KEWAJIPAN RAMADHAN DAN SUKAN OLIMPIK

 

by Hashim Al-Maranji on Thursday, July 26, 2012 ·
Isu berhubung atlet yang beragama Islam dalam menyertai Sukan Olimpik 2012 yang diadakan pada bulan Ramadan menjadi perhatian ramai pihak kerana membabitkan perbincangan bagi ibadah puasa terhadap atlet tersebut. Sukan Olimpik tersebut diadakan di London, England, United Kingdom bermula 27 Julai sehingga 12 Ogos 2012.[1]

Sehubungan itu, MANHAL PMRAM membahagikan perbincangan kepada beberapa bahagian iaitu :

Kewajipan Puasa Dalam Bulan Ramadan

Ibadah puasa dalam bulan Ramadan merupakan satu kewajipan dan salah satu daripada rukun Islam yang lima.

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Muaz bin Jabal RA berkata[2] :

فإن رَسُولَ اللَّهِ صلى اللَّهُ عليه وسلم قَدِمَ الْمَدِينَةَ فَجَعَلَ يَصُومُ من كل شَهْرٍثَلاثَةَ أَيَّامٍ وَصَامَ عَاشُورَاءَ وَصَامَ سَبْعَةَ عَشَرَ شَهْرًا من رَبِيعٍ إلى شَهْرِ رَبِيعٍ إلى شَهْرِ رَمَضَانَ ثُمَّ إِنَّ اللَّهَ عز وجل فَرَضَ عليه شَهْرَ رَمَضَانَ فَأَنْزَلَ عليه كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ

 "Sesungguhnya Rasulullah SAW tiba di Madinah, maka baginda SAW berpuasa pada hari 'Asyura dan puasa 3 hari tiap-tipa bulan. Dan adalah baginda berpuasa sedemikian selama 17 bulan bermula bulan Rabiulawal sehingga Rabiulawal tahun seterusnya sehingga masuk ke bulan Ramadan. Selepas itu, Allah mensyariatkan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan dengan menurunkan ayat mengenai kewajipan berpuasa (yang bermaksud ):
“Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa,” (Surah Al-Baqarah : 183)

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA, Nabi SAW bersabda,

"Dibina Islam itu atas 5 asas, penyaksian bahawa sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa dalam bulan Ramadan dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan.” (Bukhari dan Muslim)

Dalam ilmu usul fiqh kewajipan puasa dalam bulan Ramadan termasuk dalam ketegori wajib mudhaiyaq (sempit)[3]. Maka wajib mudhaiyaq (sempit) merujuk kepada tempoh puasa tersebut yang hanya pada bulan Ramadan, tidak pada bulan yang lain serta menjadi kewajipan setiap tahun bagi mereka yang cukup syarat iaitu Islam, baligh, berakal, bermukim dan mampu dari sudut syara’ dan kemampuan.[4]

Justeru, kewajipan puasa dalam bulan Ramadan merupakan wajib mudhaiyaq(sempit) yang tidak ada pilihan waktu lain untuk ditangguhkan bahkan menjadi kewajipan untuk dilaksanakan pada setiap tahun apabila cukup syarat. Ia berbeza dengan dengan kewajipan Haji yang merupakan wajib muwassa’ (luas) yang memberikan ruang waktu yang lain jika ada penangguhan. Maka dalam kewajipan puasa dalam bulan Ramadan tidak timbul soal ‘tangguh’.

Adapun rukhsoh (keringanan) yang diberikan kepada beberapa golongan bukanlah merupakan tangguh akan tetapi sebagai keringanan bagi golongan yang diberikan keuzuran untuk berbuka dalam masa yang sama wajib ganti puasa pada hari yang dibuka pada hari lain. Maka wajib ganti tersebut merupakan dalil bahawa kewajipan puasa tidak boleh ditangguh bahkan golongan yang diberikan rukhsoh (keringanan) dikenakan puasa ganti. Dan juga golongan yang tidak mampu untuk berpuasa seperti orang tua yang memang tidak mampu berpuasa dan orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh dikenakan bayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan puasa. Hal ini menunjukkan bahawa kewajipan puasa dalam Ramadan tidak boleh ditangguhkan.

Golongan Yang Mendapat Rukhsoh Dalam Berpuasa

Terdapat beberapa golongan yang diberikan rukhsoh (keringanan) dalam berpuasa. Rukhsoh (keringanan) yang diberikan merupakan pilihan kepada orang yang berpuasa tersebut sama ada untuk meneruskan puasa atau berbuka namun menggantikannya pada hari yang lain.

