SELAMAT MELAYARI BLOG INI SEMOGA KITA MEMPEROLEHI MANFAATNYA DAN HARAP DISEBARLUASKAN KEPADA PEMBACA YANG LAIN PULA BERSESUAIAN DENGAN SABDA RASULULLAH S.A.W "SAMPAIKAN DARIPADAKU WALAUPUN DENGAN SATU AYAT"

Tuesday, March 1, 2011

ARTIKEL MENGENAI RASUAH

RASUAH
Post
Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang dimana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut. Menurut Badan Pencegah Rasuah Malaysia terdapat empat kesalahan rasuah yang utama:
Meminta/Menerima Rasuah
Menawar/Memberi Rasuah
Membuat Tuntutan Palsu
Menyalahguna Jawatan/Kedudukan

Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa. Rasuah di kalangan penguatkuasa adalah perkara biasa di kebanyakan negara pengeluar petroleum dan negara miskin terutamanya di Amerika Latin.

Di kalangan negara ASEAN (selain Myanmar), Indonesia mempunyai mata yang sangat rendah iaitu pada 2.0. Manakala Malaysia terletak di bahagian yang lebih tinggi iaitu dengan mata 5.0. Namun negara ASEAN yang mendapat keyakinan paling tinggi ialah Singapura dengan 9.3.

Hutang Punca Rasuah
Post 
Hutang punca pejawat awam amal rasuah

LAPORAN Pelan Integriti Nasional - Penilaian dan Hala Tuju (Tekad 2008) yang diumumkan semalam mendedahkan hampir 74 peratus kakitangan awam yang cenderung menerima suapan berpunca daripada terlalu banyak beban hutang dan gagal mengawal perasaan kerana mempunyai lebih ruang serta peluang melakukannya.

Laporan itu juga menyatakan amalan rasuah berleluasa di kalangan penjawat awam kerana ramai masih keliru dengan skop perbuatan yang dianggap rasuah atau sebaliknya.

Kajian persepsi awam terhadap rasuah yang dilakukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati agensi penguat kuasa undang-undang kekal sebagai golongan yang paling terdedah kepada risiko rasuah termasuk polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta jabatan Bomba dan Penyelamat.

Kira-kira 70 peratus gejala rasuah dalam perkhidmatan awam membabitkan 10 jabatan kerajaan, terutama agensi penguatkuasaan dan agensi kerajaan yang mempunyai keanggotaan besar.

Dalam konteks perundangan, kajian antara 2007 hingga 2008 itu mendapati masih ada anggota perkhidmatan awam kurang jelas mengenai penakrifan rasuah seperti penerimaan hadiah dan percanggahan kepentingan.

Walaupun Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 membawa banyak pembaharuan berbanding Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang dimansuhkan, tidak ada penakrifan khusus mengenai istilah rasuah, sebaliknya hanya membuat takrifan mengenai ‘suapan’.

Sehubungan itu, Laporan Tekad mengesyorkan program kesedaran mengenai rasuah, terutama amalan yang boleh ditakrifkan sebagai rasuah perlu diperhebatkan untuk penjawat awam dan orang awam supaya tidak timbul kekeliruan mengenai apa yang dibolehkan dan yang dilarang.

Pada masa sama, IIM, menerusi Pelan Integriti Nasional (PIN), berusaha mengurangkan gejala rasuah dengan sasaran menaikkan 5.2 mata Persepsi Indeks Rasuah (CPI) yang ditetapkan pada 2003 kepada 6.5 mata menjelang 2008.

Sejak lima tahun PIN dilancarkan, pelbagai pendekatan serta usaha dilakukan bagi membanteras rasuah tetapi negara hanya memperoleh 5.1 mata bagi 2007 dan 2008 berbanding mata tertinggi 5.32 pada 1994 dan terendah 4.8 pada 2000.

Rasuah juga mengakibatkan pengaliran keluar modal kerana kebanyakan perolehan haram ini disimpan di bank pesisir pantai, manakala kajian Suruhanjaya eropah mendapati antara 10 hingga 20 peratus kenaikan harga barang berpunca daripada rasuah.

Justeru, laporan itu turut menekankan kepentingan umum diberi penjelasan mengenai pelbagai bentuk rasuah, bukan saja yang membabitkan pertukaran wang antara dua pihak tetapi merangkumi penyelewengan, salah guna kuasa dan pemalsuan.
Rasuah dari kaca mata agama
Post

KETIKA mana rasuah itu berlaku? Jenayah rasuah itu benar-benar berlaku apabila ada orang yang memberi wang atau habuan lain dan ada pula orang yang mahu menerimanya dengan tujuan tertentu untuk kepentingan orang yang memberinya. Umpamanya si A memberi sejumlah wang kepada si B dengan tujuan si B mengundi si A. Apabila tiba masa mengundi, si B benar-benar mengundi si A. Mengikut hukum adat yang memberi itu bersalah dan dijatuhkan hukuman. Adapun hukum Allah kedua-dua mereka iaitu yang memberi atau yang menerima bersalah dan tempatnya dalam neraka. Hadis Nabi Muhammad SAW dalam perkara ini sangatlah jelas kerana Rasulallah bersabda "Kedua- dua orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah dihumban masuk ke dalam neraka".

Proses menjatuhkan hukum di dunia ini melalui perbicaraan di mahkamah atau di kamar yang diberi kuasa untuk membicarakannya. Dalam perbicaraan itu mesti ada bukti dan saksi. Saksi dan bukti itulah menjadi asas hakim membuat keputusan mengikut undang-undang yang ada dalam negeri itu atau undang-undang dan peraturan yang ada dalam parti itu. Kadang-kadang orang yang bersalah itu boleh terlepas daripada hukuman kerana bukti tidak cukup atau kerana sebab teknikal.

Ada pun perbicaraan pada hari akhirat kelak, yang menjadi saksi ialah kaki dan tangannya kerana mulut telah dikunci rapat-rapat seperti tersebut dalam surah Yasin ayat 65 yang bermaksud: "Pada waktu itu kami meteraikan mulut mereka dan memberi peluang kepada tangan-tangan mereka memberi tahu kami atas kesalahan masing-masing dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan". Inilah perbicaraan yang akan berlaku di Padang Mahsyar kelak. Satu perbicaraan yang sangat adil tanpa memerlukan peguam lagi.

Rasuah tidak berlaku, jika wang suapan itu tidak sampai kepada tujuan orang yang memberi. Umpamanya si A memberi wang suapan kepada si B tetapi si B tidak juga mengundi si A. Si B beranggapan wang yang diberi itu sebagai derma atau sedekah jariah sahaja kepadanya. Wang yang diberi itu diambil tetapi apabila sampai pada hari mengundi, si B akan mengundi sesiapa sahaja yang layak menduduki tempat yang terpilih itu.

Dalam minggu ini, ramai orang yang hendak mengetahui siapakah pemimpin UMNO yang terlibat dengan politik wang. Yang hendak mengetahui itu bukan sahaja ahli UMNO tetapi juga orang yang berada di luar UMNO sama ada pembangkang atau orang atas pagar. Perkara ini berlaku kerana BN yang bertunggakkan UMNO masih kuat dan sukar ditumbangkan.

