendalikan rombongan umrah ini. Mereka tidak peka dan tidak prihatin terhadap golongan OKU sepertiku. Pada hal mereka telah sedia maklum keaadaanku dan pakej yang kubayar termasuk pakej ziarah sekali.

Selepas sholat Asar aku mengajak isteriku menziarah Masjid Quba dan Bukit Uhud. Mengikut ustaz yang menemaniku, bersholat di Masjid Quba pahalanya sama dengan pahala mengerjakan umrah. Jadi aku pun tidak mahu melepaskan peluang untuk bersholat di masjid ini.

Semasa mencari-cari teksi untuk ke Masjid Quba sekali lagi kesabaranku teruji. Semasa menahan teksi pemandu teksi meminta 30 riyal tetapi bila melihat penumpangnya berkerusi roda tambang di naikkan kepada 35 riyal. Ustaz yang menemaniku agak marah dengan sikap pemandu tersebut dan cuba mencari teksi yang lain.

Oleh kerana masa sudah agak lewat, kami pun menahan sebuah teksi dan pemandu teksi meminta bayaran 40 riyal untuk kesana. Aku bersetuju dengan kadar bayaran yang di minta. Setelah aku di angkat masuk ke dalam teksi, pemandu teksi meminta tambahan bayaran sebanyak 50 riyal dengan alasan kerusi rodaku menggunakan bonetnya. Aku agak marah dengan sikapnya yang tidak menepati janji dan meminta aku di keluarkan dari teksi. Sekali lagi isteriku menyelamatkan keadaan, isteriku memintaku bersabar dan menganggap ini adalah satu dugaan.

“Tuhan menguji tahap kesabaran kita di sini,”jelas isteriku. Akur akur dengan nasihatnya.

Sesampai sahaja di Masjid Quba, aku terus di tolak masuk ke dalam masjid dan bersholat sunat. Sebaik sahaja keluar dari masjid tiba-tiba hujan renyai-renyai pun turun. Isteriku berkata “Ini hujan rahmat,”aku cuma tersenyum.

Aku terus ke destinasi seterusnya ke Bukit Uhud. Aku cuma duduk di dalam teksi menunggu isteri dan anakku pergi membeli sedikit buah tangan. Dari dalam teksi aku dapat saksikan ribut pasir di kawasan Bukit Uhud. Menurut ustaz yang menemaniku, buah tamar di sini agak murah sedikit kerana di temani pepasir.

Setelah selesai aku terus pulang ke hotel penginapan. Aku terus ke masjid kerana waktu Maghrib telah pun hampir tiba. Setelah selesai sholat Maghrib aku terus menunggu hingga masuknya waktu Isyak. Setelah bersolat Isyak aku sekali lagi mengambil peluang menziarah makam rasullullah. Agak sayu hatiku kerana esok aku akan meninggalkan Madinah.

Pada keesokan paginya aku bersiap-siap memakai ihram untuk menuju ke Mekkah. Aku bersama isteri dan anakku menggunakan penerbangan domestik ke Jedah dan seterusnya ke Mekkah untuk mengerjakan umrah. Rombongan lain menggunakan penggangkutan bas yang di jangka tiba pada waktu malam. Jarak antara Madinah dan Mekkah lebih kurang 400km dan mengambil masa lebih kurang 7 jam perjalanan.

Nantikan seterusnya cerita perjalananku ke Mekah. Maaf badan dan jariku agak kurang sihat untuk terus bercerita. Untuk menghabiskan catatan ini pun terpaksa kupinjam jari jemari anakku Indah.

Sebelum aku meneruskan ceritaku, ingin aku nyatakan sekali lagi bahawa cerita-cerita yang kupaparkan di sini bukanlah bertujuan merayu simpati atau membangga diri apatah lagi riak lebih-lebih lagi di dalam bab amal ibadat ini.

Apa yang kupaparkan di sini adalah secebis catatan hidup seorang insan yang pernah hidup sebagai manusia biasa, bebas bergerak ke sana dan kemari kemudian beralih kepada dunia yang terlalu asing bagi dirinya. Dunia yang menyekat kebebasan pergerakannya yang pernah di kecapi dahulu. Pergerakannya kini bergantung di atas belas ihsan anak dan isteri juga manusia di sekelilingnya.

