Melayu Perlu Kaya
Petikan Wawancara Dengan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary
JARUM jam sudah menjangkau tengah malam ketika dua wartawan Mingguan
Malaysia rancak menemu bual Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, tokoh
korporat Melayu yang latar hidupnya tidak begitu banyak diketahui.Isu
yang dibincangkan hanya satu – tentang sikap sesetengah korporat Melayu
berjaya yang keberatan turun ke bawah membantu anak bangsa.
Syed Mokhtar adalah salah seorang daripada orang Melayu berjaya yang
diketahui umum banyak menyumbang kepada pengembangan anak bangsa. Beliau
menubuhkan Yayasan Al-Bukhary yang antara projek utamanya ialah memberi
peluang pendidikan kepada anak-anak pintar yang kurang berkemampuan.
“Saya dulu tidak ada peluang. Setelah ada rezeki ini kenapa saya tidak
boleh tolong orang miskin yang boleh pergi jauh,” katanya yang
bersekolah setakat tingkatan lima.
Dalam wawancara ini, isu sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah
antara yang ditanya. Syed Mokhtar mengakui bahawa semua itu bukan untuk
dirinya sendiri sebaliknya beliau mahu meninggalkan warisan untuk anak
bangsa yang kekal berpanjangan.
Apakah rahsia kejayaan Tan Sri?
SYED MOKHTAR: Tidak ada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa,
budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama
saja, cuma proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya
sesiapa pun boleh menjadi apa saja asalkan mereka berusaha dengan tekun.
Tetapi tentulah ia memakan masa.
Saya sendiri melalui pahit maung dan merasai segala-galanya untuk sampai
ke tahap ini. Tidak ada jalan yang singkat. Saya belajar tentang
perniagaan ini dari kecil lagi, dan saya juga biasa kena tipu.
Saya juga mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang saya tidak
mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui
jalan susah tetapi itulah jalan yang kekal.
Tidak banyak peniaga Melayu yang buat macam Tan Sri – dapat empat permit
lori walaupun cuma mampu pakai dua, yang baki itu tidak dijual.
SYED MOKHTAR: Alhamdulillah, Tuhan tidak gerakkan hati saya buat
kerja-kerja itu. Saya yakin, insya-Allah dua buah lori lagi saya boleh
beli kalau saya rajin berusaha.
Saya percaya kalau perniagaan saya maju dan tidak cukup lori, saya tentu
kena minta lagi. Jadi walaupun hanya mampu beli dua buah lori, dua lagi
permit itu saya simpan untuk masa depan.
Maksudnya kena sabar menunggu?
SYED MOKHTAR: Memang kena banyak sabar dan kuat berusaha. Semasa
mula-mula berniaga dulu saya pun biasa kena tindas, bukan saja dengan
bangsa lain tetapi dengan orang Melayu yang dipergunakan.
Saya terpaksa bersaing dengan orang Cina yang sudah jauh lebih maju dan
boleh juga mendapatkan lesen daripada orang Melayu yang sanggup
menggadainya.
Semasa mula berniaga Tan Sri bekerjasama dengan orang Cina. Kenapa?
SYED MOKHTAR: Kita perlu menggunakan kepakaran mereka kerana mereka jauh
lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham, kita
berkongsi dengan mereka dengan tujuan untuk belajar daripada mereka.
Apabila sudah faham barulah kita boleh menjaga kepentingan kita.
Sampai sekarang saya masih berkongsi dengan orang Cina tetapi saya juga terlibat secara aktif dalam perniagaan itu.
Bagaimanakah lahirnya Yayasan Al-Bukhary ini?
SYED MOKHTAR: Apabila saya dapat rezeki sedikit ditambah pula dengan
didikan ibu bapa saya, saya mula menolong orang. Itulah juga punca saya
mewujudkan yayasan di Alor Star itu. Insya-Allah, harapan saya setelah
mati nanti yayasan itu tetap kekal dan terus memberi bakti.
Selain Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur saya juga buka pusat
tuisyen. Sebenarnya saya hendak buat sudah lama tetapi tiada siapa yang
sanggup hendak tengok-tengokkan sehinggalah saya dapat tahu Datuk Seri
Shukor Abdullah (bekas Ketua Pengarah Pendidikan) bersara. Saya cari dia
dan dia sanggup untuk melaksanakan hasrat ini. Ini daripada hati saya,
siapa pun tidak suruh.
Projek ketiga yayasan ialah Kompleks Al-Bukhary di Alor Star. Itu
asalnya tanah datuk saya dan masjid itu asalnya dia yang bina. Saya
sebenarnya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada
cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.
