Isi Artikel
Hendaklah anda mengetahui bahawa manusia itu di dalam bentuk dan susunannya mengandungi empat campuran, maka kerana itu padanya terkumpul empat macam sifat iaitu:
a)    Sifat kekerasan  
b)    Sifat kebinatangan  
c)     Sifat ketuhanan  
d)    Sifat kesyaitanan  
 
Manusia sewaktu di kuasai sifat amarahnya, akan bertindak kasar yang berupa permusuhan, kebencian, menyerang orang lain dengan pukulan dan cacian.  Manusia sewaktu dikuasai oleh syahwat akan melakukan perbuatan-perbuatan yang berbentuk kebinatangan berupa lahap, tamak, keganasan, melepaskan nafsu tanpa mengira batas tatasusila dan lain-lain.  Manusia sewaktu dikuasai nafsunya, ianya diresapi dengan urusan ketuhanan, ingin jadi seperti tuhan seperti inginkan kekuasaan, keistimewaan, kebesaran, terlepas dari ikatan kehambaan untuk bebas melakukan sesuka hati, inginkan pujian, merasa dirinya sempurna dan ras mengetahui semua benda.  Dan apabila semua sifat-sifat itu berada di dalam diri insan, maka terjadilah kepadanya Sifat Kesyaitanan, iaitu menjadi penjahat yang menggunakan segala kepandaian dalam mencapai segala hajat dan keperluannya tanpa mengira batas hukum dan adab sopan. Maka kadang-kadang tanpak kejahatan yang dilaksanakan itu sebagai satu kebaikan kerana dilitupi dengan berbagai tipu helah dan kecerdikan. Kerana itu bagi orang yang Allah bukakan matahati, mereka akan nampak (kasyaf) sifat-sifat itu berupa binatang yang menggelikan. Ada rupa babi, ada rupa anjing, ada rupa syaitan dan sebagainya. Semuanya itu adalah gambaran hati yang rosak dan dicemari dosa.  Firman Allah : "Sesekali Tidak ! Tetapi telah berkarat hati mereka kerana dosa yang mereka lakukan." (Al Mutaffifin: 14)  "Mereka suka tinggal bersama perempuan-perempuan yang tinggal, lalu dicap hati mereka, sedang mereka tiada mengerti." (At Taubah: 87)  "Dia telah menurutkan hawa nafsunya, dia itu seumpama seekor anjing kalau engkau bebani, anjing itu akan menjulurkan lidahnya dan jika engkau biarkan, ia tetap akan menjulrkan lidahnya." (Al A'raf: 176)  "Apakah belum Aku janjikan kepada kamu sekelian hai manusia (Bani Adam), agar kamu jangan menyembah syaitan. Sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu sekalian."  
 
Di dalam membahaskan kasyaf itu secara ringkas terbahagi kepada dua:  
a)    Kasyaf Ain  
b)    Kasyaf ilmu  
Kasyaf Ain ialah keupayaan melihat hal-hal yang ghaib secara nyata yang Allah kurniakan untuk menunjukkan kebesaran Allah, menambah keyakinan (haqqul yakin) dan membimbing manusia agar kembali lurus di dalam menyembah Allah.  Firman Allah "Demikian Kami perlihatkan kepada Ibrahim kerajaan langit dan bumi, supaya dia termasuk orang-orang yang yakin." (Al An'am: 75)  Di dalam kisah Nabi Allah Khidir a.s, sewaktu mengajar Nabi Allah Musa a.s dengan membunuh budak kerana terdapat hikmah yang tersirat dengan kurniaan pandangan kasyaf (basyirah), Allah memberitahu di dalam Al Quran : "Adapun anak muda itu, kedua ibu bapanya orang yang beriman, kami takut bahawa dia memaksa keduanya menjadi kufur. Lalu kami kehendaki, supaya Tuhan menggantikan keduanya dengan anak yang lebih suci daripadanya dan lebih penyayang kepada kedua orang tuanya." (Surah Al Kahfi: 80-81) 

Di dalam Matan Arbain An Nawawi, pada Hadith yang ke 38, sebuah hadith Qudsi: "Sentiasalah hambaKu mendekatkan diri kepadaKu dengan amal-amal yang nawafil (sunat) sehingga Aku mencintai akan dia. Maka apabila Aku telah mencintainya. Jadilah Aku ini pendengarannya yang dia mendengar. Jadilah Aku matanya yang dia melihat dengannya. Jadilah Aku lidahnya yang dia berkata dengannya. Jadilah Aku tangannya yang dia memukul dengannya, Jadilah Aku kaki, yang dengannya dia berjalan. Dan seseungguhnya apabila mereka meminta kepadaKu sesuatu pasti akan Kuberi, dan jika mereka meminta perlindunganKu, pasti akan Ku lindungi."

