Keistimewaan hafaz al-Quran

Setiap hafalannya akan diperiksa oleh gurunya

MENGHAFAZ al-Quran bukan perkara baru Sejak kitab suci itu diturunkan ia telah pun dihafaz. Nabi Muhammad SAW ialah orang pertama menghafaz al-Quran. Dengan demikian Baginda digelar Saiyidul-Hufaaz (Penghulu bagi penghafaz al-Quran). Golongan Sahabat semuanya menghafaz al-Quran.

Ada antara mereka yang menghafaz seluruh al-Quran, dan ada antaranya yang menghafaz sebahagiannya sahaja. Bagi setiap Muslim dikehendaki menghafaz al-Quran sekurangkurangnya cukup untuk dibaca ketika dalam solat.
Menghafaz al-Quran bukan bermakna mengingat ayatnya sahaja, malah ia mempunyai maksud yang lebih daripada itu. Tidak ada bahasa lain yang dapat menterjemahkan perkataan hafaz atau (hifz) dalam bahasa Arab. Hifz dari segi bahasa bermaksud menjaga, dan memelihara.
Justeru, orang yang menghafaz al-Quran ialah orang yang memelihara al-Quran daripada hilang. Ia menyimpannya di dalam dada, dan ia membacanya selalu supaya tidak lupa dan tidak hilang.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Hafiz, Klang, Muhamad Luqman Nazmi, 16, berkata, minat menghafaz al-Quran sejak kecil memberikan banyak kelebihan kepada dirinya yang kini menghafaz 19 juzuk al-Quran.

Menurutnya, sejak kecil dirinya telah diasuh mendekati al-Quran kerana ibu bapanya sendiri mengajar di Wisma Hafi z Klang sebagai guru dan Ketua Jabatan Penilaian Prestasi dan Peperiksaan Kolej Hafi z.
“Bagi saya, menghafaz al-Quran adalah mudah sekiranya kita rajin dan sentiasa mengulangi hafalan untuk tidak terlupa.
“Malas memang penyakit biasa bagi semua orang terutama bagi penghafaz seperti kami kerana syaitan memang suka menguji kami, namun ubatnya adalah rajin. Itu sajalah ubat untuk terus menghafaz,” katanya.
Luqman yang belajar di kelas tingkatan empat Tahfi z Sains berkata, sejak di tadika, dia didedahkan untuk mula menghafaz ayat lazim dan surah Yassin dalam al-Quran sebagai latihan diri.

“Alhamdulillah, sejak penghafalan itu, lama-kelamaan minat dan perasan gembira untuk terus menghafaz menjadikan diri saya tidak bosan dengan kitab suci ini, tambahan menjadikan diri terasa lebih tenang.

“Tidak dinafikan, menghafaz al-Quran menjadikan diri lebih berdisiplin dan mudah untuk menghafaz perkara lain kerana terbiasa menghafaz surah-surah susah dalam al-Quran,” katanya.

Seimbang dua aliran

Kata Luqman, di sekolah Hafiz ini juga, mereka bukan sahaja diajar untuk menghafaz al-Quran sahaja, tetapi ada juga sesi akademik yang perlu dipelajari untuk menyeimbangkan ilmu seperti pelajar sekolah lain.
“Tidak bermakna bersekolah di sekolah agama seperti ini, hanya belajar tentang agama sahaja. Tetapi kami juga ada belajar akademik seperti bahasa, matematik, sains dan subjek berkaitan.
“Justeru, bersekolah di sini lagi besar cabarannya kerana perlu bawa dua aliran satu masa dan bagi diri saya ia bukan masalah selagi rajin dan pandai bahagi masa,” katanya.
Rutin harian mereka kata Luqman, dibiasakan untuk bangun awal pagi bagi mengerjakan solat Tahajud dan Witir seterusnya solat Subuh dan meneruskan hafalan sehingga 7 pagi sebelum memulakan sesi pembelajaran di kelas.

“Sesi pembelajaran pagi kami belajar seperti biasa sehingga jam 1.30 petang, kemudian bersambung untuk sesi pembelajaran agama serta hafalan sehingga jam 3 petang.

“Malam adalah waktu mengulang kaji dan hafalan yang dipantau oleh guru bertugas untuk memastikan kami menghafaz al-Quran dengan baik.

Bukan sahaja di waktu kelas sahaja saya menghafaz, tetapi jika ada waktu terluang saya akan menghafaz,” katanya.
Luqman yang bercita-cita menjadi doktor berkata, pelajar di sekolah tahfiz ini juga tidak ketinggalan aktif dalam kokurikulum dan kurikulum sama seperti pelajar lain.

“Saya sendiri terpilih memasuki beberapa pertandingan peringkat sekolah dan daerah dalam pertandingan hafazan, tilawah, syarahan dan khat.
“Bagi pelajar lain ada yang menyertai pertandingan padang seperti bola sepak, badminton dan sukan lain,” katanya.

Sokongan keluarga

Anak sulung daripada lapan adik-beradik ini juga menambah, jika cuti sekolah, proses hafalan tetap diteruskan dengan dipantau ibu dan ayahnya.
“Ibu menjalankan kelas al-Quran di rumah, jadi memudahkan ibu memantau kami adik-beradik jika cuti sekolah untuk menghafaz dalam masa sama beriadah bersama keluarga.

“Ayah pula seorang imam di masjid kawasan perumahan. Oleh itu, setiap kali solat akan mengikut ayah ke masjid untuk solat berjemaah. Rutin harian ini tidak banyak beza jika di asrama kerana memang jenis keluarga yang pentingkan agama serta al-Quran,” katanya.
Tambahnya, semua hufaz menghadapi masalah sama untuk mengingat semula ayat yang telah dihafaz. Justeru kami perlu istiqamah dan rajin untuk terus mengulang dan menghafaz.
Baginya, apa yang penting, sebagai penghafaz al-Quran adalah tahan nafsu kerana pelbagai cabaran kini mudah mengganggu fokus kami termasuklah internet, televisyen dan gajet pelbagai kegunaan.

“Tanggapan pelajar luar terhadap pelajar tahfiz yang kononnya ketinggalan daripada segi akademik dan teknologi adalah tidak tepat.

“Kerana selain menghafaz al-Quran, kami juga mempelajari pelajaran yang sama dengan pelajar lain. Yang penting jadikan al-Quran pegangan hidup,” katanya

 http://www.jalur3.org/keistimewaan-hafaz-al-quran/

Comments

Popular posts from this blog