Dosa merosakkan hati | |||
|
|||
|
Banyak
melakukan dosa membuatkan hati seseorang itu rosak kerana bercampur
antara baik dan buruk. Maka jadilah hati seperti yang disabdakan oleh
Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud:- "(Hati yang) tidak lagi menganggap
baik perkara yang baik dan tidak menganggap buruk perkara yang buruk,
melainkan apa yang disukai oleh hawa nafsunya".
Orang yang
banyak melakukan dosa semakin renggang hubungannya dengan Allah dan
orang mukmin lain. Ini kerana apabila seseorang itu patuh kepada
perintah Allah, ia dekat kepadaNya. Orang yang sentiasa melakukan dosa
selalu memandang perbuatan dosa itu sebagai perkara kecil. Dalam hal
ini, Ibnu Masud berkata:- "Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat
dosanya seperti sebuah bukit yang dibimbangi akan menimpanya. Manakala,
seorang yang selalu melakukan dosa akan memandang dosa itu seperti
seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya". Dosa yang dilakukan itu
akan membawa kehinaan, manakala ketaatan pula dapat melahirkan kemuliaan
kepada pelakunya. Dalam hal ini Allah berfirman yang maksudnya:
"Sesiapa inginkan kemuliaan, maka sesungguhnya segala kemuliaan itu
kepunyaan Allah jua". Orang yang melakukan dosa berasa sempit dadanya,
manakala mereka yang taat lapang dadanya.
Allah berfirman
yang bermaksud: "Maka sesiapa yang Allah hendak beri hidayat nescaya
Allah memberi kelapangan dadanya untuk menerima (ajaran) Islam. Sesiapa
yang Allah hendak menyesatkan nescaya Allah sempitkan dadanya dan dalam
kesukaran seolah-olah ia memanjat langit (kerana tidak cukup oksigen)".
Dosa boleh menggelapkan hati sebagaimana amalan kebajikan itu boleh
menyinarinya. Ibnu Abbas berkata:- "Sesungguhnya kebajikan itu memberi
cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh
makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa,
menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain
mengutuknya".
Dosa boleh
menghalang seseorang itu daripada mendapat cahaya ilmu. Satu ketika,
Imam Malik terpegun melihat Imam Syafie (masih remaja ketika itu) kerana
kepandaian dan kecerdikannya, lantas beliau berkata: "Sesungguhnya aku
melihat Allah mencampakkan ke dalam hati kamu cahaya, maka jangan kamu
padamkan cahaya iu dengan kegelapan maksiat". Dosa boleh menyebabkan
seseorang itu malas untuk membuat ketaatan. Seseorang pernah berkata
kepada Ibnu Masud: "Kami tidak mampu untuk bangun malam (untuk
beribadat)". Jawab Ibnu Masud: "Dosa kamu menjauhkan kamu (daripada
ibadat di waktu malam)". Oleh yang demikian, hampirilah kebajikan yang
akan memberi cahaya kepada hati dan jauhilah kejahatan yang boleh
menggelapkan hati seterusnya menghalang cahaya ilmu.
Comments
Post a Comment