Kasyaf Ilmu pula, mengetahui sesuatu itu dengan jalan ilmu dan kajian dengan melihat kepada tanda-tanda yang zahir seperti mengetahui adanya asap menunjukkan adanya api di dalam sekam. Seorang guru yang mursyid, akan mengetahui penyakit-penyakit hati yang ada di dalam hati murid-muridnya dengan melihat kepada tanda-tanda pada zahirnya seperti yang telah diterangkan di atas samada berupa penyakit yang berasas syahwat, syaitan, yang bercirikan ketuhanan atau kebinatangan.  Perangai binatang buas bercampur dengan amarah akan membawa kepada penganiayaan dan menyakitkan orang lain. Sedangkan sifat-sifat hati yang jahat yang didorong oleh syahwat akan melahirkan sifat-sifat binatang, menggoda yang satu dengan yang lain serta menghiasinya dengan apa-apa yang mereka sukai. Dan apabila mereka tidak berusaha membuang sifat-sifat hati tersebut, maka jadilah mereka itu hamba kepada syahwat dan nafsu mereka.  Firman Allah : "Apakah engkau tidak melihat, sesiapa yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan disesatkan oleh Allah, padahal ia mengetahui." (Al Jatsiat: 23) Inilah kebanyakan manusia apabila tujuan utama mereka hanya mengenyangkan perut, hanya mahu kepuasan seks dan bersaing dengan yang lain di dalam merebut dunia. Yang aneh, mereka ini kadang-kadang benci kepada penyembah berhala. Tetapi jika dibukakan tabir dan hijab mereka, sebenarnya mereka itulah yang menyembah sifat-sifat kebinatangan yang bersarang di dalam hati mereka yang didasarkan nafsu syahwat. Sesekali ia rukuk kepada babi, sesekali ia sujud kepada anjing (gambaran penyakit hati). Orang yang demikian itu adalah orang yang berusaha memuaskan Syaitannya. Syaitan itulah yang menggerakkan perasaan sifat-sifat tersebut untuk melayan kehendak rakus manusia. Firman Allah : "Dia telah menurutkan hawa nafsunya, dia itu seumpama seekor anjing kalau engkau bebani, anjing itu akan menjulurkan lidahnya dan jika engkau biarkan, ia tetap akan menjulurkan lidahnya." (Al A'raf: 176)

Berkata Maimun bin Mahran: Apabila seseorang melakukan dosa, maka terjadilah satu bintik hitam di hatinya. Apabila ia bertaubat, maka akan berkilat kembali hatinya. Tetapi apabila ia kembali melakukan dosa, akan bertambahlah bintik-bintik hitam itu sehingga menutupi hatinya. Itulah yang disebut "Raan" di dalam surah Al Mutaffifin, ayat 14: "Sesekali Tidak ! Tetapi telah berkarat hati mereka kerana dosa (Raan) yang mereka lakukan." (Al Mutaffifin: 14)
- Iman ialah asas penting yang menjadi tapak tempat berdirinya peribadi Mukmin. Kalau manusia itu diibaratkan sepohon pokok, maka iman itu adalah akar tunjangnya. Kalaulah manusia itu diibaratkan seperti rumah, maka iman itu adalah seperti tapak tempat terdiriya rumah. Demikianlah pentingnya iman di dalam usaha melahirkan seorang manusia yang sempurna dan diredai Allah. Tanpa iman , seseorang itu sama seperti pokok yang tidak berakar atau rumah yang tidak mempunyai asas yang kukuh. Ertinya orang yang tidak mempunyai iman, tidak akan mampu untuk berdepan dengan masalah hidup dan dia pasti gagal.  Kalau pun ada tanda-tanda Islam melalui ibadah lahir, seperti sembahyang, tutup aurat, baca Al Quran atau lain-lain, tetapi segala ibadah itu tidak akan berfungsi apabila manusia tidak mempunyai iman. Ibarat pokok yang tidak mempunyai akar tunjang, makin besar pokok itu semakin cepat tumbangnya atau lagi besar rumah yang didirikan, makin cepatlah ia runtuh. Datang ujian kecil sahaja di dalam hidup ini, maka orang yang tidak punyai iman yang kuat akan tumbang dan terjebak dengan maksiat dan dosa. Hidup keluh kesah. Orang lain dirasakan musuh baginya. Tidak ada kebahagiaan dan kasih sayang di dalam jiwanya. Kerana itu manusia perlukan iman untuk teruskan hidup. Sering pula kita lihat ada orang yang kuat sembahyang, kuat baca Al Quran dan tutup aurat, tetapi bila berdepan dengan ujian mereka sering kecundang. Apabila diuji, mereka jadi marah, keluh kesah, hasad dengki, bakhil, gila dunia, sombong, gila puji, pendendam dan berbagai-bagai lagi sifat-sifat yang terkeji yang sangat dibenci dan ditegah oleh Allah. Sebab yang paling penting kenapa semua itu boleh berlaku ialah kerana lemahnya iman.  Iman yang kuat itu umpama mutiara yang disimpan di dalam laut, walau sekencang mana ribut taufan yang melanda, ia tetap tahan, kukuh dan tidak berganjak. Jadi orang yang kuat imannya, walau sehebat mana ujian yang datang, ia tetap yakin, tenang, sabar dan reda. Tidak terlintas sedikit pun di hatinya untuk meninggalkan syariat dan meninggalkan perjuangan menegakkan kalimah Allah. Kuatnya Islam itu adalah kerana kuatnya iman yang ada di dalam diri-diri manusia itu. Tanpa iman yang kuat, Islam hanyalah satu amalan tradisi dan kebiasaan semata-mata. Jangan kita jadi orang yang kuat beramal tetapi lemah imannya. Sebaliknya jadilah kita orang yang kuat beramal dan kuat imannya. Firman Allah : "Demi masa ! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh." (Al Asr : 1-3) Di dalam ayat di atas Allah menyebutkan iman dahulu daripada amalan soleh. Ertinya segala perbuatan ibadah kita haruslah didahului oleh iman. Tanpa iman segala ibadah kita tidak dinilai. Rasulullah s.a.w bersabda: "Allah tidak melihat akan rupa lahirmu (amalan lahir) , tetapi Allah melihat hati dan amalan kamu." (H.R .Tarmizi)  Di dalam memahamkan maksud hadith di atas, ramai di antara kita yang tersilap tafsir. Mereka mengatakan, "Kalau begitu buat jahat pun tak mengapa asalkan hati baik" atau "Buat apa kau orang susah-susah sembahyang, tutup aurat dan segalanya, yang penting hati." Untuk menjawab persoalan itu, cuba jawab persoalan ini, "Baikkah hati orang yang tidak sembahyang dan menderhaka kepada Tuhan". Menderhaka kepada ibu bapa pun kita anggap jahat, inikan pula menderhaka kepada Tuhan. Orang yang sembahyang pun belum tentu baik, inikan pula orang yang tidak sembahyang. Orang yang tutup aurat pun belum tentu masuk syurga, inikan pula orang yang selalu terbuka auratnya. Yang sebenarnya mereka ini cuba "loyar buruk" dengan Allah. Orang yang sedemikian kalau tidak bertaubat, di akhirat nanti tahulah dia siapa sebenarnya dan di mana tempatnya. Allah telah menyatakan akan hal ini di dalam firmannya : "Maka datanglah sesudah mereka pengganti-pengganti yang jahat yang meninggalkan sembahyang dan memperturutkan hawa nafsu, maka mereka kelak akan menemui kesesatan." (Maryam : 59)  Di sini ingin ditegaskan, orang-orang yang beriman, pasti akan beramal soleh. Tetapi orang-orang yang beramal soleh itu belum tentu dia beriman. Firman Allah: "Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh akan beroleh syurga yang penuh kenikmatan." (Lukman : 8) "Maka barangsiapa yang mengamalkan amal yang soleh, sedang dia beriman, maka usahanya itu tidak akan diabaikan."      (Al Anbiya: 94) Dari itu, perlulah kita periksa hati kita, agar kita termasuk di dalam orang-orang yang benar imannya. Dan untuk mengetahuinya perlu kita mempelajari ilmu dan mempunyai panduan. InsyaAllah di dalam ruangan ini kita akan cuba huraikannya pada masa-masa yang akan datang.
Selalunya apabila mendapat nikmat orang gembira dan berbangga. Jarang orang menyedari rahsia di sebalik nikmat itu. Sebenarnya nikmat yang Allah berikan itu adalah untuk menguji seseorang, samada ia boleh bersyukur dengan nikmat itu atau tidak. Seseorang yang bersyukur dengan nikmat akan terharu dan takut dengan nikmat yang diperolehinya. Ia terharu kerana kurniaan Allah pada dirinya yang dirasakan dirinya tidak layak untuk menerima nikmat dan takut tidak dapat melahirkan kesyukuran dengan menunaikan hak yang sepatutnya. Ia takut akan lalai dengan nikmat sehingga lupa Allah. Itulah yang berlaku kepada Firaun dan Qarun yang diberikan Allah nikmat kekayaan tetapi lupa Allah sehingga mengaku dirinya tuhan. Beruntunglah orang yang tawadhuk ketika menerima nikmat. Dia dapat merasakan dirinya hina di hadapan Allah dan menggunakan nikmat yang Allah berikan itu dengan sebaik-baiknya. Dalam rasa hati yang sebegitu, ia tidak ghairah dengan nikmat tersebut, malah ia takut tidak dapat menggunakan nikmat itu untuk mendidiknya.  Sebaliknya orang yang angkuh akan menerima nikmat dengan mendabik dada dan tidak bersyukur langsung kepada yang mengurniakan nikmat kepadanya. Dia akan bangga dengan pangkat, kemewahan dan kesenangan yang diperolehi olehnya sehingga lupa kepada Allah. Orang yang sebegini apabila diuji oleh Allah dengan kesusahan, turun pangkat, hilang harta dan hilang orang yang disayangi, dia akan melatah dan menyalahkan takdir.  Kita sebagai hamba Allah patut sedar bahawa Allah memberi kesenangan kepada kita untuk menguji sejauh mana kita bersyukur dengan nikmat. Nikmat-nikmat ini juga akan menjadi benteng untuk kita tahan menanggung ujian susah dan menderita. Apabila kita ditimpa musibah, ingatlah bahawa kita telah banyak menerima nikmat yang tidak terhingga daripada Allah. Apalah salahnya sekali-sekala kita disusahkan. Untung juga kita ini diuji dengan kesusahan , kita akan mengingati Allah dan bermunajat kepadaNya. Sekiranya kita telah biasa dengan mensyukuri nikmat, kita akan berlapang dada dengan kepayahan yang sedikit. Malah itulah peluang mendidik hati untuk menjadi orang yang tawadhuk, sabar, dan redha.  