Tafsir Surah An Nuur: Ayat 11-16 atas tajuk Fitnah


Assalamualaikum sahabat,
Sekadar berkongsi yang juga peringatan kapada diri sendiri.

Nota dari Kelas Tafsir Surah An Nuur: Ayat 11-16 atas tajuk Fitnah.

Perbuatan memfitnah tidak seharusnya di pandang ringan kerana dosanya amat besar sekali.

Ustaz Tarmizi menegaskan:

1. Orang yang menyebar fitnah dan orang yang menyambung fitnah itu, kedua duanya mendapat dosa besar.
2. Selain penyebar yang jelas, orang yang menyebar fitnah juga boleh jadi dari orang yang mengatakan seorang lain suka menabur fitnah dan tuduhan terhadap orang itu tidak di sertai dengan bukti yang kukuh tetapi hanya merupakan desas desus yang tidak bertanggungjawab dan memberikan penilaian yang keliru pada orang lain. Orang ini akan menanggung siksaan yang besar dan dahsyat.

3. Orang yang kena fitnah adalah baik di sisi Allah dan di angkat darjatnya..walaupun ia perlu sedikit kesabaran untuk melalui ujian itu.
Bagi orang yang menjadi mangsa fitnah, yang menanggung malu dan maruah yang terjejas, lagi besar fitnah, lagi banyak dosa yang Allah gugurkan dari dirinya oleh kerana kesengsaraan dan kezaliman yang di tanggungnya.

4. Sesiapa yang ambil bahagian dalam dusta itu, menanggung dosa tiap tiap seorang.
5. Berhati hati bila menyampaikan sesuatu berita yang kita dengar, oleh kerana penyampaian yang tidak tepat juga boleh jadi satu fitnah dan kita akan menanggung dosanya.

6. Jadi, bila kita mendengar sesuatu berita berunsur fitnah DAN untuk tidak terlibat dengan perbuatan itu lalu menanggung dosa besar, hendaklah kita:

i. Sangka baik;

ii. Mengatakan kapada penyampainya bahawa ianya adalah bohong;

Jangan masuk campur kerana orang yang menyambung fitnah, saham atau dosanya sama.

iii. Minta bukti kukuh dan sahih (contoh, dalam tuduhan seseorang berzina, wajib diadakan 4 saksi). Dalam erti kata lain, tanpa bukti sahih sebarang tuduhan tidak boleh di terima.
Hadith Rasulullah yang berkaitan:
 
Rasulullah memegang lidahnya lalu bersabda: “Jagalah ini.” Muadz bertanya: Ya Nabi, apakah kita akan dihukum atas apa yang kita ucapkan? Beliau bersabda: “…adakah yang menyebabkan seseorang terjungkal wajahnya di neraka selain buah dari lisan mereka.” - HR Tirmizi
Firman Allah SWT ayat 11-16, Surah An Nuur yang bermaksud:

[11] Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).

[12] Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".

[13] Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.

[14]Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu; -

[15] Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.

[16] Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan".

Semoga bermanfaat. Wallahu a’lam.


PS: Nota dan petikan dari Kelas Tafsir Khas Ramadhan 2012
27/7/2012
Zal Yaacob

Comments

Popular posts from this blog