Pengertian Syariat Islam dari segi bahasa dan istilah


Pengertian Syariat Islam dari segi bahasa dan istilah.

1) Dari segi bahasa: Perkataan syariat mempunyai pelbagai makna di dalam bahasa Arab, antaranya
 
a- jalan yang lurus.
b- tempat keluar sesuatu.
c- jalan ke tempat air minum.
Kaitan perkataan syariat dari segi makna pada bahasa menunjukkan kepada kita bahawa kewujudan air adalah penghubung kepada penerusan hayat manusia. Begitu juga jalan yang lurus adalah sesuatu yang membawa manusia ke arah kebaikan.
2) Dari segi istilah:
Maksud syariat dari segi istilah ialah apa yang disyariatkan oleh Allah kepada hambaNya pada perkara agama, iaitu daripada hukum-hakam yang berbeza (wajib, sunat, harus, makruh, haram), samada ianya diambil dari Al-Quran ataupun sunnah nabi melalui kata-katanya ataupun perbuatannya ataupun Iqrar (persetujuannya).

Maka di sini, Syariat, Deen dan juga Millah (agama) memberi pengertian yang sama, iaitu apa-apa yang disyariatkan oleh Allah kepada hambaNya daripada hukum-hakam yang disebutkan tadi. Hukum-hakam tersebut dinamakan sebagai hukum syariah dari sudut kelurusan dan kejelasannya, tidak bersimpang-siur dan tidak mempunyai sebarang kesamaran yang diragukan. Ia juga disebut sebagai Deen dari sudut kepatuhan hamba kepadaNya dan disebut juga sebagai Millah (agama) dari sudut ianya berlegar di sekitar manusia.
Pembahagian Syariat Islam
Secara umumnya, Syariat Islam boleh dibahagikan kepada tiga unsur penting , sebagaimana yang telah disusun oleh salah seorang Syeikh di Universiti Al al-Bayt, menerusi kitabnya "Usuluddin Al-Islami", iaitu Prof. Dr. Qahtan Ad-Duri, bahawa tiga unsur tersebut ialah:
1) Prinsip Akhlaq2) Hukum-hukum Amali3) Usul/asas Aqidah.
1-Prinsip akhlaq

Di dalam Syariat Islam ada diperuntukkan prinsip-prinsip akhlaq yang dituntut oleh Islam dan ia harus diikuti oleh umat Islam, seperti sifat amanah, adil, ihsan, tolong-menolong, bekerjasama antara satu sama lain dan lain-lain lagi.
Matlamat diwujudkan prinsip akhlaq ini adalah untuk mengembangkan kebaikan di dalam masyarakat serta mengelakkan dari timbulnya kehinaan dan berusaha untuk mewujudkan satu bentuk masyarakat yang mithali.
Manakala ilmu yang bersangkutan dengan prinsip ini ialah ilmu Akhlaq ataupunTasawwuf.
2-Hukum-hukum Amali 
1
2