Bolehkah UMNO yang bertunggakkan BN itu boleh ditumbangkan kerana gejala politik wang? Inilah perkara yang sangat dibimbangkan oleh bangsa Melayu hari ini. Jika ini berlaku, orang Melayu harus menerima hakikat bahawa Melayu akan hilang kuasanya di dunia ini kerana dipengaruhi oleh politik wang.

Jika UMNO mahu terus berkongsi kuasa dengan komponen parti dalam BN, maka gejala rasuah itu hendaklah dihalang dan disekat oleh mereka yang mewakili Bahagian UMNO dalam perhimpunan agung UMNO akhir bulan ini. Jika ada apa-apa usaha untuk menggagalkan lembaga disiplin UMNO menjalankan tugasnya, maka usaha itu hendaklah dicegah melalui nasihat yang baik dan berhikmah.

Apalah yang untung dengan satu ribu, jika selepas ini anda tidak lagi dipilih sebagai perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO? Perkara ini boleh berlaku kerana anda menjadi pengkhianat kepada bangsa dan negara. Perbuatan khianat itu boleh menghilangkan Melayu di dunia ini. Di akhirat kelak orang yang memberi dan menerima rasuah itu akan dicampak ke dalam neraka setelah selesai perbicaraan di Padang Mahsyar nanti.

Perkara ini termasuk dalam Rukun Iman. Percaya kepada hari akhirat dan percaya kepada syurga dan neraka adalah sebahagian daripada Rukun Iman. Mengapa kita mahu menggadaikan segala amalan kita dalam solat lima waktu dan solat Jumaat tetapi akhirnya dicampak ke dalam neraka kerana menerima suapan rasuah politik? Hukuman ini sangat adil kerana di akhirat kelak tangan yang menerima atau memberi suapan itu sendiri menjadi saksi.

DATUK ABD. MANAF AHMAD
 
Post  GEJALA RASUAH DAN KESANNYA

Oleh: Norhafifi Yahya

Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri. Ini kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperoleh apa-apa yang dikehendakinya itu. Secara amnya rasuah bermakna kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri dan bersikap ‘pilih kasih’ dalam tindakannya.

Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab “al-risywah”. Di dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Di negara ini, dari segi undang-undang semua perkataan “ memberi dan menerima suapan” adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah.

Biasanya, rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan mewah atau dengan erti kata lain mahu menjadi kaya dalam masa singkat. Kebiasaannya orang yang melakukan budaya ini tidak memikirkan kesan buruk yang akan terjadi, sebaliknya mereka hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka. Sebagai umat Islam, keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT harus dititikberatkan dalam apa juga urusan. Islam sangat melarang umatnya daripada mengamalkan budaya ini. Seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah RA. ia telah berkata: “Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang suka memberi rasuah dan orang yang suka menerima rasuah dalam soal hukum- menghukum”.

Perbuatan rasuah ini adalah perbuatan yang sangat keji dan berdosa. Mereka yang terjebak dalam budaya rasuah akan memperoleh balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka ini. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

“ Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka”.

Allah telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antaranya kamu dengan jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu bawa kepada hakim, supaya dapat kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahuinya”. (al-Baqarah : 188)

PANDANGAN ISLAM MENGENAI RASUAH

Budaya rasuah ini sebenarnya telah dahulu disedari oleh Islam dan cara yang terbaik bagi mengatasi dan mengawal budaya ini telah disediakan. Langkah pertama yang tegas telah diutarakan oleh Islam iaitu terhadap mengharamkan secara berkesan tanpa bertolak ansur dengan rasuah, seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang bermaksud :

“ Penerima dan pemberi rasuah akan ditempat dalam api neraka”.

Perbuatan ini juga dikutuk dengan kerasnya oleh Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud :

“Allah SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya”.

Berdasarkan dalil-dalil diatas jelas membuktikan Islam melarang perbuatan keji ini. Kutukan itu bukan sahaja terbatas kepada penerima malah pemberi dan sesiapa juga yang bersubahat melicinkan kegiatan rasuah ini.

PUNCA BERLAKUNYA RASUAH

Antara punca berlakunya rasuah ialah :

a) Kelemahan peribadi seperti kurang iman dan takwa. Seseorang itu tahu bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan juga dengan seribu satu alasan peribadi. Hal ini termasuk dalam teori “Technique of Neutralization” oleh Grisham Sykes dan David Matza. Mereka mengatakan, “ Lakukan rasuah secara rahsia asalkan tiada siapa yang tahu”. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah keperibadiannya.

b) Kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi. Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah.

c) Sosial dan budaya. Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari.

d) Modenisasi. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan yang terlibat juga mengambil kesempatan untuk mengaut untung sebanyak-banyaknya. Perlumbaan moden memperlihatkan para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender. Mereka juga akan berusaha untuk memenangi hati pegawai pengurusan atau pembuat keputusan. Rasuah diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat menyiapkan projek dan sebagainya.

e) Politik. Sesetengah ahli politik menggunakan kesempatan untuk berbakti kepada masyarakat dengan menerima dan memberi rasuah untuk mendapatkan kuasa, memenangi pemilihan jawatan politik, mengumpul kekayaan, menagih populariti dan sebagainya.

KESAN-KESAN RASUAH

Perbincangan mengenai rasuah adalah penting kerana kegiatan rasuah akan melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Dengan adanya kegiatan rasuah, tiada sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau hasil daripada sesuatu rancangan untuk masa depan. Kemajuan sesebuah negara bergantung kepada cerdik pandai dan profesional yang ada. Kegiatan rasuah akan hanya menghakis kepercayaan orang awam terhadap cerdik pandai negara kita.

Selain itu pemerintahan menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya. Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan, maka pemberian rasuah telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah.

Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya , ia menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Budaya rasuah juga boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara. seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak terbendung.

LANGKAH-LANGKAH MENCEGAH RASUAH

Antara langkah mencegah rasuah adalah seperti berikut :

1.Memantapkan Iman Dan Mengukuhkan JAtidiri

Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk membenteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada rakyat biasa, pemimpin,peniaga, atau jentera kerajaan maka amalan rasuah dapat diatasi. Kekuatan Iman dan jati diri dapat menangkis habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa tang tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata.

2. Mamasukkan bahaya rasuah dalam sistem pendidikan

-Benci kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan dididik sejak zaman persekolahan lagi. Generasi yang dididik benci rasuah akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah, ikhlas. Sistem pendidikan hanya membentuk generasi akan datang yang bebas daripada rasuah.

3. Meningkatkan Penguatkuasaan Undang-Undang dan Hukuman

Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibenteras dan dibendung untuk keselamatan negara. Selain itu para pengamal rasuah akan berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang bakal diterima.

