MARI KITA PERBANYAKKAN SELAWAT KE ATAS NABI MUHAMMAD S.A.W ! KITA CONTOHI JUGA SIFAT DAN AMALANNYA !

LF kali ini mahu mengajak diri dan ahli-ahli keluarga LF sendiri, juga para pembaca budiman yang kesudian, untuk sentiasa berselawat dengan penuh keikhlasan ke atas Junjungan Nabi Muhamad s.a.w.

Rasulullah s.a.w diutuskan oleh Allah s.w.t. ke dunia ini untuk memimpin umat manusia ke jalan yang selamat di dunia dan akhirat. Dengan itu, kita seharusnya sentiasa ingat bahawa Baginda Rasul s.a.w. adalah rahmat yang tak ternilai harganya untuk kita dan sekelian alam. Allah s.w.t. ada menyebut di di dalam surah Al-Anbiya ayat 107
‘Dan tidaklah kami utuskan engkau wahai Muhammad melinkan sebagai rahmat untuk sekelian alam’
MAKSUD SELAWAT DAN TINGKATAN SELAWAT
Apa maksud SELAWAT? Sudut bahasa, selawat bererti doa, rahmat dari Allah, memberi berkah dan ibadat. Dalam pengertian yang lebih luas, berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. bererti memperbesar, mengagung serta mendukung perjuangannya yang mulia, di samping melahirkan rasa syukur atas perutusannya yang menjadi rahmat seluruh alam ini, malah menambahkan keyakinan beramal dengan sunnahnya yang diredhai Allah s.w.t.
Selawat ke atas Nabi s.a.w. terbahagi kepada tiga tingkatan iaitu:
1. Selawat Allah s.w.t. kepada Nabi dan Rasul-Nya istimewa kepada Nabi Muhammad s.a.w., bererti Allah s.w.t. memberi rahmat, memuji dan melahirkan keutamaan serta mendekatkan Nabi Muhammad s.a.w. kepadaNya.
2. Selawat para Malaikat kepada para Nabi dan Rasul serta Nabi Muhammad s.a.w. bererti para malaikat mendoakan atau memohon rahmat kemuliaan serta keampunan.
3. Selawat manusia kepada Nabi Muhammad s.a.w. bererti mengakui kerasulannya, memohon kepada Allah melahirkan keutamaan, kemuliaan dan mengakui serta mengikuti kebenaran ajaran yang dibawanya.
Di dalam kitab suci Al Quran, Allah s.w.t. berfirman dalam surah Al Ahzab, ayat 56, yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan kepadanya"
KELEBIHAN SELAWAT
Banyak kelebihan yang diperolehi apabila kita berselawat dengan penuh keikhlasan ke atas Nabi s.a.w. ANTARANYA, sepertimana yang dijelaskan dalam keterangan berikut:
1. Sabda Nabi s.a.w. dengan maksud:
“Barang siapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat, nescaya Allah s.w.t. akan berselawat ke atasnya sepuluh kali” (Hadith riwayat Imam Muslim)
2. Rasulullah s.a.w. ada bersabda dengan maksud:
“Orang yg lebih baik disisiku di hari kiamat adalah org yg paling banyak selawatnya kepadaku” (Hadis riwayat Tirmizi)
3. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Hari yang terbaik bagi kamu adalah hari Jumaat; jadi perbanyakkan selawat pada hari tersebut. Maka sesungguhnya selawat yang kamu ucapkan akan dibentangkan kepadaku. Para sahabat bertanya "Bagaimana pula selawat kami dibentangkan kepadamu sedangkan tubuhmu sudah hancur." Beliau bersabda "Sesungguhnya bumi tidak makan jasad anbiya" (Hadis Riwayat Abu Daud)
4. Sabda Rasulullah s.aw yang bermaksud:
“Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat” (Hadis riwayat Tabrani)
5. Sabda Nabi s.a.w : “ Dari Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda dengan maksud:
“Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan dan berselawatlah kepadaku , maka sesungguhnya bacaan selawatmu itu akan sampai kepadaku di mana sahaja kamu berada” ( Hadis riwayat Abu Daud )
Jelas sekali melafazkan selawat ke atas Nabi Muhamad s.a.w. adalah suatu ibadah yang terpuji yang amat disukai oleh Allah s.w.t dan para malaikatNya serta sangat dianjurkan sebagai suatu penghormatan dan memohon rahmat kepada Nabi s.a.w.
LAFAZ SELAWAT KE ATAS NABI S.A.W.
Sebagai umatnya marilah kita sama-sama membanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w. Ucapan kasih kita itu kepada Baginda s.a.w semestinya tidak sekadar ucapan yang hanya indah di bibir.
Terdapat banyak lafaz selawat ke atas Nabi s.a.w. Setakat beberapa contoh:
1.

2.


Maksudnya:

"Ya Allah selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarga Baginda seperti Engkau kurniakan kepada Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Terpuji dan Yang Maha Mulia. Ya Allah, berkatilah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarga Baginda seperti telah yang Engkau berkati ke atas Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Terpuji dan Yang Maha Mulia".

3. Apabila kita mendengar orang menyebut Rasulullah atau apa-apa nama baginda, maka hendaklah kita berselawat ke atas Baginda iaitu “Sallallahu alaihi wa sallam”. Bagi mereka yang tidak mengendahkan selawat ke atas Baginda s.a.w. digolongkan dalam golongan yang bakhil dan rugi.

