ibnurubat.blogspot

http://ibnurubat.blogspot.com/2010/09/blog-post.html


Islam tidak pernah merelakan umatnya menyerah kalah kepada keadaan dan realiti sepanjang zaman. Apatah lagi terus lemah, berdiam diri dan membisu seribu bahasa. Akan tetapi, Islam mengarahkan umatnya supaya terus bangkit, bergerak dan berasa mulia dengan status sebagai penganut Islam.

Kepemimpinan Islam telah dinodai dan dianggap sebagai tidak relevan serta umpama menggerakkan jarum jam ke belakang jika diamalkan pada hari ini. Hakikatnya ia satu amanah perdana, ditolak bumi dan langit dunia dan bukit bukau yang mana saiznya berganda-ganda.

Dalam memperkatakan tentang qiadah atau kepemimpinan, nabi saw ada mnyampaikan pesanan. “Apabila diberikan amanah kepemimpinan itu kepada bukan ahlinya, maka tunggulah detik pembalasan.”

Dengan kesedaran tentang hakikat dan betapa pentingnya persoalan ini, maka penulis ingin berkongsi serba sedikit ilmu tentang kepemimpinan ini. Iaitulah berkenaan apa yang kita perlu lakukan supaya kebenaran terus berdaulat dan memberi rahmat kepada sekalian umat.

Hakikatnya masih ramai yang kabur berkenaan persoalan ini. Menyebabkan kualiti kepemimpinan Islam menjadi makin luntur dan terpengaruh dengan pelbagai ideologi dan fahaman yang kufur. Asasnya, kita sebagai umat yang akhir mestilah memahami kaedah, kepentingan dan prinsip dalam kepemimpinan Islam. Ingatlah pesan Saidina Umar al Khattab, “kita ialah satu kaum yang telah Allah muliakan dengan Islam, jika kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, Allah akan memberi kita kehinaan.”


KEPEMIMPINAN ISLAM : SEJARAH, KEPENTINGAN & KEDUDUKANNYA PADA HARI INI

Islam merupakan agama anutan nabi-nabi terdahulu sehinggalah kepada nabi saw, Muhammad bin Abdullah. Nabi saw merupakan utusan terakhir untuk seluruh umat manusia pada akhir zaman. Baginda juga berperanan sebagai pemimpin yang paling agung dalam sejarah penciptaan langit dan bumi. Baginda memacu kepemimpinan dari aspek akhlak, kenegaraan, rumahtangga dan banyak lagi. Hakikat keunggulan ini telah diisytiharkan oleh Allah dalam firman-Nya, “dan tidaklah aku mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam.”

Pokok kepada segala kejayaan baginda yang telah diiktiraf oleh Pencipta ini ialah daya kepemimpinannya yang penuh berseni. Baginda yang pada mulanya hanya menjadikan isteri yang dikasihi, Khadijah sebagai pengikut ajaran wahyu telah berupaya melebarkan ajaran yang suci hingga diterima seluruh umat dari pelbagai kabilah, bangsa dan puak yang ada pada zamannya. Bahkan merentasi sempadan Arab hingga ke Rom dan Parsi.

Baginda saw selepas kewafatannya telah meninggalkan sebuah generasi sahabat yang hebat dalam ilmu kepemimpinan. Proses kaderisasi dan tarbiyyah yang jitu telah menjadikan sahabat baginda mampu memainkan peranan sebagai duta penyelamat dunia akhir zaman. Peranan yang telah dimainkan Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali telah berjaya meneguhkan pemerintahan Islam pada ketika itu. Kumpulan yang digelar sebagai Khulafa’ ur Rasyidin ini seterusnya disambung oleh khalifah-khalifah pada zaman bani umayyah, bani abbasiyyah dan kerajaan uthmaniyyah di samping beberapa kerajaan yang lain.