4.Memudahkan urusan menggunakan ICT

-Prosedur diproses yang panjang, sukar dan lambat perlu diperkemaskan dan dipermudahkan dengan menggunakan kelebihan ICT. Penggunaan borang, proses temu duga dan seumpamanya perlu diringkaskan supaya tidak membebankan orang ramai khususnya para peniaga, kontraktor dan pelabur. Proses yang mudah dan telus dapat menghindari bahaya rasuah kerana tidak perlu disogok semata-mata untuk mempercepatkan proses.
Post 

Re: RASUAH

Post  
Tabiat beri ‘duit kopi’ suburkan amalan rasuah

PUTRAJAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengakui wujud kegiatan rasuah di kalangan anggota dan pegawai polis di negara ini berikutan kecenderungan orang ramai menghulurkan ‘duit kopi’ untuk menutup mulut pihak berkuasa bagi mengelakkan mereka ditahan.

Malah, katanya beliau sendiri pernah terkena tempias dan difitnah segelintir pihak yang mendakwa beliau menerima rasuah daripada mereka yang melakukan kegiatan jenayah di negara ini.

“Ada, memang ada. Malah, ada yang mengatakan kononnya saya terbabit denga rasuah. Kononnya mereka yang melakukan kegiatan haram memberikan sejumlah wang setiap bulan kepada saya. Tapi saya minta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) siasat, saya tidak takut.

“Saya turut memberikan nombor akaun bank untuk membolehkan SPRM periksa dan semak, mengapa perlu saya takut kalau saya tidak buat?. Saya tidak mempunyai asas untuk takut,” katanya dalam temubual eksklusif dengan Bahagian Komunikasi Korporat Kementerian Dalam Negeri (KDN), baru-baru ini.
 


Re: RASUAH
Post 
Rasuah : Terhakisnya Nilai Amanah Insan   Kebelakangan ini banyak kes rasuah di kalangan para pegawai tinggi kerajaan maupun di kalangan para pemimpin politik pemerintah telah didedahkan di negara ini. Satu demi satu kes didedahkan, dan seorang demi seorang dikenali sebagai penjenayah rasuah. Namun apakah tanggapan masyarakat terhadap perkembangan ini?

Meskipun gejala rasuah ini telah meluas diperkatakan sejak berpuluh tahun yang lalu, namun kehangatan pendedahan ini tetap tidak menyentuh hati sanubari rakyat kita. Antara penyebabnya ialah gejala rasuah ini bukanlah dianggap suatu yang baru, bahkan ianya sudah cukup sebati dan menular di kalangan masyarakat. Malah ianya sudah subur dan berakar umbi dalam kehidupan harian dan orangramai pula dapat hidup seiringan dengan amalan munkar ini.

Maka dengan itu, di kalangan masyarakat kita hari ini tidak ada rasa jijik atau jengkel dengan budaya fasad yang semakin parah ini. Malah tidak kurang pula yang menanggap orang-orang berkedudukan tinggi yang melakukan rasuah itu wajar untuk menikmati sesuatu yang menjadi hak mereka.

Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang dimana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian atau seumpamanya kepada pihak-pihak tersebut. Menurut Badan Pencegah Rasuah Malaysia (BPR) terdapat empat kesalahan rasuah yang utama: meminta/menerima rasuah, menawar/memberi rasuah, membuat tuntutan palsu, dan menyalahguna jawatan/kedudukan

Rasuah disebut dalam bahasa Arab sebagai ar-rasywah yang membawa maksud sebagai penyambung yang dapat menyampaikan tujuan dengan barang atau harta sogokan. Maksud tersebut diambil dari kata asal rasuah, ar-rasyaa, bermaksud tali timba yang disambung kepada sesuatu dan digunakan untuk mengambil air perigi.

Sementara di dalam kitab al-'Arus, rasuah bererti sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau selainnya supaya menghukum sesuatu atau memikul sesuatu seperti yang dikehendaki oleh si pemberi.

Jenayah rasuah yang begitu menular di dalam masyarakat kita hari ini dikatakan telah sampai ke paras yang cukup mencemaskan sehingga timbul saranan agar para penjenayah jenis ini dikenakan hukuman yang lebih berat. Amalan rasuah, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya yang kian meningkat itu menyebabkan kita tertanya-tanya apakah sistem pengurusan dan pentadbiran kita sedang mengalami keruntuhan akhlak yang sudah tidak terkawal lagi?

Persoalan yang timbul sebenarnya mungkin lebih jauh dari soal hukuman. Dalam kaitan ini mungkin berfaedah kita merenung persoalan yang lebih dasar iaitu persoalan terhakisnya nilai amanah dalam cara hidup kita. Ternyata untuk membina budaya hidup yang unggul, tidak cukup hanya dengan kemahiran dan peralatan canggih, tetapi ianya mesti dilandasi dengan kekuatan rohaniah dan nilai-nilai akhlak yang murni. Dengan kata lain, pembinaan budaya hidup itu mestilah bermula dari pembinaan insan itu sendiri.

Nilai amanah dalam menyempurnakan tanggungjawab yang diberikan seharusnya berpangkal dari hakikat paling dasar iaitu amanah sebagai matlamat keinsanan yang terpenting. Masyarakat yang telah kehilangan nilai amanah akan segera ditimpa masalah kepercayaan. Demikian pulalah halnya dengan kehidupan di dunia ini yang telah kehilangan nilai amanahnya pasti akan runtuh.

Hakikat inilah yang pernah diisyaratkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. bahawa apabila amanah sudah hilang, tunggu sahajalah saat keruntuhannya. Ketika ditanya bagaimana amanah boleh hilang, Baginda Nabi s.a.w. menjawab "apabila sesuatu tanggungjawab itu diserahkan kepada yang tidak layak." (maksud Hadith). Yang dimaksudkan dengan kelayakan di sini tentulah bukan cuma ketrampilan dan kepakaran tetapi termasuk juga kewibawaan akhlak atau moral integrity. Penyerahan tugas kepada yang tidak layak memang seringkali terjadi dalam budaya nepotisme dan amalan pilih kasih, atau dalam masyarakat yang sudah tidak lagi merasakan tugas itu sebagai taklif (amanah dan tanggungjawab) tetapi menganggapnya sebagai tashrif (simbol kebesaran).


Jenayah rasuah adalah gejala penyakit rohaniah yang berpunca dari sifat tamak dan ingin cepat kaya dengan cara yang batil. Penyakit rohaniah yang seperti ini antaranya dapat disembuhkan menerusi ibadah-ibadah khusus yang dilakukan dengan ikhlas sepertimana yang telah disyariatkan oleh Islam seperti solat, puasa, zakat, haji, zikir dan sebagainya.

Begitu juga dengan amalan rohaniah seperti membaca, memahami dan menghayati al-Quran yang amat dititik-beratkan dalam tradisi kepemimpinan Islam. Kerana membaca al-Quran dalam konteks ini harus diertikan sebagai proses muhasabah, mengkritik dan menilai diri. Inilah yang telah diperlihatkan oleh Khalifah Umar ibn Abd. Aziz, Khalifah Islam yang terkenal dengan keadilan dan amanahnya itu dikatakan mempunyai amalan membaca al-Quran setiap hari, termasuk hari yang paling sibuk. Tidak ada hari yang berlalu tanpa membaca al-Quran, paling tidak satu atau dua ayat.