Maksudnya?
SYED MOKHTAR: Orang Melayu semuanya sama. Pendirian politik itu
terpulanglah kepada diri masing-masing. Dalam kompleks masyarakat itu
kita semua sama. Dalam soal kemajuan ummah kita mesti bersatu.
Prof. Diraja Ungku Aziz dalam satu wawancara sebelum ini menyebut bahawa
orang Melayu tidak berfikir seperti satu ummah. Orang Melayu
individualistik. Tan Sri nampaknya bukan dari golongan itu?
SYED MOKHTAR: Saya fikir soal parti adalah hak masing-masing. Apabila
hidup bermasyarakat, kita tidak sepatutnya mengasingkan ini orang UMNO,
ini orang Pas. Saya memberi bantuan hanya atas dasar sebagai orang
Islam. Soal ideologi atau perjuangan mana yang betul, hanya Allah yang
akan menentukannya.
Dalam menjayakan agenda Melayu, orang Melayu sendiri kena tolong orang
Melayu. Tidak guna kita buat seminar sana sini tetapi tidak mahu
menolong bangsa sendiri untuk jadi maju. Kita kena berusaha, baru orang
Melayu boleh jadi kuat.
Apabila kuat, kita tidak lagi ditindas. Jangan kita bercakap tentang
agenda Melayu dalam mana-mana perhimpunan tetapi selepas itu kita
senyap. Sepatutnya semua orang kena buat kerja, bukannya bercakap saja.
Apa pandangan Tan Sri kepada korporat Melayu yang tidak mahu tolong Melayu?
SYED MOKHTAR: Mereka mungkin tidak nampak ini sebagai kewajipan kerana
mereka tidak melalui kesusahan. Saya pun suka kepada kemewahan. Saya pun
suka pergi tengok dunia, ke Tokyo, New York dan London. Saya pun suka
pakai baju elok.
Tetapi kita ini hendak mewah setakat mana, hendak pakai baju banyak
mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun
sampai larat mana?
Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada
masa di bawah. Kita tidak boleh mengagung-agungkan diri kita sangat.
Masalahnya sekarang ada yang sudah ke atas tetapi tidak mahu turun ke
bawah.
Kenapa ini berlaku?
SYED MOKHTAR: Mungkin kerana kurang didikan dan nilai sehingga hidup
jadi terbawa-bawa. Tidak mengapa kalau mereka boleh hisap curut RM500.
Tetapi tidak semestinya bermakna mereka tidak boleh turun ke bawah
membantu orang.
Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok
mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita
tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa Dia boleh ambil balik.
Mereka bersikap begini boleh jadi kerana bayangan duit itu lebih kuat
daripada yang lain.
Ini berbeza dengan orang Cina yang ada pelbagai persatuan. Kita tidak
ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama
kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tidak mahu berusaha,
apabila orang lain usaha, mereka marah.
Inikah pegangan Tan Sri dari dulu lagi; rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain?
SYED MOKHTAR: Saya fikir memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena
keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam
agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu kalau ada duit yang
lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.
Tan Sri melihat menolong orang lain itu satu tanggungjawab?
SYED MOKHTAR: Apabila kita memberi kerja kepada orang lain, ia juga satu
amalan kerana kerja mendatangkan rezeki kepada mereka. Sekarang
kumpulan saya ada 36,000 pekerja. Ini satu tanggungjawab kepada saya,
bagaimana hendak menjadikan mereka ini maju, dapat bonus dan sebagainya.
Kalau Tan Sri tidak buat semua ini apa Tan Sri rasa?
SYED MOKHTAR: Saya akan rasa sedih kerana tidak banyak orang Melayu yang
tolong Melayu. Saya tidak kisah; saya boleh tidak buat apa-apa dan
balik ke Alor Star. Tetapi saya akan rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah
kata, kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab
depan mata kita tidak buat.
Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita
masih tidak buat apa-apa. Tetapi semua ini sebenarnya bukan mampu saya
buat seorang.
Saya ada emotional attachment kepada agama, negara, bangsa dan ummah.
Saya bukan individualistik. Diri saya tidak mustahak. Pangkat dan
gelaran ini kepada saya tidak mustahak.
Kalau saya dulu tidak dapat peluang belajar tinggi, kenapa pula saya
hendak sekat peluang orang lain? Lagipun saya datang daripada golongan
itu. Kalau ada rezeki lebih sedikit takkan saya sanggup lupakan mereka.