Hukum amali adalah merupakan setiap hukum-hukum yang dikenakan ke atas umat Islam yang berkaitan dengan amal perbuatan, samada ibadat ataupun muamalat, seperti contoh, solat, jihad, jual beli dan juga jinayat (hukum jenayah).
Matlamat disebalik diturunkan hukum-hukum ini ialah untuk mengatur sistem hidup masyarakat di dalam kehidupan manusia supaya sesuai dipraktikkan pada setiap tempat dan juga pada setiap zaman.
Dan ilmu yang membincangkan persoalan ini ialah Ilmu Syariah/Feqh.
3-Usul/asas Aqidah:-
Topik perbahasannya berlegar sekitar mengisbatkan/mengukuhkan keyakinan aqidah di dalam diri seorang muslim terhadap kewajipan beriman kepada Allah, meyakini sifat-sifatnya dan perbuatannya, persoalan kenabian, hari pembalasan dan lain-lain lagi.
Matlamatnya di sini ialah mengisbatkan/menanamkan keyakinan terhadap Aqidah Islamiyyah berdasarkan daripada nas/dalil-dalil yang diyakini serta memberi hidayah kepada orang-orang yang memberi komitmen terhadap agama dengan menambahkan pengertiannya di dalam agama serta membantu di dalam memberi hujah untuk melawan golongan-golongan yang ingkar dengan anjuran supaya meletakkan keimanan yang penuh kepada tuhan yang satu, iaitu Allah SWT, dan juga ia boleh memelihara agama serta prinsip-prinsipnya daripada ditimbulkan keraguan dari pihak-pihak yang membenci dan tidak yakin pada Islam.Ilmu yang membincangkan persoalan ini ialah ilmu Usuluddin/Aqidah/Tauhid.
Manakala di dalam aspek hukum-hukum amali, Dr. Abdul Karim Zaidan, seorang pakar rujuk yang terkenal di dalam bidang Syariah, dari Baghdad, Iraq, telah mengupas dan membahagi-bahagikan hukum-hukum amali ini kepada dua bahagian yang utama, iaitu:
1)Ibadat2)Adat/Muamalat.
Di dalam bahagian ibadat, sebagaimana yang sedia maklum, ia merangkumi perkara-perkara seperti solat, puasa, haji dan lain-lain lagi, yang ianya memberi maksud, menyusun hubungan antara hamba dengan tuhannya.
Manakala Adat ataupun lebih dikenali sebagai Muamalat membawa maksud, penyusunan hubungan dan interaksi antara hamba (individu) dengan hamba (individu) yang lain. Dr. Abd. Karim Zaidan telah membahagikan hukum muamalat ini kepada beberapa bahagian

1) Hukum-hukum yang berkaitan dengan kekeluargaan seperti nikah, talak, nafkah, dan lain-lain yang seumpama dengannya, yang mana ia diistilahkan pada masa sekarang sebagai kanun keluarga/ahwal syahsiah.
2) Hukum-hukum yang berkaitan dengan hubungan individu di dalam aspek kewangan/perekonomian seperti jual beli, sewaan dan lain-lain lagi, iaitu apa yang disebutkan sebagai kanun muamalat/kanun madani dan juga apa yang disebut sebagai kanun perniagaan berdasarkan kepada beberapa hukum yang berkaitan dengannya seperti hukum syarikat, muflis dan lain-lain lagi.
3) Hukum-hukum yang berkaitan dengan hukuman, pendakwaan, penyaksian dan lain-lain lagi, iaitu apa yang diistilahkan sebagai kanun murafa'at.

4) Hukum-hukum yang berkaitan dengan kedudukan orang-orang bukan Islam di dalam negara Islam, hak-hak yang didapati terhadap mereka, serta penyusunan hubungan sesama mereka dan juga sesama orang Islam di dalam negara Islam.

5) Hukum-hukum yang berkaitan dengan penyusunan hubungan antara negara Islam dengangara-negara lain dalam aspek perdamaian atau peperangan.

6) Hukum-hukum yang berkaitan dengan sistem politik Islam (siasah syar'iyyah), serta hak-hak individu di dalam negara Islam.

7) Hukum-hukum yang berkaitan dengan urusan kewangan negara termasuklah didalamnya punca pendapatan negara serta ke mana wang tersebut dilaburkan dan seterusnya menyusun hubungan kewangan di antara individu dengan negaranya.

8) Hukum-hukum yang berkisar tentang hukuman keatas jenayah yang dilakukan oleh individu di dalam negara Islam, ini termasuklah Hudud, Qisas dan Ta'azir. ( menentukan kedudukan sesuatu perbuatan jenayah serta kadar hukuman yang dikenakan ke atas pelakunya)

Maka beginilah ke'universal'an dan ke'global'an yang ada pada Syariat Islam yang tiada tolok bandingannya jika dibandingkan dengan undang-undang serta kanun yang dicipta oleh manusia di muka bumi ini kerana perundangan ciptaan manusia tidak mempunyai ciri-ciri yang disebutkan tadi, iaitu dari sudut akhlaq, ibadat dan aqidah. Dan di sini, kita dapat lihat bahawa Syariat Islam sememangnya didatangkan untuk memenuhi kehendak manusia dari segenap aspek.

InsyaAllah, di keluaran yang akan datang kita akan membicarakan lagi berkenaan ciri-ciri utama di dalam Syariat Islam serta maqasid/matlamat -matlamat yang penting di dalam Syariat Islam.

Wallahu A'lam.rh
 http://sabja.proboards.com
 

Comments

Popular posts from this blog