AMANAH SEBAGAI KETUA -

Pemimpin Yang Amanah








Perkembangan tamadun manusia pasti mencatatkan bahawa berdirinya sesebuah pemerintahan. Semuanya terbina dengan adanya pemimpin yang berkaliber. Kehidupan rakyat tanpa pemimpin yang memandu halatuju mereka hanya akan membawa pelbagai kemelut dalam masyarakat dan negara.

Ceramah PemimpinPemimpin ialah umpama kepala bagi sesebuah jasad, mereka juga merupakan simbol kesatuan dan kekuatan sesebuah organisasi. Pemimpin yang hebat merupakan individu yang mampu menunaikan tanggungjawabnya sebagai khalifah bersesuaian dengan garis panduan Al-Quran dan As-Sunnah. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Haj, ayat 41 yang bermaksud;

Iaitu mereka (Umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta menunaikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan”.

Islam memandang isu kepimpinan suatu perkara yang amat besar. Beberapa nota penting yang perlu kita ketahui berkaitan kepimpinan iaitu :
  1. Islam menganggap setiap individu adalah pemimpin sama ada pemimpin masyarakat, persatuan dan sebagainya.
  2. Sesungguhnya melantik pemimpin adalah tuntutan syariat. Islam menyarankan bagi perkumpulan manusia yang berjumlah tiga orang dan lebih agar memilih salah seorang daripada mereka sebagai ketua. Jelas kepada kita keutamaan melantik ketua dan membentuk organisasi dalam perkumpulan manusia yang ramai adalah penting.
  3. Hendaklah melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin yang jujur dan amanah.
Sesungguhnya tidak akan terlaksana pergerakan sesebuah kumpulan atau organisasi kecuali dengan adanya pemimpin dan pengikutnya yang taat.

Kepimpinan Islam dalam semua peringkat organisasi hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi cirri-ciri seorang pemimpin yang ikhlas dan bertawakkal kepada Allah. Pemimpin sanggup turun padang bertemu rakyat, melihat sendiri penderitaan, kemiskinan, kesakitan mereka sambil membantu dengan penuh keikhlasan. 

Seorang pemimpin hendaklah sedar tanggungjawab yang digalas adalah besar. Amanah yang dipikul akan ditanya oleh Allah kelak. Kerana itulah Rasulullah s.a.w awal-awal lagi menegaskan supaya umatnya menjadi pemimpin yang amanah. Pernah suatu ketika Abu Zarr al-Ghifari berkata kepada Rasulullah yang bermaksud:

"Tidakkah anda mahu mengangkat saya menjadi pemimpin wilayah?" Maka baginda pun menepuk bahu Abu Zarr dan bersabda : ”Wahai Abu Zarr, anda lemah. Ini adalah amanah. Ia adalah sumber kehinaan dan penyesalan di hari kiamat kelak, kecuali siapa yang menerima mandat kepimpinan ini dengan betul dan menunaikan segala tuntutannya." (Riwayat Muslim)

Walaupun amanah kepimpinan ini sangat besar dan berat, namun seorang pemimpin bukanlah dikerah secara paksa untuk melaksanakan tuntutan yang tidak mampu ditunaikannya. Islam mengajar kita melaksanakan sesuatu mengikut kemampuan yang ada, tidak akan ditanya di akhirat mengapa kita tidak berjaya, akan tetapi apa yang ditanya kelak ialah mengapa tidak berusaha menunaikan amanah?

Menyedari besarnya amanah sebagai pemimpin, setiap individu yang menggalas tanggungjawab ini hendaklah sentiasa ingat bahawa semua perkara perlu kepada pergantungan kepada Allah SWT. Semua kelancaran tugas, kejayaan dalam mencapai matlamat tidak akan berhasil kecuali dengan taufik dan pertolongan Allah Ta’ala. Iltizam dalam kerja, kuatkan tawakkal dan pohonlah bantuan daripada Allah SWT.

Dalam perjalanan hidup insan, matlamat yang jelas merupakan satu perkara yang sangat penting kerana ia akan mendasari tindakan-tindakan yang dilaksanakan. Islam telah menggariskan beberapa matlamat utama yang perlu dicapai dan ia memerlukan satu system kepimpinan bagi memastikan pelaksanaan yang syar’ie dan jelas antaranya adalah;
  1. TUGAS SEBAGAI KHALIFAH Firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Baqarah, Ayat 30 yang bermaksud;
    Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat : “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi….”

