Bersentuhan antara suami isteri batal wudhu atau tidak?

 

Soalan:
Drpd: Nazro

Salam Ustaz, Saya ingin mengetahui tentang wuduk. Adakah batal wuduk itu bila bersentuhan antara suami & isteri. Ada yang berpendapat batal wuduk itu dan ada yang tidak batal.


Jawapan:

Oleh: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Dalam masaalah ini para ulama berbeza pendapat kepada 3 golongan:


1. Berpandangan menyentuh atau bersentuhan antara lelaki dan wanita (termausk suami dan isteri) membatalkan wudhu dalam apa keadaan sekalipun, samaada sentuhan itu beserta syahwat ataupun tidak. Inilah pandangan mazhab al-Imam al-Syafie R.H.

Dalilnya mazhab pertama antaranya:

i- Ayat al-Quran:

أَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسَاء

Maksudnya: “Atau kamu menyentuh wanita.” – maka kamu perlu mengambil wudhu.

2. Berpandangan menyentuh wanita tidak membatalkan wudhu samaada sentuh dengan syahwat ataupun tidak. Ini adalah pandangan dalam mazhab Hanafi R.H.

Dalil mazhab kedua antaranya:

i. Hukum asal orang yang berwudhu adalah kekal wudhunya selama-mana tidak ada dalil yang menunjukkan sesuatu perkara yang dilakukannya itu membatalkan wudhunya. Maka dalam bab menyentuh wanita ini tidak ada dalil yang menunjukkan ia membatalkan wudhu. Adapun tentang ayat di atas, mazhab Hanafi memahami ianya membawa maksud bersetubuh bukan bersentuhan dalam ertikata kulit dengan kulit semata-mata. Selain itu terdapat hadith yang menunjukkan bersentuhan semata-mata tidak membatalkan wudhu, dan hadith-hadith ini menguatkan lagi pandangan mazhab Hanafi yang mengatakan maksud sentuhan di dalam ayat di atas adalah dimaksudkan kepada jima’ atau bersetubuh. Hadith-hadith tersebut ialah:
ii. Daripada ‘Aisyah R.’anha:

كُنْتُ أَنَامُ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرِجْلَايَ فِي قِبْلَتِهِ فَإِذَا سَجَدَ غَمَزَنِي فَقَبَضْتُ رِجْلَيَّ فَإِذَا قَامَ بَسَطْتُهُمَا

Maksudnya: “Aku pernah tidur dihadapan Rasulullah S.A.W. dalam keadaan dua kaki-ku di hadapan kiblat baginda (dan baginda sedang menunaikan solat), lalu apabila baginda hendak sujud, baginda memegang kaki-ku, lalu akupun menarik kaki-ku (untuk membolehkan baginda sujud), apabila baginda bangun, aku lunjurkan semula dua kaki-ku tadi.” (HR al-Bukhari)

iii. Daripada ‘Aisyah juga:

فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً مِنْ الْفِرَاشِ فَالْتَمَسْتُهُ فَوَقَعَتْ يَدِي عَلَى بَطْنِ قَدَمَيْهِ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ وَهُمَا مَنْصُوبَتَانِ وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ


Maksudnya: “Aku kehilangan Rasulullah S.A.W. pada suatu malam di tempat tidur-ku, aku meraba-raba mencari baginda, lalu dua tanganku tersentuh belakang kakinya, dan baginda di dalam masjid (sedang sujud menunaikan solat), kedua-dua kaki baginda itu ditegakkan, dan baginda membaca: “Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan keredhaan-Mu dari kemurkaan-Mu, dan dengan kemaafan-Mu dari kemuerkaan-Mu.” (HR Muslim)

Zahir dari kedua-dua hadith ini jelas menunjukkan Nabi S.A.W. pernah menyentuh ‘Aisyah R.A. ketika baginda menunaikan solat. Demikian juga ‘Aisyah R.A. juga pernah menyentuh Nabi S.A.W. ketika baginda menunaikan solat. Jika sentuhan antara lelaki dan wanita itu membatalkan wudhu sudah tentu Nabi S.A.W. akan membatalkan solatnya disebabkan wudhu baginda terbatal kerana baginda telah disentuh oleh ‘Aisyah.

