Kehidupan Dunia
menurut ajaran al-Qur'an


Selain mencipta kehidupan bagi manusia, Dia Yang Perkasa, Yang Pengampun, turut mencipta kematian, untuk menguji siapa paling baik dalam amalan. Amalan dalam kehidupan kesenangan dunia akan dibayar pada Hari Kiamat, iaitu kehidupan di akhirat, di mana terdapat dua tempat menginap, Api dan Taman, atau Neraka dan Syurga. Firman Allah,
"Yang mencipta kematian dan kehidupan, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang paling baik dalam amalan; dan Dia Yang Perkasa, Yang Pengampun," (67:2)
"Tiap-tiap jiwa akan merasakan mati, dan sungguh, kamu akan dibayar sepenuhnya upah kamu pada Hari Kiamat; sesiapa yang disingkirkan daripada Api dan dimasukkan ke Taman, akan mendapat kemenangan. Kehidupan dunia adalah tiada, melainkan kesenangan yang memperdayakan." (3:185)
Antara dua kehidupan tersebut, kehidupan di dunia dipilih menjadi perkara yang dibicarakan di sini. Isinya dicungkil daripada ayat-ayat al-Qur'an mengandungi kalimat kehidupan atau hayat dalam bahasa asal. Pada ayat-ayat tersebut, terdapat frasa kehidupan dunia (hayaati dun-ya) dengan banyak, lalu tajuk dapat dihuraikan dengan luas dan jelas.

Buat permulaan, diturunkan lima ayat untuk menjelaskan sedikit mengenai tajuk, di mana kebanyakan daripadanya menyatakan bahawa kehidupan dunia adalah kesenangan dengan beberapa sifat, sementara satu daripadanya pula menyatakan ia bukan kehidupan sebenar. Kehidupan sebenar adalah di akhirat. Lima ayat yang dimaksudkan berbunyi,
"Kehidupan dunia adalah tiada, melainkan kesenangan yang memperdayakan." (3:185)
"Kehidupan dunia adalah tiada, melainkan satu permainan, dan satu hiburan; sungguh, tempat kediaman akhir adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Apa, tidakkah kamu faham?" (6:32)
"... kesenangan kehidupan dunia ini, dibandingkan dengan akhirat, adalah suatu yang sedikit." (9:38)
"Kehidupan dunia ini adalah tiada, melainkan satu hiburan dan satu permainan; sesungguhnya tempat kediaman akhir ialah Kehidupan (sebenar), jika mereka mengetahui." (29:64)
"...sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang berlalu; sesungguhnya akhiratlah tempat kediaman yang stabil." (40:39)
"Ketahuilah bahawa kehidupan dunia adalah tiada, melainkan satu permainan, dan satu hiburan, dan perhiasan, dan bermegah-megah antara kamu, dan persaingan dalam harta dan anak-anak.... dan kehidupan dunia adalah tiada, melainkan kesenangan yang menipukan." (57:20)
Selanjutnya, dalam kehidupan dunia manusia diberi rezeki. Antara mereka menerima rezeki yang luas, dan yang lain sempit, menurut kehendak-Nya. Demikian difahamkan daripada ayat berbunyi,
"Allah menjulurkan dan menyempitkan rezeki-Nya kepada siapa yang Dia mengkehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan dunia ini; dan kehidupan dunia ini, di samping akhirat, hanyalah kesenangan sementara." (13:26)
Ciri-ciri kehidupan dunia telah disebut di dalam aya-ayat yang didahulukan tadi, dan mereka dapat diringkas seperti tercatat dalam senarai di bawah:
  • permainan, hiburan, dan perhiasan
  • rezeki diluas dan disempitkan
  • bermegah-megah antara manusia
  • persaingan dalam harta dan anak-anak
  • kesenangan yang sedikit berbanding di akhirat
  • kesenangan yang memperdayakan atau menipukan
  • kesenangan sementara
  • kesenangan yang berlalu, tidak stabil seperti kehidupan di akhirat
  • bukan Kehidupan sebenar
Terdapat juga dalam kehidupan dunia suatu jenis kasih sayang yang wujud di kalangan manusia. Kasih sayang tersebut wujud atas kepercayaan kepada berhala. Berhala yang dimaksudkan al-Qur'an adalah bukan sahaja patung-patung yang diukir malah manusia juga, seperti orang alim atau ulamak, yang kepercayaan dalam agama dihalakan kepada mereka, bukan Allah. Firman-Nya,
"Dan berkata, 'Kamu mengambil untuk kamu hanyalah berhala-berhala, selain daripada Allah, sebagai tanda kasih sayang antara kamu dalam kehidupan dunia ...'" (29:25)
Dan ayat yang disebut mengenai berhala berbunyi, "Kamu hanya menyembah, selain daripada Allah, berhala-berhala, dan kamu mencipta kedustaan; sesungguhnya orang-orang yang kamu sembah, selain daripada Allah, tidak berkuasa untuk memberi rezeki kepada kamu." (29:17).