Pada masa yang sama juga kita tidak menafikan bahawa Islam memerintahkan kita untuk mencari rezeki. Sumber rezeki ialah dari Allah yang bersifat Raziq. Ini bererti bahawa mencari rezeki ada hubung-kaitnya dengan Tuhan. Kesedaran tentang Tuhan dalam kegiatan harian akan membentuk sikap yang betul dalam hidup. Keyakinan terhadap Allah sebagai Tuhan yang memberi rezeki menumbuhkan sikap optimis dalam menghadapi kegiatan hidup, bahawa rezeki ada di mana-mana asalkan dia mahu berusaha. Namun ia juga sedar bahawa Tuhan tidak cuma memberi rezeki, tetapi juga menentukan kadarnya. Ia harus rela menerima kadar rezekinya dan tidak perlu tamak. Kadar ketentuan rezeki dari Tuhan itu ada hikmahnya kerana andainya Tuhan melayani segala kemahuan manusia nescaya manusia itu sendiri akan rosak dan melampaui batas.

Kesedaran bahawa rezeki itu anugerah Allah akan menumbuhkan pula rasa keterikatan dengan hukum dan nilai keTuhanan. Rezeki yang diperolehi dengan cara yang halal tanpa merugikan orang lain akan membawa barakah atau keberkatan. Barakah adalah satu lagi nilai yang dapat membentuk perilaku seseorang. Hanya yang halal yang akan membawa barakah, sedang yang haram hanya akan membawa padah.

Seterusnya kesedaran bahawa rezeki adalah juga amanah dari Allah akan menumbuhkan pula sikap bertanggungjawab dalam membelanjakan harta. Setiap ringgit akan dibelanjakan dengan cara yang diredhai oleh Allah. Kesedaran tentang kekayaan sebagai ujian Tuhan akan dapat mewujudkan budaya hidup yang sederhana dan menghindari gaya hidup bermewah-mewah.

Pemilik mutlak segala kekayaan adalah Tuhan sendiri. Manusia pada hakikatnya hanya penerima amanah. Anggapan kononnya setiap orang berhak membelanjakan hartanya sesuka hati, termasuk untuk hidup bermewah-mewah dan membazir adalah tidak benar. Biasanya gaya hidup bermewah-mewah itulah yang menjadi penyebab utama pelbagai jenayah rasuah itu. Seorang pengurus yang melakukan penipuan berjuta-juta ringgit bukanlah terdesak untuk memenuhi keperluan asasi hidupnya, tetapi lebih kepada memenuhi tuntutan gaya hidup bermewah-mewah.

Dalam bahang pembangunan masa kini yang lebih terarah kepada kepuasan nafsu, peranan agama terasa semakin penting. Tanpa panduan agama, insan yang diserahkan tanggungjawab untuk menguruskan amanah negara, akan bertukar menjadi manusia yang rakus dan boros. Mereka sanggup melakukan apa sahaja asalkan nafsunya dipenuhi. Oleh yang demikian, demi mewujudkan budaya hidup yang bersih dari gejala rasuah, agama harus menjiwai dan menyatu dalam budaya kerja.

Memang undang-undang dan hukuman yang setimpal boleh membentuk perilaku seseorang. Tetapi ada manusia yang dengan kepintarannya tidak pernah kehabisan helah untuk melepaskan diri dari undang-undang. Malah dalam budaya hidup sekarang dengan adanya dikotomi atau pemisahan di antara undang-undang dengan moral, orang boleh saja melakukan perbuatan-perbuatan tidak berakhlak tetapi dianggap sah menurut undang-undang. Lalu timbullah ungkapan ‘legally right, but morally wrong'. Sesungguhnya kecelaruan dan kekeliruan ini menuntut perhatian yang lebih besar dan iltizam perubahan yang bersungguh-sungguh, kerana sebahagian besar dari apa yang disebut sebagai problem of humanity (masalah kemanusiaan) zaman ini pada hakikatnya adalah problem of morality atau masalah akhlak dan kerohanian.

Re: RASUAH
Post
Gaji Berpadanan Dapat Membenteras Rasuah

Tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya pihak kerajaan menaikkan gaji asas kakitangan awam antara 10 hingga 40 peratus mendapat maklum balas yang pelbagai dari banyak pihak. Ada yang bersetuju dan ada yang sebaliknya. Manakala pihak yang membuat tuntutan juga ada alasan mereka yang tersendiri.

Bagaimanapun isu ini bukan sesuatu yang baru. Malah pada awal September lepas, isu ini ada dibahaskan di parlimen oleh wakil-wakil rakyat. Alasan mereka ialah gaji kakitangan awam sekarang disifatkan terlalu rendah dan tidak selaras dengan persekitaran ekonomi sekarang yang begitu mencabar. Satu alasan yang ada kebenarannya.

Bukan setakat Ceupacs atau wakil-wakil rakyat yang prihatin akan isu ini. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga prihatin akan nasib anak buahnya. Suatu ketika dahulu, beliau telah dilaporkan telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri supaya menaikkan gaji polis berpangkat konstabel sehingga Asisten Komisioner Polis (ACP). Apa yang pasti gaji asas RM690 yang dikatakan diterima oleh anggota polis berpangkat konstabel adalah satu pendapatan yang membolehkan mereka tersenarai di bawah kelompok miskin jika Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bukan Malaysia dijadikan sebagai ukuran di sini. (PGK bukan makanan bagi Malaysia ialah RM691)

Sering kali ketidakcukupan pendapatan untuk menyara kehidupan, menyebabkan ada kakitangan kerajaan terpaksa membuat beberapa pekerjaan lain dalam satu masa bagi memenuhi tuntutan keperluan harian mereka. Ini sebenarnya boleh mengakibatkan tumpuan kepada tugas hakiki mereka terabai atau gagal untuk dilaksanakan dengan sempurna.

Apa yang lebih membimbangkan kita ialah adakalanya, keterdesakan hidup menyebabkan manusia yang lemah iman melakukan perkara yang dilarang agama. Maka masalah-masalah akhlak seperti rasuah akan muncul.

Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dalam ucapan beliau di World Ethics and Integrity Forum 2005 anjuran Institut Integriti Malaysia ada menyatakan bahawa unsur yang terpenting untuk memerangi rasuah di kalangan penjawat awam ialah menerusi gaji yang selaras dengan taraf kehidupan mereka. Jika dibayar gaji yang rendah berbanding rakan-rakan mereka di sektor swasta, para penjawat awam ini mempunyai kecenderungan untuk menerima pemberian atau suapan. Untuk itu, sejak 40 tahun yang lepas, kerajaan Singapura telah mengambil langkah membayar gaji ahli politik dan penjawat awam yang lain pada kadar 70- 80 peratus gaji purata 6 bidang kerjaya kakitangan yang berjawatan setaraf di sektor swasta.

Hasilnya, Singapura secara berterusan disenaraikan sebagai sebuah negara yang paling telus di Asia oleh Transparency International.

