Doa Ibubapa Pasti Dikabulkan.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menegaskan:Tiga jenis doa yang pasti akan dikabul, tanpa diragui lagi: doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang dalam perjalanan (musafir) dan doa orang tua ke atas anaknya.[1]

Berdasarkan hadis di atas, maka beruntunglah kita jika ibubapa dalam keadaan redha dan mendoakan kebaikan kepada kita. Pada waktu yang sama rugilah kita jika ibubapa dalam keadaan murka sehingga mereka tidak berdoa apa-apa atau mendoakan sesuatu keburukan kepada kita.

Sebelum ini kita sama-sama telah membaca kisah seorang ahli ibadah yang bernama Juraij. Beliau asyik beribadah dalam biara yang didirikan khas sehingga tidak mengendahkan panggilan ibunya. Akhirnya ibu tersebut mendoakan Juraij: “Ya Allah! Janganlah Engkau matikan Juraij melainkan setelah dia melihat wajah-wajah pelacur!” Akhirnya Juraij dan peribadatannya terganggu kerana dia difitnah oleh seorang pelacur. Demikian ringkasan sebuah hadis yang panjang, yang di dalamnya terkandung dua pengajaran:

1. Urusan ibubapa adalah lebih penting daripada urusan beribadah, lebih-lebih lagi jika ibadah yang sedang dilaksanakan hukumnya adalah sunat. Jika ia adalah ibadah wajib, maka hendaklah diperhatikan sama ada ia boleh ditangguh atau diringkaskan ibadah tersebut.

2. Berhati-hatilah dengan doa daripada ibubapa.



Wajib Meminta Izin Ibubapa Sekalipun Dalam Urusan Agama.

Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh berkata: Sesungguhnya seorang lelaki dari Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (untuk berjihad) lalu baginda bertanya: “Adakah kamu mempunyai seseorang di Yaman?” Dia menjawab: “Ibubapa aku.” Rasulullah bertanya: “Adakah mereka memberi izin kepada engkau?” Dia menjawab: “Tidak.” Rasulullah bersabda: “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin dari mereka berdua. Jika mereka mengizinkan engkau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.

Petunjuk Pertama:


Kita tidak memiliki pilihan sewenang-wenangnya untuk keluar rumah melainkan perlu terlebih dahulu mendapat izin dan redha ibubapa. Keluar daripada rumah boleh dibahagikan kepada beberapa suasana:

Suasana Pertama:

Kita keluar untuk tujuan yang menyelisihi syari‘at, seperti pergi ke kelab hiburan malam. Tidak perlu meminta izin ibubapa dalam perkara yang sememangnya tidak diizinkan oleh syari‘at. Malah seandainya ibubapa menggalakkannya, kita tidak perlu menuruti galakan tersebut tetapi justeru menasihati dan membetulkan mereka.

Suasana Kedua:


Kita keluar untuk tujuan yang harus, seperti berjalan-jalan di taman atau ke pusat membeli belah. Perlu meminta izin ibubapa dan mencari keredhaan mereka. Seandainya mereka tidak mengizinkan, maka kita tidak boleh keluar dari rumah.

Suasana Ketiga:

Kita keluar untuk tujuan yang selari dan dituntut oleh syari‘at, seperti pergi solat berjamaah, berdakwah dan menuntut ilmu. Kita tetap perlu meminta izin ibubapa dan mencari keredhaan mereka. Seandainya mereka tidak mengizinkan, duduklah berbincang dengan secara lemah lembut dan hikmah untuk mencari jalan penyelesaian yang dipertengahan. Mungkin mereka melarang kerana berlaku salah faham atau mereka sendiri menghajatkan sesuatu daripada kita pada saat itu.


