AMALAN SEDEKAH PALING AFDHAL PADA BULAN RAMADHAN
AMALAN bersedekah yang amat dianjurkan Islam dan akan mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT.
Rasulullah SAW sentiasa menunjukkan teladan kepada umatnya dalam perbuatan bersedekah. Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Jagalah kalian dari neraka, meskipun hanya dengan separuh kurma.’ (Hadis Bukhari).
Di sini jelas kepada kita bahawa Islam sangat menekankan kepada
amalan bersedekah dan nilai sedekah itu tidaklah hanya tertakluk kepada
banyaknya yang dihulurkan seseorang, akan tetapi terletak pada nilai
keikhlasan niat di hati.
Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Barang
siapa yang bersedekah sebesar biji kurma dari hasil yang baik dan Allah
SWT hanya menerima sesuatu yang baik saja. Nescaya Allah SWT akan
menerimanya dengan tangan kanan-Nya, lalu memeliharanya untuk diberikan
kepada pemiliknya sebagaimana salah seorang daripada kalian memelihara
anak kudanya hingga (pahala sedekahnya itu) menjadi seperti gunung”.
(Hadis Bukhari).
Begitulah indahnya ajaran Islam yang menggalakkan umatnya bersedekah
dan Allah SWT sendiri menjamin pahala untuk orang yang mengamalkannya
sebagai agenda kehidupan mereka.
Menyentuh aspek bersedekah, Islam tidak pernah mengehadkan tempoh
masa malahan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa saja mengikut
kemampuan seseorang. Namun demikian, amalan bersedekah yang paling afdal
di sisi Allah SWT ialah ketika bulan Ramadan.
Ini dapat kita perhatikan menerusi satu hadis Nabi bermaksud, dari Ibnu Abbas, berkata: “Rasulullah
SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya
pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya
setiap malam Ramadan, lalu tadarus al-Quran (dengan Nabi SAW). Sungguh
Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih bermurah hati
dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak daripada tiupan angin.’
(Hadis Bukhari dan Muslim)
Jadi berasaskan kepada hadis itu dapat disimpulkan bahawa kita
sebagai umat Islam sangat dituntut dalam membudayakan amalan bersedekah,
lebih-lebih semasa menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh
berkat itu.
SUMBER: Berita Harian Online
Comments
Post a Comment