INGAT ALLAH DAPAT RAHMAT
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Penyayang
Kali ini saya menyentuh tentang tajuk KUASA MUTLAK adalah KEPUNYAAN ALLAH. Ilmu ini adalah selari dengan apa yang dikatakan oleh Ibnu Qayyim iaitu “meletakkan keupayaan dan kekuatan kepada Allah”. Inilah apa yang selalu kita zikirkan iaitu selepas sembahyang;
“La hawla wa laa quwwata illa billahil ... adziem”
Tidak ada daya kekuatan melainkan dari Allah (sahaja).
Konsep kekuatan dan kuasa hanya milik Allah ini sepatutnya dikuasai semua umat Islam sewaktu mempelajari Rububiah Allah iaitu: “yakin
berserta keimanan yang teguh , kukuh dan mantap (istiqamah) tanpa
berbelah bagi dan waswas bahawa hanya Allah sahaja Tuhan yang mencipta segala-galanya. Allah yang maha pencipta (tiada pencipta lain kecuali Dia). Dia adalah Tuhan pemilik segalanya, tiada sekutu dan tiada penolongNya dalam mencipta segalanya. Hanya Allah sahaja yang benar-benar Tuhan yang Maha berkuasa di atas segala apa sahaja ciptaannya, memiliki dan memerintah mengikut kehendakNya, dan tiada kuasa atau perintah yang mutlak selain kuasa dan perintah yang ada padaNya”. (Jumhur ulama)
Secara mudah, konsep rububiah Allah ini boleh dijelaskan sebagai “Allah sahaja yang berkuasa dalam mencipta dan mentadbir alam semesta ini”.
Berdasarkan konsep rububiah Allah ini, setiap makhluk/sesuatu tidak mempunyai kekuatan atau kuasa!. Maksudnya:
1. Manusia tidak mempunyai kuasa dan sebarang daya kekuatan
2. Angin tidak mempunyai kuasa seperti mencabut pokok
3. Elektrik tidak mempunyai kuasa
4. Cahaya tidak ada kuasa untuk menerangi
5. Al Quran tidak mempunyai kuasa merawat atau menyembuh penyakit
6. Makanan tidak mempunyai kuasa untuk mengenyangkan dan memberikan kesihatan
7. Minuman tiada kuasa menghilangkan dahaga
8. Ubat tidak ada kuasa untuk memulihkan penyakit
Berdasarkan
fahaman sebenar berkaitan konsep rububiah ini, jadi mengapakah manusia
boleh berkata-kata seandainya kita tidak mempunyai kuasa? Jawapannya
ialah kerana Allahlah yang mentadbir dan mengurus lalu memberikan
rahmatNya sehingga manusia mampu berkata-kata. Melalui rahmat dari Allah
inilah, manusia boleh berkata-kata serta melakukan pelbagai aktiviti
lain. Itulah sebabnya seandainya kita mengaku bahawa kita mendapat
keputusan SPM yang baik kerana kita adalah orang pandai dan dilahirkan
pula dari gen ibu bapa yang pandai (kedua-dua mereka Profesor) maka
akidah orang ini sudah rosak.
Melalui
kefahaman yang lurus berdasarkan ilmu rububiah Allah, angin yang kuat
mencabut pokok adalah kerana kuasa yang diberikan Allah, ubat tidak ada
kuasa menyembuh penyakit kerana kesembuhan adalah sebenarnya milik
Allah. Manusia boleh sembuh tanpa ubat atau pun orang sakit yang sudah
banyak berubat akan tidak sembuh sekiranya tidak diberikan rahmat sembuh
dari Allah.
Sekiranya
kita beranggapan penyakit sembuh kerana makan ubat, ia adalah satu
tanggapan yang salah dan membawa kesan besar iaitu kerosakan akidah.
Sepatutnya, apabila seseorang sakit, Allah perintah agar manusia
berusaha mencari ubatnya dan selepas memakan ubat ini bertawakkallah
kepada Allah kerana Allah sahaja yang layak memberikan kesembuhan
bukannya ubat. Apabila sembuh jangan pula puji ubat tetapi pujilah Allah
SWT yang menurunkan ubat dan memberikan kesembuhan.
Begitulah
juga Allah perintah bila lapar, makanlah dari rezeki yang baik yang
dikurniakan Allah. Selepas makan bertawakkallah kepada Allah kerana
hanya Allah yang akan memberikan rahmat kenyang, sihat dan sebagainya.