Golongan yang diberikan rukhsoh (keringanan) ialah :

1-   Musafir

-  Musafir yang mubah, bukan musafir bertujuan melakukan maksiat.
-      Lebih 2 marhalah iaitu melebihi 80 atau 90 kilometer[5]

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.” (Surah Al-Baqarah : 185)

Imam Ibnu Taimiyah berkata : “Sesiapa yang mengingkari bahawa diberikanrukhsoh (keringanan) atas sebab musafir, maka orang tersebut dituntut untuk bertaubat, jika ia tidak bertaubat maka ia dihukumkan sebagaimana orang yang murtad.”[6]

2-   Orang Yang Sakit

Berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.” (Surah Al-Baqarah : 185)

Sakit yang diberikan keringanan ialah sekiranya berpuasa akan menyebabkan bertambah mudarat pada pesakit dan sakit yang sedia ada bertambah teruk serta lewat untuk sembuh.

3-   Orang Yang Mengandung Dan Yang Menyusukan Anak

Sama ada bimbang keselamatan diri atau anak dalam kandungan atau anak yang disusukan. Dalilnya diqiaskan kepada keringanan yang diberikan kepada orang yang bermusafir dan sakit.[7]

4-   Orang Tua Yang Tidak Ada Kemampuan Untuk Berpuasa

Termasuk juga dalam kategori ini orang yang sakit namun tidak ada harapan untuk sembuh. Maka diberikan keringanan untuk berbuka bahkan wajib jika menyebabkan kematian. Tidak dikenakan puasa ganti melainkan membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan berpuasa.[8]

Ibadah Puasa Bagi Atlet Yang Memasuki Sukan Olimpik

Sebagaimana yang telah dibentangkan di atas bahawa ibadah puasa dalam Ramadan bagi atlet yang beragama Islam wajib dilakukan dan tidak boleh ditangguh.

Namun jika atlet termasuk dalam kategori yang bermusafir maka diberikan keringanan untuk berbuka dan wajib ganti pada hari yang lain. Syarat musafir yang diberikan rukhsoh (keringanan) untuk berbuka ialah musafir yang diharuskan iaitu bukan bertujuan maksiat dan melebihi 2 marlahah iaitu 80 atau 90 kilometer.[9]

Maka jika atlet tersebut bermusafir bagi bertujuan untuk bersukan iaitu riadhah kerana bersukan itu hukum asalnya adalah diharuskan[10] dan antara faedah sukan itu ialah menyegarkan tubuh badan maka ia termasuk dalam kategori musafir yang diharuskan. Walaupun di saat ia bersukan ia melakukan maksiat iaitu tidak menutup aurat. Hal ini demikian kerana tujuan asal adalah diharuskan.[11]

Berbeza dengan musafir yang bertujuan maksiat, maka ia tidak diberikan rukhsoh(keringanan) kerana kaedah menyebutkan bahawa :

“Rukhsoh (keringanan) tidak diberikan kepada perkara maksiat”

Justeru, jika atlet berniat ketika musafir untuk membuka aurat dalam pertandingan maka niat musafirnya adalah bertujuan maksiat dan tidak diberikan rukhsoh (keringanan).

Dan tempoh rukhsoh (keringanan) berhubung musafir adalah berdasarkan kepada tempoh musafir. Temph musafir yang diberikan rukhsoh (keringanan) ini terdapat perselisihan pandangan fuqaha[12] :

1-   Mazhab Hanafi : jika niat bermukim selama 15 hari dan lebih maka tidak adarukhsoh (keringanan) sebaik tiba di tempat bermukim

2-   Mazhab Maliki Dan Mazhab Syafie : jika niat bermukim di sesuatu tempat empat hari atau lebih, maka tidak ada rukhsoh (keringanan) apabila sampai di tempat bermukim

3-   Mazhab Hanbali :  jika niat bermukim di sesuatu lebih daripada empat hari, maka tidak ada rukhsoh (keringanan) apabila sampai di tempat bermukim

Justeru rukhsoh (keringanan) untuk berbuka tersebut bukan paksaan ke atas atlet. Rukhsoh (keringanan) bukanlah disebabkan Sukan Olimpik, tetapi disebabkan musafir yang memenuhi syarat (muafir yang diharuskan, melebihi 2 marlahah dan dalam tempoh bermusafir). Bahkan mana-mana individu muslim yang bermusafir diberikan rukhsoh (keringanan) kerana musafir itu sendiri sebab bagi rukhsoh (keringanan).

Dan inilah yang ditegaskan oleh Imam Ibnu Taimiyah : “Sesiapa yang mengingkari bahawa diberikan rukhsoh (keringanan) atas sebab musafir, maka orang tersebut dituntut untuk bertaubat, jika ia tidak bertaubat maka ia dihukumkan sebagaimana orang yang murtad.”[13]

Bahkan jika terdapat atlet muslim yang sakit yang diberikan syara’ akan rukhsoh(keringanan) iaitu sekiranya berpuasa akan menyebabkan bertambah mudarat pada pesakit dan sakit yang sedia ada bertambah teruk serta lewat untuk sembuh, maka rukhsoh (keringanan) tersebut adalah disebabkan sakit itu bukannya disebabkan Sukan Olimplik.