Allah merahmati orang yang begitu dan memberi mereka petunjuk untuk terus syukur dan memiliki jiwa yang tenang. . Sabda Rasulullah s.a.w : "Siapa yang diberi kurnia, lalu berterima kasih, diuji lalu bersabar, dianiaya lalu memaafkan dan bila ia menzalimi ia memaafkan." Kemudian baginda mendiamkan diri. Maka para sahabat bertanya : Mengapa ya Rasulullah ? Jawab baginda: "Merekalah orang yang telah mendapat hidayah dan petunjuk."  Oleh itu hendaklah kita sentiasa bersyukur di kala senang mahu pun susah. Tanda kita bersyukur ialah apabila kita merasa gembira di atas nikmat yang wujud pada diri kita, lalu mendorong kita untuk beramal dan beribadah kepada Allah s.w.t. Membanyakkan syukur dan berterima kasih kepada Allah s.w.t serta memuji-mujinya dengan lisan. Sabda Rasulallah s.a.w :  "Kiranya salah seorang umatku diberikan dunia dan seisinya, kemudian dia mengucapkan Alhamdulillah, nescaya ucapan itu lebih utama dari dunia dan seisinya."  Ujian kesusahan juga sebagai pendorong untuk kita bersyukur. Selalunya ketika di dalam nikmat, kita tidak menghargainya, malah tidak mengucapkan syukur. Lalu Allah menempelak kita dengan di datangkan ujian dan kesusahan., barulah kita sedar diri. Sedar dan menyesal apabila nikmat telah ditarik. Seterusnya datanglah azam untuk kita membaiki diri kita dan menjadi orang yang bersyukur. Hamba yang bersyukur, apabila di datangi ujian , dia akan sabar dan redha. Baginya Allah telah memberikannya berbagai-bagai keperluan. Malu rasanya untuk mengangkat muka apabila di datangkan sedikit kesusahan. Apatah lagi bagi seorang hamba yang telah mengenal bahawa disebalik ujian itu terdapat hikmah dan rahmat, lebih-lebih lagilah, dia tidak terasa bebanan ujian, malah seronok apabila didatangkan kesusahan dan ujian, kerana dia tahu Allah tidak akan mendatangkan sesuatu itu dengan sia-sia. Jadi tidaklah dia berperangai dengan perangai orang yang tidak kenal Allah iaitu sentiasa keluh kesah dengan ujian daripada Allah.  Kerana itu sentiasalah mengingati nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Semoga kita menjadi orang yang sabar dan redha dengan ujian penderitaan serta bersyukur dengan nikmat-nikmat kurniaan Allah.                                                              
Satu-satunya agama yang diredai dan diakui kebenarannya oleh Allah s.w.t ialah Islam. Firman Allah s.w.t di dalam Al Quran surah Ali Imran, ayat 19 : "Sesungguhnya agama yang diterima disisi Allah ialah Islam"  Islam adalah agama yang terbaik dan yang paling sempurna untuk sekalian umat manusia. Ini adalah kerana Islam itu datangnya dari Allah, manakala agama-agama lain semuanya bikinan manusia semata-mata. Kerana itu Islam adalah satu agama yang lengkap dan sesuai dengan fitrah semulajadi manusia. Sedangkan agama lain banyak kurangnya serta banyak bertentangan denan kemahuan fitrah manusia. Kita lihat apa kata Al Quran terhadap agama-agama lain :  "Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu. Dan janganlah kamu menyatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya Al Masih, Isa putera Maryam itu adalah utusan Allah dan (terjadi dengan) kalimat-Nya yang disampaikan melalui Maryam, dan dengan (tiupan roh ) daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-rasulnya dan janganlah kamu mengatakan " Tuhan itu tiga ". Berhentilah (daripada ucapan itu). Itu adalah lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah ialah tuhan yang esa, Maha suci Allah daripada mempunyai anak, segala yang di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Cukuplah Allah menjadi pemelihara." (An Nisa': 171) "Orang-orang Yahudi dan Nasrani mengatakan " Kami adalah anak-anak Allah dan kekasihnya" Katakanlah " Mengapa Allah menyeksa kamu kerana dosa-dosamu ? (Kamu bukanlah anak-anak Allah dan kekasihnya) tetapi kamu adalah manusia biasa antara orang-orang yang diciptakanNya. Dia mengampuni bagi sesiapa yang dikehendakinya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakinya. Dan kepunyaan Allahlah kerajaan antara keduanya. Dan kepada Allahlah kembali segala sesuatu." ( Al Maidah : 18 ) "  Orang-orang Yahudi berkata : "Uzair itu anak Allah" dan orang Nasrani berkata: "Al- Masih itu adalah anak Allah". Demikian itulah ucapan mereka dengan mulut mereka, mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu. Dilaknati Allahlah mereka, bagaimana mereka sampai berpaling ." ( At Taubah : 30 ) Di dalam ayat-ayat yang berikut, jelas sekali Allah menolak agama-agama bikinan fikiran manusia. Kerana ia tidak sesuai dan sempurna dengan tujuan sebenar penciptaan manusia. Secara logik kita lihat bagaimana agama-agama lain yang dibentuk tidak sesuai dengan fitrah dan kejadian manusia.