Begitulah,
segala makhluk / sesuatu termasuk manusia, makanan, minuman, ubat,
elektrik, Al-Quran dan enjin kereta tidak ada sebarang kekuatan atau
kuasa sekiranya tidak diberikan oleh Allah.
Sekiranya
kita beranggapan Al-Quran mempunyai kekuatannya sendiri dan mampu
menghalau syaitan dan jin, maka ini adalah satu kerosakan akidah kerana
Allah sesungguhnya tidak mempunyai sekutu atau rakan untuk mentadbir
alam ini. Allah juga tidak memerlukan Al-Quran sama ada dalam bentuk
tulisan atau bacaan untuk menghalau syaitan atau jin. Bila Allah
berkehendak akan sesuatu perkara, maka berlakulah.
Itulah
sebabnya ramai ustaz dan ustazah di Malaysia telah silap besar dengan
mengajarkan bahawa apabila ayat Kursi dibacakan dengan makhrajnya dan
waqafnya yang betul, ia akan dapat membakar syaitan / iblis atau
menghalau syaitan / iblis. Fahaman seperti ini adalah satu kerosakan
akidah yang sangat besar dan bercanggah sama sekali dengan konsep
rububiah Allah Taala.
Seandainya
seseorang membacakan ayat Kursi atau sebarang ayat Al-Quran lainya
dengan beranggapan bahawa ayat-ayat tersebut mampu memberikan
perlindungan atau menghalau syaitan, suatu
kesilapan akidah yang besar sudah berlaku dan ini menimbulkan kemarahan
Allah. Akibat dari kemurkaan Allah ini, orang yang membacakan ayat Kursi
atau ayat Al-Quran lainnya akan mendapat bala musibah dari Allah dan
bukannya mendapat rahmat dari Allah. Akibatnya ialah bacaan ayat Kursi
ini akan mengakibatkan orang yang dibacakan jampi ini bukannya semakin
sembuh namun apa yang kerap berlaku ialah seolah-olah orang yang
diganggu ini seperti bara api disiram minyak maka tambah teruklah orang
yang diganggu syaitan ini. Sebaliknya sekiranya jampi ini dilakukan
dengan betul, rahmat Allah akan turun dan orang yang diganggu syaitan
tersebut akan kembali pulih.
Selepas menjelaskan perkara asas tauhid ini, seorang pelajar wanita menceritakan pengalamannya. “Saya
pernah diganggu kena tindih sewaktu tidur. Bila saya ingat ayat Kursi
dan mula untuk membacanya, gangguan ini semakin teruk lagi. Pada masa
lain gangguan kena tindih ini berulang lagi dan saya mengulangi
mengingat dan membaca ayat Kursi dan hasilnya tetap sama iaitu gangguan
semakin teruk sehingga saya naik bosan. Akhirnya pada suatu masa lain
apabila saya diganggu gangguan yang sama, saya tidak mahu menggunakan
lagi kaedah membaca ayat Kursi kerana akibatnya saya akan mendapat
gangguan yang lebih berat, jadi saya hanya sekadar mengingati Allah.
Alhamdulillah hanya dengan sekadar saya mengingati Allah, gangguan ini
dapat diselesaikan”.
Begitulah
pengalaman berharga seorang pelajar wanita saya yang wajar sekali
dijadikan iktibar bagi semua umat Islam. Mengingati Allah adalah satu
bentuk zikrullah. Hanya dengan mengingati Allah dapat menyelamatkan
manusia dari gangguan syaitan dan sebaliknya bila mengingati dan membaca
Al-Quran ayat Kursi dengan niat / iktikad ayat ini dapat menyelamatkan
dan menghalau syaitan, kesannya adalah sebaliknya iaitu gangguan semakin
parah. Ayat Kursi memang hakikatnya tidak mempunyai sebarang kuasa atau
kekuatan apatah lagi menghalau dan menjauhkan syaitan kerana ini semua
adalah bidang kuasa Allah yang Allahhuakbar. Mintalah kepadaNya.
