Tidak masuk syurga memutuskan silaturrahim
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah S.A.W, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Hukum memutuskan silaturrahim
Memutuskan
silaturrahim pula hukumnya haram dan dikira melakukan maksiat besar
sehingga mendapat laknat dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, Sebagaimana
firmanNya:
Maksudnya:
“(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus
dibimbang dan dikhuatirkan-jika kamu dapat memegang kuasa-kamu akan
melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim
dengan kaum kerabat?. (Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang
tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran
mereka, dan dibutakan penglihatannya.” (Surah Muhammad: Ayat 22-23)
Apatah lagi orang yang memutuskan silaturrahim ini tidak masuk syurga, sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam .
Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.” (Hadits riwayat Muslim)
Bagaimana menghubungkan silaturrahim?
Menurut Ibnu
Abu Jamrah bahawa hubungan silaturrahim boleh dieratkan dengan memberi
harta, memberi bantuan dan pertolongan dalam menyampaikan hajat, menolak
kemudharatan, bersemuka, mendoakan, mengeratkan dengan apa yang
termampu daripada perkara kebajikan dan menolak apa yang termampu
daripada keburukan.
Sementara bagi
mereka yang jauh bolehlah juga berhubung dan berkirim salam dengan
berutus surat, akan tetapi jika mampu adalah afdhal untuk menziarahi
mereka.
Begitu juga dengan mendermakan harta kepada kaum kerabat.
Bersedekah kepada kaum kerabat adalah lebih afdhal dari orang lain, sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya:
“Memberi sedekah kepada orang miskin dikira: satu sedekah, dan memberi
sedekah kepada mahram dikira dua iaitu: sedekah dan mengeratkan
hubungan.” (Sunan ad-Darimi)
Bolehkah menjalinkan hubungan silaturrahim dengan orang kafir?
Dalam hal ini, Allah Subhanahu Wa Ta’ala tidak melarang berbuat baik kepada orang kafir sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya:
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada
orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah
mengasihi orangorang yang berlaku adil. (Surah al-Mumtahanah: Ayat 8)
Keistimewaan atau kelebihan mengeratkan silaturrahim
Orang yang
mengeratkan silaturrahim akan mendapat sepuluh kelebihan yang terpuji
sepertimana disebutkan dalam kitab Bujairimi Ala al-Khatib:
1. Allah Subhanahu Wa Ta’ala redha kerana Dia memerintahkan supaya mengeratkan silaturrahim.
2. Membawa kebahagiaan.
3. Para malaikat gembira kerana mereka gembira dengan eratnya silaturrahim itu.
4. Memperolehi pujian yang baik daripada orang.
5. Mengisi kesedihan Iblis.
6. Dipanjangkan umur.
7. Memperoleh keberkatan rezeki.
8. Orang yang meninggal dunia mendapat kebahagiaan kerana keturunannya gembira dengan eratnya silaturahim itu.
9. Bertambah-tambah kehormatannya.
10.Bertambah-tambah pahala selepas matinya kerana orang-orang mendoakannya setiap kali disebut kebaikkanya.
Oleh yang
demikian, eratkanlah silaturrahim dalam mencapai keistimewaan yang
tersebut di atas dan jauhilah dari perkara yang boleh memutuskannya.
Tanganilah masalah keluarga dengan perasaan rasional dan eratkanlah
semula perhubungan yang sudah retak itu dengan rasa kesedaran serta
keinsafan, apatah lagi kerana mereka yang tidak mahu berdamai itu akan
dipertangguhkan keampunannya, sepertimana hadis Rasullullah Shallallahu
‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya:
“Dibuka pintu-pintu syurga itu pada hari Isnin dan Khamis, Setiap orang
yang tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu apapun akan diampuni,
kecuali seseorang yang sedang dalam permusuhan dengan saudaranya.
Dikatakan: Tangguhkanlah keduanya sampai mereka mau berdamai.
Tangguhkanlah keduanya sampai mereka mau berdamai.Tangguhkanlah keduanya
sampai mereka mau berdamai.” (Hadits riwayat Muslim)
Begitu juga
mendamaikan di antara dua pihak yang berselisih itu hendaklah dengan
adil dan saksama dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak yang
berselisih, kerana semua orang yang beriman itu bersaudara dan
bertanggungjawab dalam mendamaikan saudaranya yang lain sebagaimana
firman Allah Subahanahu Wa Ta’ala:
Tafsirnya:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah
di antara kedua saudara (kamu yang bertelingkah) itu. (Surah Al-Hujurat: Ayat 10)
(Sumber::Jabatan Mufti Brunei.Bilangan 269).
Comments
Post a Comment