Apa yang dilaksanakan di Singapura sebenarnya telah dilaksanakan oleh Khalifah Umar al-Khattab (r.a) semasa zaman pemerintahnya. Dalam usaha untuk memastikan para pegawai agar tidak terjebak dengan amalan rasuah, Khalifah Umar (r.a) memerintahkan agar mereka diberi gaji yang tinggi. Begitu juga dengan para qadi. Mereka diberi gaji yang sangat berpatutan supaya tiada ruang bagi mereka untuk menerima atau melakukan rasuah. Qadi seperti Salman, Rabi'ah dan Shuraih (r.a) diberi gaji sebanyak 500 dirham sebulan. Mua'wiyah (r.a) pula menerima 1000 dirham sebulan.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Auza'i di mana Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
Sesiapa yang bekerja dengan kami, sekiranya belum lagi beristeri maka ia akan dibayar gaji sehingga ia mampu beristeri, sekiranya ia belum lagi mempunyai seorang pembantu, maka ia akan dibayar gaji sehingga ia mampu mendapatkan seorang pembantu dan sekiranya ia belum mampu lagi mempunyai sebuah rumah, maka dimampukannya (melalui pembayaran gaji) memiliki sebuah rumah.

Daripada hadis ini dapat kita fahami bahawa dalam Islam kadar gaji seseorang itu wajar dibayar sehingga ia boleh menampung satu kehidupan yang selesa.

Bagaimanapun dalam suasana semasa kenaikan gaji ini perlu berdasarkan kepada prestasi pekerja serta produktiviti yang mereka hasilkan di samping keuntungan atau kemampuan kewangan organisasi. Justeru itu perlu satu persefahaman yang jitu di antara pihak majikan dan pekerja. Penyelarasan gaji berdasarkan kepada hasil kerja dan keadaan kewangan syarikat mewujudkan kemamuran antara pekerja dan majikan kerana ia lebih adil dan saksama.

Bagaimanapun, dalam konteks semasa, gaji yang tinggi belum pasti dapat mengekang seseorang itu daripada menerima atau melakukan rasuah. Ia memerlukan satu gabungan usaha beberapa perkara bagi memastikan masalah ini dapat di atasi.

Di sini kekuatan iman amat perlu kerana ada kalanya mereka yang bergaji tinggi juga ada yang melakukan rasuah. Sebab itulah generasi awal Islam menolak sebarang perkara yang boleh mendorong mereka untuk terjebak dalam amalan ini. Malah mereka cuba mengelaknya sehabis mungkin sehinggakan para hakim dilarang untuk dipayung ketika hujan kerana dikhuatiri mereka akan terasa terhutang budi yang akhirnya boleh menyebabkan mereka tidak dapat memberi keadilan semasa menjalankan tugas.

Selain kekuatan dalam, unsur-unsur luaran juga perlu. Keazaman untuk memerangi rasuah oleh pihak kerajaan perlu disertai oleh peruntukan akta anti rasuah yang telus dan unsur penghakiman yang tegas serta satu badan penyiasat yang bebas. Pegawai-pegawai yang terlibat secara langsung dengan urusan penguatkuasaan dan perlesenan seperti polis, kastam, imigresen dan sebagainya perlu ditukar secara berkala selain perlu mengisytiharkan hutang piutang untuk dinilai.

Paling penting ialah iradah siasah (political will). Tanpa unsur ini, usaha membenteras rasuah tidak akan kemana. Antara punca kejayaan kerajaan Singapura mengawal amalan rasuah di republik itu ialah kerana ia telah menjadikan isu ini sebagai agenda utamanya sejak negara tersebut memperolehi status kerajaan sendiri pada tahun 1959. Mungkin dalam sesetengah perkara, ada sesuatu yang berguna yang kita boleh pelajari daripada jiran di seberang tambak ini.

Re: RASUAH

Post
Rasuah Penghalang Kemajuan Negara
 
Rasuah adalah penghalang kepada pembangunan negara dan ia sering dikaitkan dengan amalan tadbir urus yang tidak cekap. Masalah ini bukan sahaja wujud di dalam sektor awam malah di dalam sektor swasta juga.
Rasuah yang berleluasa merupakan cerminan terhadap mutu pentadbiran negara. Kebanyakan kajian tentang kesan rasuah menunjukkan bahawa ia boleh menyebabkan kadar pertumbuhan ekonomi yang rendah. Ini kerana unsur rasuah menghalang penyertaan pelaburan tempatan dan menyekat kemasukan pelaburan asing ke sesebuah negara.

Selain daripada itu, banyak bukti menunjukkan bahawa negara yang dibebani masalah rasuah mempunyai pasaran saham yang tidak menentu, pengawasan sistem perbankan yang tidak cekap dan pasaran modal yang kecil. Dengan kata lain negara yang mengamalkan rasuah membayar pada harga yang mahal untuk program pembangunannya terutamanya dalam pembangunan ekonomi.

Justeru itu tidak hairanlah mengapa agenda pembasmian rasuah menjadi salah satu daripada beberapa agenda penting yang diberi perhatian utama oleh kepimpinan Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi. Bukti kesungguhan beliau untuk memerangi masalah ini dapat dilihat melalui penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan pelancaran Pelan Integriti Nasional (PIN) pada April 2004 iaitu selepas hanya beberapa bulan dilantik memegang jawatan Perdana Menteri. Seterusnya agenda ini terus dinyatakan secara berterusan di dalam kebanyakan ucapan-ucapan rasmi beliau.

Bagaimanapun Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2006 yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) baru-baru ini telah menimbulkan sedikit tanda tanya di kalangan masyarakat terhadap keberkesanan usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia untuk memerangi gejala tersebut.

Secara kasarnya, kajian yang melibatkan tanggapan masyarakat peniaga dan penganalisa negara terhadap suasana rasuah di Malaysia telah menunjukkan bahawa berlaku sedikit kemerosotan berbanding keputusan laporan tahun 2005 dan 2004 mahupun 2003.

Berdasarkan kepada CPI 2006, Malaysia menduduki tangga ke-44 dunia berbanding tangga ke 39 untuk tahun 2005 dan 2004; serta tangga ke 37 untuk 2003. Begitu juga dari segi peratusan mata yang dicatatkan iaitu 4.9 peratus, merosot jika dibanding 5.1 peratus untuk 2005; 5.0 peratus (2004) atau 5.2 peratus (2003)
Persoalannya di sini ialah mengapa masyarakat peniaga dan para penganalisa menganggap suasana rasuah semakin meningkat di Malaysia? Adakah mereka menganggap tadbir urus di sektor awam dan swasta tidak berada pada tahap yang sewajarnya? Apakah tahap integriti sektor perniagaan dan pentadbiran negara tidak begitu bagus sehingga mereka menganggap rasuah yang juga ada kaitan dengan masalah tadbir urus ini begitu meruncing di negara kita?