Sebenarnya
membaca Al-Quran dengan iktikad bahawa bacaan ini boleh menghalau hantu
dan syaitan adalah menyalahi akidah Islam dan ini amat selari dengan
hadis Nabi Muhammad SAW berikut:
Al
Bayan: 584 - Hadis Sahl bin Hunaif r.a: Diriwayatkan daripada Yusair
bin Amr katanya: Aku bertanya kepada Sahl bin Hunaif: Adakah engkau
pernah mendengar Nabi s.a.w menceritakan tentang Khawarij? Sahl
menjawab: Aku mendengarnya sambil menunjuk dengan tangannya ke arah
timur. Suatu golongan membaca al-Quran dengan lidah mereka, tetapi tidak
sampai ke otak mereka. Mereka keluar dari agama sebagaimana anak panah menembusi binatang buruan.
Memang
amat sesuai hadis ini yang menceritakan orang membaca Al-Quran pun
diberikan Allah balasan terkeluar dari Islam kerana hanya dengan membaca
Al-Quran dengan iktikad bacaan ini mampu menghalau hantu dan syaitan,
perbuatan ini telah merosakkan akidah lalu mensyirikkan Allah dan orang
syirik sebenarnya telah terkeluar dari Islam sesuai dengan hadis di
atas. Menghalau hantu syaitan hanya semata-mata kuasa dan bidang kerja
Allah SWT dan bukannya kuasa kekuatan dari Ayat atau bacaan Al-Quran.
Jadi
kalau Al-Quran tidak ada sebarang kuasa, mengapa Nabi Muhammad
menggunakan ayat-ayat Al-Quran dalam hadisnya untuk menjampi
(meruqyah)?? Jawapannya ialah kembali kepada asas pelajaran tauhid di
atas iaitu manusia tiada kuasa kekuatan dan begitu juga ubat, makanan
dan ayat atau bacaan dari Al-Quran. Jadi bila lapar makan dan selepas
itu kalau Allah memberikan rahmatNya, kita akan dapat nikmat kenyang.
Sama juga dengan proses menjampi. Dalam kes-kes tertentu, Nabi atau
sahabat Nabi menggunakan jampi dari bacaan ayat Al-Quran untuk
mengubati. Namun apa yang perlu difahami di sini ialah Nabi dan sahabat
semuanya mantap dengan asas akidah dengan iktikad bahawa ayat Al-Quran
ini tidak ada sebarang kekuatan atau kuasa. Selepas melakukan bacaan
jampi ini, ikutilah dengan doa kepada Allah minta disembuhkan masalah
yang dihadapai oleh pesakit.
Apa yang sangat perlu difahami di sini ialah usaha / ikhtiar dan kuasa pemutus.
Bila kita lapar Allah suruh makan adalah satu usaha atau ikhtiar. Kuasa
pemutus menghilangkan lapar bukan bidang kuasa makanan yang dimakan.
Kuasa pemutus menghilangkan lapar adalah kuasa pemutus yang mutlak
kepunyaan Allah SWT. Dalam hal menjampi, Allah sudah mencontohkan
melalui NabiNya bahawa dibolehkan menjampi. Menjampi ini adalah sekadar
usaha sebagaimana disunnahkan. Kuasa mutlak menyembuh adalah bukan dari
perbuatan bacaan jampi tersebut tetapi kuasa mutlak dari Allah. Itulah
sebabnya setengah orang apabila menjampi, Allah memberikan rahmatNya
lalu memberikan kesembuhan manakala orang tertentu atau kebanyakan di
Malaysia apabila menjampi mendatangkan kemarahan Allah dan mengakibatkan
masalah pokok tidak selesai dan berkemungkinan masalah ini akan menjadi
lebih besar sebagai azab dari Allah.
Sekiranya
pembaca ingin membuat eksperimen berkaitan perkara ini, apabila
berjumpa orang atau pelajar yang kerasukan atau histeria, panggillah
beberapa orang lelaki lalu bacalah ayat Kursi dengan kuat sebanyak
mungkin secara beramai-ramai yang mampu dengan iktikad bahawa bacaan
dari ayat Kursi ini mampu menyembuhkan keadaan mangsa. Lihatlah apa
tindak balas dari mangsa histeria ini. InsyaAllah mangsa ini semacam
semakin marah serta agresif dan mungkin akan berkata beberapa perkataan
yang menakutkan lagi. Itulah namanya azab tambahan dari Allah.
Sebagai ilmu, lain kali apabila menemui pelajar yang histeria, lakukan perkara berikut:
- Jauhkan sejauh-jauh mungkin pelajar lain yang tidak diganggu dan kalau boleh suruh balik dari sekolah.
