AMANAT

KETUA SETIAUSAHA NEGARA KE-13

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Terlebih dahulu saya melafazkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas rahmat dan inayat Nya, saya telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara yang ke-13. Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan, terutamanya YAB Perdana Menteri, atas kepercayaan untuk saya memikul amanah yang amat besar ini bagi menerajui Perkhidmatan Awam Malaysia.

Saya juga berasa amat terharu dan amat menghargai ucapan-ucapan tahniah yang telah diterima daripada pelbagai pihak termasuk dari kalangan anggota pentadbiran, para diplomat, penjawat awam, ahli korporat, pihak swasta serta orang ramai dari seluruh pelosok Negara. Terima kasih kembali jua saya ucapkan.

Dengan kepercayaan yang diberikan, saya berjanji akan melaksanakan tanggung jawab yang besar ini dengan penuh amanah. Sebagai manusia biasa, pastinya saya tidak akan dapat melakukannya secara bersendirian. Justeru, dalam memastikan kesinambungan tugas-tugas sedia ada, saya berharap rakan-rakan penjawat awam dapat bekerja bersama-sama saya, memberikan sokongan padu dan kerjasama yang erat dalam usaha melonjakkan sektor Perkhidmatan Awam ke satu tahap yang lebih baik supaya selari dengan aspirasi YAB Perdana Menteri dalam mentransformasikan Malaysia kepada sebuah Negara maju menjelang tahun 2020.

Setiap penyandang Ketua Setiausaha Negara pastinya mempunyai gaya kepimpinan yang tersendiri apabila menerajui perkhidmatan awam. Namun, semuanya dilakukan atas satu tujuan dan paksi yang sama, iaitu untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Di kesempatan ini, saya ingin memanjangkan penghargaan kepada YBhg. Tan Sri Mohd. Sidek bin Hj Hassan yang telah berjaya memimpin Perkhidmatan Awam dengan cemerlang dengan meletakkan prinsip-prinsip serta asas yang kukuh untuk kita terus memberikan perkhidmatan terbaik. Oleh yang demikian, selain meneruskan serta mempertingkatkan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh beliau, saya berhasrat untuk mengamalkan dasar kepimpinan terbuka, jujur, ikhlas serta berterus terang dalam semua urusan di pelbagai peringkat penjawat awam dengan menekankan kepada aspek hubungan kemanusiaan dan keprihatinan.

Sehubungan itu, saya ingin menjemput Ketua-ketua Kementerian, Jabatan dan Agensi serta Yang DiPertua Persatuan dan Kesatuan Pekerja yang mewakili pelbagai perkhidmatan di dalam perkhidmatan awam untuk mengadakan pertemuan secara terbuka dengan saya dari semasa ke semasa, selain mengadakan mesyuarat tertentu yang telah dijadualkan. Saya mengalu-alukan apa jua pandangan, teguran serta cadangan penambahbaikan demi mewujudkan sebuah perkhidmatan awam yang telus, dinamik dan progresif.

‘Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya’. Kesinambungan budaya tersebut juga diharap dapat diteruskan oleh Ketua-ketua Kementerian, Jabatan dan Agensi untuk bertemu dengan anggota penjawat awam di bawah seliaan masing-masing bagi menyapa khabar, merisik permasalahan dan kekangan yang dihadapi demi memelihara kebajikan anak buah. Hakikatnya, perkara ini adalah perkara biasa yang kita lakukan dalam kehidupan kita sehari-hari. Apabila kita mahupun sesuatu yang terbaik untuk diri sendiri dan juga ahli keluarga, kita akan usahakan dengan sepenuh hati dan bersungguh-sungguh. Demikian juga perihalnya dalam menjalankan tugas-tugas di pejabat.  Dengan beranggapan perkhidmatan yang diberikan tersebut adalah untuk diri sendiri, kita pasti akan menzahirkan usaha dengan sepenuh hati dan seikhlasnya agar kita mendapat pulangan seperti mana yang diharapkan. Kata orang, ‘apa yang kita semai, itulah yang kita tuai’. Penjawat awam juga adalah rakyat, maka apa yang kita buat, itulah yang akan kita dapat. Justeru, apabila kita sentiasa berusaha memperbaiki dan meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, manfaat yang sama turut dirasai oleh kita juga. Inilah yang saya namakan ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’.

Oleh yang demikian, saya akan mempergiatkan proses engagement dengan membudayakan amalan turun padang ke lokasi penduduk, pusat-pusat operasi, kaunter-kaunter perkhidmatan dan lawatan tapak bagi mendapatkan maklumat serta melihat keadaan sebenar di peringkat akar umbi di samping memantau pelaksanaan projek serta program dan pada masa yang sama dapat beramah mesra dengan tuan-tuan dan puan-puan. Dengan cara ini, saya berharap sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan tahap pemberian perkhidmatan kepada semua golongan rakyat tanpa mengira apa jua perbezaan, di samping mendapat input untuk merangka dasar dan program Kerajaan yang lebih jitu dan realistik.

Selain daripada itu, saya juga akan memastikan perkara-perkara yang telah diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dilaksanakan dengan lebih pantas. Dalam hal ini, sokongan dan kerjasama ketua-ketua kementerian, jabatan dan agensi amatlah diharapkan dan dihargai dalam memastikan kelangsungan serta kelancaran pelaksanaan keputusan-keputusan tersebut, agar matlamatnya tercapai dengan jayanya. Fasa implementasi haruslah diperkukuhkan. Justeru, marilah kita bersama-sama memahami, menghayati dan menyusun strategi untuk melaksanakan dasar-dasar yang telah diputuskan oleh Kerajaan agar transformasi, agenda dan wawasan Negara tercapai.

Begitulah antara usaha-usaha yang akan saya tekankan sebagai mukadimah dalam melaksanakan tugas baru ini. Kita semua sedar, sesungguhnya kehendak dan permintaan rakyat semakin meningkat dan cabaran masa hadapan semakin kompetitif dan getir. Oleh itu, saya menyeru setiap anggota perkhidmatan awam agar bersatu teguh serta memperkukuhkan saf dalam mendepani segala kemungkinan yang bakal dihadapi. Namun demikian, suka saya mengingatkan, dalam apa jua perkara yang dilakukan, jangan sesekali dibelakangkan aspek integriti. Sifat integriti akan terus menjadi teras jati diri kita semua. Lakukanlah setiap tugas yang diamanahkan dengan niat yang betul kerana ia akan menyumbang kepada perolehan rezeki yang halal dan diberkati.

Dengan sokongan serta kerjasama yang erat, kita akan terus melangkah dengan lebih yakin dalam usaha meningkatkan keberkesanan dasar-dasar, pelaksanaan projek-projek serta kelancaran program-program Kerajaan. Marilah kita sama-sama bersatu melaksanakan tugas, melunaskan tanggungjawab dan menjalankan peranan masing-masing untuk memastikan agenda pembangunan Negara tercapai dan penyampaian perkhidmatan Kerajaan kepada rakyat terus diperkasakan.
 
(Dr. Ali bin Hamsa)

Comments

Popular posts from this blog