Jauhi Dosa-dosa Besar Ketika Menggunakan Facebook dan Blog
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala
puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Penggunaan
internet terutama dalam laman sosial facebook dan blog adalah satu cara
boleh membawa kebaikan dan keburukan. Jika caranya betul akan
mendatangkan kebaikan dan pahala disisi Allah SWT, tetapi jika carnya
salah yang mengundang keburukan maka ianya boleh mendatangkan keburukan
dan dosa disisi-Nya.
Disedari
terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh
perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.
Perlakuan
dan perbuatan melalui facebook dan blog yang boleh mengundang dosa
terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup di senaraikan enam
perkara sahaja iaitu :-
1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook dan blog.
Terdapat
beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung,
pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah
terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri
juga melalui status facebook dan blog peribadi mereka. Kemudian, status
tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Sebagai
contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta,
pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka.
Tertekanlah suami serba salah.
Sebagaimana
yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga,
kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada
orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia
mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk
tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu
hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.
Namun,
tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang
diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh
sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara
terbuka sama ada melalui facebook atau di blog peribadi dan sebagainya.
Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya
dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai
autoriti seperti pegawai dipejabat agama negeri, ibubapa, mertua dan
adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi
mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada
pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah
atau Kaunselor Rumahtangga.
Pendedahan
masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK
DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook atau blog. Apabila ia
dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.
Terdapat
sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi
selaku pembaca, kita dapat ‘membaca’ dan mengetahui secara tersirat
bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin’ dengan pasangannya. Ada juga
yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya,
bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua,
rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook atau
blog.
Beramanahlah,
berikan suami dan isteri kalian password facebook dan blog kalian ,
agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada
kalian. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam
(delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa
pertimbangan akal yang waras.
2) Terlebih gambar
Ramai
di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook dan blog peribadi,
mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan
dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang
memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga
memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri).
Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.
Agak
pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami
mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian
kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin.
Lebih
merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya
memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat
‘lamaran’ nafsu.
Lebih
pelik, tuan punya facebook dan blog yang sepatutnya mampu mengawal dan
memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran
nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami)
tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.
Berterusan
bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga
yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat
dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih
bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia
termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri
zina’.
Saya
bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri
terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang
sehabisnya di facebook dan blog.
3) Penyamaran
Lelaki
menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat
maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana
tidak diluluskan menjadi ‘friend’ seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki
tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut.
Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar
menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai
secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui
cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar
wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.
Si
wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah
menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang
yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau kalian hanya membenarkan friend
untuk menatapi gambar kalian, pastikan semua gambar tersebut masih
terhad dan terjaga.
4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.
Dimaklumkan
juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah’
difacebook dan blog, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun
gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru,
sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa’ yang
menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat
perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.
Malangnya,
golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk
mendapat lebih banyak pujian dan …’DOSA’. Simpan sahajalah gambar-gambar
‘kiut’ (cute) kalian, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian
rakan sekeliling yang benar-benar mengenali kalian. Tidak perlulah
tamakkan pujian manusia luar.
Tunggu
sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di syurga nanti, terlampau
tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke cantikan gambar kalian mungkin
menjadikan rumahtangga kalian hancur, kecemburuan wanita lain, kerana
boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh
kalian dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham
dosa.
5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.
Tagging
atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah
untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada
kenalan dan rakan.
Malangnya
fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Ini adalah
kerana, terdapat ‘trend’ menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian
meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari,
setiap gambar yang di muat turunkan atau disimpan, akan muncul dan boleh
dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh
menontonnya.
Ini boleh menjadi dosa, kerana :-
a.
Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak
menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran
gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.
b.
Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru
penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri
atau di dalam keadaan bersama mahram tetapi akibat ketidakperihatinan
sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian
tersebar. Sepatutnya, kita yang di’tanda’ boleh dengan segera delete
‘tag’ itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai
sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu
yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik
facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged’ nama mereka. Malah kalau
mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap
salah dan berDOSA di dalam Islam.
c.
Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun
menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak
mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan
bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula
dia kini merupakan ‘seseorang’ yang terhormat, punyai kedudukan baik di
mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama
baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di
khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar kalian
mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan
perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.
6. Mengutuk diri sendiri dan kebaikan.
Adakalanya
terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian
sopan dan tudung labuh dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau
sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan,
imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi
wajah, baju berwarna-warni dan berfesion, yang tebal dahulu sudah jadi
nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi.
Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.
Yang
menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian sopan dan
tudung labuh di facebook atau blog, disiarkan oleh rakan-rakan lama.
Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya
sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah
kata-kata, ‘zaman aku ekstrem’, ‘zaman solehah’, ‘waktu innocent‘,
zaman-zaman suci’, ‘itu zaman kuno dulu’ dan lain-lain alasan yang
sepertinya.
Tanpa
disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata
zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?,
kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk
pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu
istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai
mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi
baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah
kita koreksi diri kita sendiri adakah enam perkara di atas telah
berlaku kepada diri kita sendiri?, Jika berlaku cepat-cepatlah bertaubat
dan insaf dan jangan mengulanginya lagi perkara haram dan berdosa.
Jika
tidak berlaku dan kita tetap istiqamah dengan cara-cara sopan yang
dibenarkan Islam, alhamdulillah teruskan perkara yang baik ini.
Perlu
diingat facebook dan blog adalah kemudahan teknologi yang boleh menjadi
sumber pahala, jika diguna dengan betul, tetapi jika disalah gunakan
dan melanggar peraturan syariat maka iannya boleh menjadi pemudah azab
dan mendatangkan dosa-dosa besar. Berhati-hatilah dan berpada-padalah
pemilik facebook dan blog.
Niat
untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya
tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di
antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan
mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan
rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama ‘ukhuwah’ untuk berbuat
dosa.
Ukhuwwah
itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah SWT,
mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan
fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.
Sekian, wasslamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.
Comments
Post a Comment