Tan Sri mengharapkan lebih ramai lagi orang Melayu yang berjaya seperti Tan Sri?
SYED MOKHTAR: Saya kadang-kadang sedih apabila media tonjolkan saya
begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda
daripada saya.
Tetapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat,
tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang Tuhan beri melebihi
daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.
Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya
belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya
mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang
Melayu kena atasi.
Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.
Apakah yang selalu Tan Sri fikirkan?
SYED MOKHTAR: Saya selalu fikir bagaimana hendak mengekalkan kumpulan
ini untuk masa depan; bagaimana hendak menjalankan semua projek di bawah
yayasan.
Sebahagian daripada keuntungan kumpulan ini saya khaskan kepada kos
operasi Yayasan Al-Bukhary yang akan menempatkan 3,000 pelajar dari
negara-negara Islam – 70 peratus pelajar antarabangsa, 20 peratus
pelajar kita dan 10 peratus bukan Islam.
Kita memberikan fokus kepada soal pendidikan anak bangsa. Kelas tuisyen
itu boleh dikatakan 100 peratus untuk anak Melayu. Universiti itu pula
adalah untuk pelajar-pelajar yang cerdik tetapi tidak ada kemampuan.
Kita akan ambil mereka dan beri bantuan seratus peratus. Kita mahu
mereka menjadi profesional yang apabila tamat pengajian boleh pulang ke
negara masing-masing dan membantu masyarakat mereka pula.
Salah satu masalah ekonomi orang Melayu ialah pengangguran di kalangan
siswazah. Dalam hal ini misalnya apakah yang boleh Tan Sri lakukan?
SYED MOKHTAR: Saya telah meminta kumpulan kami mengkaji masalah ini dan
mengambil sekumpulan mereka bekerja dan memberikan latihan. Insya-Allah
kami akan sentiasa mencari perniagaan baru, mungkin daripada swasta atau
kerajaan. Kalau daripada kerajaan orang mungkin akan menjadikannya
sebagai isu lagi.
Tetapi kalau kita terus mencari peluang dan perniagaan lain kita akan
terus dapat membantu orang lain untuk mengembangkan diri masing-masing.
Saya bukan buat semua ini untuk diri saya sendiri semata-mata.
Laporan-laporan tentang Tan Sri selama ini, itu maksudnya bukanlah untuk mengembangkan kekayaan peribadi?
SYED MOKHTAR: Diri saya tidak mustahak. Kalau saya hendak ambil alih
mana-mana syarikat pun saya mesti ada kemampuan untuk menguruskannya.
Orang tidak tahu bahawa apabila saya mengambil sesetengah syarikat itu
ia sebenarnya dapat menyelamatkan berpuluh-puluh ribu keluarga
pekerjanya yang sebahagian besarnya ialah orang Melayu.
Tetapi apabila saya mengambil alih syarikat-syarikat itu orang bertanya
apakah tidak ada orang lain selain daripada Syed Mokhtar?
Orang tidak bercakap tentang hal-hal di belakang itu.
SYED MOKHTAR: Perkara yang elok lambat orang tahu. Saya ini ada dibenci
orang. Orang kata saya tamak, ambil semua peluang yang ada dan hendak
jadi kaya seorang. Kaya apa?
Kaya itu bukanlah pada diri saya. Kaya itu adalah kepada kumpulan
perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya
memegangnya untuk sementara saja.
Saya tidak ada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan
isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara baik yang
kita lakukan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti
tetapi apa yang saya lakukan sekarang.
Apakah yang orang tidak tahu tentang syarikat-syarikat yang Tan Sri miliki itu?
SYED MOKHTAR: Sesetengah daripada syarikat itu bermasalah; saya membeli
untuk menyelamatkannya daripada jatuh ke tangan bangsa lain atau orang
Melayu sendiri yang boleh membawa lebih kerosakan. Saya tidak
menggadaikan hak dan kepentingan orang kita.
Tetapi kerja saya bukan beli syarikat. Saya ada perniagaan sendiri –
syarikat lori dan beras. Alhamdulillah, Tuhan memberikan saya kekuatan
untuk ke depan apabila ada peluang.
Walaupun sesetengah syarikat itu bermasalah tetapi saya melihatnya
sebagai satu peluang juga – bagaimana hendak mengubahnya. Tetapi saya
tidak pernah ambil daripada mulut orang Melayu lain; sudah hendak sampai
ke kerongkong saya ambil, saya tidak buat begitu.