Walaupun berlaku beberapa peristiwa yang mengakibatkan salah faham dan perpecahan dalam kalangan umat Islam ketika pemerintahan kerajaan-kerajaan tersebut, namun umat Islam masih bernaung di bawah lembayung pemerintahan yang berdaulat, menjadikan Allah sebagai matlamat dan bahagia dengan pelbagai nikmat. Pada zaman keemasan ini juga, ramai sarjana-sarjana Islam yang mahir dalam pelbagai lapangan dan bidang dilahirkan. Tokoh-tokoh seperti Ibnu Sina(perubatan), al Khawarizmi(matematik), Imam al Ghazali(akhlak), Salehuddin al Ayyubi(ketenteraan), Ibnu Battutah(pelayaran) dan banyak lagi nama yang tidak dimuatkan dalam penulisan ini terus dikenang dan disanjung sehingga ke hari ini. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan nama-nama mereka telah menenggelamkan banyak sarjana-sarjana dari dunia barat.

Ternyata, pemerintahan Islam melalui kekreatifan daya kepemimpinan pada saat itu terlalu perkasa sehinggakan bumi yang luas ini hampir-hampir ditawan. Islam menjadi harapan, pemimpinnya diangkat dan dijulang, keadilannya tidak pernah surut, malah sentiasa pasang. Budi dan jasa diingati seluruh golongan, tidak kira umat Islam ataupun bukan Islam. Alangkan amannya dunia pada waktu itu, semua ini dek kerana teguhnya keimanan umat, yakin terhadap konsep kepemimpinan yang diperkenalkan pembawa rahmat, dan Allah pula dijadikan matlamat.

Kusangkakan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Pepatah ini amat bertepatan dengan tragedi hitam yang telah menimpa umat. Air yang pasang telah mulai surut. Detik ngeri akhirnya tiba juga. Setelah Khilafah Islamiyyah pada ketika itu (Kerajaan Uthmaniyyah) diserang dari segenap penjuru,wilayah yang diperintah Islam menjadi makin kecil, kekuasaan yang ampuh menjadi rapuh. Akhirnya daripada keseluruhan wilayah Islam, kini hanya tinggal Turki sebagai kubu terakhir. Bernafas dalam kelemasan, umat Islam lemas dalam tangisan, dek kerana kelemahan, musuh menunjukkan kekejaman. Akhirnya seorang berketurunan Yahudi Dunnama(golongan yahudi yang berpura-pura Islam) bernama Mustafa Kamal telah menakluk Turki, mimpi ngeri menjadi nyata. Islam sudah tak berkuasa.







SITUASI UMAT PASCA KEJATUHAN EMPAYAR TURKI UHMANIYYAH

Kejatuhan kubu terakhir ini menyebabkan bumi Islam telah diagihkan oleh kuasa-kuasa barat. Sudan, Nigeria, Mesir, Palestin, Iraq dan Iran telah dijajah British manakala Perancis pula menjajah Algeria, Tunisia, Maghribi dan Syria. Sementara itu, Itali pula menjadi imperialis bagi Libya. Itulah hakikat yang telah terjadi kepada Islam. Keadaan ini telah mengingatkan penulis kepada satu hadis nabi saw yang diriwayatkan oleh Abu Huzaifah. Hadis tersebut menyatakan bahawa satu hari nanti, musuh Islam akan meratah umat ini sebagaimana makanan yang dilahap oleh serigala lapar. Apabila ditanya tentang jumlah sebenar umat Islam pada zaman itu, nabi saw memberitahu bahawa umat ini pada hari tersebut terlalu ramai, namun umpama buih banjir yang lenyap dibawa arus sahaja.

Malah, menurut perangkaan terbaru tentang bilangan penganut Islam, paderi tertinggi Vatican, Monsignor Victorio Formenti yang membuat pengumpulan perangkaan dalam buku tahunan 2008 Vatican yang baru diterbitkan, orang Islam mewakili 19.2 peratus penduduk dunia manakala Katolik pula sebanyak 17.4 peratus. “Buat pertama kali dalam sejarah, kita tidak lagi berada dalam senarai teratas, penganut Islam telah mengatasi jumlah yang kita ada,” Formenti berkata demikian ketika memberitahu akhbar Vatican L’Osservatore Romano sambil menyatakan data itu merujuk kepada tahun 2006. (Utusan Melayu\Luar Negara-Isnin, 31 Mac 2008)