Suasana Keempat:


Kita terpaksa keluar disebabkan berlakunya sesuatu yang genting, seperti keluar berjihad apabila musuh tiba-tiba menyerang atau keluar membantu mangsa apabila berlaku kemalangan jalan raya di hadapan rumah. Dalam suasana genting seperti ini, kita hendaklah bersikap bijak dalam menimbang antara dua tuntutan agama, manakah lebih yang lebih patut diberi keutamaan (Fiqh al-Awlawiyat: فقه الأولويات). Maka dibolehkan keluar tanpa izin dan redha ibubapa dalam suasana yang genting lagi terpencil ini.

Perkara lain yang perlu diperhatikan adalah, sekalipun diizinkan untuk keluar rumah, kita hendaklah memerhatikan sama ada ibubapa memiliki hajat tertentu dalam tempoh pemergian itu. Ini kerana ibubapa, disebabkan oleh sifat kasih sayang yang amat mendalam, lazimnya akan mengizinkan kita sekalipun mereka pada tempoh tersebut menghajatkan sesuatu daripada kita. Justeru jika jelas kelihatan bahawa ibubapa memiliki hajat tertentu, janganlah keluar melainkan dilaksanakan terlebih dahulu apa yang dihajati oleh mereka.

Petunjuk Kedua:

Seandainya kita adalah seorang anak yang ingin memeluk Islam, perlukah meminta izin daripada ibubapa yang bukan Islam? Jawapannya dapat diperincikan kepada tiga tahap seperti berikut:

Tahap Pertama:

Hukum asal adalah tidak perlu, iaitu boleh memeluk Islam tanpa keizinan ibubapa. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku (dengan tauhid dan amal-amal yang shalih). Kemudian kepada Aku-lah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.[Luqman 31:15]

Firman Allah yang bermaksud: “Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku” menunjukkan boleh meneruskan hajat untuk memeluk Islam dan bersama orang-orang Islam yang lainnya.

Walaubagaimanapun adalah lebih molek jika diberitahu kepada ibubapa akan hajat kita untuk memeluk Islam. Seorang rakan karib saya, Muhammad Rafiq @ Saw Eng Sian, menerangkan kepada saya bahawa sebenarnya kaum bukan Islam amat terbuka lagi tertarik untuk mendengar apa-apa penjelasan tentang Islam. Lebih-lebih lagi pada masa kini dimana banyak peristiwa yang negatif dikaitkan dengan Islam oleh pihak media. Mereka ingin mengetahui apakah versi yang sebenar daripada peristiwa tersebut. Lanjutan daripada keinginan tersebut, mereka juga ingin tahu tentang apakah Islam secara keseluruhannya.

Justeru janganlah merasa segan atau berat untuk memberitahu kepada ibubapa akan hajat untuk memeluk Islam. Insya-Allah, jika diberitahu secara hikmah dan bertahap-tahap, mereka akan memahami hajat tersebut dan menyetujuinya. Dengan kefahaman dan persetujuan mereka, proses memeluk Islam akan menjadi lebih mudah. Di samping itu kita juga boleh meneruskan hubungan yang baik bersama mereka dan dapat “…bergaul dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” Malah mungkin ia juga dapat membuka ruang untuk menjemput mereka untuk turut memeluk Islam.

Tahap Kedua:


Jika ibubapa yang bukan Islam melarang kita daripada memeluk Islam, maka tidak perlu mentaati larangan tersebut sebagaimana firman Allah dalam ayat 15 surah Luqman di atas, yang bermaksud: “…maka janganlah engkau taat kepada mereka.”

Sa‘ad bin Abi Waqqas radhiallahu 'anh menerangkan: Umm Sa‘ad bersumpah tidak akan berkata-kata selama-lamanya sehinggalah (Sa‘ad bin Abi Waqqas) kafir (keluar) daripada agamanya (Islam). (Dia juga bersumpah) tidak akan makan dan tidak akan minum. Dia berkata: “Kamu (Sa‘ad) berkata bahawasanya Allah berwasiat kepada kamu untuk berbuat baik kepada orang tua kamu padahal aku adalah ibu kamu, dan aku menyuruh kamu untuk melakukan ini (keluar daripada Islam).”