Orang lain pergi umrah juga!, lima enam kali lagi tetapi tidak pernah mahu bercerita tentangnya. Kenapa aku yang baru pertama kali kesana sibuk-sibuk menulis dan bercerita. Bagiku antara orang dan diriku terlalu banyak perbezaannya. Mungkin bagi orang yang cacat sepertiku peluang ke tanah suci mungkin hanya sekali untuk seumur hidup. Mungkin ini yang pertama kali dan terakhir kali buat diriku. Jadi pengalaman yang kulalui ingin kukongsi bersama dan mungkin ia boleh di jadikan panduan dan rujukkan untuk insan-insan yang senasib denganku. Itu pun jika ada….

Berbalik kepada ceritaku, setelah memakai ihram aku isteri dan anakku menunggu di lobi hotel. Penerbangan kami di jadualkan pada jam 12.30 tengah hari. Sebentar kemudian datang wakil muasasah menyerahkan tiket penerbangan dan membawa kami ke kenderaan untuk ke lapangan terbang.

“Ya allah naik van ke?, macamana abang hendak naik?”tanyaku kepada isteriku.

“Tidak mengapa, kita cuba angkat abang perlahan-lahan,”kata isteriku.

Nampaknya pihak agensi/muasasah memang langsung tidak peka terhadap warga OKU sepertiku. Sepatutnya mereka menyediakan kereta/teksi kerana ia lebih rendah dan mudah buatku. Paras tempat duduk van yang agak tinggi menyukarkan badanku diangkat. Dengan bantuan abang iparku yang kebetulan berada di situ aku pun di angkat masuk dan di baringkan di tempat duduk. Aku terpaksa menahan kesakitan bila badanku diangkat masuk ke dalam van tersebut Orang sepertiku mana mampu untuk duduk di kerusi yang agak tegak posisinya. Sepanjang perjalanan aku hanya terbaring di dalam van.

“Macam naik ambulan saja!,”kataku kepada anakku. Teringat aku semasa sakit dahulu di bawa dengan ambulan. Lebih kurang sama keadaannya, kepala terhentak-hentak dan pening.

Sampai di lapangan terbang aku pun dibawa turun. Jika di hotel tadi aku diangkat oleh tiga orang tetapi di sini cuma isteri dan anakku sahaja. Pemandu van cuma memandang tanpa memberi sebarang bantuan. Memang tugasnya memandu saja bukan mengangkatku….hehehe.

Setelah selesai urusan pendaftaran, aku terus dibawa naik ke pesawat menggunakan kren khas mengikut pintu belakang pesawat. Agak lama juga aku terpaksa menunggu kerana pintu lambat di buka. Aku perhatikan pekerja lapangan terbang yang terdiri dari rakyat Bangladesh mengetuk-ngetuk pintu pesawat. Setelah lebih kurang 15 minit barulah pintunya dibuka.

Di dalam pesawat penumpang-penumpang lain telah sedia duduk di tempat masing-masing. Mereka memerhatikan saja bagaimana kerja-kerja mengalihkan aku ke tempat duduk. Oleh kerana laluan ke tempat duduk agak sempit. Aku pun di angkat dan diletakan di atas sebuah kerusi beroda dan di tolak ke tempat dudukku.

Aku tiga beranak di berikan di tempat duduk yang berlainan dan berjauhan. Aku merayu kepada krew kabin agar isteriku di tukarkan di sebelahku atas masalah fizikalku. Pada mulanya mereka se akan mahu membantuku tetapi setelah tiada penumpang yang bersedia bertukar tempat maka terpaksalah aku duduk bersendirian.

Semasa pesawat berlepas dan mendarat aku hanya menutup mata dan berdoa agar kekejangan tidak terjadi kepadaku. Pada ketika itu hanya tali pinggang keselamatan yang menahan badanku. Sekiranya gegaran kuat berlaku bila-bila masa saja aku boleh terjatuh kerana tanganku tidak mampu memegang mana-mana bahagian di tempat dudukku.

Setelah lebih kurang sejam penerbangan aku pun tiba lapangan terbang Jeddah. Seorang lelaki berbangsa arab telah sedia menantiku. Aku dibawa menaiki keretanya menuju ke Mekah yang jauhnya lebih kurang 75km dari Jeddah.

Lelaki arab ini sungguh peramah orangnya. Sambil memandu dia menerangkan tempat-tempat di sekitar bandar Jeddah ini. Semasa melalui lebuh raya ke Mekah aku mengambil peluang melihat pemandangan di kiri dan kanan jalan. Oleh kerana aku tidak berpeluang mengikuti ziarah jadi aku gunakan masa ini untuk melihat negeri orang.