    Para ulama’ menjelaskan bahawa tugas khalifah ialah meneruskan tugas Nabi dan Rasul dalam perkara memelihara agama dan mentadbir dunia dengannya(agama). Dalam takrifan ini, kita dapati dua perkara yang penting dalam tujuan kejadian manusia iaitu menjaga agama (amar maaruf nahi mungkar) dan mentadbir dunia (berdasarkan syariat Allah)

    Pengiktirafan manusia sebagai khalifah disertakan ‘peruntukan-peruntukan kuasa’ yang tertentu menjadikan tugas pemimpin untuk melaksanakan syariat merupakan satu tuntutan yang pasti. Pemimpin wajib melaksanakan syariat Allah sepenuhnya, kerana dengan cara ini sahaja kemakmuran akan dapat dikecapi.

    Pemimpin mestilah yakin untuk melaksanakan ajaran-ajaran Islam kerana ianya dijamin oleh Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali Imran, ayat 19 yang bermaksud;
    Sesungguhnya agama (yang diterima) di sisi Allah adalah Islam…”
  2. MENYAMBUNG TUGAS RASUL Bahawa Rasulullah saw merupakan utusan terakhir menegaskan tiada lagi pemimpin umat bertaraf rasul, namun tugas menegakkan syariat Allah merupakan kewajipan sepanjang zaman. Oleh itu, perlulah diwujudkan pemimpin di kalangan manusia itu sendiri untuk menyambung tugas para rasul yang terdahulu. Walaupun tugas para rasul ini sewajarnya diteruskan oleh semua umat Islam.
  3. IBADATULLAH (PENGABDIAN DIRI KEPADA ALLAH) Semua manusia adalah hamba Allah. Sama ada mereka orang biasa ataupun pemimpin mereka terletak di bawah tujuan mereka diciptakan seperti yang dinyatakan oleh firman Allah Ta’ala di dalam Surah az-Dzariat, ayat 56 yang bermaksud;
    Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku

    Imam Abu Yusuf r.a menulis kepada khalifah Harun ar-Rasyid menasihati beliau:
    “Wahai Amirul-Mukminin, sesungguhnya bagi Allah sahajalah segala pujian, yang telah mengangkat kamu melaksanakan urusan yang amat besar, pahalanya amat besar dan balasan seksanya pun amat besar….”

    Hal ini menunjukkan bahawa persoalan kepimpinan ini termasuk di dalam perkara ibadat yang menjadi sebahagian daripada hikmah kejadian manusia. Oleh itu, kepimpinan tidak boleh lari daripada persoalan dosa dan pahala, halal dan haram dan sebagainya.
  4. KEMASLAHATAN UMMAH Pemimpin hendaklah bertanggungjawab untuk memastikan hak-hak semua pihak terpelihara. Apabila keadaan ini dapat direalisasikan maka nasib ummat akan terbela dan maslahah akan terjaga. Ini adalah berdasarkan konsep keadilan di dalam Islam yang menuju ke arah keamanan sejagat dan kesejahteraan bersama.
Kesimpulannya, marilah kita berusaha bersama-sama menjadi pemimpin yang melaksanakan amanah kepimpinan seperti yang dituntut oleh Islam. Apabila kita melaksanakan tugas dengan penuh keadilan dan kerendahan diri kepada Allah S.W.T, maka yakinlah bahawa itu adalah merupakan usaha kita untuk merintis jalan ke syurga yang akan dapat dinikmati buat selama-lamanya. 

Justeru, kita hendaklah muhasabah diri, adakah telah sempurna amanah dan kepimpinan yang ditugaskan kepada kita? Mohonlah pertolongan dan bantuan Allah agar dipermudahkan segala urusan dalam melaksanakan beban amanah dan kepimpinan ini, demi keselamatan dan kemaslahatan hidup kita di dunia yang sementara ini dan akhirat yang kekal selama-lamanya.

Surah Al=Ahzab ayat 36 yang bermaksud;
Tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan wanita yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu keputusan mengenai sesuatu perkara, mereka mempunyai pilihan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata”. 

Sumber : Jabatan Agama Islam Selangor
http://pendita.com/2010/pemimpin-yang-amanah/

Comments

Popular posts from this blog