Para ulama dari mazhab al-Syafie mengemukan jawapan terhadap hadith ini. Namun jawapan mereka dianggap lemah oleh ulama mazhab lainnya, iaitulah mereka berpendapat barangkali sentuhan yang berlaku antara Nabi S.A.W. dan ‘Aisyah itu berlaku dengan berlapik. Alasan ini dianggap lemah oleh ulama mazhab lainnya, sehingga al-Syaukani berkata: “Takwilan ini merupakan takalluf dan bersalahan dengan zahir (dalil).”

3. Berpendapat bersentuhan antara lelaki dan perempuan dengan syahwat membatalkan wudhu jika tanpa syahwat tidak membatalkan wudhu. Ini adalah mazhab Malik dan Hambali.

Pandangan ini merupakan hasil daripada menggabungkan antara nas-nas yang ada dalam masaalah ini, iaitu ayat al-Quran yang bermaksud: “Atau apabila kamu menyentuh wanita (kamu perlu berwudhu)” kerana zahir ayat ini menunjukkan seolah-olah batal wudhu dengan hanya bersentuhan antara lalaki dan wanita, dengan hadith-hadith yang menunjukkan berlakunya persentuhan antara Nabi dan ‘Aisyah, dan baginda tidak memperbaharui wudhu.

Sebahagian ulama, terutama yang berpendapat tidak batal wudhu dengan bersentuhan antara lelaki dan wanita berpendapat, cara menggabungkan nas-nas seperti yang dilakukan oleh ulama mazhab Malik dan Hambali ini benar jika ayat al-Quran di atas memaksudkan dengan bersentuhan itu adalah semata-mata bersentuhan antara kulit. Akan tetapi terdapat penafsiran yang sahih yang menunjukkan ayat tersebut memaksudkan jima’ atau bersetubuh bukan semata-mata bersentuhan. Ini sepert yang ditafsirkan oleh Ibn Abbas R.A. dan penafsiran ini dipilih oleh Ibn Jarir, dan penafsiran Ibn ‘Abbas ini didahulukan berbanding penafsiran lain, kerana Nabi S.A.W. pernah berdoa kepada Ibn ‘Abbas dengan doa baginda yang berbunyi:


اللهم فقّهه في الدين وعلمّه التأويل


Maskudnya: Ya Allah fakihkanlah ia (Ibn ‘Abbas) dalam hal-ehwal agama dan ajarkanlah dia tafsir (al-Quran).” (HR Ahmad, al-Albani telah mensahihkan hadith ini di dalam Tahkik al-Tohawiah)

Selain itu banyak ayat al-Quran lain yang menggunakan kalimat menyentuh (المس) dengan maksud jima’ atau bersetubuh, antaranya firman Allah S.W.T.:


لاَّ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن طَلَّقْتُمُ النِّسَاء مَا لَمْ تَمَسُّوهُنُّ أَوْ تَفْرِضُواْ لَهُنَّ فَرِيضَةً


Maksudnya: “Tidak mengapa jika kamu mentalak isteri kamu sebelum kamu menyentuh (yakni membawa maksud bersetubuh) mereka atau sebelum kamu menentukan mahar mereka.” (al-Baqarah : 236)

Di dalam ayat yang lain Allah berfirman:


وَإِن طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ


Maksudnya: “Jika kamu mentalak isteri-isteri kamu sebelum kamu menyentuh (yakni membawa maksud bersetubuh), pada hal kamu telah menentukan mahar mereka, maka bayarlah setengah daripada mahar yang telah kamu tentukan itu.” (al-Baqarah: 237)

