Merancang Persaraan


Click Here
Tidak mahu bersara kosong? Ini petuanya....

Setiap yang bermula pasti akan berakhir, setiap yang muda pasti akan menjadi tua. Setiap daripada kita, apabila umur semakin meningkat, terutamanya apabila usia melebihi 50 tahun, survival selepas bersara pasti menjadi perkara utama yang berlegar di fikiran.

Bagi individu yang telah sedia berdepan dengan persaraan, pastinya kepala tidak pusing (bahkan rambut pun tidak gugur) kerana waktu persaraan membuka ruang untuk melakukan pelbagai perkara yang dahulunya tidak dapat dilakukan kerana kekangan masa, kini boleh dilaksanakan dengan mudah.

Tetapi itu jika anda sudah bersedia, jika belum, alamatnya mengeluh panjanglah kita. Seorang yang menjalani hidup yang sederhana pun tidak akan mempunyai wang simpanan yang mencukupi untuk menjalani kehidupan dengan selesa selepas bersara.

Apabila mengambil kira pelbagai faktor seperti kenaikan harga, cukai dan sebanyak mana seorang biasa membelanjakan wang mereka, maka hanya sebahagian kecil sahaja wang yang ada untuk dibelanja apabila bersara.

Mengikut kaji selidik yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2010, secara purata, tahap celik wang rakyat Malaysia yang menghampiri umur persaraan adalah jauh lebih rendah, manakala sikap terhadap pengurusan kewangan juga didapati kurang memberangsangkan, berbanding bagi rakyat Malaysia daripada kumpulan umur lain.

Menyedari hakikat ini, artikel Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur pada kali ini ada beberapa tips yang mungkin boleh membantu anda menghadapi persaraan kehidupan yang dilalui lebih mudah dan berjalan lancar.

Okay, Di Mana Saya Mahu Cari Wang

Terdapat beberapa sumber kewangan yang boleh membantu anda di hari persaraan kelak, seperti:

* Pencen dan Gratuiti (bagi pekerja perkhidmatan awam)

* Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

* Pendapatan Daripada Simpanan Atau Pelaburan

* Wang Daripada Polisi Insurans Hayat

Apabila anda telah mengetahui apakah sumbersumber kewangan, perancangan untuk persaraan kini boleh dirangka. Walau apa juga perancangan anda, beberapa perkara pokok perlu diketahui, dinilai dan dikemas kini,

Antara lain, anda perlu menentukan jumah simpanan dan aset yang anda miliki sekarang, pendapatan bulanan yang diperolehi baik secara kasar mahupun bersih, peratusan caruman yang dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Anda juga perlu peka mengenai dana-dana pelaburan untuk persaraan yang dibuat, peratusan pulangan balik daripada pelaburan itu dan jarak masa yang tinggal sehingga mencapai usia persaraan untuk mengumpul wang.

Okay Selepas Itu Apa?

Selepas mengkaji aset dan tanggungan dimiliki, anggarkan jumlah diperlukan serta lakukan pengubahsuaian berdasarkan kepada kadar inflasi sekarang seterusnya tetapkan bila anda mahu bersara supaya keperluaan wang bulanan apabila bersara dapat ditentukan.

Persiapan persaraan hendaklah meliputi pengurangan hutang, peruntukan perbelanjaan, kepelbagaian pelaburan dan menjaga kesihatan tubuh badan dengan makanan yang seimbang serta aktiviti riadah.

Jangan terlalu mengharapkan insurans perubatan dan hayat kerana ia mungkin tidak meliputi sebarang preskripsi perubatan yang anda perlukan. Oleh itu, persiapan persaraan yang mencukupi amat perlu bagi menjamin kesejahteraan kehidupan selepas bersara.

Wujudkan satu akaun simpanan persaraan di bank dan mulai menabung 10 peratus daripada gaji bulanan. Pastikan (anda perlu sedikit displin dalam hal ini) untuk menambah simpanan persaraan anda seiring dengan pertambahan pendapatan (gaji kita tidak mati dalam tempoh setahun) dan usia.

Anda boleh mula menyimpan sebanyak 10 peratus daripada gaji pada permulaan karier dan menambah simpanan sebanyak satu peratus setiap tahun, maka pada usia 26 tahun, anda boleh menyimpan sebanyak 11 peratus daripada gaji. Pada usia 35 tahun pula, anda boleh menyimpan sehingga 20 peratus daripada pendapatan bulanan.

Paling baik ialah apabila anda memperuntukkan sebahagian daripada kenaikan gaji bulanan atau bonus tahunan untuk simpanan untuk persaraan.

Selain menyimpan wang untuk persaraan, buat penilaian terhadap pelaburan anda setiap tahun untuk memastikan bahawa wang pelaburan anda bertambah mengikut pelan persaraan kelak.

- Oleh Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com


Sambung Baca: http://anizyn.blogspot.com/2012/07/merancang-persaraan.html#ixzz21smyzlmo

Comments

Popular posts from this blog