Benarlah sabda nabi saw itu, zaman yang dinyatakan dalam hadis tersebut telah berlalu dan sedang dilalui kita. Kesempatan menjajah bumi Islam oleh penjajah telah dilaksanakan dengan sebaiknya. Sehinggakan pada hari ini, walaupun mereka sudah tidak menjajah kita secara langsung, namun mereka telah meninggalkan waris daripada anggota bangsa negara yang dijajah itu sendiri untuk memerintah menurut prinsip dan ajaran mereka. Hari ini, najis sekularisme, sosialisme, kapitalisme, dualisme dan nasionalisme telah dihidu wangi oleh umat Islam dek kerana hebatnya didikan jahat yang dilaksanakan musuh. Umat berbangga dengan ideologi barat, piagam kuffar dipegang erat, pemimpin Islam pula dilabel sebagai insan keparat.

Firman Allah; “Dan sesekali tidak akan redha terhadap kamu orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu menuruti jejak langkah(ajaran) mereka.” (al baqarah:120). Peringatan ini telah diungkapkan sebagai tanda amaran oleh Pemilik sekalian alam. Dalam satu hadis pula, nabi bersabda; “ Sesungguhnya kamu akan mengikut ajaran-ajaran orang-orang terdahulu daripada kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggalah apabila mereka masuk ke dalam lubang dhab(biawak padang pasir), nescaya kamu akan masuk sama. Kami(sahabat) bertanya, adakah mereka itu orang-orang yahudi dan nasrani? Rasulullah saw menjawab, siapa lagi?”

Hadis yang dinyatakan di atas telah diucap lebih 1400 tahun dahulu. Kini, kebenarannya telah dan sedang dilalui. Umat Islam telah mengagung-agungkan tradisi barat. Dari sebesar-besar perkara seperti politik, ekonomi dan pendidikan sehinggalah sekecil-kecil perkara seperti sapa-menyapa dan membuang air kecil. Keindahan dan sesucian akhlak dalam semua segi yang telah ditonjolkan Islam menjadi kotor. Akan tetapi, pelik dan ajaib apabila kekotoran yang jijik ini telah dianggap indah oleh umat Islam pada hari ini. Mereka menyuap dan meneguk kejijikan ini dengan rakus. Mereka menerima dengan penuh kerelaan segala budaya kuning yang dibawa masuk.

Akibatnya dapat kita lihat di depan mata kita dalam dunia hari ini. Allah telah merampas ‘izzah (kemuliaan) yang telah dianugerah. Diganti pula dengan situasi yang amat parah. Umat seolah-olah mencari-cari di mana jalan penyelesaian segala malapetaka yang tertimpa. Gerakan pencarian ini mengundang fenomena pelik apabila jawapan yang sudah berada di hadapan tak diendah. Mungkin kerana inilah dari sehari ke sehari, musibah datang berganda-ganda.

Firman Allah; “Dan barangsiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit. Kami akan bangkitkan mereka (akhirat nanti) dalam keadaan buta. Mereka bertanya mengapa engkau bangkitkan aku dalam keadaan buta sedangkan aku di dunia dulu boleh melihat. Allah menjawab, begitulah (balasannya) didatangkan kepadamu ayat-ayatku kamu melupakannya. Begitulah pada hari ini kamu dilupakan. (Taha:124-126)
Ayat di atas merupakan satu contoh untuk dijadikan pedoman mengapa kedudukan Islam dan umatnya pada hari ini terlalu kritikal. Gara-gara umat sendiri yang melupakan ajaran wahyu, maka Allah yang bernama al Muntaqim (Maha Pembalas) telah membalasnya di dunia dan diikuti dengan azab pedih di akhirat kelak. Nauzubillah

Keagungan Islam telah diaibkan oleh umatnya sendiri Tidak dituruti malah dihina sebagai ketinggalan. Lalu Allah membayar cash dengan balasan kesempitan hidup. Umat Islam mengalami kesempitan dalam pendidikan, ekonomi, politik dan bidang-bidang yang lain. Tidak cukup dengan kesempitan itu, Allah menghina berlipat kali ganda apabila umat menduduki rangking pertama dalam soal kemiskinan, jenayah dan masalah sosial.


