TIADA PAKSAAN DALAM AGAMA


  Sinopsis:
Tiada Paksaan Dalam Agama menjawab soalan penting mengenai isu kebebasan beragama, masalah murtad dan apakah respon Islam terhadap orang-orang yang memilih untuk keluar dari Islam mengikut kehendak Al Quran dan Sunnah. Apakah orang-orang yang murtad mesti dikenakan hukuman bunuh? Pernahkan Rasulullah saw melaksanakan hukuman bunuh kepada seseorang yang tidak pernah melakukan kesalahan selain dari itu apabila dia memilih untuk keluar dari Islam? Dr al-Alwani merungkai semua ini dengan membawakan pelbagai hujah fiqh ulamak-ulamak Islam dan sejarah bagaimana hukuman murtad dikenakan sejak dari zaman awal Islam.

Dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman;

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ

Maksudnya;
“Tidak ada paksaaan dalam agama. Sesungguhnya telah nyata kebenaran daripada kebatilan”

[surah Al-Baqarah : 256]

Ayat ini, memperlihatkan kepada kita bahawa Islam bukan agama yang memaksa. Seseorang yang tidak beragama islam, kita tidak boleh paksa mereka agar menerima Islam, tetapi tugas yang Allah berikan kepada kita adalah, berbincang, berwacana, menyeru dan mengajak mereka kepada islam dengan kebijaksanaan yang ada atas nama dakwah islamiyyah.

Sekiranya mereka menerima Islam, maka itu merupakan kejayaan yang gemilang. Adapun jika mereka tidak mahu menerima, maka ia merupakan ujian dari Allah, agar kita meningkatkan lagi usaha dan kebijaksanaan dalam menerang dan menyampaikan islam.

Seseorang yang yang tidak menerima Islam, adalah dilarang diperangi mereka, iaitu selagi mereka tidak menzalimi, mengkhianati atau menafikan hak orang lain. Pun begitu, tugas sebagai pendakwah, wajib diberi penerangan dan menyeru mereka kepada Islam dengan segala kebijaksanaan atas nama dakwah.

Adapun jika mereka tidak menerima Islam sehingga melakukan kezaliman, menafikan hak manusia dan melakukan pengkhianatan terhadap orang lain, maka golongan sebegini baru boleh diperangi.

Aku menilai ini, berdasarkan kepada neraca Allah SWT dalam isu pembunuhan terhadap orang murtad. Ini kerana, menurut seorang pakar fiqh maqasid syariah dari negara maroco sehingga beliau mendapat jolokkan Imam As-Syatibi abad moden, Dr Ahmad Ar-raisuni, bahawa orang yang murtad yang wajib dibunuh adalah orang yang murtad yang disifatkan sebagai ‘riddah muharabah’, iaitu melakukan serangan dan pengkhianatan terhadap orang islam yang lain. Adapun semata-mata murtad, tetapi tidak mengkhianati atau melakukan serangan terhadap orang islam, malahan terhadap orang bukan islam [seperti setelah murtad, melakukan propaganda jahat dalam memburukkan islam], maka orang sebegini tidak boleh dihukum bunuh.

Ini kerana, Dr Ahmad Raisuni menyatakan bahawa nas-nas ilahi dalam menceritakan murtad ini, didapati diceritakan ‘uqubah akhirat sahaja, tanpa dinyatakan tentang ‘uqubah dunia.

Firman Allah;

وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ وَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya;
“barangsiapa murtad dari kalangan kamu daripada agamanya, lalu dia mati, maka dia adalah kafir. Maka terbatal segala amalan mereka di dunia dan di akhirat. Mereka adalah ahli neraka, dan kekal dalamnya selama-lamanya”

[surah al-Baqarah : 217]

Dalam ayat ini, Allah SWT menyatakan akibat buruk yang bakal diterima diakhirat bagi mereka yang keluar dari agama [murtad]. Namun, dalam ayat ini tidak dinyatakan akibat dunia.

Begitujuga firman Allah dari surah Muhammad;

إِنَّ الَّذِينَ ارْتَدُّوا عَلَى أَدْبَارِهِمْ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْهُدَى الشَّيْطَانُ سَوَّلَ لَهُمْ وَأَمْلَى لَهُمْ

Maksudnya;
“Sesungguhnya orang-orang yang kembali ke belakang (kepada kekafiran) sesudah petunjuk itu jelas bagi mereka, syaitan telah menjadikan mereka mudah (berbuat dosa) dan memanjangkan angan-angan mereka”

[surah muhammad : 25]

Sepertimana yang kita tahu, dalam Al-Quran banyak mendatangkan nas-nas yang menceritakan tentang ‘uqubah pada jenayah-jenayah yang lain, seperti zina, mencuri, hirabah [memerangi kerajaan Islam] dan membunuh. Justeru, mengapa dalam bab murtad, Allah SWT tidak mendatangkan nas tentang hukumannya semasa di dunia?

