Pembelajaran Sepanjang Hayat Teras Pembangunan Modal Insan |
Muhammad Hisyam Bin Mohamad
|
Kemajuan
sesuatu bangsa terletak kepada unsur-unsur kecemerlangan yang ada di
dalam diri rakyat atau sumber manusianya. Sumber manusia ini bertindak
sebagai penggerak kepada pembangunan dengan mengusahakan
pelbagai kegiatan kehidupan yang terdapat di dalam sesebuah negara.
Kalau kita perhatikan bangsa-bangsa yang maju (dahulu dan sekarang)
mahupun syarikat-syarikat yang berjaya, kita akan dapati kejayaan yang
diraih oleh bangsa atau syarikat tadi sememangnya berpaksikan kepada
sumber manusia yang cemerlang ini.
Dan seiring dengan perkembangan semasa, kemasyhuran
penggunaan istilah sumber manusia ini mula berkurangan. Sekarang kita
lebih selesa dengan istilah modal insan untuk merujuk kepada sumber
manusia. Istilah modal insan dilihat lebih mesra kerana sumber manusia
tadi dianggap seperti modal (yakni bukan suatu beban atau tanggungan)
yang perlu dijaga bagi memastikan kelangsungannya sebagai pemangkin
kepada usaha pembangunan. Maka tidak hairanlah dalam pembangunan modal
insan, perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan dan
pembelajaran, baik yang bersifat ilmiah, profesional mahupun vokasional
diberi perhatian yang serius.
Dalam
hal ini, faham pembelajaran sepanjang hayat berperanan besar dalam
memastikan kemampuan yang ada dalam modal insan digilap agar dapat
menghasilkan satu tahap kecemerlangan yang diinginkan oleh negara atau
syarikat terbabit.
Faham
pembelajaran sepanjang hayat adalah satu ilham yang terbit daripada
satu laporan yang disediakan oleh Paul Lengrand yang juga merupakan
pegawai yang bertanggungjawab ke atas Biro Pendidikan Dewasa (Adult Education Bureau),
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1965. Di dalam laporan tersebut
beliau menyatakan bahawa pendidikan tidak sepatutnya terhenti pada usia
kanak-kanak atau remaja. Ia perlu mengiringi seseorang itu di sepanjang
hayatnya.
Manakala dalam satu laporan lain yang juga dikeluarkan oleh UNESCO yang bertajuk "Learning To Be"
menyatakan bahawa capaian kepada pendidikan tidak sepatutnya dihadkan
kepada golongan elit atau untuk mereka yang berada dalam lingkungan umur
yang tertentu sahaja. Ia sebaliknya perlu disebatikan ke dalam
keseluruhan anggota masyarakat dan kehidupan setiap ahlinya.
Apa
yang lebih penting ialah faham pembelajaran sepanjang hayat membolehkan
semua orang mendapatkan pengetahuan yang sepatutnya untuk
membolehkannya mengambil bahagian secara cergas sebagai seorang
warganegara yang bertanggungjawab.
Menurut
Knassel, Meed and Rossetti (2000), kepentingan pembelajaran sepanjang
hayat ini dapat dikenalpasti menerusi tiga (3) sebab utama yang dikenali
juga sebagai "The Three Es" iaitu employment (pekerjaan), empowerment (memberi kuasa) dan enjoyment (keseronokan).
Dalam
arus persejagatan yang dialami sekarang, kemampuan seseorang menguasai
ilmu pengetahuan dan kemahiran baru merupakan kunci utama untuk
mendapatkan tawaran pekerjaan. Di dalam masyarakat workaholic seperti
bangsa Jepun, kesedaran tentang kepentingan pembelajaran sepanjang
hayat ini mencetuskan satu keadaan yang dikenali sebagai "employability fever" di
mana ahli masyarakatnya bersikap tekad untuk memiliki kelulusan atau
kemahiran tertentu bagi menjamin mereka memperolehi peluang pekerjaan di
dalam bidang yang mereka minati.
Jika
di peringkat orang perseorangan, pembelajaran sepanjang hayat ini
merupakan satu kelebihan bagi mendapatkan peluang pekerjaan tetapi di
peringkat syarikat mahupun negara, ia merupakan pemangkin utama untuk
meningkatkan penguasaan pasaran dan mencapai daya saing ekonomi yang
mapan.
Apabila
seseorang itu memperolehi pekerjaan yang diingini menerusi
kesungguhannya mempelajari sesuatu yang baru atau sesebuah negara
mencapai daya saing yang tinggi hasil kecemerlangan yang ditunjukkan
oleh rakyatnya, secara tidak langsung mereka mempunyai lebih keupayaan
atau kuasa untuk menentukan hala tuju yang ingin dicapai seterusnya.
Inilah juga yang dirujuk oleh Knassel, Meed and Rossetti tadi sebagai empowerment.
Selain
memberi ruang yang lebih dalam bidang pekerjaan mahupun keupayaan dalam
menentukan sesuatu, pembelajaran sepanjang hayat juga merupakan satu
keseronokan (enjoyment) kepada mereka yang cintakan ilmu
pengetahuan dan sesuatu yang baru. Dalam banyak keadaan, belajar kerana
seronok akan memudahkan lagi usaha memahami atau menghayati sesuatu
perkara dan seterusnya akan mendorong seseorang itu untuk mengetahui
dengan lebih lanjut lagi tentang perkara tersebut.