Di dalam ayat yang lain lagi Allah berfirman dengan menggunakan kalimah menyentuh dengan maksud bersetubuh:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا


Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi wanita-wanita yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuh (yakni sebelum kamu menyetubuhi) mereka, maka tidak wajib ke atas mereka iddah bagi mu yang kamu minta menyempurnakan nya, maka berilah mereka mut’ah dan lepaskan lah mereka itu dengan cara yang sebaik-baiknya.” (al-Ahzab: 49)

Berdasarkan ini semua, maka pandangan yang lebih kuat dan lebih hampir kepada maksud yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul dalam persoalan ini adalah pandangan mazhab Hanafi yang mengatakan tidak batal wudhu dengan bersentuhan antara lelaki dan wanita. Inilah juga pandangan yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, dan ulama semasa seperti al-Syeikh Abdullah ‘Aziz Abdillah bin Baz, al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, para ulama dari Lujnah Fatwa Arab Saudi dan ramai para ulama yang lain lagi.

Wallahu a’lam. bs.


 
 
ULASAN PEMILIK BLOG INI (APANAMA)
 
Kita umat Islam di Malaysia yang bermazhab Shaffie, maka adalah batal wuduk bersentuhan antara suami isteri kalau tidak berlapik.
==============================================

PANDANGAN YANG LAIN

Photobucket

Adakah Terbatal Wuduk Suami & Isteri Bersentuhan Kulit


Salam Maulidur Rasul kepada semua, semoga kita semua dapat menghayati pengorbanan dan menghayati perjuangan Rasulullah untuk menegakkan Islam di muka bumi ini. Saya doakan semoga sihat dan sukses dalam semua perkerjaan dunia dan akhirat. Persoalan yang di kemukakan kepada saya mengenai suami dan isteri bersentuhan ketika wuduk, adakah sah atau terbatal wuduk mereka?

Jawapan dari persoalan itu ialah, menurut mazhab syafie adalah terbatal secara mutlak (tanpa syarat dan kiasan). Hujah yang dikemukakan ini adalah disandarkan kepada dalil Al-Quran yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (Al-Maidah : 6)

Dari dalil di atas ini, mazhab syafie mentafsirkan perkataan lamastum ialah bermaksud bersentuhan antara lelaki dan perempuan termasuk suami dan isteri. Dalam masalah ini ada pendapat dari mazhab-mazhab lain berbeza pandangan mereka dengan mazhab syafie. Antaranya ialah :
  1. Mazhab hanafi mentafsirkan perkataan lamastum adalah bermaksud jimak bukan bermaksud bersentuhan. Maka mereka mengatakan bahawa bersentuhan suami isteri tidak terbatal.
  2. Mazhab maliki menyatakan bersentuhan kulit antara suami isteri dengan keadaan bersyahwat atau talazuz (bersedap-sedap) maka batal wuduknya, tetapi jika bersentuhan tanpa syahwat tidak batal wuduknya.
  3. Syiah berpendapat tidak terbatak wuduk antara suami dan isteri, kerana mereka ini telah menjadi muhrim disebabkan perkahwinan diantara mereka.
Kesimpulan dari huraian di atas ini, saya berpendapat bersentuhan antara suami dan isteri terbatal wuduknya, kerana negara kita telah menetapkan mazhab syafie sebagai pegangan, maka kita perlulah menjadikannya sebagai pegangan dalam menentukan sesuatu hukum, ini penting kerana ramai rakyat Malaysia ini jahil dan tidak mendalami ilmu agama dengan sepatutnya. Ini juga penting untuk mengelakkan perbalahan di dalam masyarakat. Kecuali apabila kita ditimpa dharurat atau musibah. Pendapat mazhab syafie lagi menyatakan tidak terbatal wuduk antara suami dan isteri apabila menyentuh kuku, gigi dan rambut.


http://www.ustaznoramin.com/2010/02/adakah-terbatal-wuduk-suami-isteri.html
 

 

Comments

Popular posts from this blog