Lebih menarik lagi jika kita dapat kaitkan laporan TI ini dengan satu laporan kajian persepsi yang dibuat oleh The Business Ethics Of Malaysia (BEIM) dengan kerjasama University of Nottingham Malaysia dan Kolej Universiti Binary terhadap kepercayaan masyarakat terhadap mereka yang terlibat dalam 15 bidang kerjaya yang terpilih.
Antara kerjaya yang dikaji ialah doktor, guru, profesor, menteri, pemimpin perniagaan dan ahli politik. Keputusannya, tahap kepercayaan responden terhadap ahli politik, pemimpin perniagaan dan menteri adalah rendah sekali. Masing-masing meraih 11%, 16% dan 20% kepercayaan reponden dan berada di senarai tiga terbawah berbanding doktor (72%); guru (67%) dan profesor (58%) yang berada pada senarai tiga teratas.
Kaitan antara kedua-duanya ialah tentang wujudnya persamaan tentang perkara utama yang diukur iaitu tentang soal integriti terutamanya yang melibatkan soal kepimpinan dan tadbir urus di dalam negara.

Dalam CPI, masyarakat peniaga dan penganalisa merasakan rasuah di Malaysia meningkat. Peningkatan ini tentu saja berdasarkan pemerhatian mereka kepada dunia politik dan dunia perniagaan Malaysia. Pada masa yang sama juga responden soal selidik BEIM merasakan mereka tidak boleh mempercayai ahli politik dan tokoh korporat.

Secara tidak langsung kita boleh katakan di sini, permasalahan utama yang membawa kepada isu integriti sebenarnya lebih tertumpu kepada soal kepimpinan dan tadbir urus di dalam sektor awam mahu pun swasta.
Dengan kata lain, jika ahli politik dan tokoh korporat mengamalkan nilai-nilai mulia dalam amalan harian mereka, sudah tentu CPI Malaysia adalah setaraf dengan beberapa negara Scandinavia yang sering mencatat 9.6 - 9.7 peratusan mata untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Setidak-tidaknya pun kita dapat menyaingi Singapura yang berjaya mengekalkan kedudukannya di tangga ke-5 senarai negara yang paling baik keputusan persepsi rasuah dengan purata 9.4 peratusan mata untuk tempoh 2002-2006.
Walaupun CPI dan kajian BEIM ini merupakan kajian berbentuk tanggapan, ia sebenarnya boleh dijadikan sebagai petunjuk atau panduan untuk menilai tahap rasuah di Malaysia.

Kita tidak seharusnya melihat hasil kajian ini dari sudut yang negatif kerana kita boleh katakan bahawa peningkatan persepsi rasuah yang ditunjukkan oleh CPI tadi terutamanya menunjukkan tahap kesedaran masyarakat tentang bahayanya rasuah dan kepentingan unsur integriti juga meningkat seiring dengan iltizam kerajaan untuk memerangi masalah ini.

Bagaimanapun, untuk mencapai kejayaan dalam usaha pembasmian rasuah, usaha perlu dilakukan secara berterusan dan menyeluruh. Walaupun adakalanya kejayaan tidak dapat dicapai sebagaimana yang diinginkan, ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesan kepada masalah yang dihadapi.

Sehubungan dengan itu usaha-usaha untuk meningkatkan tahap integriti dan memperkukuhkan sistem tadbir urus mesti dipergiatkan. Begitu juga usaha-usaha memupuk nilai-nilai murni di kalangan anggota masyarakat, baik yang muda mahupun yang tua. Usaha-usaha sebegini sememangnya memakan masa. Akan tetapi, ia perlu dimulakan dari sekarang jika kita mahu melihat Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 nanti.

Mengulas isu penerimaan rasuah di kalangan pengamal undang-undang yang mencabar Institusi Kehakiman negara, kesemua ulama' mengatakan bahawa apabila seorang hakim menerima rasuah, maka apa sahaja keputusan perbicaraannya tidak harus dilaksanakan. Justeru, pemerintah wajib memecatnya pada saat itu juga kerana dia sudah kehilangan sifat adil (malah bertukar menjadi seorang fasiq akibat perbuatannya itu) yang menjejaskan syarat utama dalam perlantikannya sebagai hakim.

Begitu juga dengan hadiah, dia juga dilarang menerimanya sekalipun terdapat hubungan kekeluargaan di antaranya dengan pemberi hadiah berkenaan kerana dengan penerimaan itu boleh menyebabkan dirinya ditohmah (diragui kejujurannya dalam melaksanakan tanggungjawab) atau dia sendiri akan bersimpati kepada pemberinya apabila dia membicarakan kesnya. Keadaan ini akan memusnahkan hak pendakwa serta menjejaskan keadilan yang menjadi tanggungjawabnya (al-Nawawi, 11:142-143; Dr. Wahbah al-Zuhaili, 6:501).

Justeru, pihak berkuasa perlulah peka dan mengambil tindakan segera terhadap setiap individu yang ada kaitan mereka dengan penguatkuasaan undang-undang, khususnya hakim, yang abai terhadap tanggungjawab masing-masing akibat penerimaan rasuah, hadian, salah laku dan lain-lain. Renunglah peringatan Allah di dalam surah al-Nisa' (ayat 58) yang mewajibkan seseorang hakim itu dilantik daripada kalangan yang ahli (memiliki kelayakan) dan apabila dia menghukum maka hendaklah dia menghukum dengan adil. Allah sentiasa mendengar lagi melihat (memantau) apa yang dilakukannnya.

  RASUAH
Post
Pengamal rasuah dilaknat, ditimpa bala sejak di dunia


ISU berkaitan rasuah kerap dibincangkan dalam seminar, forum atau ceramah, namun ia masih berlarutan.

Takrifan rasuah luas dan bukan hanya wujud dalam bentuk monetary. Malah, merangkumi bentuk non-monetary seperti pemberian jawatan, pangkat kebesaran atau perbuatan pelepasan atau penahanan daripada obligasi atau liabiliti.

Rasuah yang biasa didedahkan oleh media massa adalah dalam kategori rasuah transaktif (transactive corruption), rasuah memeras (extortive corruption) dan rasuah defensif (defensive corruption).

Rasuah transaktif membabitkan dunia korporat dengan pemerintah atau masyarakat dengan pemerintah.

Ia dilihat sebagai rasuah yang memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak yang melakukan transaksi.

Rasuah memeras pula berlaku apabila pihak pemberi dipaksa untuk melakukan rasuah bagi mengelak sebarang kerugian yang bakal menimpa diri atau kepentingannya. Rasuah defensif pula merujuk kepada rasuah yang dilakukan seseorang untuk mempertahankan dirinya.

Rasuah tidak kira apa kategorinya adalah masalah yang perlu ditangani dengan serius oleh masyarakat dan lebih-lebih lagi pemerintah. Perkara ini kerana ia boleh memberi kesan negatif terhadap sosioekonomi sesebuah negara.

Sekadar memetik kata-kata pengerusi Transparency International, Peter Eigan, Corruption robs countries of their potential. Kata-kata ini ada kebenarannya kerana potensi yang sepatutnya dijana oleh sesebuah negara itu mungkin tidak dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Ia disebabkan wujudnya amalan rasuah dalam pentadbiran baik di sektor awam atau korporat. Apabila rasuah berleluasa, pertumbuhan ekonomi sesebuah negara akan merosot. Keadaan itu disebabkan pelabur asing akan menjauhi negara berkenaan.

Apabila tiada pelaburan asing, kegiatan ekonomi seperti perindustrian, pertanian dan perkhidmatan akan tergendala.