Apa yang saya dapat ini adalah daripada usaha saya sendiri. Ada juga
yang saya usaha tetapi tidak dapat dan orang tidak tahu. Apa yang saya
dapat itu pula yang menjadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua.
Saya tidak pergi cari mana syarikat hendak saya beli. Saya percaya kalau
rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk
orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini
gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.
Orang tidak tahu bagaimana saya rugi lebih RM2 bilion dalam pelaburan
semasa kegawatan 1997 semata-mata kerana hendak melindungi 30 peratus
kepentingan orang Melayu.
Setiap kali mendapat rezeki daripada Tuhan, apakah yang Tan Sri rasakan?
SYED MOKHTAR: Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok, bukan lebai
pondok. Tetapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu kita minta terus
daripada Tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai
baju dan seluar biarlah padan dengan badan.
Orang kata saya tidak ada duit tetapi banyak hutang. Orang berniaga mana
yang tidak berhutang. Tetapi kita mesti tahu bagaimana hendak meminjam
dan membayarnya semula. Ada cara kita boleh buat.
Kalau beratus-ratus orang Cina dalam bandar boleh buat kenapa saya orang
Melayu tidak boleh? Tetapi kerana saya Melayu orang menjadikannya
sebagai satu isu. Inilah masalahnya.
Tidak ada salahnya berhutang kalau berniaga. Tetapi sebelum berhutang
RM100 juta kita mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik.
Mesti ada tanggungjawab. Soal tanggungjawab ini yang banyak orang tidak
sanggup pikul. Banyak orang mahu senang tetapi tidak ramai yang mahu
bertanggungjawab.
Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab. Kalau
hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya tidak ada apa.
Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.
Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh
berkongsi sama. Emak saya mengajar: Kalau dapat lebih, beri lebih; kalau
kurang, beri kurang.
Saya sangat berterima kasih kepada emak saya yang ambil setengah
daripada duit pertama saya dulu. Kalau tidak mungkin saya sudah ke
Haatyai dan jadi nakal.
Saya manusia yang banyak juga melakukan kesilapan. Tetapi saya insaf,
beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu
mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu. Saya kata kepada diri sendiri
kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.
Adakah Tan Sri rasa keseorangan melakukan semua ini?
SYED MOKHTAR: Saya fikir banyak orang yang buat begini juga tetapi
dengan cara mereka sendiri. Insya-Allah kita berdoa mereka akan buat
lebih lagi pada masa akan datang.
Saya buat apa yang tergerak dalam hati dan apa yang boleh dicapai oleh
tangan. Saya juga insaf bahawa diri saya tidak kekal; saya hanya seorang
hamba Allah yang kalau ditakdirkan hidup sehingga 70 tahun umur saya
hanya tinggal 17 tahun saja lagi.
Oleh itu saya suka melakukan perkara yang kekal dan berterusan seperti
yayasan ini. Kalau bangsa lain boleh ada macam-macam yayasan kenapa
tidak kita? Apa yang penting ialah komitmen. Pendekatan saya selari;
sambil mencari rezeki saya juga menyumbang semula kepada masyarakat.
Saya sendiri tumpang seronok melihat orang lain mendapat kesenangan daripada sedikit apa yang saya ada ini.
Tan Sri seronok melihat orang lain dapat berkembang hasil daripada rezeki yang Tan Sri nikmati?
SYED MOKHTAR: Ya. Kekayaan ini Tuhan beri kepada saya untuk saya
menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari
ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara
yang lain.
Harapan Tan Sri kepada orang Melayu lain yang juga sudah berjaya?
SYED MOKHTAR: Insya-Allah, kebanyakan orang Islam ini baik-baik, ada
niat yang baik. Bukan mereka tidak mahu menolong tetapi mungkin masanya
belum sampai atau Tuhan belum menggerakkan hati mereka lagi. Mungkin
juga mereka ada masalah maklum saja selepas tahun 1997 masih belum
banyak yang pulih semula.
Saya sendiri sambil berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal
jariah. Saya berdoa apabila nanti saya pejam mata masa itu juga hutang
pun habis, perniagaan dan amal jariah pun sama-sama berjalan elok.
Saya tidak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya
takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tidak sempat buat.
Kepada orang Melayu yang sanggup hisap curut RM500 tetapi susah hendak
tolong orang lain, apakah yang hendak Tan Sri katakan kepada mereka?
SYED MOKHTAR: Kalau mereka hendak hisap curut, pakai kereta Porsche atau
duduk rumah besar, tak apa. Cuma ingat-ingatlah juga tanggungjawab
untuk membantu anak bangsa.