Jika
kita ingin mengaitkan konsep pembelajaran sepanjang hayat ini dengan
ajaran agama Islam, ia bukanlah sesuatu yang sukar. Malah wahyu pertama
yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w di dalam surah al-‘alaq adalah berupa satu suruhan supaya baginda membaca walaupun baginda seorang yang buta huruf (ummiyy) dan sudah berusia 40 tahun pada masa tersebut.
Justeru,
intisari wahyu pertama itu juga menjelaskan kepada kita bahawa Allah
s.w.t mewajibkan umat manusia supaya menuntut ilmu pengetahuan. Selain
daripada itu, apa yang dapat dicerap daripada wahyu ini juga ialah batas
usia mahupun kekangan-kekangan yang ada, baik yang berupa halangan
kebendaan, kewangan mahupun fizikal tidak seharusnya dijadikan sebagai
suatu halangan kepada kita untuk menuntut ilmu kerana dalam agama Islam
ia merupakan satu proses yang berterusan dan berpanjangan.
Arahan ini diperkukuhkan lagi oleh sabda nabi s.a.w di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bermaksud : "Menuntut ilmu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam."
Tanpa
menjurus kepada satu lingkungan umur yang tertentu, kefarduan yang
termaktub di dalam hadis di atas dapat difahami sebagai merangkumi semua
peringkat usia umat Islam, baik yang muda mahupun yang dewasa atau yang
tua, kaya mahupun miskin.
Jika kita
kembali kepada sejarah kegemilangan ilmuwan Islam, pemahaman bahawa ilmu
itu wajib dituntut walau dalam keadaan apa jua sekalipun telah
melahirkan tokoh-tokoh terbilang seperti Iman Shafie (lahir sebagai
seorang anak yatim yang miskin), Ibn Taimiyyah (lahir semasa keadaan
siasah Islam berada dalam kacau bilau, al-Jahiz (seorang abdi berkulit
hitam) dan lain-lain lagi.
Dalam
konteks negara Malaysia, usaha untuk menyemarakkan faham pembelajaran
sepanjang hayat ini dapat dilihat menerusi iltizam kerajaan yang
dinyatakan di dalam Teras Kedua Misi Nasional yang dimuatkan di dalam
Rancangan Malaysia Ke-9. Walaupun dalam hal ini, kerajaan kita agak
terlewat jika dibanding dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan Korea
Selatan mahupun Singapura kerana mereka bermula seawal pertengahan tahun
1990 an dan awal 2000 lagi, tetapi ia bukanlah satu alasan untuk kita
tercicir daripada arus kemajuan dalam bidang keilmuan ini.
Pernyataan
Teras Kedua itu antara lain menegaskan bahawa kejayaan negara
bergantung kepada mutu modal insan yang dimiliki. Sehubungan dengan itu,
kerajaan Malaysia telah membuat iltizam untuk melaksanakan usaha
penambahbaikan sistem pendidikan negara secara menyeluruh, dari
peringkat pra sekolah hinggalah ke peringkat tinggi dan juga vokasional.
Tidak seperti Knassel, Meed
and Rossetti yang hanya menggariskan unsur peluang pekerjaan, keupayaan
dan keseronokan sebagai dorongan utama kepada seseorang itu untuk
belajar, matlamat pembangunan modal insan kerajaan Malaysia adalah lebih
syumul dan bersifat lebih bersepadu (holistic). Ia
berhasrat untuk melahirkan modal insan yang tinggi daya akal fikirannya
tetapi pada masa yang sama mempunyai keperibadian yang unggul.
Apapun,
kita sememangnya mengimpikan apa yang direncanakan kerajaan menjadi
suatu kenyataan. Apalah guna menjadi satu bangsa yang maju jika
kepentingan akhlak dan budi pekerti dikesampingkan. Sebaliknya kita mahu
menjadi satu ummah yang seimbang dan cemerlang dalam semua perkara. Ini
adalah bertepatan dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan
al-Hakim di mana Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Kemuliaan manusia adalah agamanya, harga dirinya (kehormatannya) adalah akalnya dan ketinggian kedudukannya adalah akhlaknya
|
7 Salamun / 7 Ayat Keselamatan (Salamun) 7 Ayat Keselamatan (Salamun) ini dibaca masing-masing 7x setiap sehabis sholat subuh dan maghrib, InsyaAllah kita akan terbebas dari segala macam bahaya dan mendapat perlindungan Allah SWT 1. Salamun Qaulam Mirrabbirrahim 7x 2. Salamun Ala Ibrahim 7x 3. Salamun Ala Nuhin Fil Alamin 7x 4. Salamun Ala Musa Wa Harun 7x 5. Salamun Alaikum Thibtum Fadhkhuluna Khalidin 7x 6. Salamun Ala Ilyasin 7x 7. Salamun Hiya Hatta Mat La'il Fajr Telah kubaca ayat-ayat suci di dalam Qalam Ilahi, dalam surat As-Shaffat. Ada satu hal yang sangat membuat jiwa ini ikut merindukan untuk mendapatkannya. Di dalam surat As-Shaffat dikisahkan para Nabi dan Rasul yang mulia. Para utusan Allah tersebut mendapat ucapan salam. Sebuah salam yang sangat indah. Sangat indah sekali.. Karena salam itu berasal dari Ar-Rahim, Allah Yang Maha Penyanyang: “Salamun ‘ala nuhin fil ‘alamin.” “Kesejahteraan (Kami limpahkan) atas Nuh di seluruh alam.” “Salamun ‘
Comments
Post a Comment