Sepanjang perjalanan hanya bukit-bukit yang gondol dan padang pasir yang dapat kulihat. Tiada penempatan atau perkampungan yang terdapat sepanjang perjalanan. Jika ada rumah pun hanya rumah-rumah yang berbentuk kotak yang dindingnya berbatu bata seperti yang sering di tunjukkan di tv di negara Palastine. Isteri dan anakku tertidur keletihan di sepanjang perjalanan.

Setelah lebih kurang sejam perjalanan aku pun tiba di Mekkah. Tempat penginapanku terletak lebih kurang 80 meter dari Masjidil Haram. Ketika kami tiba azan Asar sedang berkumandang. Di bahu-bahu jalan di penuhi dengan kereta-kereta yang pemandunya berhenti untuk pergi menunaikan sholat. Agak sukar juga untuk kerusi rodaku bergerak ke tempat penginapan kami.

Aku amat terkejut bila di tunjukkan hotel tempat penginapanku. Untuk masuk ke hotel aku terpaksa menempuh lebih sepuluh anak tangga yang berkelok-kelok untuk sampai ke pintu lif. Tiada laluan untuk kerusi roda dan kerusi rodaku pula tidak muat untuk masuk ke lif. Aku beristighifar panjang melihat keadaan ini.

Tunggu pengakhir catatanku nanti….


Azan dari Masjidil Haram, sila Off kan lagu di blogku. Tekan 'menu' untuk melihat video-video yang lain di Mekah.
 Aku tiba di depan hotel penginapan ketika azan Asar sedang berkumandang. Masjidil Haram yang indah terletak hanya beberapa meter sahaja dari hotel penginapan. Tidak sabar rasa hatiku untuk bersholat dan melihat keindahan Baitullah.

Di kiri kanan jalan aku lihat orang bergegas-gegas menuju ke masjid. Di bahu-bahu jalan di penuhi dengan kereta-kereta yang pemandunya juga berhenti untuk menunaikan sholat. Aku di tolak di celah-celah kereta mencari laluan untuk menuju ke hotel.

Setibanya di depan hotel aku agak terperanjat melihat bertingkat-tingkat anak tangga untuk sampai ke lobi hotel. Tiada laluan khas untuk orang berkerusi roda. Sebentar kemudian datang tiga orang pekerja hotel membantu mengangkat kerusi rodaku. Mereka kelihatan tercungap-cungap mengangkatku ke lobi. Dari lobi sekali lagi aku terpaksa di angkat untuk sampai ke pintu lif pula. Bila pintu lif terbuka mereka cuba menolak kerusi rodaku masuk tetapi hanya separuh saja kerusi rodaku yang muat.

Aku beristighfar di dalam hati menahan kesabaran. Sepatutnya perkara ini dapat di elakkan jika pihak agensi prihatin dan bertanggung jawab terhadap pelanggannya. Aku meminta izin untuk berjumpa dengan muasasah yang menguruskan tempat kami. Aku di fahamkan bahawa pegawai yang bertanggung jawab keluar membawa jemaah berziarah.

Sementara menunggu pegawai tersebut pulang aku di letakkan di ruang menunggu hotel tersebut. Beberapa jemaah dari kumpulan lain yang telah beberapa hari tinggal di situ datang berbual dan bertanya masalahku.. Dari perbualan dengan mereka ternyata mereka juga kurang senang dengan perkhidmataan yang di sediakan oleh agensi tersebut.

Sedang aku berbual-bual datang seorang wakil muasasah melihat dan bertanyakan masalahku.

“Ustaz, saya datang ke sini untuk beribadat, saya hendak ke masjid bila-bila waktu, subuh, asar, maghrib.”

“Kalau sudah bertangga begini, bagaimana saya nak ke masjid?”

“Adakah pihak muasasah sanggup tunggu mengangkat saya di setiap waktu?” kataku kepada lelaki yang kupanggil ustaz berasal dari Indonesia.

“Saya tidak di maklumkan oleh agensi yang ada orang berkerusi roda dalam rombongan ini,”jelas ustaz tersebut kepadaku.

Setelah lama mendengar tazkirahku ustaz tersebut meminta diri untuk berbincang dengan pegawainya untuk mencari tempat yang sesuai buatku.