Kita tidak boleh marah kepada mereka. Kita ingat-ingatkan saja.
Kebanyakan mereka itu orang yang bagus-bagus; mungkin terbawa-bawa saja.
Kepada saya ini masalah kecil saja. Masalah yang lebih besar ialah diri
kita sendiri. Orang Melayu kena yakin dan berusaha untuk terus
memajukan diri.
Harapan Tan Sri kepada orang Melayu keseluruhannya?
SYED MOKHTAR: Peluang kita semua sama; saya tidak dapat lebih dan tidak
dapat kurang. Cuma satu saja saya minta daripada orang Melayu: Beri masa
sedikit kepada apa yang hendak diusahakan.
Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa
untuk faham selok-belok perniagaan, insya-Allah boleh maju.
Mereka juga kena fokus, majukan diri dan selalu meningkatkan kemahiran.
Kalau sudah maju dan hendak mempelbagaikan perniagaan, masa itu tidak
mengapa.
Kita juga jangan cepat berputus asa. Putus asa boleh tetapi kena
cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Kita juga
jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila
kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.
Bolehkah orang Melayu maju?
SYED MOKHTAR: Tidak ada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh maju. Ini
saya berani perang dengan sesiapa pun kalau ada yang mengatakan orang
Melayu tidak boleh maju. Cuma nasihat saya kalau hendak jadi apa pun,
jadilah yang terbaik dalam bidang masing-masing sehingga kukuh bertapak.
Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam
semangat suatu hari mahu ambil alih akhbar itu. Tidak ada sebab kenapa
ia tidak boleh berlaku.
Cara hidup Tan Sri bagaimana?
SYED MOKHTAR: Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan
sini. Tetapi tidak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang
Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh
naik dan turun. Jangan amalkan cara hidup yang tidak boleh ada
fleksibiliti.
Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tetapi
sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta
itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.
Saya juga tidak bermain golf kerana kepada saya ia memakan banyak masa.
Tetapi tidak semestinya orang yang main golf itu tidak bagus atau orang
yang tidak main itu lebih bagus.
Saya pun tidak ada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya
fikir kalau saya beli sesuatu benda yang mahal, biarlah orang ramai
boleh pakai. Saya suka kalau orang ramai mendapat nikmatnya.
Tetapi pada masa akan datang tidak tahu lagi. Kalau panjang umur saya
berniaga ke negara-negara lain dan ketika itu saya memerlukan, mungkin
saya akan beli juga kapal terbang. Setakat ini Proton Perdana sudah
memadai.
SYED MOKHTAR: Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang
boleh memberikan kesan psikologi yang negatif kepada orang Melayu. Kita
kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Jangan
kita memberikan gambaran bahawa ini sebenarnya yang perlu mereka buat.
Sesiapa pun memang mahu semua itu tetapi bukan itu matlamatnya.
Kita kena tekankan hal-hal yang positif tentang orang Melayu. Orang
Melayu boleh jadi yang terbaik dalam apa juga bidang kerjaya mereka. Itu
yang perlu kita lakukan.
Adakah Tan Sri puas hati dengan apa yang sudah dilakukan ini?
SYED MOKHTAR: Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu
beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak
ada air segelas, ada setengah gelas pun saya bersyukur.
Apakah yang Tan Sri rasa apabila melihat orang yang menerima bantuan daripada yayasan ini?
SYED MOKHTAR: Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan
dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak
boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak
buat langsung.
Saya gembira dapat membantu. Kalau saya boleh beli seekor lembu untuk
sebuah kampung yang sudah lama tidak makan daging, saya rasa gembira.
Saya rasa seronok dapat bawa anak-anak dari luar datang ke Kuala Lumpur,
tengok lampu-lampu yang cantik.
Saya tahu bagaimana perasaannya. Saya mahu orang lain merasai apa yang
saya pernah rasa. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya
mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan kita beri kurang daripada
itu, lebih tidak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.
Tan Sri tentu rasa boleh menyumbang lebih lagi daripada ini?
SYED MOKHTAR: Memang itulah yang selalu saya rasa. Saya kata kepada
kawan-kawan apa yang kita buat ini baru warm-up saja; kita belum
berjalan lagi. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.
Insya-Allah, kalau orang Melayu lain boleh bersama-sama membantu
tentulah lebih baik. Ayah saya kata, guni beras kalau seorang pikul
memang berat tetapi kalau ramai-ramai kita pakat pikul ringan jadinya..
Jadikan iktibar...
http://es4ummah.blogspot.com/
Comments
Post a Comment