Lantaran, kupasan tentang murtad ini, dibahagikan oleh Dr Ahmad Ar-Raisuni kepada dua jenis, iaitu ‘Riddah Mujarradah’ dan ‘Riddah Muharabah’. Riddah mujarradah, adalah semata-mata keluar dari Islam, tetapi tidak melakukan pengkhianatan, kezaliman, atau menyerang sesebuah kerajaan Islam. Adapun riddah muharabah adalah, keluar Islam disamping melakukan pengkhianatan dan menyerang Islam dan kerajaan Islam.

Bagi riddah mujarradah, ia tidak dikenakan hukuman bunuh dibawah hukuman hudud, tetapi hukuman bunuh ini dikenakan kepada orang yang murtad dibawah maksud riddah muharabah.

Ini disandarkan kepada hadis-hadis berikut;

Daripada Abdullah berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda;

لَا يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَّا بِإِحْدَى ثَلَاثٍ النَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالثَّيِّبُ الزَّانِي وَالْمَارِقُ مِنْ الدِّينِ التَّارِكُ لِلْجَمَاعَةِ

Maksudnya;
“tidak halal dalam seseorang islam yang mengucap syahadah ‘tiada tuhan melainkan Allah, dan sesungguhnya Aku adalah Rasulullah’ kecuali salah satu daripada tiga; nyawa dengan nyawa, zina bagi orang yang sudah merasai jimak yang sah dan keluar dari agama, meninggalkan jemaah”

[Al-Bukhari : 6370]

Dalam hadis ini, kalimah ‘al-Mariq min ad-din’ ini dihubungkan dengan kalimah ‘at-tarik li al-jamaah’. Ekoran itu, ia mempunya tafsiran yang tidak tertumpu kepada orang yang semata-mata keluar Islam sahaja.

Justeru, tafsiran bagi ‘at-tariq li al-jamaah’ ini, ditafsirkan sebagai ‘muharabah’, iaitu menyerang kerajaan islam [termasuk mengkhianati dan melakukan kezaliman terhadap islam dan orang Islam]. Penafsiran ini, dilihat pada hadis lain. Iaitu hadis Aisyah, bahawa Nabi SAW ada bersabda;

لَا يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ إِلَّا بِإِحْدَى ثَلَاثٍ رَجُلٌ زَنَى بَعْدَ إِحْصَانٍ فَإِنَّهُ يُرْجَمُ وَرَجُلٌ خَرَجَ مُحَارِبًا لِلَّهِ وَرَسُولِهِ فَإِنَّهُ يُقْتَلُ أَوْ يُصْلَبُ أَوْ يُنْفَى مِنْ الْأَرْضِ أَوْ يَقْتُلُ نَفْسًا فَيُقْتَلُ بِهَا

Maksudnya;
“tidak halal darah seseorang muslim yang mengucap syahadah ‘bahawa tiada tuhan kecuali Allah, dan sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh Allah’ kecuali salah satu daripada tiga perkara; [1] lelaki yang berzina setelah dia muhsin, maka dia hendaklah direjam. [2] Lelaki yang keluar [daripada agama] dalam keadaan menyerang Allah dan Rasul-Nya, maka hendaklah ia dibunuh atau disalib, atau dihalau keluar dari negara. Atau [3] orang yang membunuh, maka hendaklah dia dibunuh dengan sebab dia membunuh”

[Abu Daud : 3789]

Dalam riwayat An-Nasai, dinyatakan bahawa nabi SAW bersabda;

رَجُلٌ يَخْرُجُ مِنْ الْإِسْلَامِ يُحَارِبُ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَرَسُولَهُ فَيُقْتَلُ أَوْ يُصْلَبُ أَوْ يُنْفَى مِنْ الْأَرْضِ

Maksudnya;
“lelaki yang keluar dari Islam dalam keadaan dia menyerang Allah SWT dan Rasulnya, maka hendaklah dia dibunuh, atau disalib atau dibuang daripada negara”

[an-nasai : 3980]

Dari perbahasan ini, difahami bahawa orang yang keluar dari islam [murtad] yang dibunuh adalah orang murtad dibawah maksud ‘riddah muharabah’, bukan ‘riddah mujarradah’.

Inilah yang dimaksudkan dengan hadis Abdullah bin Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda;

مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ

Maksudnya;
“Barangsiapa yang tukar agamanya, maka bunuh olehmu akannya”

[Al-Bukhari 2794]

Sekian

Baca sama : حرية الإعتقاد و قضية الردة في الإسلام

Wallahu ‘Alam

http://g-82.blogspot.com/2010/09/tiada-paksaan-dalam-agama-jom-berwacana.html

Comments

Popular posts from this blog