- Jauhkan orang perempuan terutama sekali orang perempuan yang sedang haid.
- minta beberapa orang lelaki memantau sahaja mangsa histeria tersebut.
- Seorang yang benar-benar faham dan mantap asas tauhid, lakukanlah perkara berikut:
- Perawat mengambil air sembahyang.
- Ambil air semangkuk (Tidak melakukan perkara ini pun boleh kerana Nabi Muhamad SAW tidak menggunakan air pun)
- Letakkan mangkuk air ini dihadapan dan duduklah bersila menghadap kiblat.
- Berniatlah bahawa perbuatan anda ini adalah semata-mata untuk meminta bantuan dari Allah untuk membantu menyelesaikan masalah yang sedang dialami oleh mangsa histeria. Menolong kerana semata-mata Allah SWT.
- Bacalah jampi anda dengan dimulakan dengan ta’wuz di ikuti bismillah, Al Fatihah, permulaan surah Baqarah dalam 10 ayat dan diikuti dengan ayat Kursi dengan kyusuk dan suara yang lembut antara kedengaran dengan tidak. (Allah jauh sekali dari sifat pekak). Tidak perlulah dibacakan kalimah Allah ini dengan kasar dan kuat seolah-olah bacaan ayat inilah yang menghalau syaitan. Bacalah tiga ayat terakhir dari surah Al Baqarah. Nak sambung dengan mana ayat lain dalam Al-Quran pun boleh. Sudahilah jampi anda dengan bacaan ayat-ayat dari empat Kul iaitu Al Kafirun, Al Ikhlas, Al Falak dan An Nas
- Selepas selesai menjampi, satu langkah yang paling penting ialah berdoa mohon rahmat daripada Allah untuk memberikan rahmatNya kepada mangsa tersebut dan seterusnya minta Allah sembuhkan. Boleh menggunakan nama mangsa tersebut dalam doa ini. Ulangilah doa ini beberapa kali dengan bersungguh-sungguh.
- Sewaktu makukan solat 5 waktu, pada sujud rakaat terakhir, berdoalah dengan kesungguhan memohon rahmat dari Allah agar memberikan rahmat memulihkan mangsa dari gangguan syaitan tersebut. Selepas selesai solat, berdoalah dengan bersungguh-sungguh lagi kepada Allah.
- Ambil air dalam mangkuk ini dan mulalah untuk menyapu air ini ke muka mangsa dan bahagian atas kepala dengan diikuti bacaan mana-mana ayat dari Al-Quran dan diselang-selikan dengan doa memohon rahmat dari Allah semoga mangsa ini dipulihkan. (Tidak melakukan perkara ini pun boleh kerana Nabi Muhamad SAW tidak menggunakan air pun)
- Ulangi proses menyapu air jampi ini ke muka dan bahagian atas kepala sebanyak tiga kali. (Tidak melakukan perkara ini pun boleh kerana Nabi Muhamad SAW tidak menggunakan air pun)
- Perawat meninggalkan lokasi mangsa dengan terus berdoa lagi kepada Allah. Adalah penting sekali untuk perawat meninggalkan mangsa bagi mengelakkan perasaan megah dan riak kerana ini adalah dosa yang amat besar. Ia juga penting agar perawat terus berdoa memohon rahmat Allah semoga disembuhkan mangsa tersebut.
- Elakkan dari meminta balasan dan seboleh-bolehnya juga jangan menerima pemberian wang. Jangan pula perawat berniat untuk mendapatkan sebarang hadiah dan pujian dari usaha ini sekiranya Allah memakbulkan usaha perawat ini.
- Jangan bertanya kepada rakan yang menjaga mangsa sama ada mangsa telah pulih atau belum. Teruskan sahaja berdoa dan bertawakkal kepada Allah.
- Kalau ada mana-mana rakan yang memberitahu bahawa mangsa telah sembuh, terus hentikan perbualan dan lakukanlah sujud syukur.
- Elakkan sebarang perbincangan atau perbualan yang melibatkan nama anda sebagai perawat. Ini sangat bahaya kerana boleh menimbulkan riak.
Sekian untuk kali ini. Artikel ini adalah persediaan untuk artikel menjawab kesesatan dalam kitab Mujarrobat
Wassalam wallahualam
Emjay
http://emjayjb.multiply.com
Comments
Post a Comment