IKHTIAR PENYEMBUHAN PENYAKIT DENGAN AYAT-AYAT DAN DOA’-DOA’ MUSTAJAB - Edisi Pertama
Sebuah buku baru oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din yang
diterbitkan oleh Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia
(Darussyifa’) telah mula dijual kepada orang ramai mulai 7hb. April
2008. Buku ini bertajuk “Ikhtiar Penyembuhan Penyakit Dengan Ayat-ayat
dan Doa’-doa’ Mustajab. Pada masa ini hanya dijual di Pejabat
Darussyifa’ Bandar Baru Bangi.
Dengan membeli buku ini bermakna anda juga telah menyumbang kepada
Dana Pembangunan Darussyifa’. Buku ini patut dimiliki oleh semua ahli
Darussyifa’ dan juga orang ramai yang sering mendapatkan rawatan di
Darussyifa’.
Untuk mendapatkan buku ini silalah berkunjung ke pejabat Darussyifa’ Bandar Baru Bangi.
Walaupun kulit buku ini bertulisan jawi, namun kandungannya adalah bertulisan rumi.
Berikut adalah petikan Kata Penerbit dan Mukadimah Tuan Guru yang dipetik dari buku tersebut;
KATA PENERBIT
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala
puji-pujian hanya bagi Allah Tuhan seru sekalian alam. Selawat dan
salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. juga kepada ahli
keluarga dan keturunan baginda sekaliannya.
Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana usaha untuk menerbitkan
buku yang dinamakan “Ikhtiar Penyembuhan Penyakit Dengan Ayat-ayat dan
Doa-doa Mustajab” akhirnya terlaksana juga.
Buku ini disusun dengan sebegini rupa bagi memudahkan ahli-ahli
Darussyifa’ untuk merujuk dan menghafal doa-doa dan ayat-ayat al-Quran
yang menjadi asas dalam ikhtiar rawatan penyakit kepada masyarakat.
Terdapat banyak doa-doa dan ayat-ayat al-Quran sebagai rawatan
penyakit, bagaimanapun di dalam buku ini doa-doa dan ayat-ayat al-Quran
yang dipilih oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din merupakan yang paling
kerap diamalkan bagi membantu mereka yang memerlukan pertolongan dalam
usaha ikhtiar untuk mencari kesembuhan penyakit.
Buku ini dilengkapkan dengan Surah Yaasin, Bacaan Asas 10 Pertama,
Bacaan Asas 10 Kedua, Rangkaian Zikir dan Doa-doa Mustajab. Disusun
sebegini rupa supaya mudah untuk dibawa dan diamalkan ketika berjemaah
(berkumpulan) atau seorang diri.
Bagi memudahkan mereka yang tidak memahami bahasa Arab, semua
bacaan di dalam buku ini mempunyai terjemahan. Ini bertujuan untuk
menambahkan lagi keyakinan dan kekhusyukan apabila memahami makna
doa-doa tersebut..
Buku ini diterbitkan oleh Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam
Malaysia dan saya sebagai mewakili persatuan ini sangat mengalu-alukan
cadangan dan pandangan dari mereka yang membaca buku ini terutamanya
ahli-ahli Darussyifa’.
Penerbitan buku ini adalah suatu usaha murni untuk mengumpul
khazanah ilmu-ilmu pengubatan Islam yang diturunkan oleh Tuan Guru Dato’
Dr. Haron Din kepada kita semua dengan izin Allah SWT. Ahli-ahli
Darussyifa’ adalah disarankan agar mengambil peluang untuk mengamalkan
semua doa-doa yang disusun di dalam buku ini.
Doa-doa ini semua menjadi amalan yang berterusan oleh Tuan Guru
Dato’ Dr. Haron Din dan kita sebagai anak murid sepatutnya berasa
bertuah kerana dapat memperoleh ilmu-ilmu ini daripada beliau.
Akhir kata saya berdoa semoga Allah SWT menurunkan rahmatNya kepada
semua pembaca buku ini dan semoga Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din
sekeluarga dikurniakan keberkatan di dunia dan di akhirat . Amiiiiiin.
MUKADIMAH TUAN GURU DATO' DR HARON DIN
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala
puji-pujian hanya kepada Allah SWT, Tuhan yang memiliki dan mentadbir
sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar penghulu kita
nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga dan keturunan baginda
sekaliannya.