1)      Kristian misalnya mengatakan Tuhan itu tiga. Tiga di dalam satu. Satu pecah tiga. Sepatutnya Tuhan hanya satu dan Esa, supaya pentadbiran kerajaan langit dan bumi ini berjalan dengan satu arahan dan menuju kepada satu tujuan. Kalaulah tuhan itu Tiga, tuhan yang mana satukah menguasai dan mentadbir alam ini sebenarnya?
2)      Paderi-paderi Kristian dan Nun tidak boleh berkahwin. Sedangkan keinginan untuk berkahwin adalah fitrah manusia. Sesiapa yang menentang fitrah semulajadi, maka kosang, terseksa dan menderitalah hidupnya. Kerana itu kita sering terdengar paderi yang kononnya tidak boleh berkahwin, terlibat dengan kes zina dan perogolan. Itulah bukti bahawa agama yang mereka anuti tidak mengisi tuntutan fitrah murni manusia. Lalu mereka membelakangkan agama dan menunaikan tuntutan fitrah secara berahsia kerana takut malu.
3)      Agama Buddha juga bertentangan dengan fitrah kerana sesiapa yang serius di dalam agama itu mesti menjadi peminta sedekah kepada masyarakat. Dengan periuk sebiji, berjalan tanpa kasut, pergilah mereka mengutip makanan daripada sesiapa yang ingin memberi. Ini sangat memalukan. Bukankah mengemis itu lambang rendah dan hinanya imej seorang manusia. Agama Buddha juga tidak membenarkan sami-saminya berkahwin. Ini bertentangan dengan kemahuan semulajadi manusia.
4)      Agama Hindu juga sama dengan agama-agama lain, tidak ada syariat atau peraturan yang tertentu yang dapat menjamin kemurnian hidup manusia. Ertinya agama ini tidak dapat memberikan garis panduan yang jelas dan tepat untuk membolehkan seseorang itu mengatur hidup sebagai seorang penganut Hindu. Agamanya hanya berkisar di dalam hal-hal ibadah dan upacara-upacara keramaian. Ia banyak mengambil kaedah hidup agama lain untuk diikuti.  Nyata bahawa agama bikinan akal manusia tidak menjawab semua persoalan dan tidak mampu menyelesaikan semua masalah.
      Sedangkan Islam sifatnya Universal dan sesuai dengan fitrah.  Firman Allah di dalam Al Quran : "Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (Tetaplah di atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Ar Rum: 30)  Untuk membuktikan syariat Allah sesuai dengan Fitrah manusia, lihat beberapa contoh :
1)      Manusia ini sifatnya suka menghambakan diri kepada tuannya yang menolong, melindung dan mengambil berat tentangnya. Atau dengan kata lain manusia rela untuk mengabdikan dirinya kepada sesiapa yang dicintainya. Kalau kecintaannya kepada perempuan, maka jadi hambalah ia kepada perempuan itu. Kalau cintanya kepada kereta, maka jadi hambalah kepada kereta itu. Kalaulah cinta atau pautan hatinya kepada nafsu yakni menurut kata nafsu, maka jadilah dia hamba nafsu. Tetapi yang anehnya manusia sangat marah apabila digelar hamba betina, hamba kereta atau hamba nafsu. Fitrah menolak sekalipun sikapnya memanglah betu begitu. Mengapa ? Sebab sememangnya fitrah manusia itu ingin menjadi hamba Allah. Cuba katakan kepada sesiapa sahaja samada Islam atau kafir " Kamu ini hamba Allahlah", nescaya ia akan mengiyakan dengan senang hati. Hal ini adalah kerana fitrah manusia itu memang Allah jadikan untuk menyembahNya. Firman Allah: "Tidak Aku jadikan Jin dan Manusia melainkan untuk menyembah Aku" (Az Zariat : 56)  Sememangnya manusia itu diciptakan untuk menyembah Tuhan yang esa. Tetapi kenapa setelah di beri peringatan, manusia semakin lupa dan lalai ? Ini adalah kerana hasutan nafsu dan syaitan yang sentiasa menyesatkan manusia. Mereka lupa Allah dan meninggalkan segala perintah Allah. Namun hati kecil tetap rasa bersalah dan ingin sekali mentaati Allah dan ianya akan bertambah ketara apabila manusia itu berdepan dengan kesusahan hidup dan memerlukan pembelaan daripada sesuatu kuasa. Manusia Ateis yang kononnya tidak percaya Tuhan itu, sebenarnya cuba membuang rasa bertuhan dari hatinya. Tetapi rasa itu tetap tidak akan hilang terutama berdepan dengan saat yang memerlukan pertolongan yang manusia tidak dapat memberikannya dan ketika bersendirian. Mereka sebenarnya menipu diri mereka sendiri. Mereka yang sebegini tidak akan bahagia walaupun hidup di dalam istana, ada kuasa, tahta, wanita dan harta.  Mereka yang percaya kepada Tuhan tetapi tidak kenal tuhan juga ramai. Banyak persoalan yang tidak selesai di dalam fikirannya seperti " Mengapa Tuhan itu tiga dan telah mati sebahagiannya?.". "Mengapa aku mengambil patung atau tokong ini sebagai perantaraan aku dengan tuhan sedangkan tanpa tokong ini juga dapat merasa akan adanya Tuhan." Dan sebagainya. Mereka yang tidak kenal tuhan ini akan mengalami kerunsingan yang tidak dapat ditenteramkan. Dan hasilnya hilanglah bahagia hidup di dunia ini.  Bagi orang Islam yang tidak mengikut perintah Allah, juga akan dibebani kegelisahan dan kebuntuan, kerana nafsu yang diikuti itu tidak akan memberikan kepuasan dan ketenangan hidup. Akhirnya hidup serupa orang kafir.
2)      Manusia ingin menambah ilmu. Ingin mencari pengalaman dan ingin pandai. Maka Islam datang menggalakkan dan mengajar bagaimana manusia boleh mengisi fitrah tersebut. Firman Allah : "Berjalanlah kamu di atas muka bumi, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan itu." (Al An'am: 11)  Dan di dalam hadith nabi s.a.w, baginda bersabda : "Menuntut ilmu itu wajib bagi lelaki dan wanita.
3)      Manusia ingin kepada kekayaan. Islam datang dengan membawa panduan bagaimana untuk mencari kekayaan. Firman Allah: "Apabila telah ditunaikan sembahyang hendaklah kamu bertebaran di muka bumi dan hendaklah kamu mencari kurniaan Allah, dan ingatlah Allah banyak-banyak moga-moga kamu mendapat kemenangan." (Al Jumaah: 10) Hadith Nabi s.a.w: "Berniagalah kerana sembilan persepuluh daripada rezeki itu adalah di dalam perniagaan." Mencari kekayaan sebanyak mana yang dikehendaki itu dibenarkan di dalam Islam. Tetapi syaratnya hendaklah sentiasa mengingati Allah dan melaksanakan segala apa yang diperintahkannya.
4)      Manusia suka kepada makanan yang sedap seperti daging dan sebagainya. Maka di dalam Islam memakan daging itu sunat seminggu sekali. Juga manusia itu suka berkahwin. Lelaki suka kepada wanita dan wanita suka kepada lelaki. Maka Rasulallah menggalakkan manusia berkahwin demi untuk menjaga kehormatan diri dan agama disamping meramaikan zuriat.  Sabda baginda s.a.w : "Berkahwin itu sunnahku. Barang siapa yang meninggalkan sunnahku, maka dia bukanlah daripada umatku." Begitulah keindahan dan kesempurnaan Islam . Setiap perkara dilihat dan ditinjau sedalam-dalamnya serta diberi jalan penyelesaian. Hanya Islam satu-satunya agama yang sistem hidupnya benar dan sebaik-baiknya untuk diikuti. Dan apabila manusia telah kenal Allah dan menunaikan segala fitrahnya menurut yang Allah aturkan, nescaya manusia itu akan bahagian di dunia dan akhirat.