Selain, ketiadaan pelaburan asing, pertumbuhan ekonomi mungkin terbantut disebabkan sumber aktif sesebuah negara yang berbentuk monetary digunakan untuk projek yang tidak berdaya maju yang diluluskan oleh pihak ingin memberi keuntungan kepada kroni mereka, tanpa menghiraukan kebajikan masyarakat.

Mungkin dana yang ada digunakan untuk projek pembangunan yang disebut sebagai projek gajah putih. Jenayah dan maksiat mungkin berleluasa kerana amalan rasuah, yang disebabkan pihak berkuasa menutup mata atau tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang bersalah dalam kegiatan tidak bermoral di kawasan kejiranan. Kesan rasuah tidak terhad kepada sosioekonomi sesebuah negara.

Ia juga boleh memberi kesan kepada alam sekitar. Contohnya, dalam kes pembalakan. Jika tender yang dikeluarkan kepada sesebuah syarikat konsesi tidak mengikut proses sebenar, kemungkinan kegiatan pembalakan secara tidak terancang akan wujud.

Perkara ini kerana pemilik konsesi tadi tidak mempunyai kelayakan secukupnya untuk menjalankan kegiatan pembalakan secara sistematik. Seterusnya boleh menyebabkan berlakunya hakisan, banjir lumpur, kehilangan spesies flora dan fauna. Islam sejak dulu, menyedari masalah yang bakal timbul daripada amalan rasuah. Islam secara jelas tidak berkompromi dalam isu ini.

Hal ini dapat dilihat melalui ketegasan Nabi Sulaiman apabila menolak hadiah Puteri Balqis agar membolehkannya berterusan dalam amalan penyembahan matahari apabila diseru beriman dengan Allah. Kisah ini dirakamkan pada ayat 35 hingga 37, surah an-Naml.

Contoh lain adalah ketegasan Nabi Muhammad menolak tawaran kaum Quraisy pada awal penyebaran Islam. Kaum Quraisy berjanji akan memberikan apa yang diingini Baginda daripada kemewahan dunia jika Rasulullah meninggalkan kegiatan dakwah itu.

Tawaran itu ditolak Baginda. Rasulullah menyatakan walaupun matahari diletakkan pada tangan kanannya dan bulan pada tangan kirinya, Baginda tetap tidak akan meninggalkan perjuangannya menyebarkan agama Islam kepada umat sejagat.

Ketegasan Islam dalam hal ini dijelaskan lagi melalui perintah berbentuk larangan melalui firman Allah bermaksud: "Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan kamu membawa urusan harta itu ke mahkamah supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahuinya." (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Larangan melakukan rasuah dalam ayat di atas walaupun lebih menumpukan kepada sogokan kepada hakim agar memberi pertimbangan yang tidak adil atau berat sebelah, ia boleh merujuk kepada salah laku atau amalan rasuah yang dilakukan oleh pihak berkuasa dalam memberi kelulusan atau kebenaran kepada mereka yang mempunyai kepentingan dalam sesuatu projek atau tender.

Rasuah tidak akan berlaku jika hanya satu pihak yang wujud. Sekurang- kurangnya perlu ada dua pihak bagi membolehkan dosa rasuah berlaku. Oleh itu, kedua-dua pihak terbabit dikira melakukan perbuatan yang diharamkan Islam.

Malah, kedua-duanya dilaknat oleh Allah atas amalan keji itu. Dalam hal ini, Nabi Muhammad bersabda bermaksud: "Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah." (Hadis riwayat at-Tirmizi) Maknanya semua pihak yang terbabit dalam rasuah akan dilaknat oleh Allah. Perkataan laknat dalam al-Quran disebut sebanyak 37 kali.

Mereka yang dilaknat oleh Allah yang disebut dalam al-Quran antaranya:- * Iblis - "Sesungguhnya laknat-Ku tetap ke atasmu hingga hari akhirat." (Surah Sod, ayat 78) * Bani Israil - "Telah dilaknat orang kafir daripada Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampui batas." (Surah al-Maidah, ayat 78)

Jadi dalam kes rasuah, mereka yang mengamal rasuah memang setaraf dengan Bani Israil, iblis dan orang zalim yang lain kerana semuanya mendapat laknat Allah.

Laknat ini bukan saja terhad di akhirat, mungkin berlaku ketika si pelaku rasuah tadi hidup di dunia lagi. Mungkin hidup orang yang mengamalkan rasuah tadi tidak sebahagia orang lain.

Mungkin harta yang diperoleh cepat habis atau mudah hilang sama ada dicuri atau dirompak. Hal itu disebabkan tiada keberkatan dalam rezeki yang diperoleh. Mungkin juga dia cenderung untuk ditimpa sakit, kemalangan dan sebagainya.

Semua ini bala Tuhan yang jarang disedari oleh masyarakat kerana kurang mengaitkan bencana yang menimpa dengan salah laku yang dilakukan. Isu rasuah juga ada kaitan dengan sikap amanah.

Orang yang amanah tidak akan melakukan sesuatu yang di luar batas agama kerana tahu setiap amalannya akan dihisab dan dihitung di akhirat kelak. Ia tidak kira sama ada dia seorang pemimpin atau rakyat biasa, ketua atau pekerja biasa.

Jika sesuatu tugas dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah, rasuah tidak akan wujud dalam masyarakat, lebih-lebih lagi di kalangan masyarakat Islam yang percaya terhadap dosa pahala.

Mereka menyedari bahawa setiap amalan baik atau buruk dilihat oleh Allah. Semuanya dan dicatat oleh malaikat Raqib dan Atid.

RASUAHPost
Amanah perisai hindari amalan rasuah

Memberi dan menerima sogokan didorong sifat tamak yang boleh menghancurkan ummah

HARI ini, kepemimpinan dan pentadbiran goyah dengan amalan rasuah. Ini satu contoh amalan 'mata pencarian' yang tidak halal dan daripada sumber haram. Malangnya, ia berlaku di mana-mana lantaran kurang keinsafan segelintir manusia mengenai akibat makan sesuatu yang tidak baik dan menjaga keselamatan dirinya di akhirat kelak.

Disebabkan fitrah manusia yang pelupa, kita perlu diingatkan supaya tidak terus leka. Halangan dalam kehidupan kadangkala tidak tertanggung, apatah lagi yang memerlukan wang di depan mata, baginya segala boleh saja. Itulah yang gawat dalam organisasi, akauntabiliti tidak dipandang lagi, kredibiliti tidak bererti, yang tinggal hanya janji yang bakal dimungkiri.

Suruhan Allah SWT supaya mencari rezeki daripada sumber halal ada sebabnya. Amalan rasuah contohnya, adalah perbuatan memberi sogokan berbentuk 'hadiah' sama ada wang, imbuhan, perkhidmatan atau faedah lain untuk membolehkan sesuatu dihajati diperoleh. Perbuatan itu dikeji Allah kerana mengambil harta orang dengan cara mengingkari perintah-Nya.

