Hadith palsu kelebihan Tarawih
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata’ala, Selawat dan Salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu ‘Alaihi Wasallam serta para sahabatnya.
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan
Tarawih pada malam-malam Ramadan telah tersebar dengan meluas sekali.
Media elektronik, cetak serta media massa lain turut memainkan peranan
menyebarkannya melalui akhbar, dairi Islam, TV, radio, risalah dan
lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha
menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam
bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis
yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang
sebahagian darinya adalah seperti berikut.
Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah
bersabda berkenaan dengan fadilat sembahyang Tarawih pada bulan Ramadan
antaranya:
- Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
- Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
- Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
- Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
- Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.
- Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.
- Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh
Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama
tanah air mengenai kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil,
semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam
kitab induk hadis seperti Sunah Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi,
ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu
(maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan
bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga
ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak
mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan
sembahyang Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita
tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang
menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan
sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya
hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis
Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama
kita dahulu.
Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang
yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat
sebagaimana sabdanya: Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku
maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)
Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai
keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan
keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin
beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah
(targhib dan tarhib).
Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu’ah selepas membawakan lebih
dari seratus riwayat hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad
s.a.w. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam
Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang
mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini
maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka
bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia
termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam
pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara hadis tentang
hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis
yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis
nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa
dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia
berkata: Ulama sudahpun sepakat mengenai haram berdusta atas nama
orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah
syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan
atas Allah juga. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan
mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan
wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).
Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin
untuk melakukan amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering
dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang
sebenarnya hadis itu pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti
contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu
meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan
ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah
seperti meruntuhkan Kaabah.
Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)
Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)
Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya, namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.
Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah:
1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang
terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang
berjuang bersama dengan nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau
mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun
setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai
kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan
seorang nabi.
2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan
yang dilakukan sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat
sebagaimana tersebut dalam Al-Qur’an dan hadis-hadis sahih.
3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi
Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti
yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.
4. Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai
dengan "Ya Ali" sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang
dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih.
Yang lainnya palsu.
Oleh itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi
agama di peringkat negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap
perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi
pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu
dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya
tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai
masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat
pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan
menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.
DARUL QURAN WAS-SUNNAH Lot 1499, Taman Seri Demit, Jalan Sultanah Zainab 2
Kubang Kerian , 16150 Kota Bharu, Kelantan.
http://fitrahislami.wordpress.com
Comments
Post a Comment