WAKTU DAN TEMPAT BERSELAWAT

Terdapat banyak hadis yang menerangkan mengenai tempat dan waktu yang dituntut untuk kaum Muslimin membaca selawat ke atas Nabi s.a.w. ANTARANYA :

1. Ketika hendak masuk ke dalam masjid dan ketika hendak keluar darinya .

Nabi s.aw bersabda : “ Apabila seseorang kamu masuk ke dalam masjid , maka hendaklah ia membaca salam kepadaku ( selawat dan salam ). Sesudah itu berdoa : Wahai Tuhanku , bukakanlah untukku segala pintu rahmat-Mu . Dan apabila ia hendak keluar hendaklah berdoa : Wahai Tuhanku , aku memohon kepadamu limpahan rahmat-Mu” (Hadis Riwayat Abu Daud )

2. Sesudah Azan .

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : “ Apabila kamu mendengar mu’azzin yang menyerukan azan, maka jawablah dengan bacaan yang sama ia baca. Setelah selesai maka berselawatlah kamu kepadaku” (Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim )

3. Sesudah membaca tasyahud akhir dalam sembahyang .

4. Di antara takbir-takbir sembahyang sunat hari raya .

Membaca selawat mengiringi takbir hari raya yang bermaksud “ Maha suci Allah segala puji dan sanjungan bagi Allah jua . Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah yang Maha Besar. Ya Allah , muliakan olehmu Nabi Muhammad dan keluarganya. Ya Allah ampuni aku dan berilah rahmat kepadaku. “

5. Di permulaan dan akhir doa .

Nabi bersabda : “ Sesungguhnya doa itu berhenti antara langit dan bumi . tiada naik , barang sedikit jua daripadanya sehingga kamu berselawat kepada Nabimu“(Hadis Riwayat At-Tirmidzi )

6. Di malam dan di hari Jumaat .

Sabda Nabi s.a.w yg bermaksud “ Banyakkanlah olehmu membaca selawat di malam hari Jumaat dan siangnya kerana selawat itu dikemukakan kepadaku“ (Hadis Riwayat Thabarani )

7. Di dalam khutbah Jumaat .

Dalam mazhab Syafi’e para khatib wajib membaca selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w pada permulaan kutbah , sesudah membaca thamid dan juga sebelum akhir khutbah Jumaat .

8. Ketika berziarah di makam atau kubur Nabi Muhammad s.a.w .

Sabda Nabi s.a.w : “ Tidak seorang pun di antara kamu yang memberi salamnya iaitu di sisi kuburku , melainkan Allah mengembalikan kepadaku ruhku untuk menjawab salamnya. “ (Hadis Riwayat Abu Daud)

9. Ketika setiap mengadakan majlis atau keramaian .

Sabda Nabi s.a.w : “ Tiadalah duduk suatu kaum di dalam sesuatu majlis sedang mereka telah menyebut (mengingati) Allah Taala dan tiada berselawat ke atas Nabinya, melainkan menderita nescaya Allah akan menyeksa mereka dan jika Allah menghendaki nescaya akan mengampuni mereka .” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan Abu Daud)

10. Ketika berjumpa sahabat handai atau saudara mara sesama Islam .

Sabda Nabi s.a.w : “ Tiadalah dua hamba yang saling cinta mencintai kerana Allah yang berjumpa salah seorang yang lain lalu berjabat tangan ( bersalam ) dan berselawat kepada Nabi s.a.w . melainkan Allah mengampuni dosanya sebelum mereka berpisah , baik yang telah lalu ataupun yang akan datang“. (Hadis riwayat Ibnu Sunni )

11. Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi s.a.w .

Sabda Nabi s.a.w : “ Orang yang bakhil itu adalah orang yang tidak mahu berselawat ketika orang menyebut namaku di sisinya“. (Hadis Riwayat At-Tirmidzi )

12. Ketika mengalami kesusahan dan kebimbangan .

Diberitakan oleh Ubay bin Kaab bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah , ujurnya : “ Ya Rasulullah bagaimana pendapat engkau sekiranya aku jadikan selawat untuk engkau semua? Jawap Rasulullah s.a.w “ Kalau demikian Allah akan memelihara engkau baik mengenai dunia mahu pun mengenai akhiratmu“ ( Hadis Riwayat Ahmad )

13. Setiap waktu pagi dan petang . Sabda Nabi s.a.w : “ Barang siapa berselawat kepadaku waktu pagi sepuluh kali dan waktu petang sepuluh kali , maka ia akan mendapat syafaatku di hari kiamat“ .( Hadis Riwayat Thabarani )

KESIMPULAN

Berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. adalah salah satu bukti kecintaan kita kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. Bersesuaian dengan kedudukan selawat itu sendiri yang memiliki berbagai keistimewaan dan kelebihan di sisi Allah s.w.t, maka sewajarnya amalan selawat ini diberi perhatian berat dan diamalkan oleh setiap umat Islam.

Oleh itu, mari kita sama-sama lafazkan rasa cinta dan kasih sayang kita kepada Nabi Muhamad s.a.w. dengan berselawat sentiasa ke atasnya. Kemudian kita turuti lafaz pengakuan ikhlas kita itu dengan mencontohi sifat dan amalan Rasulullah s.a.w. ANTARA sifat dan amalan Rasulullah s.a.w ialah:

Sentiasa bersifat benar dan amanah dalam menyampaikan perintah Allah SWT

Sentiasa menunjukkan rasa hormat pada kawan

Sentiasa menzahirkan kasih sayang serta menghargai anak-anak yatim, fakir dan orang miskin.

Sentiasa menjauhkan diri dari bercakap bohong, dengki, khianat, mencaci, bakhil dan malas. Dan lagi, dan lagi ………..

Wallahu’alam.

TAMBAHAN:

LF kurang arif dalam hal-hal agama ini ! LF budak baru belajar ! Kalau salah, tolong tunjuk-tunjukkan. Amat dialu-alukan pandangan, komen, pembetulan (jika ada), dan penambahbaikan kepada entri ini
 http://luahfikiran.blogspot.com

Comments

Popular posts from this blog