PUNCA UTAMA ‘PENYAKIT KRONIK’ UMAT

Timbul persoalan, mengapa keadaan ini berlaku? Di mana silapnya? Umat yang pernah dijulang kini aib bukan kepalang. Astaghfirullah. Allah memang benar-benar murka kepada kita. Allah menerangkan melalui firman-Nya; “Dan takutilah olehmu akan fitnah (musibah) yang tidak akan ditimpa ke atas orang-orang yang berlaku zalim dari kalangan kamu sahaja, Ketahuilah, sesungguhnya Allah itu amat keras azab-Nya.”( al Anfal:25)
Gara-gara segelintir daripada umat, Allah telah menurukan malapetaka kepada semua. Malapetaka yang panjang dan belum berkesudahan. Berjangkit dalam semua aspek.

Penulis juga ingin mengajak pembaca semua merenung kepada satu kata-kata saidina Ali ra, “manusia itu berdasarkan cara hidup pemimpinnya.” Dalam sesebuah keluarga, jika si bapa itu memainkan peranannya sebagai ketua keluarga, sudah tentu keluarga itu akan hidup harmoni. Begitu juga dalam situasi yang lain. Peranan seseorang pemimpin itu amat berkesan dalam mencorak sesuatu keadaan.

Oleh yang demikian, penulis merasakan bahawa semua ini ialah ialah silap kita. Kita gagal dalam ilmu kepemimpinan yang dianjurkan Islam. Rasulullah saw dan para sahabat telah menunjukkan teladan mereka dalam soal ini. Membuktikan kepada kita bahawa pentingnya memiliki kemahiran inidan mempraktikkannya dengan penuh bijaksana menurut landasan Islam. Hal ini ialah demikian kerana apabila kita memimpin, tandanya kita memiliki kuasa bukannya gila kuasa. Kuasa yang dimaksudkan penulis ialah kuasa sebagai pemimpin dalam semua segi. Pemimpin dalam rumahtangga, pejabat, sekolah sehinggalah kepada pentadbiran sesebuah negara.

Oleh sebab kelalaian dan kelekaan dalam menerima amanah perdana ini di samping persiapan yang masih belum cukup. Lalu umat juga menjadi parah. Umpama barah, kekronikan tersebut merebak ke seluruh anggota masyarakat. Malah umat Islam sendiri telah dikotori perasaan tidak mempercayai qiadah islamiyyah (kepemimpinan) yang diajar. Seolah-olah satu kejanggalan apabila topik ini dibicarakan.

Seorang orientalis yang terkenal Snouck hurgronje (1857-1936), merupakan seorang pensyarah dalam Bahasa Arab dan Pengajian Islam di Universiti leiden, Belanda. Dalam menangani kekentalan Islam di Acheh suatu ketika dahulu, Prof. Snouck memberi lapan saranan untuk mengoyak dan membunuh roh Islam di sana dan seluruh dunia. Antaranya ialah :

- Pemerintah tidak perlu takut atau bimbang terhadap pengaruh haji Indonesia jika yang bertambah dari kepulangan mereka hanya serbannya sahaja. Jika jemaah tersebut pulang dengan membawa kefahaman bahawa Islam merupakan cara hidup yang lengkap termasuk urusan kepemimpinan dan pentadbiran, maka mereka harus diawasi.
- Pemerintah tidak harus takut kepada gerakan Pan Islamisme kerana Islam tidak kenal organisasi seperti katolik. System Khalifah Turki tidak lagi menjadi pusat pemimpin Pan Islamisme. Tetapi Turki telah melenyapkan Pan Islamisme ke dalam ‘muzium politik kuno’.
- Pemerintah hendaklah bersikap neutral terhadap ulama yang mengajar Islam sebagai ibadah sempit tetapi hendaklah bertindak terhadap ulama yang menekankan Islam sebagai cara hidup yang lengkap termasuk urusan kepemimpinan dan pentadbiran. Mereka berbahaya jika pengaruhnya meluas.
- Pemerintah hendaklah mengawasi supaya jangan sampai ulama menyertai badan eksekutif kerana tidak mungkin terjalin hubungan pemerintah Belanda dengan rakyat jelata Indonesia yang majoritinya islam.
- Pemerintah hendaklah menyempitkan pengaruh Islam dengan memperalatkan golongan agama yang selalu berdampingan dengan pemerintah. Golongan tersebut hendaklah dididik dengan pendidikan barat.
- Pemerintah hendaklah memisahkan Islam sebagai agama ritual atau ibadat sempit dengan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap. Semakin jauh jarak pemisahan, semakin cepatlah proses menghancurkan Islam.