Sementara menunggu, datang sepasang jemaah yang berasal dari Melaka bertanyakan masalahku.

“Cuba encik tengok di dinding, penuh dengan pelekat yang menyuruh kita SABAR,”kata suami pasangan itu kepadaku.

“Di dalam soal beribadah kita boleh bersabar tetapi dalam soal hak dan kebajikan kita, mana boleh sabar!”lelaki tersebut mula meluahkan rasa kesalnya kepadaku.

“Pihak agensi se olah-olah menghukum kita di sini, jika kita tidak SABAR maka sia-sialah ibadat kita di sini,”sambungnya lagi. Aku cuma mendengar luahan lelaki tersebut sambil tersenyum.

“Dapur belakang rumah saya pun lebih cantik dari dapur di sini,”sampuk salah seorang rakannya. Aku memandang ke arah bilik tempat yang di maksudkan dapur. Tempat membuat minuman rupanya.

“Saya menyesal menggunakan khidmat agensi ini,”kata lelaki tersebut sebelum beredar meninggalkan aku.

Aku memandang di sekelilingku. Memang banyak perkataan SABAR tertampal di dinding. Teringat aku semasa menghadiri kursus umrah di Kuala Lumpur dahulu, wakil agensi asyik menekankan perkataan SABAR di dalam ceramahnya. Mungkin sebelum ini telah ramai pelanggannya yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mutu perkhidmatannya.

Sebentar kemudian ustaz tadi muncul semula. Dia mengesyorkan beberapa tempat untukku. Aku bersetuju di tempatkan di mana saja asalkan tiada bertangga. Aku di bawa di sebuah hotel yang jaraknya lebih kurang 30 meter dari hotel asal. Maka terpisahlah aku dengan rombonganku.

Di sini aku di tempatkan di tingkat enam. Biliknya agak sempit yang menempatkan lima buah katil. Lifnya agak kecil juga di mana aku perlu menanggalkan beberapa bahagian di kerusi rodaku setiap kali menggunakannya.

Oleh kerana keletihan dalam perjalanan tadi, aku bersholat di dalam bilik sahaja. Sementara itu anakku ke masjid bersholat Maghrib sambil meninjau-ninjau laluan untuk kerusi roda di sekitar Masjidil Haram.

Di sebelah malam kami bercadang untuk melakukan umrah (tawaf/saei) bersama dengan rombongan bas yang di jangka tiba pada jam 9.00 malam. Dua orang lagi anakku turut bersama dengan rombongan ini.

Lebih kurang jam 10.00 malam kedua-dua orang anakku tiba di hotel. Setelah berehat seketika kami empat beranak pun bersiap-siap untuk mengerjakan umrah. Jam ketika itu menunjukkan pukul 11.00 malam. Isteriku tidak turut bersama kami mengerjakan umrah kerana bercuti. Biasalah orang perempuan..

Aku pergi ke hotel utama untuk mengerjakan umrah bersama dengan rombongan yang akan di pimpin oleh seorang mutawif. Sesampai di sana aku di maklumkan bahawa mutawif telah pun pergi bersama rombongannya. Aku bertanya samada pihak muasasah menyediakan mutawif yang lain yang boleh memimpin kami mengerjakan umrah. Jawapannya tiada, jadi terpaksalah aku mengerjakan umrah dengan anak-anakku berbekalkan buku yang aku baca.

Aku terpaku apabila melihat keindahan Baitullah di hadapanku. Mimpikah aku?. Nanti ceritaku seterusnya…….


* Kemudahan untuk warga OKU di Madinah dan di Mekah adalah sangat baik dan mudah....Alhamdullilah. Banyak laluan untuk kerusi roda di sana. Apa yang menyedihkan ialah sikap setengah pengendali umrah di negara kita yang tidak peka kepada keperluan golongan minoriti sepertiku. Keuntungan menjadi agenda utama mereka sedangkan kebajikan golongan OKU di pandang remeh.

Aku bersama anak-anakku terus menuju ke Masjidil Haram untuk menggerjakan umrah. Semakin dekat dengan Masjidil Haram semakin tidak sabar rasanya untuk melihat Baitullah.

Anakku terus membawaku mengikut laluan kerusi roda ke tingkat satu. Keadaan di tingkat ini agak lenggang sedikit. Kelihatan beberapa orang pekerja sedang menggilatkan pagar-pagar di sekitar kawasan situ. Sesekali mereka toleh dan senyum kepada kami.