Apa dikatakan selain daripada Allah yang disembah, atau seseorang yang ditaati dalam agama, tidak mencipta sesuatu sedang mereka sendiri diciptakan, dan tidak berkuasa atas pelbagai perkara lain, termasuk kehidupan. Perkara-perkara lain yang dimaksudkan dapat diketahui daripada bacaan di bawah:
"Namun begitu, mereka mengambil untuk mereka tuhan-tuhan, selain daripada-Nya, yang tidak mencipta sesuatu sedang mereka sendiri diciptakan; dan mereka tidak berkuasa atas kemudaratan atau kemanfaatkan kepada diri mereka sendiri; dan mereka tidak berkuasa atas kematian, dan tidak juga kehidupan, dan tidak juga kebangkitan." (25:3)

Kesenangan kehidupan dunia telah banyak disebut tadi. Perkara-perkara yang menerbitkan kesenangan dapat difahamkan daripada ayat di bawah, di mana enam disebut:
"Dinampakkan indah bagi manusia ialah kecintaan hawa nafsu (syahwat) daripada perempuan-perempuan, dan anak-anak, dan menimbunkan timbunan emas dan perak, dan kuda-kuda yang ditanda, dan binatang ternak, dan tanaman. Itulah kesenangan kehidupan dunia; tetapi Allah, di sisi-Nya tempat kembali yang terbaik." (3:14)
Kesenangan boleh menjadikan manusia bersifat angkuh. Misalan, orang-orang yang berada dalam bahaya maut, lalu berjanji menjadi orang-orang yang berterima kasih kepada Allah jika diselamatkan, tetapi setelah diselamatkan dan berada dalam kesenangan tiba-tiba mereka menjadi angkuh. Kejadian tersebut dirakam dalam al-Qur'an seperti berikut:
"Dia yang memperjalankan kamu di darat dan laut; dan apabila kamu di dalam kapal, dan ia berlayar bersama mereka dengan angin yang baik, dan mereka bergembira dengannya; lalu datang kepada mereka angin kencang, dan gelombang-gelombang datang kepada mereka dari segenap tempat, dan mereka menyangka bahawa mereka diliputi olehnya; mereka berseru kepada Allah, dengan menuluskan agama mereka untuk-Nya, 'Jika Engkau menyelamatkan kami daripada yang ini, sungguh, kami akan berada di kalangan orang-orang yang berterima kasih.'