Apa yang dapat kita lihat daripada saranan orientalis tersebut ialah kunci kepada proses penghancuran Islam ialah memisahkan Islam daripada kepemimpinan dan urusan pentadbiran. Hasilnya, umat Islam akan ketinggalan dan akan sentiasa menjadi kuli. Kalaupun pemimpin itu orang Islam, namun prinsipnya tetap berlawanan dan mengecewakan. Maksudnya, hari ini kita dijajah tapi tak sedar bahawa kita dijajah. Memang saranan di atas daripada seorang orientalis yang telah meninggal dunia, namun cadangannya itu telah ‘dibenihkan’ ke dalam jiwa umat Islam bertahun-tahun lamanya. Bukan setakat di Indonesia, malah seluruh dunia Islam telah kecundang.

Agenda musuh untuk mewujudkan kepercayaan bahawa Islam itu hanyalah agama peribadi semata-mata ataupun hanya berlegar tentang ibadah ritual telah menampakkan hasilnya. Hari ini umat hanya membicarakan soal solat, puasa, zakat, haji, kahwin, talak dan beberapa lagi. Namun dalam keadaan mereka bersolat itu, mereka mengamalkan riba dalam ekonomi. Dalam keadaan memakai gelaran ‘pak haji’, mereka memilih ideologi barat sebagai teladan. Semua ini gara-gara salah faham tentang hakikat dan sebab penciptaan manusia di muka bumi ini.


TIGA SEBAB PENCIPTAAN MANUSIA

1. Untuk menunaikan ibadat kepada Allah S.W.T. Firman Allah :
“ Tiadalah Aku menciptakan jin dan manusia itu melainkan dengan hikmah mereka beribadat kepada-Ku “ ( Surah Az-Zariat :56)

2. Menjadi khalifah dibumi Allah. Firman Allah :
“ Dan apabila berkata Allah kepada para malaikat sesungguhnya Aku akan mencipta khalifah ( manusia ) di muka bumi..” ( Surah Al-Baqarah : 30 )

3. “ Sesungguhnya kami telah membentangkan amanah kepada langit, bumi dan bukit, maka mereka enggan untuk memikulnya dan rasa takut untuk menanggungnya dan manusia telah menerimanya, sesungguhnya (banyak dalam kalangan)manusia itu zalim lagi jahil” ( Surah Al- Ahzab : 72 )

HURAIAN :
Fakta 1
Hakikat sebenar manusia tidak boleh lari daripada pengabdian diri kepada yang maha pencipta . Dari ayat ini jelas membuktikan manusia dijadikan untuk beribadat kepada Allah. Dan telah menjadi kebiasaan, bagi mereka yang mempunyai mentaliti dan persepsi yang negatif tentang ibadat iaitu hanya meletakkan ibadat kepada spesifikasi ibadat khusus semata-mata.
Perkara ini perlu dikikis kerana skop ibadat merangkumi segenap aspek asalkan tidak bertentangan dengan syariat Islam dan bertunjangkan mardhatillah. Dalam ayat ini Allah meletakkan peranan manusia secara jelas.