Tiada ucapan yang lebih besar selain daripada bersyukur kepada Allah SWT atas segala nikmat yang telah sama-sama kita kecapi.
Ilmu bukan sesuatu yang senang diperoleh dan tidak boleh dinilai
dengan mata benda dunia. Hidayah bukan sesuatu yang mudah kita perolehi.
Taufik daripada Allah SWT amat sukar kita dapati. Namun jikalau kena
caranya dengan niat yang ikhlas kepada Allah SWT, dengan tekad untuk
mendekatkan diri kepada Allah SWT, dengan niat untuk memungkinkan kita
menjadi tentera-tentera Allah, maka semua yang disebutkan tadi mudah
untuk Allah SWT tunaikan kepada kita.
Pengubatan Islam yang kita amalkan merupakan sedutan yang bersumber
dari al-Quran, as-Sunah, amalan as-Salafussoleh, Ahluz-zikr dan
pengalaman ahli pengubatan Islam yang muktabar.
Kita sekali-kali tidak mencampur-adukkan yang halal dan haram. Kita juga menolak sepenuhnya semua kaedah yang mempunyai unsur syirik. Dengan itu saya mewasiatkan kepada anda kaedah pengubatan yang halal dan yang bersih daripada kemurkaan Allah. Beramallah dengannya dan bantulah masyarakat yang amat memerlukannya.
Kita sekali-kali tidak mencampur-adukkan yang halal dan haram. Kita juga menolak sepenuhnya semua kaedah yang mempunyai unsur syirik. Dengan itu saya mewasiatkan kepada anda kaedah pengubatan yang halal dan yang bersih daripada kemurkaan Allah. Beramallah dengannya dan bantulah masyarakat yang amat memerlukannya.
Belajar ilmu pengubatan seelok-eloknya mendapatkan ijazah daripada
guru kerana itu adalah warisan yang diterima oleh saya daripada semua
guru-guru saya termasuk daripada ayahanda saya sendiri. Sebagai
mengambil contoh, Imam as-Shafie juga ketika berguru dengan Imam Waqi'
mendapatkan ijazah daripada gurunya setelah tamat belajar. Ketika Imam
as-Shafie belajar dengan Imam Malik, dia tidak dibenarkan memberi fatwa
oleh Imam Malik sehingga ia diijazahkan. Justeru itu kesimpulannya tidak
cukuplah belajar ilmu pengubatan hanya dengan membaca buku sahaja.
Dengan ilmu yang ada melalui buku ini saya berdoa dan berharap
semoga mereka yang beramal dengannya akan bersedia memenuhi seruan
masyarakat kerana sangat besar ganjarannya sebagaimana sabda Rasulullah
S.A.W yang mafhumnya;
“Kalau kamu sanggup bangun dari kerehatan untuk menolong seorang kawan yang sangat berhajat tanpa mengharap balasan dunia dan ikhlas kerana Allah, maka perbuatan ini adalah lebih baik daripada kamu pergi beriktikaf di Masjid Nabawi selama sebulan dengan disiang harinya berpuasa, membaca al-Quran serta sembahyang sunat.”
Saya berharap anda akan berpegang kepada seruan ini sebagai satu amanat.
Semoga Allah SWT mengurniakan sepenuh keberkatan dan rahmatnya kepada kita semua di dunia dan akhirat insya-Allah.
Ingatlah kepada Allah nescaya Allah akan mengingatimu.
“Kalau kamu sanggup bangun dari kerehatan untuk menolong seorang kawan yang sangat berhajat tanpa mengharap balasan dunia dan ikhlas kerana Allah, maka perbuatan ini adalah lebih baik daripada kamu pergi beriktikaf di Masjid Nabawi selama sebulan dengan disiang harinya berpuasa, membaca al-Quran serta sembahyang sunat.”
Saya berharap anda akan berpegang kepada seruan ini sebagai satu amanat.
Semoga Allah SWT mengurniakan sepenuh keberkatan dan rahmatnya kepada kita semua di dunia dan akhirat insya-Allah.
Ingatlah kepada Allah nescaya Allah akan mengingatimu.
Ikhlas dari saya
Dato’ Dr. Haron Din
Pengasas & Penasihat Darussyifa’
11 Februari 2008 / 4 Safar 1429H
Dato’ Dr. Haron Din
Pengasas & Penasihat Darussyifa’
11 Februari 2008 / 4 Safar 1429H
http://www.koperasi.darussyifa.org/
Comments
Post a Comment