Maka apabila Dia telah menyelamatkan mereka, tiba-tiba mereka angkuh di bumi, tanpa patut. Wahai manusia, keangkuhan kamu hanyalah terhadap diri kamu sendiri; kesenangan kehidupan dunia ini, kemudian kepada Kami kamu kembali, kemudian Kami memberitahu kamu apa yang kamu telah buat." (10:22-23)
Selanjutnya, pandangan ke arah orang-orang yang bersenang-senang dengan bunga kehidupan dunia tidak harus dipanjangkan saatnya, kerana mereka sedang diuji. Rezeki daripada Allah dengan amalan-amalan baik, seperti percaya kepada-Nya, berserta janji-Nya yang baik yang kemudian ditemui, adalah lebik baik daripada orang-orang yang menerima kesenangan kehidupan dunia dan kemudian dihadapkan pada Hari Kiamat. Ayat-ayat bersabit berbunyi,
"Janganlah kamu memanjangkan mata-mata kamu kepada apa yang Kami memberikan pasangan-pasangan antara mereka, untuk bersenang dengan bunga kehidupan dunia, supaya Kami menguji mereka dengannya; dan rezeki Pemelihara kamu adalah lebih baik, dan lebih kekal." (20:131)
"Apa, adakah orang yang Kami menjanjikan janji yang baik, dan dia menemuinya, sama dengan orang yang kepadanya Kami memberikan kesenangan kehidupan dunia, kemudian dia pada Hari Kiamat termasuk orang-orang yang dihadapkan?" (28:61)
Sehubungan itu, satu kisah sebuah tempat yang diberi Allah kesenangan dan dihilangkan azab kerendahan dalam kehidupan dunia kerana penduduknya percaya dan imannya bermanfaat, terdapat di dalam al-Qur'an. Kaum yang mendudukinya ialah kaum Nabi Yunus. Kisah disebut di dalam ayat berbunyi,
"Mengapakah tidak ada sebuah bandar raya yang percaya, dan imannya bermanfaat kepadanya, melainkan kaum Yunus; apabila mereka percaya, Kami menghilangkan daripada mereka azab kerendahan dalam kehidupan dunia, dan Kami memberi mereka kesenangan untuk suatu waktu." (10:98)
Sementara cerita kaum tidak percaya pula, yang diberi kesenangan dalam kehidupan dunia juga terdapat di dalam al-Qur'an. Pembesar-pembesar mereka menolak seorang rasul daripada kaumnya sendiri, lalu mereka dihapuskan Allah sehingga menjadi umpama sampah kering. Begini bunyi sebahagian daripada ceritanya:
"Berkata pembesar-pembesar, orang-orang yang tidak percaya daripada kaumnya, yang mendustakan pertemuan di akhirat, dan kepadanya Kami memberi kesenangan dalam kehidupan dunia, 'Tiadalah ini, melainkan seorang manusia yang serupa dengan kamu, yang makan apa yang kamu makan, dan minum apa yang kamu minum.....
Dan Teriakan mengambil mereka dengan patut, dan Kami membuat mereka seperti sampah kering; maka nyahlah kaum yang zalim!" (23:33 dan 41)
Lantas, dapat diketahui bahawa orang-orang yang menerima kesenangan dalam kehidupan dunia tetapi tidak percaya kepada ayat-ayat Allah digolongkan sebagai orang-orang zalim.

Perhiasan menunjukkan kesenangan. Sesiapa yang menghendaki perhiasan akan diberi dengan penuh di dunia atas amalan-amalan yang dibuat. Contoh perhiasan yang diangan-angankan ialah harta dan anak-anak. Akan tetapi mereka tidak kekal. Yang kekal ialah kerja-kerja kebaikan. Ayat-ayat yang memberi petunjuk kepada demikian adalah:
"Sesiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, Kami akan membayar kepada mereka sepenuhnya untuk amalan-amalan mereka di dalamnya, dan mereka tidak dirugikan di dalamnya." (11:15)
"Harta dan anak-anak ialah perhiasan kehidupan dunia; tetapi yang kekal, kerja-kerja kebaikan - adalah lebih baik di sisi Pemelihara kamu dalam ganjaran, dan lebih baik diangan-angankan." (18:46)
Orang-orang tidak percaya mengangan-angankan perhiasan untuk menunjukkan kesenangan dalam kehidupan dunia. Sekiranya mereka berjenis umat lain tentu Allah membuatkan mereka rumah-rumah daripada perak seperti dinyatakan ayat berikut:
"Dan sekiranya manusia bukan umat yang satu, tentu Kami membuatkan untuk orang-orang yang tidak percaya kepada Yang Pemurah, bumbung-bumbung rumah mereka daripada perak, dan tangga-tangga, yang di atasnya mereka menaiki,
Dan pintu-pintu rumah mereka, dan sofa-sofa yang di atasnya untuk bersandar,
Dan perhiasan-perhiasan; sesungguhnya semua ini tiadalah melainkan kesenangan kehidupan dunia, dan akhirat di sisi Pemelihara kamu adalah bagi orang-orang yang bertakwa." (43:33-35)
Maka rumah dan bahagian-bahagiannya boleh dijadikan perhiasan untuk menunjukkan kesenangan dalam kehidupan dunia dengan dibuat secara mewah sekali.
