Fatwa Rokok

Keputusan: 
 
Mesyuarat telah meneliti dan berbincang dengan panjang lebar serta memutuskan bahawa menanam tembakau/merokok dan memanfaatkan hasil tembakau adalah HARAM dengan berpandukan dalil-dalil serta nas-nas al-Quran, hadis dan pendapat para ulama yang muktabar.
Keterangan/Hujah: 
 
i. Merokok merupakan perbuatan ke arah pembaziran wang sedangkan membazir adalah saudara Syaitan, Firman Allah Subhanahu wa Taala dalam Surah Al-Israa" ayat 27: Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya.

ii. Allah S.W.T. melarang seseorang mukmin membunuh atau mencampakkan dirinya ke arah kebinasaan. Tabiat merokok adalah tergolong dalam kancah ini. Firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah ayat 195:
Maksudnya: Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baiklah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihani orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

iii. Allah S.W.T. hanya menghalalkan benda-benda yang baik dan mengharamkan benda-benda yang kotor dan keji. Rokok termasuk dalam kategori tersebut. Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al A"raaf ayat 157:
Maksudnya: Ia menyuruh mereka dalam perkara-perkara yang baik dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara keji dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang buruk dan ia juga menghapuskan dari mereka beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka.

iv. Rokok (tembakau) menyebabkan fikiran menjadi lesu, kerana bahan-bahan bahaya seperti Narkotin, Candu Tar, Karbon Monoksida serta Sebatian Pridine Methly Alkohol. Rasulullah s.a.w. melarang terhadap sesuatu yang boleh memabukkan, bahkan melesukan fikiran sebagaimana tegahan Baginda dalam sebuah Hadis yang diberikan dari Ummi Salamah r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Telah menegah Rasulullah s.a.w. daripada tiap-tiap perkara memabukkan dan melesukan fikiran". (Hadis riwayat al-Imam Ahmad dan Abu Daud)

v. Merokok mengeluarkan bau yang busuk sehingga boleh mengganggu orang lain yang duduk berdekatan apa lagi para Malaikat.
Sabda Baginda s.a.w.:
"Sesiapa yang menyakiti muslim maka sesungguhnya ia menyakiti akan daku dan sesiapa menyakiti akan daku maka sesungguhnya ia menyakiti Allah". (Hadis riwayat at-Thabrani)

vi. Islam amat mementingkan kesihatan yang sempurna dan bersih dalam segala hal. Ini kerana kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman, sebaliknya perokok itu adalah seorang pengotor.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Kebersihan itu adalah sebahagian daripada Iman"

Tabiat Merokok bukan sahaja mempunyai kaitan dengan aspek kesihatan, ekonomi dan social, malahan ia juga melibatkan sudut keagamaan dan hukum. Sebenarnya tabiat atau gejala merokok di kalangan umat Islam kini bukan dibenarkan di dalam Islam. Islam telah menegah malah mengharamkan tabiat merokok di kalangan umat-umatnya. Ini menunjukkan bahawa perihal halal telah jelas dan perkara haram telahpun dijelaskan dengan setepat-tepatnya. Hanya yang benar-benar beriman sahaja yang lebih maklum dan dapat membezakan di antara yang baik dan yang buruk, di antara yang halal dan haram.

Menurut suatu sumber, rokok digunakan dalam satu upacara keagamaan oleh pendeta-pendeta kaum Maya di Mexico, sebelum masehi lagi. Sebahagian ahli sejarah mengatakan bahawa rokok itu mula dikenali di negara Yahudi (musuh Allah dan Rasul) Di sanalah rokok diperkembangkan ke negara-negara jiran dan lain kawasan di dunia untuk melemahkan manusia-manusia sihat khususnya penganut-penganut Islam yang bersih.

Pendapat lain mengatakan, Orang-orang Kristian dan Eropah memperkembangkan rokok ke negara-negara jajahannya untuk menindas negara itu dari segi ekonomi, fizikal dan mental sesudah bahan itu dibawa dari Amerika berikutan penemuan itu pada 1492 masehi oleh seorang Putera Itali iaitu Christopher Colombus (1451 - 1506).
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan
 
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/fatwa-rokok

 Maksud Istidraj

Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj.

Rasullulah s. a. w. bersabda :”Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat(durhaka),ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.”(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka. Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat kebahagian di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam.

Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu tak takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka.

Rasullulah s. a. w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

Manusia istidraj – Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. “Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong.” Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.

Rasullulah s. a. w bersabda: “Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya” (Kitab Nasaibul’Ibad)

Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.

Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.

Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?

Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari.

Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.



Comments

Popular posts from this blog