Adapun yang dimaksudkan dengan ibadat dalam Islam ialah melakukan semua perkara dalam keadaan beribadat kepadanya. Apabila kita melakukan sesuatu, kita hendaklah bertanya kepada diri sendiri sama ada ia bertepatan dengan apa yang telah digariskan oleh Allah. Hal ini demikian kerana semua yang kita lakukan di dunia ini akan ditanya dan dibicarakan semula di Mahkamah Akhirat. Pendek kata, apabila kita bergaul, memimpin, berpolitik, bersukan, menuntut ilmu, berhibur dan apa-apa pun hendaklah selari dengan arahan-Nya.

Firman Allah di dalam surah al Baqarah; “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam dalam keadaan menyerah diri dalam keseluruhan ajarannya, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata.” Ayat ini mengajar umat Islam supaya tidak mengecualikan diri mereka daripada Islam dalam semua perkara. Hal inilah yang yang dinamakan konsep kesyumulan dalam Islam. Konsep ini merupakan satu kelebihan yang berharga dalam Islam kerana ia tidak wujud dalam mana-mana agama. Namun begitu terdapat ramai manusia yang tidak menyedari hakikat ini, lalu mereka menggadaikannya dengan memilih ideologi dan fahaman dari Barat yang sesat dan menyeleweng.

Untuk mencapai kesempurnaan dan penghayatan maksimum dalam sesuatu ibadat, seseorang muslim itu hendaklah menghayati sabda junjungan mulia yang bermaksud :
“ Kamu beribadat kepada Allah seperti kamu melihatnya,jika kamu tidak dapat melihatnya, sesungguhnya dia melihat kamu “ ( Bukhari & Muslim )


Fakta 2
Sebelum tercipta manusia,jin telah lama menghuni dunia. Disebabkan kefasadan yang dilakukan ,Allah telah murka dan menukarkan mereka ke dalam satu alam yang ghaib. Maka Allah telah mencipta satu jenis makhluk (manusia) di bumi bagi memakmurkannya. Para malaikat telah memberi pandangan dan bertanya kepada Allah tentang penciptaan tersebut kerana takut berlaku kerosakan dan perkara ini jelas di buktikan melalui ayat seterusnya itu “berkata malaikat adakah Kamu (Allah) ingin mencipta sesuatu (makhluk) yang akan melakukan kerosakan, sedang kami sentiasa bertasbih dengan kepujian-Mu dan mensucikan-Mu”. Namun Allah Maha Mengetahui perkara-perkara yang tidak diketahui malaikat. Walaupun ada manusia yang membuat kerosakan, namun di sana ada manusia yang diberi petunjuk yang melakukan semua urusan berdasarkan perintah-Nya.

Takrif Khalifah

Menurut Imam al Mawardi dalam kitabnya Ahkam al Sultoniah, khalifah itu ditakrifkan sebagai “ menggalang ganti tugas nabi dalam memelihara agama dan menguruskan dunia dengan agama”. Perlu diingat, peranan ini merupakan pengesahan berharga daripada Pencipta. Oleh itu, semua individu mestilah memahami bahawa di mana sahaja dia berada, dia bertanggungjawab untuk memelihara kesucian agama.
Dalam masa yang sama, urusan keduniaan juga hendaklah diurus tadbir berdasarkan prinsip-prinsip Islam.

Ajaran Kristian menafikan ketuanan agama

Hal ini berbeza sekali dengan ajaran agama lain yang mengasingkan urusan kehidupan dengan agama. Sehinggakan timbul kata-kata dari mereka, religion cannot mixture with politic. Dalam ajaran Kristian, Kitab Injil (bukan yang asal) menyebut, “Give to Caesar what is Caesar’s, and to God what is God’s. Terjemahan daripada ayat di atas ialah, “berikan kepada raja apa yang menjadi milik raja dan berikan kepada tuhan apa yang menjadi milik tuhan.”

Ungkapan di atas bermaksud, Tuhan tidak berkuasa dalam urusan kepemimpinan dan pentadbiran atau dengan lain perkataan, kepemimpinan tiada hubungan dengan agama dan mesti dipisahkan. Inilah yang dinamakan sebagai sekularisme iaitu pengasingan agama dalam urusan kehidupan. Kesudahannya, agama diperintah bukannya memerintah.

Comments

Popular posts from this blog