Oleh itu, semua benda yang dijadikan kesenangan dan perhiasan kehidupan dunia yang telah disebut dapat diringkas dan disenaraikan di bawah ini:
  • kecintaan hawa nafsu (syahwat) daripada perempuan-perempuan
  • menimbunkan timbunan emas dan perak
  • kuda-kuda yang ditanda
  • binatang ternak
  • tanaman
  • harta dan anak-anak
  • rumah - bumbung, tangga, pintu, sofa, yang dibuat dengan mewah sekali

Harus diingat bahawa segala yang diberi dalam kesenangan dan perhiasan semasa hidup di dunia adalah tidak sebaik dan sekekal berbanding apa yang di sisi Allah. Yang kemudian itu adalah bagi orang-orang yang percaya dan tawakal kepada-Nya. Sila lihat ayat-ayat di bawah:
"Apa sahaja benda yang kamu diberi adalah kesenangan kehidupan dunia dan perhiasannya; dan apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal. Tidakkah kamu faham?" (28:60)
"Apa sahaja benda yang kamu diberi ialah kesenangan kehidupan dunia; tetapi apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik, dan lebih kekal bagi orang-orang yang percaya, dan mempercayakan (tawakal) kepada Pemelihara mereka." (42:36)

Perhiasan tidak harus diangan-angankan. Ia dilarang, dan ayat-ayat yang melarang terdapat di dalam al-Qur'an, misalan yang menceritakan tentang perhiasan Karun, dan tentang isteri-isteri Nabi, yang baginda akan lepaskan sekiranya mereka menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya. Firman Tuhan,
"Maka dia keluar kepada kaumnya dengan perhiasannya. Orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia berkata, 'Sekiranya kita mempunyai yang serupa dengan apa yang Karun diberi! Sesungguhnya dia seorang yang mempunyai peruntungan yang besar.'
Tetapi orang-orang, yang kepada mereka diberi pengetahuan berkata, 'Celakalah kamu! Ganjaran Allah adalah lebih baik bagi orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan; dan tiada yang akan menerimanya kecuali orang-orang yang sabar.'" (28:79-80)
"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri kamu, 'Jika kamu menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, marilah, aku akan membuat peruntukan untuk kamu, dan melepaskan kamu dengan pelepasan yang manis.'" (33:28)
Pun begitu, perhiasan atau lebih tepat, perhiasan Allah, tidak diharamkan Allah. Sebaliknya, Dia melarang orang-orang yang mengharamkannya, berserta benda-benda yang baik daripada rezeki-Nya, yang menjadi khas bagi orang-orang yang percaya pada Hari Kiamat. Perhiasan dibuat Allah untuk menguji manusia, mana antara mereka paling baik dalam amalan, dan mana-mana perhiasan yang tidak membazir atau berlebihan boleh pula dibawa ke masjid. Begitu dijelaskan oleh ayat-ayat berbunyi,
"Katakanlah, 'Siapakah yang mengharamkan perhiasan Allah yang Dia mengeluarkan untuk hamba-hamba-Nya, dan benda-benda yang baik daripada rezeki-Nya?' Katakanlah, 'Ini, pada Hari Kiamat, adalah khas bagi orang-orang yang percaya di dalam kehidupan dunia ini.' Begitulah Kami menjelaskan ayat-ayat bagi kaum yang mengetahui." (7:32)
"Wahai Bani Adam, ambillah perhiasan kamu di setiap masjid; dan makan dan minumlah, tetapi janganlah kamu membazir; Dia tidak menyukai orang-orang yang membazir." (7:31)
"Kami membuatkan segala yang di bumi untuk perhiasan baginya, dan supaya Kami menguji siapa antara mereka yang paling baik dalam amalan." (18:7)
Perhiasan daripada harta dan anak-anak kepunyaan orang-orang tidak percaya tidak harus menarik hati, kerana mereka menjadi bahan-bahan azab dalam kehidupan dunia bagi empunya.