Perasaan jemu akan menghantui diri kita apabila kita beramal bukan atas dasar istiqamah. Untuk mengelakkan perasaan demikian, maka hendaklah melakukan setiap amalan atas dasar kehambaan kepada Allah. Setiap amalan yang hendak dilakukan perlulah benar-benar ikhlas dan kerana Allah, untuk Allah semata-mata. Tidak kerana orang lain, kerana terikut-ikut, kerana malu dan sebagainya. Amalan yang dilakukan hendaklah dengan suka rela, bukan kerana dipaksa atau dipaksa.  Andaikata perasaan jemu seringkali memburu kita, ingatlah kembali akan firman Allah di dalam hadith qudsi yang bermaksud: "Hai hamba-hambaKu, mengapa kamu jemu beramal sedangkan Aku (Tuhanmu) tidak pernah jemu memberi pahala untukmu."  Andainya perasaan malas sering menguasai diri kita, maka tanamkan keyakinan pada diri bahawa setiap amalan yang dilakukan walaupun sedikit tetapi ikhlas ada penilaiannya disisi Allah.  Untuk mendapatkan jiwa yang istiqamah di dalam beramal, kita hendaklah seringkali berdoa, mohon pada Allah agar kita sentiasa diberi oleh Allah bimbingan olehNya. Mintalah kepada Allah agar dikurniakan kita dengan sekeping hati yang sentiasa ghairah untuk beribadah walau dengan keadaan bagaimana sekalipun. Perlu juga diingatkan kepada diri bahawa kita beramal tanpa istiqamah, maka bertitik tolak dari situlah akan membuktikan bahawa cinta kita kepada Allah mengikut masa sedangkan Allah mengasihi hambanya sepanjang masa. Sebagai buktinya, setiap saat dan waktu, nikmat Allah sentiasa melimpah ruah dengan berbagai-bagai nikmat.  Begitulah Maha pemurah dan Maha Penyayangnya Allah. Oleh itu marilah kita sama-sama berazam dan menanamkan cita-cita untuk beristiqamah di dalam beramal. Semoga di dalam azam dan cita-cita kita itu yang dibuktikan oleh perbuatan kita akan dinilai oleh Allah s.w.t dan dengan amalan istiqamah itulah mudah-mudahan dapat meningkatkan darjat kita di sisi Tuhan Rabbul Jalil di akhirat kelak.                                       
Memang fitrah manusia cukup senang dan puas hati apabila orang memujinya "Awak ini baiklah" dan sebagainya Tetapi begaimana jika sebaliknya ? Tentu ramai yang tidak tidak berpuas hati dan sekaligus mengangap orang yang mengkejinya itu sebagai musuhnya. Nampaknya manusia ini terlalu ghairah dan leka dengan sanjungan dan pujian, sedangkan itu semua adalah jalan yang memudahkan seseorang itu memasuki neraka Allah.  Lebih parah, ada diantara manusia yang merasakan dirinya baik, malah lebih baik daripada orang lain. Atas alasan dan perasaan demikianlah mereka sentiasa menilik kelemahan orang lain, selalu menganalisa orang lain, selalu nampak kesalahan orang lain, selalu merasakan orang lain di dalam dosa dan noda dan sentiasa rasa diri bersih. Alangkah tertipunya mereka dengan sikap yang sedemikian yang tanpa mereka sedari rupa-rupanya sifat sombong dan angkuh telah mengusai diri mereka.  Jalan untuk menyelamatkan kita daripada rasa angkuh dan sombong, yang hanya memandang manusia lain hina dan merasa diri kita mulia ialah dengan jalan beribadah sehingga melahirkan rasa kehambaan di dalam diri kita. Antara rasa kehambaan itu ialah rasa ,malu dengan Allah, rasa cinta dan takut kepada Allah. Juga rasa diawasi, menyerah dan harap kepada Allah. Kalau seseorang itu kuat beribadah, tetapi dia rasa riya', sombong dan takabbur, bermakna ibadahnya tidak berperanan. Ibadah yang begini, yang melahirkan rasa ketuanan atau ketuhanan, bukan kehambaan, tidak akan diterima oleh Allah. Diumpamakan seorang hamba yang hendak mengadap raja, tetapi dengan sombong dan bongkak serta mencekak pinggang dia bercakap dan berhadap sembah dihadapan raja, tentunya dia akan dimurkai oleh raja. Ingatlah hati yang tidak baik akan melahirkan kelakuan yang buruk dan ianya akan menjadi racun di dalam hidup dan membahayakan masyarakat.  Kerana itulah di dalam kita beribadah selain rukun dan syaratnya kita jagai, perlulah kita awasi segala adab dan tatasusila kita di dalam beribadah. Walaupun kalau kita lihat, rasa khusyuk di dalam sembahyang tidak termasuk di dalam syarat sah sembahyang, tetapi yang sebenarnya tanpa khusyuk, sembahyang kita dianggap lalai dan diakhirat akan dihumbankan kita ke dalam neraka.  Firman Allah : "Dan neraka Wail bagi orang yang bersembahyang. Yang lalai di dalam sembahyangnya." (Al Maun : 4 - 5)  Kerana itulah menjaga adab-adab batin ini sangat diberatkan oleh ulama'. Kerana dari adab itulah akan lahirnya akhlak. Bersepakat ulama sufi mengatakan : "Sesungguhnya yang menjauhkan hamba dari tuhannya itu bukanlah kerana kurangnya ilmu, tetapi kerana kurangnya adab ketika berdepan dengan Tuhan."  Di dalam kita beribadah, segala adab dan tatasusilanya perlu kita laksanakan untuk mendapat kejernihan jiwa dan keredhaan Allah. Ibadah yang benar dan tepat akan menlahirkan akhlak yang terpuji (mahmudah). Akhlak yang diredhai akan melahirkan kemesraan dan kasih sayang sesama makhluk serta ketaatan kepada Allah. Inilah peranan umum ibadah. Segala bentuk ibadah, sama ada habluminallah (Hubungan dengan Allah) atau hablumminannas (Hubungan dengan manusia) ada mempunyai peranan. Bila kita dapat melakukan ibadah dengan khusyuk dan ikhlas, maka akan timbullah di dalam hati rasa kebesaran Allah, hati akan lebih mengenal Allah, takut kepada Allah, menghina diri dan malu dengan Allah, takut ancaman Allah dan harap akan nikmat Allah, terasa gerun dan cinta kepada Allah. Bila telah masuk perasaan-perasaan tersebut di dalam hati, secara sendirinya hati akan beramal dengan amalan yang baik.  Bila hati telah memiliki perasaan-perasaan tersebut, maka :  Kita akan redho apabila menerima nasib buruk dan malang. Kerana kita yakin Allah yang mentaqdirkannya dan Allah cukup adil, dan segala taqdirnya itu akan membawa kebaikan dan bukan untuk menganiaya kita. Lagi pun nasib buruk itu bukannya selalu menimpa kita, sedangkan nikmat Allah yang lain terlalu banyak dan tidak terhitung.  Bila datang ujian , kita akan sabar. Allah datangkan ujian itu dengan dua sebab : 
a)    Untuk menghapuskan dosa. 