Setelah selesai sholat tahayatul masjid, aku meminta anakku menolak kerusi rodaku menghampiri tepi pagar untuk melihat Baitullah. Pertama kali mataku melihat Kaabah terasa bagaikan mimpi. Kaabah yang dahulunya sering kulihat di kaca tv kini betul-betul berada di hadapanku. Aku bersyukur kerana akhirnya tertunai juga hajatku untuk sampai dan bersholat di rumah suci Allah ini.

Dari tepi pagar kelihatan ramai jemaah yang sedang bertawaf menggelilingi Kaabah. Ada di kalangan mereka yang berkerusi roda turut sama bertawaf di bawah. Bagi mereka yang berkerusi roda memang di sediakan laluan untuk bertawaf di tingkat satu. Aku yang pada mulanya bercadang untuk mengerjakan tawaf di sini menukar fikiran untuk turut sama bertawaf di bawah.

Kami turun ke bawah dengan menggunakan lif dan seterusnya mengikut laluan kerusi roda untuk sampai ke laman Kaabah. Sekali lagi terasa bagaikan bermimpi bila melihat Kaabah betul-betul berada beberapa meter saja di depan mata. Mataku leka dan terpegun melihat keindahan Kaabah. Aku bersyukur dan berasa bertuah terpilih menjadi tetamuNya.

Setelah pasti tempat permulaannya tawaf, kami pun berniat dan memulakan tawaf. Pusingan demi pusingan kami lakukan tanpa rasa penat. Terasa nikmatnya dapat beribadah menggelilingi Kaabah bersama ribuan jemaah berbagai bangsa.

Terdapat ramai kumpulan-kumpulan jemaah dari negara lain yang bertawaf di pimpin oleh ketua masing-masing. Dalam keadaan berhimpit-himpit beberapa kali tayar kerusi rodaku menggelek jari kaki jemaah yang bersebelahanku. Berkerut wajah mereka menahan kesakitan. Aku cuma mengangkat tangan tanda memohon maaf.

Setelah selesai bertawaf kami mencari tempat untuk bersholat sunat tawaf sebelum mengerjakan saei. Kami memilih untuk bersholat di kawasan yang berdepan dengan pintu Kaabah dan Al Multazam. Semasa berdoa di depan Kaabah air mataku jatuh bercucuran tanpa dapat di tahan. Perasaanku rasa sayu dan terharu . Terharu kerana berpeluang bersholat betul-betul di hadapan Kaabah. Sayu hatiku kerana datangku ke sini dalam keadaan sifat yang telah berbeza dari sifat asal (lumpuh).

Setelah selesai kami terus ke tempat saei yang terletak di dalam kawasan Masjidil Haram. Bermula dari Bukit Safa kami berniat dan menuju ke Bukit Marwah. Bagi yang berkerusi roda di sediakan laluan khas di sini. Bersemangat rasa di hati dapat beribadah bersama-sama umat Islam berbagai bangsa.

Di awal pusingan anak-anakku agak laju menolak dan menarik kerusi rodaku. Di pusingan-pusingan akhir mereka nampak keletihan. Anakku Indah bersungguh-sungguh menarik kerusi rodaku ketika mendaki curam untuk naik di kedua-dua bukit. Aku amat terharu dengan kesungguhan mereka walaupun agak kepenatan. Setelah selesai tujuh pusingan kami pun bergunting (bertahlul) sebagai menyempurnakan umrah kami.

Alhamdullillah, akhirnya ibadah umrah kami selesai pada malam itu. Sepanjang mengerjakan tawaf dan saei kami tidak bertemu dengan rombongan kami. Mungkin kerana terlalu ramai jemaah yang mengerjakan umrah pada waktu itu. Aku sampai di hotel penginapan lebih kurang jam 2.00 pagi. Isteriku risau menanti kepulangan kami, risau takut kami tersesat.

Aku berada di Mekkah selama lapan hari. Di hari yang ke empat barulah isteriku berpeluang mengerjakan umrah di temani oleh anakku Indah. Kali ini Indah pula jadi mutawif (kononnya) membawa ibunya mengerjakan umrah.

Semasa di Madinah bolih di katakan setiap hari aku berpeluang ke masjid berjemaah. Berlainan pula di Mekkah, masaku banyak terperap di bilik kerana masalah pergerakkanku. Bolih di katakan setiap hari anak-anakku keluar mengerjakan umrah jadi bila tiba giliran untuk mengangkatku ke masjid mereka keletihan. Untuk tidak menyusahkan mereka aku cuma bersholat di bilik saja.