Firman Allah bermaksud: "Dan janganlah kamu makan atau mengambil harta orang lain antara kamu dengan jalan salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian daripada harta manusia dengan berbuat dosa, padahal kamu menge-tahui salahnya." (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Perbuatan memberi sogokan untuk mendapatkan 'sesuatu' sifat yang diwarisi daripada syaitan. Implikasinya juga besar iaitu manusia boleh berbohong, menyatakan yang salah dan menidakkan yang benar kerana mengharapkan sesuatu memihak kepada dirinya.

Pihak memberi rasuah tidak mengambil kira maksud hukum syarak dan menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam.

Allah berfirman bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan ialah musuh yang terang nyata bagi kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Rasulullah SAW melaknat pemberi dan penerima rasuah dalam hadis Baginda diriwayatkan Al-Imam At-Tarmizi bermaksud: "Daripada Abdillah Amru ia berkata: Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah."

Orang yang tidak bersyukur kepada Allah SWT juga mudah mengikut jejak langkah syaitan yang fungsinya menghancurkan keimanan umat Islam. Sifat memberi dan menerima rasuah adalah tamak haloba yang meminggirkan hukum agama dalam menjalankan urusan harian. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Makanlah daripada benda yang baik, halal, yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadat kepada Allah." (Surah Al-Baqarah, ayat 172)

Antara tonggak yang boleh menghalang daripada berlaku rasuah ialah sifat amanah. Tidak semudah menyebutnya, amanah adalah sifat terpuji yang ditonjolkan Rasulullah SAW, khulafa al-Rasyidin dan sahabat yang sentiasa mendampingi dan mengikuti akhlak Baginda.

Dengan sikap amanah, era kepemimpinan Rasulullah SAW diangkat paling mulia untuk diteladani. Sifat pemimpin pada masa itu yang adil serta bijaksana mengatur strategi dakwah dengan menonjolkan kepemimpinan amanah berjaya mendidik pihak yang dipimpin.

Bukan sekadar memberi peringatan, Rasulullah SAW mendidik umat untuk mencontohi watak Baginda yang merendah diri tetapi besar hatinya, sikit harta tetapi banyak ilmu, tenang bicara tetapi dalam maknanya dan kecil jajahan tetapi satu dunia sempadannya.

Kepemimpinan yang cemerlang ini menakutkan orang kafir Quraisy yang akhirnya menawarkan sesuatu kepada Rasulullah SAW supaya Baginda dapat bekerjasama dengan mereka tetapi ditolak.

Realitinya kehidupan orang tidak amanah pasti porak-peranda, kucar-kacir dan tidak mempunyai hala tuju dalam menuju masa depan yang cemerlang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila hilang amanah maka tunggulah kedatangan Hari Kiamat. Bertanya seorang lelaki: Bagaimana hilangnya amanah itu? Sabda Rasulullah SAW: apabila sesuatu urusannya diserahkan kepada bukan ahli, maka tunggulah kerosakan dan kebinasaan." (Hadis riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom


Re: RASUAHPost  
Rasuah tak kenal negara dan bangsa

MINGGU ini Kunta Kinte nak cerita hal yang nampak ringan dan lucu, tapi sebenarnya cukup berat. Hal ini terjadi di negara jiran kita, Singapura.

Bila orang cakap pasal Singapura, termasuklah orang kita, mereka sebut dua tiga perkara. Satu Singapura maju, dua bersih dan tiga bebas rasuah.

Cerita nombor satu pasal seorang pengusaha pusat kecantikan dan spa yang bagi rasuah S$7,000 (kira-kira RM17,500) kepada seorang sarjan polis dan berasmara dengannya enam kali antara Mei hingga Julai 2008.

Sebagai balasan, si sarjan cepat-cepat bagi tahu dia bila ada pemeriksaan polis di kawasan kedainya. Minggu lalu, dia mengaku salah dan dihukum penjara dua setengah tahun.

Tak ada denda, terus masuk jel. Kalau denda boleh bayar dan berniaga balik. Sarjan yang terima rasuah itu pun kena penjara dua setengah tahun juga Julai lalu.

Nama pengusaha salun itu, Zhong Xiaopin, 36, manakala sarjan polis itu Ong Thiam Hock, 35. Zhong mungkin kena penjara tambahan empat bulan pasal tipu alamat bila minta sambung visa sosial.

Moral cerita, rasuah berlaku tak kira tempat dan bangsa. Di Singapura, majoriti peniaga Cina dan polis pun Cina. Jadi Zhong bagi rasuah kepada Ong. Cuma yang bagusnya di negara itu, yang bagi rasuah kena yang terima pun kena. Baru adil, baru boleh jadi teladan.

Cerita nombor dua fasal seorang pemandu teksi yang ketagih judi dan jadi orang pertama dituduh cuba tipu kasino pertama di negara itu. Kasino ini milik syarikat Malaysia, Genting Berhad.

Punya ketagih judi, tapi nak jaga nama, dia curi lesen memandu saudaranya. Kemudian dia cuba tipu operator meja judi bakarat dua kali untuk dapat bayaran S$190 (RM459).

Kes ini berlaku pada hari kesembilan kasino itu dibuka. Kompleks judi milik kerabat mendiang Lim Goh Tong itu berharga S$4.7bilion (RM11.3 bilion).

Dia dibawa ke mahkamah pada Rabu atas tuduhan menyamar, cuba tipu dan bagi maklumat palsu. Nama kaki judi itu Loo Siew Nan, berumur 53 tahun.

Moral ceritanya, kaki judi, kaki tipu dan kaki rasuah ada di mana-mana dan tidak kira bangsa. Ada peluang mesti ada orang yang cuba tipu. Ada peluang buat duit, mesti ada yang sanggup bagi dan terima rasuah.

Tapi bukan semua kaki judi di Singapura seronok dengan adanya kasino Genting di negara mereka. Sebaliknya, ada yang takut ketagihan mereka jadi lebih teruk sampai secara sukarela mahu disekat daripada masuk ke kasino itu.

Mengikut badan yang cuba mengubati penjudi tegar, Majlis Kebangsaan Mengenai Penjudi Bermasalah (NCPG), lebih 100 orang isi borang minta dihalang masuk kasino itu sejak 12 Februari.

Sejak perintah itu dibuat pada 26 November tahun lalu, 264 mohon diharamkan. Semua permohonan diluluskan secara automatik.

Terlanjur cakap fasal Singapura, Kunta Kinte nak bagi tau sikit, iaitu sejak dua, tiga tahun lalu, lebih banyak modal Malaysia masuk Singapura daripada modal Singapura masuk Malaysia.

Bukan saja Genting, tapi banyak lagi syarikat besar Malaysia macam YTL dan IOI yang bawa keluar modal ke Singapura. Macam Kunta Kinte dah sebutlah, boleh kata semua syarikat raksasa Cina dan India di Malaysia dapat bantuan langsung dan tak langsung daripada kerajaan.

Kalau tak kerana lesen kasino dan tanah di atas gunung di Pahang, takkan ada syarikat Genting yang gah sampai boleh melabur di merata dunia. Bukan nak ungkit, tapi ini fakta sejarah yang kita kena akui.

No comments:

Post a Comment