Nasib Islam selepas PRU13
(Buka Minda Sinar Harian 6
Apr 2013)
Ketika artikel ini
ditulis dan dihantar kepada Sinar Harian (Jumaat), kempen PRU13 masih rancak
berjalan. Bermakna, apabila artikel ini diterbitkan (Buka Minda - Isnin),
keputusan PRU13 telahpun diketahui malam tadi. Tahniah! Kepada yang menang.
Kepada yang kalah, cuba lagi. Menang atau kalah, buatlah muhasabah diri (parti) atau analisa SWOT perlu
dilakukan bagi menilai kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman.
Analisis awal yang
dapat saya lakukan adalah, siapapun yang menang, tidak banyak manfaat untuk
agama Islam dan umatnya. Meskipun agama suci ini termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan. Ketika kempen, kita asyik meraikan orang lain. Agenda memperkasakan
Islam jarang kedengaran.
Kita lebih obses
dengan tuntutan ultra kiasu. Apa yang mereka mahu semua kita beri. Nasib baik kita
tidak menjanjikan bulan dan bintang. Jika tidak, itupun kita akan beri. Lebih
menyedihkan, sehingga perkara yang sudah dilupakan dan tidak dituntut lagi pun kita
beri. Malah, ada projek pembangunan yang sedang berjalan terpaksa dibatalkan,
gara-gara mahukan undi. Apakah kita berada di landasan yang betul?
Lebih ekstrim lagi, mereka
meminta supaya surat jaminan segera dikeluarkan sebelum hari pengundian. Jenis
manusia apakah ini? Tidak pernah bersyukur. Ini bukan lagi ultra kiasu, tetapi
sudah ultra paisi (jahat).
Pilihan raya adalah
medan untuk rakyat memilih yang siapa yang terbaik, bukan memberikan bulan dan
bintang kepada mereka. Negarawan sepatutnya mempertahan dan memperkasakan
kepentingan semua, terutama perkara-perkara asas bernegara. Negarawan harus
tegas dalam membuat keputusan, berani menghadapi risiko, selagi mana keputusan
dibuat untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.
PRU13 hanya alat,
menang atau kalah, itu perkara biasa. 5 tahun lagi, kita bersua kembali. Apa
yang penting agenda agama, bangsa dan negara mesti berjalan dan dihormati. Apa
guna menang PRU13, jika agama dan umat Islam masih merempat menagih simpati di
buminya sendiri.
Saya tidak dengar
ketika kempen, sekolah agama diberikan keutamaan, berbanding sekolah lain
(vernacular). Saya bukanlah orang agama (ustaz), tetapi saya sangat sayangkan
agama, kerana itulah darah daging kita. Hidup mati untuk agama. Agama
terdaulat, bangsa terdarjat, negara berdaulat. Namun, jika agama merempat,
bangsa dilaknat, negara tidak berkat.
Saya teramat sedih membaca
kempen MCA dalam iklan akhbar the Star sepanjang hari berkempen. Terang-terang
menghina agama Islam. Walaupun ditujukan kepada PAS (PR), tetapi perkara
tersebut merupakan perkara asas Islam seperti cuti pada hari Jumaat, larangan
arak dan judi, pengasingan lelaki perempuan dalam kolam renang dan saloon,
panduan berpakaian dan sebagainya.
Pada saya, jika
Kelantan dan Kedah ingin melaksanakan perkara asas tersebut, itulah adalah hak
dan wajar. Lagipun majoriti umat Islam berada di sana. Bilangan bukan Islam
amat sedikit. Hak majoriti mesti dipertahankan jika itu yang mereka mahu dan
disyariatkan. Bandingkan dengan minoriti Cina Islam di negeri China, adakah
mereka dapat hak-hak Islam mereka dilaksanakan? Saya harap MCA sedar diri.
MCA ternyata semakin
kurang ajar, mempermainkan isu ini. Mereka sepatutnya tahu membezakan antara
menyindir PAS dengan menyindir Islam. Perlu dibuat berhati-hati. Jangan sampai mahu
menyindir PAS, sehingga menghina Islam.
Saya harap UMNO
dapat menegur rakan parti komponen ini. Sedarkan mereka, jangan sentuh kesucian
Islam. MCA boleh mengkritik PAS. Tetapi, perlu diingat, jika ada perkara yang
dibawa PAS merupakan perkara asas dalam kehidupan beragama, jangan sama sekali
berani mempermainkan agama wahyu ini.
Begitu juga dengan PAS, agenda hudud PAS
ditolak mentah-mentah oleh DAP. Malangnya, PAS sanggup berkompromi dengan
mengatakan hudud hanya agenda PAS bukan agenda PR. Jika begitu, bagaimana PAS
mahu melaksanakan hudud jika PR berjaya memerintah. Adakah hudud untuk orang
PAS sahaja, manakala demokrasi untuk DAP dan PKR. Bolehkah negara diperintah
oleh dua sistem? Sekalipun PAS berjaya dengan agenda hududnya bagaimana orang
Islam yang ada dalam PKR dan DAP. Apakah mereka akan terkecuali dari hudud?
DAP dan semua bukan
Islam sudah tahu, bahawa hudud bukan untuk mereka. Hudud hanya untuk orang
Islam sahaja. Persoalannya, kenapa mereka masih menentang? Saya simpulkan,
mereka tidak mahu apa jua perkara dikaitkan dengan Islam. Mereka mahukan negara
ini menjadi sekular dan beridentitikan mereka.
Mereka sengaja
memejamkan mata bahawa negara ini asalnya bertuankan ketuanan Islam dan Melayu.
Melalui pemahaman agama Islam jugalah yang menyebabkan orang Melayu menerima
mereka di sini dan hak-hak mereka terjamin. Jika orang Melayu tidak beragama
Islam, saya tidak fikir, orang Melayu mahu menerima orang bukan Islam berada di
sini. Nasib mereka mungkin sama seperti minoriti umat Islam di China dan India.
Saya ingin menasihat
umat Islam, apabila berpolitik, ingat Tuhan. Umat Islam mesti tahu hak-hak
mereka di bumi mereka sendiri. Apatah lagi untuk memartabatkan agama dan
bangsanya. Peliknya, orang lain bergaduh juga. Namun, hak mereka terjamin dan
terjaga. Kita pula, bergaduh setiap masa dan sepanjang masa, malangnya hak
semakin hilang dan terhakis.
http://ridhuantee.blogspot.com
Comments
Post a Comment