Keadaan bilik yang agak sempit dengan hawa dingin yang terlalu sejuk dan tidak boleh di laras suhunya membuatkan badanku sering sakit-sakit. Hampir setiap hari aku terpaksa menelan pil untuk menahan kesakitan.

Selama berada di sana aku berpeluang untuk bersholat Jumaat. Inilah kali pertama aku berpeluang bersholat Jumaat sejak aku sakit. Seronoknya tidak terkata, maklumlah sudah lama tidak merasai suasana berjemaah begini.

Jika dahulu di Masjid Negara terlentuk-lentuk kepalaku mengantuk menunggu imam menghabiskan kutbah Jumaatnya. Di sini berbeza pula, telinga khusyuk mendengar kutbah walaupun tidak faham dan mata pula leka tertumpu memandang Kaabah.

Satu suasana yang sering boleh di lihat di sini ialah gelagat jemaah yang berlari–lari ke arah Kaabah untuk mendakap dan mencium Kaabah sebaik saja imam habis memberi salam. Semasa mengerjakan tawaf sunat (di luar ihram), aku juga turut berpeluang menghampiri Kaabah dan menyentuhnya. Aku cuba mengangkat tanganku untuk meletakkan tapak tangan ke Kaabah tetapi hanya dua jariku saja yang mampu mencecah Kaabah.

Di hari ketujuh aku berpeluang sekali lagi mengerjakan umrah. Kali ini aku sekeluarga di bawa oleh abang iparku dan birasku. Selepas sholat Asar aku mengenakan pakaian ihram dan pergi ke Tana’im yang jaraknya 5 km dari Mekkah untuk berniat umrah. Selepas berniat kami terus kembali ke Masjidil Haram untuk bertawaf, bersaei dan bertahlul. Ibadah umrah kami selesai sebelum masuknya waktu Isyak.

Hari terakhir di Mekkah, sebelum bertolak pulang meninggalkan Mekkah aku sekeluarga mengerjakan tawaf widaq (tawaf selamat tinggal) selepas sholat zohor. Ketika itu matahari betul-betul berada di atas kepala. Teriknya matahari betul-betul mengujiku hari itu. Aku hampir-hampir tidak dapat menahan kepanasannya.

“Sabar KS cuma satu pusingan saja lagi,”kata birasku cuba untuk menenangkan aku yang sedang gelisah kepanasan.

“Di Padang Masyhar nanti lebih panas lagi pada nii,”sambungnya lagi.

Sebaik selesai sholat sunat tawaf aku meminta anakku menyiramkan air zam-zam keseluruh tubuhku. Pakaianku basah kuyup bermandikan air zam-zam. Barulah reda rasa panas di badanku.

“Ayong tak rasa panas ke masa tawaf tadi?”tanyaku pada anak sulungku.

“Biasa saja, Ayong tak rasa panas pun”.

“Oh patutlah ayah rasa panas sangat, ayah nii banyak dosa,” jawabku sambil tersenyum.

Jam 1.30 petang aku bersiap-siap untuk meninggalkan Mekkah. Oleh kerana pihak agensi hanya menyediakan bas, maka terpaksalah aku menyewa teksi dengan bayaran 130 riyal (RM 130) untuk ke lapangan terbang Jeddah. Aku bertiga beranak menaiki teksi sementara dua lagi anakku menaiki bas.

Semasa teksi bergerak perlahan melintasi Masjidil Haram, aku menoleh melihat Masjidil Haram buat terakhir kali hingga hilang dari pandanganku. Hati terasa amat sayu meninggalkan Baitullah rumah suci Allah. Bilakah aku berpeluang ke sini lagi?.

Tiada banyak yang dapat aku ceritakan tentang Mekkah. Aku tidak berpeluang mengikuti ziarah yang di adakan di tempat-tempat yang bersejarah di sini. Kesian isteriku kerana turut tidak berpeluang berziarah kerana menjagaku. Aku cuma berziarah melalui gambar-gambar yang di rakamkan dari kemera anakku saja…cukuplah tuu.

InsyaAllah jika ada rezeki dan kesihatanku mengizinkan pasti kudatang lagi ke sini….
 http://makkah-2009.blogspot.com

Comments

Popular posts from this blog