Mengingati kematian kunci kepada sifat mahmudah
KEHIDUPAN manusia di dunia sentiasa diwarnai aneka versi hati. Tidak
kurang yang membiarkan hati diserang virus penyakit sehingga
menggelapkan sekali gus menjerumuskan diri dalam dominasi sifat
mazmumah.
Islam
menegah umatnya bersifat iri hati, berdengki, suka khianat, bercakap
bohong dan berdendam. Semua sifat keji itu tidak harus menyelubungi
lubuk hati. Jadi, bagaimana kita dapat merawat hati sedemikian?
Banyak kaedah digariskan Islam dalam menangani hati berpenyakit, antara yang terbaik dan sepatutnya kita selalu amalkan ialah mengingati mati. Inilah terapi agung yang boleh memulihara hati daripada gelap dan kotor kepada hati suci bersih.
Mengingati mati bermakna kita ingat akan untung nasib di akhirat. Menyentuh hal ini, Imam As-Syafie ada berpesan: “Perbanyakkanlah menyebut dan mengingati hal kematian daripada hal keduniaan, perbanyakkanlah menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.”
Khalifah Umar Abdul Aziz ada berpesan yang baik untuk kita jadikan panduan dalam melalui kehidupan dunia dengan banyak mengingati hari mati.
Katanya: “Dunia bukanlah kediaman abadi kalian. Allah telah menetapkan
dunia sebagai alam yang fana, Allah juga telah menetapkan kesukaran
kepada penghuni dunia selama hidup di dunia. Berapa banyakkah bangunan
yang baru dibina sudah hancur? Berapa banyakkah orang yang hidup mewah
dan kemudian hidup melarat? Kaum muslimin yang dimuliakan Allah,
persiapkanlah bekalan kalian untuk mengharungi perjalanan untuk menuju
akhirat. Bekalan yang terbaik adalah ketakwaan. Dunia hanyalah
persinggahan sementara bagi manusia. Seseorang mukmin itu seharusnya
memiliki salah satu daripada dua keadaan, iaitu pertama, bersikap
seperti orang asing yang tinggal di negeri asing dan impiannya adalah
untuk pulang ke negeri asalnya. Kedua, bersikap seperti seorang musafir
yang tiada tempat tinggal tetap, siang dan malam baginya adalah
perjalanan menuju ke kampung halaman.”
Panjang dan padat khutbah Umar Abdul Aziz itu, tetapi tersurat dan tersirat makna yang boleh menjernihkan mata hati kita menyusuri alam kehidupan di dunia ini.
Begitu juga pesanan tokoh ulama silam, Abdullah bin Dawud yang mengatakan: “Apabila ada di antara kaum Salaf sudah menjangkau umur 40 tahun, ia mulai ‘melipat tilam’ iaitu tidak akan tidur sepanjang malam. Mereka selalu menunaikan solat, bertasbih dan beristighfar serta mengejar segala perkara yang tertinggal pada umur sebelumnya dengan amalan kebaikan pada hari sesudahnya.”
Inilah contoh golongan mukmin yang sentiasa mengingati hari kematiannya dan selalu takut berakhirnya hayat di badan dengan kekurangan amal ibadah serta amalan kebajikan.
Mukmin yang hatinya sentiasa mengingati kematian sudah tentu akan mengisi agenda kehidupan dengan bermuhasabah diri untuk meninjau segala dosa serta kecacatan pernah dilakukan. Hati mereka tentu sekali akan dipaut untuk melakukan transformasi ke arah sifat mahmudah dan sentiasa menyukai kebaikan.
Abu Hazim Salamah bin Dinar ada berpesan: “Kekayaan menuju akhirat amat sedikit. Oleh itu, perbanyakkanlah kekayaan itu apabila ia semakin berkurangan dan terhakis kerana suatu hari nanti kita tidak lagi memiliki kekayaan itu walaupun hanya sedikit, apatah lagi banyak.”
Setiap hari berlalu bermakna hari kematian semakin menghampiri. Jika kehidupan kita masih tidak berubah ke arah kebaikan bermakna kita mempunyai petanda lupakan kematian dan lupakan alam akhirat.
Dalam hal ini, ada baiknya kita hayati mutiara kata Yahya bin Muadz: “Sesungguhnya aku hairan melihat orang yang bersedih kerana hartanya berkurangan, tetapi tidak bersedih apabila umurnya berkurangan.”
Dalam satu khutbah, Umar Abdul Aziz dalam keadaan sebak dan menangis ada mengatakan kepada rakyatnya: “Wahai kaum muslimin. Sesungguhnya kalian diciptakan untuk suatu urusan. Jika kalian mempercayainya bererti kalian bebal. Jika kalian mendustakannya bererti kalian binasa. Kalian diciptakan untuk suatu keabadian, namun berpindah daripada suatu alam ke alam lain. Wahai hamba Allah.
Kalian kini berada di alam yang mana makanan kalian boleh menyebabkan kalian tersedak dan minuman kalian boleh menyebabkan kalian kembung. Tidak ada nikmat murni yang menggembirakan hati, kecuali ketika kenikmatan itu pergi akan menyebabkan hati tidak tenang. Maka beramallah sesuai dengan tuntutan takdir untuk menuju ke alam keabadian.”
Demikian peringatan dan pesanan tokoh ilmuwan Islam dulu berkenaan pentingnya menjalani kehidupan di dunia dengan membawa bekal untuk akhirat. Sekali gus memberi makna bahawa kita seharusnya sentiasa ingat kepada saat kematian.
Comments
Post a Comment