b)    Untuk meninggikan darjat kita di akhirat 
Bila datang nikmat Allah samada lahir atau batin, kita akan bersyukur. Kita rasakan semua nikmat yang ada pada kita itu adalah pemberian Allah s.w.t.  Setiap kali setelah selesai berusaha, berikhtiar dan beribadah kepada Allah, kita akan menyerahkan urusan kita kepada Allah untuk menentukakannya. Kita akan pasrah terhadap ketentuannya. Jika ada baiknya untuk kita dan diizinkan oleh Allah, maka jadilah pekerjaan itu, jika Allah tidak menghendaki jadinya perkara tersebut, kita akan terima dengan senang hati.  Setiap kali terbuat dosa, hati kita akan terasa takut dan cemas dengan ancaman dan azab Allah. Dengan itu kita akan cepat-cepat bertaubat kepada Allah.  Kita akan sentiasa beradab dan malu dengan Allah. Kita akan melaksanakan ibadah dan perintah Allah dengan sebaik mungkin, cemas kalau-kalau tersilap dengan Allah.  Kita juga akan merenung dan menyesal diri, adakah kita ini berada di dalam keredhoaannya atau kemurkaannya.  Kita akan rasa lemah berhadapan dengan Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi. Kepada siapakah lagi kita akan mengharapkan bantuan dan pertolongan.  Memandang diri hina dan banyak kesilapan sehingga tiada masa untuk melihat kesalahan dan kecelaan manusia yang lain serta sentiasa bersangka baik dan berkasih sayang sesama manusia.  Kita akan merasa lemah, tidak mampu menunaikan hajat sendiri tanpa bantuan Allah. Nyawa dan tenaga yang ada pada kita pun Allah punya. Kalau Allah matikan kita di dalam kita derhaka kepada Allah, lagilah teruk nasib kita. Kerana itu, kalaulah tidak ada usaha untuk kita memperbaiki diri kita , takut-takut di dalam sesaat dua ini Allah ambil nyawa kita, mati kita di dalam keadaan derhaka kepada Allah.  Tetapi bagi mereka yang berusaha memperbaiki dirinya, hati mereka akan sentiasa tenang dan bahagia. Bukan kerana kaya atau berada, tetapi kerana puas kepada apa yang ada. Bersabda Rasulullah s.a.w : "Kamu tidak akan merasai kemanisan iman sehingga kamu menyintai Allah dan Rasul lebih dari segalanya, Tidak menyintai seseorang melainkan kerana Allah. Dan benci kembali kepada kekufuran seperti benci di baling ke neraka."  Bila dapat kemanisan iman , penderitaan menjadi kecil dan dunia tiada ruang di dalam hatinya. Hatinya akan asyik dengan Allah. Ini berlaku pada sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w . Bilal apabila dijemur ditengah panas serta di azab untuk dipaksa kembali kepada kekufuran, dengan tenang dia menjawab, " Ahad, Ahad."  Azab sengsara, tidak terasa. Ini juga berlaku kepada seorang sahabat nabi s.a.w yang dicuri untanya ketika sedang bersembahyang, dia tidak menghentikan sembahyangnya itu. Kerana terasa kemanisan sembahyang dan tidak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya. Banyak lagi hal-hal yang sedemikian yang boleh kita baca di dalam sejarah kehidupan para sahabat Rasulullah s.a.w. Kerana itu kita perlu melakukan Mujahadatun Nafs (melawan hawa nafsu) dan membersihkan diri kita daripada sifat-sifat mazmumah (yang tercela) seperti hasad dengki, dendam, buruk sangka, mementingkan diri, gila pangkat, gila puji, gila dunia, bakhil, sombong dan sebagainya. Dan bersungguh-sungguh beribadah kepada Allah, melaksanakan ketaatan dan meninggalkan laranganNya, menghiasi diri dengan akhlak yang terpuj dan berusaha menjadi hamba yang baik di sisi Allah s.w.t.
 
http://www.oocities.org/ijammaster/isi_artikel2.htm

Comments

Popular posts from this blog