Apakah dengan kematian, terputus segala amalan?
Prof Madya Dr Musa Fathullah Harun
Imam
Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu Dawud, Ahmad dan Al-Darimi telah
meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
“Apabila
manusia mati, terputuslah daripadanya segala amalannya, kecuali tiga
perkara: sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang soleh
yang berdo’a untuknya”.
Imam Ahmad, Muslim, Tirmizi, Nasai, Abu
Daud dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Jarir r.a. bahawa Rasulullah
s.a.w. bersabda:
“Barangsiapa memulakan jalan yang baik dalam
Islam, maka baginya pahalanya dan juga pahala orang yang beramal
dengannya selepasnya tanpa dikurangi daripada pahala mereka sedikitpun
juga, dan barangsiapa memulakan jalan yang buruk dalam Islam, maka
atasnya dosanya dan juga dosa orang yang beramal dengannya tanpa
dikurangi daripada dosa mereka sedikitpun juga”.
Daripada kedua
hadis tersebut kita mengambil kesimpulan bahawa meskipun, dengan
datangnya kematian kepada kita, kesempatan untuk beramal telah terputus
atau terhenti, tetapi peluang untuk memperoleh pahala amalan tertentu
tetap terbuka bagi kita.
Di dalam kedua hadis tersebut,
Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan kepada kita bidang-bidang pelaburan
yang pasti akan menguntungkan kerana pahalanya akan berterusan mengalir
selepas kematian kita, iaitu:
Pertama: sadaqh jariyah, iaitu
sedekah yang pahalanya terus mengalir selama faedah atau manfaat yang
disedekahkan itu terus berjalan, seperti menderma atau mewakafkan tanah
untuk masjid, surau, madrasah atau lain-lain yang berguna bagi agama dan
umat Islam.
Kedua: menuntut dan mengembangkan ilmu-ilmu yang
bermanfaat bagi agama dan umat, menghidupkan majlis-majlis ilmu atau
pengajian-pengajian, dan lain-lain usaha yang membantu ke arah
perkembangan ilmu pengetahuan yang dituntut oleh agama.
Ketiga: memperhatikan pendidikan anak-anak agar mereka menjadi anak yang soleh, yang sentiasa berdo’a untuk kedua ibu-bapanya.
Keempat:
setiap amalan yang mendatangkan kebaikan, yang selari atau tidak
bercanggah dengan syariat, yang kita mulakan melakukannya semasa hidup
kita, kemudian diikuti oleh orang ramai sehingga menjadi adat kebiasaan
bagi mereka, maka kita akan mendapat pahala melakukannya dan juga
sebanyak pahala orang yang mengikutinya.
Amalan yang hidup untuk yang mati
Mengenai
amalan orang yang hidup, seperti bacaan Al-Qur’an, do’a, sedekah dan
lain-lain, untuk orang yang sudah mati, terdapat perbezaan pandangan:
Imam Nawawi, di dalam kitabnya Al-Adzkaar, menyatakan bahawa para ulama
telah bersepakat bahawa do’a untuk orang-orang yang sudah mati
bermanfaat bagi mereka, dan pahalanya sampai kepada mereka bersandarkan
kepada firman Allah SWT di dalam surah Al-Hasyr:
“Dan
orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdo’a
dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, ampunilah dosa kami, dan dosa
saudara-saudara kami yang mendahulu kami dalam iman,…”.
Dan juga bersandar kepada hadis-hadis yang masyhur, seperti: do’a Rasulullah s.a.w.:
“Ya Allah, ampunilah bagi ahli yang hidup dan juga yang mati daripada kami”, dan lain-lain.
Mengenai bacaan Al-Qur’an, terdapat perbezaan pandangan:
Yang
masyhur daripada mazhab Syafi’ie bahawa pahala bacaan tersebut tidak
sampai kepada si mati. Tetapi, sekumpulan sahabat Imam Syafi’e sendiri
sependapat dengan Imam Ahmad dan sekumpulan ulama lainnya, yang
mengatakan bahawa bacaan tersebut bermanfaat dan sampai pahalanya kepada
si mati.
Imam Nawawi r.a. telah menukil riwayat Abi Dawud dan Baihaqi daripada Uthman Bin Affan r.a. bahawa beliau berkata:
“Nabi
s.a.w., apabila selesai daripada mengebumikan mayat, berdiri di
atasnya, kemudian bersabda: Mohonlah keampunan bagi saudaramu, dan
mintakan baginya ketabahan, kerana sesungguhnya ia sekarang sedang
disoal”.
Imam Syafi’ie r.a. dan sahabat-sahabatnya menyatakan
bahawa disunatkan membaca sebahagian daripada Al-Qur’an, dan jika mereka
mengkhatamkan seluruhnya adalah lebih baik lagi.
Imam Nawawi
juga telah menukil riwayat Baihaqi bahawa menurut Ibnu Umar r.a.
disunatkan membaca awal dan penghabisan daripada surah Al-Baqarah,
selepas pengembumian di atas kubur.
