Katakanlah Yang Berdosa Itu Diriku
 
Kancah kehidupan sememangnya mencabar. Manusia bukan sahaja sanggup berhabisan harta benda untuk hidup malah ada yang sanggup korbankan diri demi sekelumit keindahan duniawi. Sewaktu suasana aman ramai yang mengakui kebesaran tuhan tapi bila didatangkan dengan kesusahan, sedikit sekali yang yang mampu bersabar. Sewaktu terhimpit, ada yang mudah hilang pedoman. Ada yang mencari 'jalan mudah' untuk menyelesaikan masalah. Waktu itu bukan sedikit yang telah membelakangkan Tuhan malah ada yang bersikap sebgai Tuhan. Hukum syariat ditinggalkan. Bila sudah terbiasa bergelumang dengan perkara yang bertentangan dengan syariat, manusia jadi lali. Kata orang, alah bisa tegal biasa. Sehingga ada yang mendakwa segala perlakuannya tidakpun berdosa, tidak bertentangan dengan syariat Tuhan.

Kini manusia seolah-olah mencabar hukum Tuhan dengan berkata kononnya muzik-muzik yang melalaikan itu halal, mencari nafkah dengan 'menjual suara' itu halal. Lalu yang terlibat dengan dunia hiburan mengurut dada lega pintu rezeki mereka dibuka seluas-luasnya oleh ulama yang mengeluarkan fatwa. Menganggap bakat itu anugerah Tuhan, yang patut disyukuri dan dipergunakan sebaiknya. Sedih sekali, dosa dan pahala sudah tidak dapat dibezakan lagi, sepertilah kata madah: Orang yang sentiasa bergelumang dengan dosa, tidak merasa berdosa lagi.

Seorang isteri yang dididik dengan manja, kemahuannya dituruti, tak mustahil kalau suatu hari nanti dia berani 'naik kepala'. Bila suami tak dapat lagi memenuhi kehendaknya mulalah dia merasa suami dah tak sayang lagi. Sebelum kahwin berjanji untuk taat akan suami. Tapi bila dah jadi isteri, lain pula jadinya. Bukan saja teguran suami dianggap sebagai sindiran, malah sudah berani meninggikan suara bila bercakap. Kepulangan suami sepatutnya disambut dengan senyum manis tapi dihambur dengan kata-kata yang memanaskan telinga. Bimbang kalau-kalau suami balik lewat malam kononnya kerana ada 'affair' diluar rumah. Lalu hilang rasa hormat pada suami, terbang melayang hemah sebagai isteri solehah.

Waktu itu terlupa dosa dan kemurkaan Tuhan. Sebaliknya berfikir untuk puaskan hati yang telah dikuasai oleh nafsu dan syaitan. Memarahi suami, merajuk, engkar pada arahan suami sudah menjadi perkara biasa. Islam mengajar seorang isteri agar bersikap malu dengan suami. Pandangan hendaklah ditundukkan. Bila suami bercakap hendaklah diam bukannya terus memotong cakapnya. Bila terasa berbuat salah, minta maaf pada suami dan berazam kesalahan yang sama tidak berulang lagi. Hadis Rasulullah bermaksud "Seseorang yang memohonkan pengampunan dari dosanya sedang ia masih tetap mengekalkan berbuat dosa itu, maka samalah halnya orang yang mengejek ayat-ayat Allah." - Riwayat Ibnu Abiddunya

Bagi seorang isteri yang beriman, kesilapan suami dianggap sebagai kesilapannya sendiri. Dia merasakan dialah punca yang menyebabkan suaminya bersikap demikian. Dia rasa dirinya sentiasa berdosa. Dia sentiasa meminta ampun pada Tuahan. Dia bersangka baik dengan suami. Murka suami amat ditakuti kerana dia sedar murka suami adalah murka Allah jua. Bila Allah murka tiada tempat lain yang lebih layak baginya melainkan neraka Waaliyazubillah. Orang yang beriman sering merasakan dirinya berdosa. Bibirnya tidak lekang dari beristighfar kepada Tuhan. Rasulullah yang bersifat maksum beristighfar banyak kali setiap hari apatah lagi kita yang sering berbuat dosa. Sebuah hadis bermaksud: "Seorang mukmin itu dapat melihat dosanya sebagaimana melihat gunung yang ada di atasnya, ia amat takut kalau gunung itu jatuh ke atasnya. Adapun orang munafik itu melihat dosanya sebagaimana melihat lalat yang terbang melalui hidungnya, maka lalu dienyahkan saja supaya terus terbang." - Riwayat Bukhari.

Dosa adalah racun dalam kehidupan. Sekiranya dosa itu terus dihimpun ianya akan meruntuhkan roh keimanan. Antara dosa besar ialah terus mengekalkan perbuatan maksiat. Bila ter buat dosa segeralah disusuli dengan taubat, jangan diperlengahkan. Dosa menjauhkan kita dari Tuhan. Dosa yang dibuat umpama titik-titik dan karat hitam yang melekat di hati. Bila sudah terlalu banyak titik-titik hitam ini akan gelaplah hati. Bila hati sebagai tempat pancaran kebenaran itu telah gelap, susahlah untuk membezakan mana yang hak dan mana yang batil. Susahlah hati yang gelap itu untuk menerima kebenaran. Moga Allah pelihara hati-hati kita. Ajal tidak tentu bila datangnya. Justeru itu bertaubatlah sentiasa. Biar bibir kita sentiasa basah dengan istighfar memohon keampunan Tuhan. Ajal tidak boleh ditangguh walau sesaat jua. Ditakdirkan ajal datang tanpa sempat bertaubat apa akan jadi? Kalau bekalan yang dibawa ke akhirat penuh dengan dosa di manakah tempat yang paling sesuai untuk kita, syurga atau neraka?

Jadilkanlah taubat sebagai pakaian harian. Anggaplah diri sentiasa bersalah, bersangka buruklah pada diri dan bersangka baik dengan Tuhan. Berazamlah untuk meninggalkan kemaksiatan sementara belum terlewat. Bertaubatlah selagi masih ada umur di badan. Tidak rugi merasakan diri bersalah walaupun tiddk bersalah. Orang beginilah yang dikasihi Tuhan. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai nafsu yang tenang kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan redha dan diredhai. Masuklah dalam golongan hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku."

Comments

Popular posts from this blog