Sa‘ad meneruskan, “Ibuku meneruskan nekadnya itu selama tiga hari sehingga pengsan kerana kesungguhannya itu. Lalu datang anaknya (yang dikatakan bernama ‘Imarah) berdiri mendekatinya dan memberinya minum. Kemudian dia memanggil Sa‘ad. Maka Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan dalam al-Qur’an ayat berikut: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Aku-lah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” [Luqman 31:14-15][3]

Walaubagaimanapun seandainya kita dilarang oleh ibubapa untuk memeluk Islam, hendaklah kita cuba mencari jalan untuk berbincang dengan mereka secara bertahap-tahap, secara sopan dan hikmah. Lazimnya apabila ibubapa melarang, kemungkinan besar ia adalah kerana mereka terperanjat, salah faham tentang Islam dan menganggap masuk Islam bererti masuk Melayu. Maka jelaskanlah kepada mereka kenapa Islam menjadi pilihan kita, luruskan apa-apa salah faham mereka tentang Islam dan bersihkan anggapan mereka, bahawa memeluk Islam bukanlah bererti menjadi Melayu.[4]

Tahap Ketiga:

Dalam kes tertentu, hajat untuk memeluk Islam mungkin mengakibatkan suasana yang amat genting kepada kita dan/atau ibubapa. Kita mungkin akan dipulau oleh ibubapa, menyebabkan kita tidak memiliki tempat berteduh, pakaian, makanan dan minuman. Sekalipun terdapat beberapa institusi agama yang bertanggungjawab membantu “saudara baru”, khabar yang lazim diterima adalah institusi-institusi itu tidak melaksanakan tanggungjawab tersebut sepenuhnya.

Selain itu ibubapa yang memulau mungkin akan menghadapi gangguan emosi dan kesihatan, lebih-lebih lagi jika kita adalah anak kesayangan mereka atau satu-satunya anak mereka.

Apa yang dialami oleh Sa‘ad bin Abi Waqqas dalam hadis Shahih Muslim di atas bukanlah dalil mutlak dalam persoalan ini. Sebabnya, suasana yang berbeza serta individu yang berbeza akan melalui cubaan ini dengan cara yang berbeza. Ada yang lulus dan ada yang gagal. Islam sentiasa prihatin akan kemampuan berbeza-beza yang dimiliki oleh umatnya, maka dengan itu sentiasa memberi jalan keluar kepada mereka yang memerlukannya.

Jalan keluar yang dimaksudkan ialah meneruskan hajat untuk memeluk Islam tetapi menyembunyikannya daripada pengetahuan ibubapa. Ayat berikut menjadi rujukan: Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman (maka baginya tidak ada kemurkaan dan azab dari Allah). [al-Nahl 16:106]

Suasana genting yang dihadapi oleh kita adalah seumpama suasana terpaksa yang dimaksudkan dalam ayat di atas. Maka tidak mengapa jika menyembunyikan iman asalkan hati kita tenang tenteram dengannya. Kemudian hendaklah secara bertahap-tahap mencari jalan untuk menzahirkannya. Cara yang terbaik ialah tetap berusaha untuk berbincang dengan ibubapa. Di samping itu mintalah nasihat daripada orang-orang yang sebelum ini pernah menghadapi dugaan yang seumpama.


Rujukan :

[1] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud

[2] Nail al-Authar, jld. 4, ms. 687. Untuk membezakan hukum jihad antara Fardhu Kifayah dan Fardhu ‘Ain, sila rujuk buku saya: Apakah Jihad Di Jalan Allah? (Buku 2) terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2004.

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim

[4] Lebih lanjut berkenaan salah faham antara Islam sebagai agama dan Melayu sebagai bangsa, rujuk buku Osman Chuah Abdullah yang berjudul Preaching To The Non-Muslim Chinese In Malaysia (Intl. Islamic Univ. of Malaysia, K. Lumpur, 2002).
http://seindahjannah.blogspot.com/2009/10/doa-ibubapa-pasti-dikabulkan.html

Comments

Popular posts from this blog