Segolongan kaum muslimin
berpendapat bahawa orang mati tidak akan mendapat sebarang faedah
daripada amalan orang yang hidup. Mereka berhujjah dengan firman Allah
SWT di dalam surah Al-Najm: 39:
“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”.
Dan mereka juga berhujah dengan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila
manusia mati, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara:
sedekah jariyah(untuk masjid, surau, madrasah dan lain-lain keperluan
kaum muslimin), ilmu yang dimanfaatkan, atau anak yang soleh yang
berdo’a untuknya”.
Hasan Al-Saqqaf telah menukil jawaban Imam
Abdullah Ibnu al-Siddiq al-Ghamawi di dalam risalahnya, Tawdih al-Bayan
Li Wusul Thawab al-Qur’an, yang di antara kandungannya:
“Ayat
tersebut (Al-Najm:39)tidak menafikan bolehnya seseorang mengambil
manfaat daripada usaha orang lain. Yang dinafikan olehnya adalah
pemilikan manfaat tersebut bagi selain yang mengusahakannya. Di antara
kedua perkara tersebut terdapat perbezaan yang nyata.
Allah SWT
mengkhabarkan bahawa manusia tidak memiliki selain yang diusahakannya.
Adapun yang diusahakan oleh orang lain, maka ia adalah milik yang
mengusahakannya: jika ia ingin ia boleh memberikannya kepada orang lain,
dan jika ia ingin ia boleh mengekalkannya bagi dirinya sendiri. Allah
SWT tidak memfirmankan bahawa ia tidak akan mengambil manfaat melainkan
dengan apa yang ia usahakan.
Imam Qurtubi berkata: Dikatakan
sesungguhnya Allah berfirman; laam al-khafd dalam bahasa Arab bererti
memiliki dan mewajibkan, maka makna ayat: Tidak wajib bagi manusia
selain yang ia usahakan. Jika orang lain bersedekah kepadanya, maka
tidak wajib baginya sesuatu, tetapi Allah Azza Wa Jalla bermurah hati ke
atasnya dengan memberikan apa yang tidak wajib baginya, sebagaimana
Allah bermurah hati dengan memasukkan kanak-kanak ke dalam Syurga tanpa
amal.
Syaikh Abul Abbas, Ahmad Bin Taimiyah berkata: Barangsiapa
yang mengiktiqadkan bahawa manusia tidak akan mengambil faedah selain
daripada apa yang ia lakukan, maka ia telah menyalahi ijma’. Yang
demikian adalah batil dari beberapa segi:
Pertama: Manusia mengambil faedah daripada do’a orang lain, yang bererti mengambil manfaat daripada amalan orang lain.
Kedua:
Nabi s.a.w. memberi syafaat kepada ahl al-mawqif (semua manusia yang
menunggu penghisaban di Mahsyar) untuk menyegerakan penghisaban,
kemudian kepada ahli Syurga untuk memasukkan mereka ke dalam Syurga,
kemudian bagi ahl al-kabair (orang-orang yang melakukan dosa besar)
untuk mengeluarkan mereka dari neraka.
Ketiga: Para malaikat berdo’a dan memintakan ampunan bagi penduduk bumi.
Keempat:
Allah SWT mengeluarkan orang yang belum pernah melakukan sebarang
kebaikan dari neraka kerana semata kemurahan dan rahmatNya. Ini bermakna
mereka mengambil manfaat daripada selain amalan mereka.
Kelima: Kanak-kanak orang mukmin memasuki Syurga dengan amalan bapa mereka.
Keenam: Dalam surah al-Kahfi, dua anak yatim mengambil manfaat daripada amalan bapa mereka yang soleh.
Ketujuh: Mayat mengambil manfaat dengan sedekah yang dibuat untuknya, dengan nas Al-Sunnah dan ijma’.
Kelapan: Haji wajib gugur tuntutan ke atas mayat dengan haji yang dilakukan oleh Walinya untuknya, dengan nas Al-Sunnah.
Kesembilan: Haji nazar atau puasa nazar gugur tuntutan ke atas mayat dengan dilakukan oleh orang lain.
Kesepuluh:
Orang yang berhutang, yang Nabi s.a.w. menolak untuk solat ke atas
jenazahnya sehingga dibayarkan hutangnya oleh Abu Qotadah r.a., dan
dibayarkan hutang lainnya oleh Ali Bin Abi Talib r.a., mengambil manfaat
daripada amalan mereka dan daripada solat Nabi s.a.w., yang juga
merupakan amalan orang lain.
Dengan huraian ini jelaslah bahawa
berhujah dengan ayat tersebut atas tidak sampainya pahala do’a atau
bacaan kepada mayat adalah tidak benar, kerana ayat tersebut tidak
menunjukkan yang demikian.
Imam Nawawi berkata:
“Sebaiknya,
orang yang membaca (Al-Qur’an), selepas selesai membacanya, hendaklah
berdo’a: Ya Allah sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada si Fulan, dan
juga disunatkan supaya memuji si mati dan menyebut
kebaikan-kebaikannya”.
http://www.arieyblog.com
Comments
Post a Comment