Maka ini sebagaimana juga dengan fatwa yang diberikan oleh Syeikh Atiyah Saqar berkenaan soalan yang diajukan kepada beliau mengenai bolehkan seseorang yang menduduki peperiksaan di bulan Ramadan untuk berbuka bagi memudahkan mengulangkaji? Lalu Syeikh Atiyah Saqar menjelaskan bahawa orang tersebut diberikan rukhsoh (keringanan) untuk berbuka disebabkan sakit bukan disebabkan peperiksaan. Hal ini demikian beradasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.” (Surah Al-Baqarah : 185)

Begitu juga dengan fatwa yang diberikan oleh Syeikh Ali Jumuah, pada 9 Julai 2012 berkenaan ibadah puasa atlet ketika Ramadan dengan menyebut :

الاِفْطارُ فِي حَالَةِ السَفَر أَوْ المَرَض طَبَقًا لِلنَّصِّ القُرْآنِي : فَمَنْ كانَ مِنكُم مَريضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِن أَيَّامٍ أُخَر". وتابع جمعة "لا عَلاقَةَ بِالرِياضَة بِهذِه الرُخْصَة لِاَنَّهُ لَوْ اُقِيْمَتْ البُطُولَةُ فِي مِصْر مَا جازَ الاِفْطَار

“Berbuka (disebabkan rukshoh) dalam keadaan musafir atau sakit terdapat dalam nas al-Quran iaitu “Maka sesiapa daripada kalangan kamu yang sakit atau dalam musafir (diberikan keringanan untuk berbuka) maka diganti pada hari yang lain.”. Dan Syeikh Ali Jumuah menambah bahawa rukhsoh tersebut tidak ada kaitan dengan sukan (Olimpik) kerana jika pertandingan diadakan dalam Mesir maka (atlet Mesir) tidak diharuskan berbuka.” 

Adapun jika berbuka puasa kerana pekerjaan yang berat sehingga mengganggu nafkah wajib dalam kehidupan[14], maka dilihat kepada beberapa perkara :

1-   Tidak ada pekerjaan yang lain melainkan pekerjaan itu sahaja. Dan pekerjaan berat tersebut mestilah yang diharuskan oleh syara’.

2-   Mendatangkan mudarat kepada diri sama ada ketika bekerja atau tidak mampu puasa menyebabkan tidak mendapat nafkah.

3-   Maka jika mudarat itu datang ke atas dirinya, maka dilihat kepada batasan bagi golongan sakit yang diberikan rukhsoh (keringanan) iaitu berpuasa akan menyebabkan bertambah mudarat pada pesakit dan sakit yang sedia ada bertambah teruk serta lewat untuk sembuh. Rukhsoh (keringanan) yang diberikan adalah kerana sakit yang menimpa.

4- Jika mudarat itu datang disebabkannya tidak mampu bekerja sehingga menghilangkan nafkah maka dilihat bahawa mestilah nafkah tersebut merupakan nafkah yang wajib iaitu nafkah yang merupakan keperluan asasi yang akan menyebabkan kecelakaan dalam kehidupan jika hilang. Maka ia termasuk dalam konteks dharurat.[15]

5-   Dan kerja berat dalam mendapatkan nafkah wajib tersebut terikat dalam masa dan waktu perjanjian yang dilakukan. Maka jika selain pada waktu dan masa kontrak perjanjian, maka ia tidak dibolehkan kerana tidak termasuk dalam konteks kerja berat dalam mendapatkan nafkah yang wajib

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, pihak MANHAL PMRAM menekankan beberapa perkara yang penting dalam isu yang melibakan Sukan Olimpik dalam bulan Ramadan dan ibadah puasa bagi atlet Ramadan iaitu :

1-   Kewajipan puasa dalam Ramadan merupakan wajib mudhaiyyaq (sempit), maka tidak boleh ditangguhkan. Yang ada hanya rukhsoh (keringanan) untuk berbuka bagi golongan tertentu dan diwajibkan ganti pada hari yang lain.

2-   Atlet yang berada dalam keadaan musafir (musafir yang diharuskan dan melebih 2 marlahah) maka diberikan rukhsoh (keringanan) dalam tempoh musafir tersebut.Rukhsoh (keringanan) merupakan pilihan kepada atlet dan atlet tidak dipaksa untuk berbuka.

3-   Tempoh musafir yang diberikan rukhsoh (keringanan) adalah berbeza mengikut pandangan fuqaha sebagaimana yang diterangkan sebelum ini, maka mestilah merujuk kepada ahli yang berautoriti agar selari dengan realiti masyarakat Islam di Malaysia yang mengamalkan Mazhab Syafie.

4-   Sekiranya atlet tidak termasuk dalam golongan yang diberikan rukhsoh(keringanan), maka tidak ada rukhsoh (keringanan) lain bagi atlet tersebut untuk berbuka. Rukhsoh (keringanan) yang diberikan adalah sebab syar’ie yang mengharuskan, bukan sebab Sukan Olimpik.

5-   Atlet muslim juga mestilah menutup aurat semasa dalam pertandingan kerana ia merupakan kewajipan dan juga bagi menghormati bulan Ramadan.

6-   Maka pekerjaan berat dalam mencari nafkah yang wajib yang diberikan rukhsoh(keringanan) mesti dilihat dari sudut batasan mudarat ke atas diri atau kecelakaan apabila hilang nafkah wajib serta masa yang terikat dengan perjanjian. Justeru, adakah atlet merupakan satu pekerjaan sebagaimana dalam perbincangan tersebut, ia perlu dinilai dari sudut apa yang telah dibincangkan di atas.

7-   Berkenaan dengan Sukan Olimpik yang dianjurkan dalam bulan Ramadan, MANHAL PMRAM melihat sepatutnya negara-negara Islam dalam OIC dan Liga Arab mengambil tindakan yang tegas dalam menuntut agar diadakan pada bulan selain Ramadan bahkan mungkin melakukan boikot sekiranya penganjuran tersebut bertujuan mencemarkann kesucian Ramadan dan menyentuh sensitiviti umat Islam.

8-   Ataupun negara-negara Islam boleh mendahulukan non-Muslim bagi mewakili negara dalam Sukan Olimpik yang dilakukan pada bulan Ramadan sekiranya dengan penarikan diri daripada sukan tersebut akan menyebabkan kerugian. Dan jika atlet muslim juga yang mewakili negara Islam dalam sebarang sukan dalam bulan Ramadan, maka perbahasan adalah sebagaimana di atas.

Wallahu a'lam

Disediakan oleh barisan Felo MANHAL PMRAM 2012 yang terlibat :

Muhamad Zuhaili Saiman
Ainuddin Ishak
Ahmad Ulwan Hassim
Muhammad Zikri Mohamad Zaki

Rujukan :

1-   Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah az-Zuhaily, cetakan Dar al-Fikr
2-   Fiqh al-Lahwi Wa at-Tarwih, Dr Yusuf al-Qardhawi, Makabah Wahbah
3-   Fiqh as-Siyam, DR Yusuf al-Qardhawi, Makabah Wahbah
4-   Al-Fatawa Min Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa Wa al-Ahkam, Syeikh Atiyah Saqar, cetakan Maktabah at-Taufiqiyah
5-   At-Taqrirat as-Sadidah Fi Masail al-Mufidah, Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhamad Al-Kaf, cetakan Dar al-Mirath an-Nubuwah
6-   Nihayah as-Sul Fi Syarh Minhajal-Wusul Ila ‘Ilmi al-Usul, Syeikh Jamaluddin Abdul Rahim bin Hasan al-Isnawi

[1]  http://ms.wikipedia.org/wiki/Sukan_Olimpik_Musim_Panas_2012
[2]  تفسير آيات الأحكام   jilid 1 karangan Syeikh Muhammad Ali As-Sobuni, dan جامع البيان   jilid ke-2 karangan At-Tabrani
[3]  Nihayatul as-Sul Fi Syarh Minhaj al-Wusul Ila ‘Ilm al-Usul, Imam Jamaluddin Abdul Rahim bin Hassan al-Isnawi, m/s 92, cetakan Dar Ibn Hazam
[4] Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah az-Zuhaily, jilid ke-3, m/s 1663-1668, cetakan Dar al-Fikr
[5]  Fiqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 45, cetakan Maktabah Wahbah
[6]  FIqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 43 cetakan Maktabah Wahbah
[7]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-3 m/s 1701, cetakan Dar al-Fikr
[8]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-3 m/s 1701, cetakan Dar al-Fikr
[9] Fiqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 45, cetakan Maktabah Wahbah
[10]  Fiqh al-Lahwi Wa at-Tarwih, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 49 cetakan Maktabah Wahbah
[11]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-2, m/s 1346, cetakan Dar al-Fikr
[12]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-2, m/s 1348, cetakan Dar al-Fikr
[13]  FIqh as-Siyam, Dr Yusuf al-Qardhawi, m/s 43 cetakan Maktabah Wahbah
[14] Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, jilid 3, m/s 1702, Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Dar al-Fikr
[15]  Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, jilid 3, m/s 1701, Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Dar al-Fikr

Comments

Popular posts from this blog