"Maka janganlah harta-harta mereka, dan anak-anak mereka, menarik hati kamu; Allah hanya menghendaki dengannya untuk mengazab mereka di dalam kehidupan dunia ini, dan supaya jiwa-jiwa mereka melayang sedang mereka orang-orang yang tidak percaya." (9:55)
Tersebut pula kisah Firaun dan pembesar-pembesarnya yang dikurniakan perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia, tetapi sesat dan zalim, lalu Nabi Musa berdoa, memohon supaya mereka dibiarkan sesat dan harta-harta mereka dihapuskan. Doa baginda berbunyi,
"Pemelihara kami, Engkau telah memberikan Firaun dan pembesar-pembesarnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia ini. Pemelihara kami, biarkanlah mereka sesat daripada jalan Engkau. Pemelihara kami, hapuskanlah harta-harta mereka, dan keraskanlah hati mereka supaya mereka tidak mempercayai, sehingga mereka melihat azab yang pedih." (10:88)

Allah telah membuat persamaan terhadap kehidupan dunia. Di bawah ini diturunkan tiga, kesemuanya sama iaitu seperti air yang diturunkan dari langit, tetapi berbeza dalam huraian lanjut:
"Dan buatlah bagi mereka persamaan kehidupan dunia: ia seperti air yang Kami menurunkan dari langit, dan tumbuhan bumi bercampur dengannya; dan pada waktu pagi, ia menjadi jerami yang angin menerbangkan; dan Allah mempunyai kuasa atas segala sesuatu." (18:45)
"Persamaan kehidupan dunia ini adalah seperti air yang Kami menurunkan dari langit, dan tumbuhan bumi bercampur dengannya, daripadanya manusia dan binatang ternak makan, sehingga, apabila bumi telah mengambil gemerlapannya, dan menampakkannya indah, dan penduduknya menyangka bahawa mereka telah menguasainya, perintah Kami datang kepadanya, malam atau siang, dan Kami membuatnya tanaman yang tertinggal sesudah dituai, seakan-akan ia tidak tumbuh kelmarinnya. Begitulah Kami menjelaskan ayat-ayat bagi kaum yang memikirkan." (10:24)
"Ketahuilah bahawa kehidupan dunia adalah tiada, melainkan satu permainan, dan satu hiburan, dan perhiasan, dan bermegah-megah antara kamu, dan persaingan dalam harta dan anak-anak. Ia persamaan hujan di mana tanamannya mengagumkan orang-orang yang tidak percaya; kemudian ia menjadi kering, dan kamu melihatnya menjadi kuning, kemudian ia menjadi jerami yang hancur. Dan di akhirat ada azab yang keras, dan keampunan daripada Allah, dan kepuasan hati; dan kehidupan dunia adalah tiada, melainkan kesenangan yang menipukan." (57:20)

Namun demikian, terdapat orang-orang yang lebih menyukai kehidupan dunia daripada akhirat. Mereka dapat dikenali dengan jelas daripada ayat-ayat berkaitan, yang diturunkan di bawah:
"Adakah kamu mempercayai sebahagian al-Kitab, dan kamu tidak percaya kepada sebahagian yang lain? Maka apakah balasan ke atas orang-orang daripada kamu yang berbuat demikian itu, melainkan kerendahan dalam kehidupan dunia, dan pada Hari Kiamat, dikembalikan kepada azab yang paling keras, dan Allah tidak lalai daripada apa yang kamu buat.
Mereka itulah orang-orang yang membeli kehidupan dunia dengan akhirat. Bagi mereka azab tidak diringankan, dan tidak juga mereka ditolong." (2:85-86)
"Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan untuk bertemu dengan Kami, dan yang sangat berpuas hati dengan kehidupan dunia ini, dan tenteram padanya, dan orang-orang yang lalai daripada ayat-ayat Kami," (10:7)
"Orang-orang yang lebih menyukai kehidupan dunia daripada akhirat, dan menghalangi daripada jalan Allah, dan menginginkannya menjadi bengkok; mereka adalah dalam kesesatan yang jauh." (14:3)
"Sesiapa yang tidak percaya kepada Allah sesudah keimanannya - kecuali orang yang dipaksa, dan hatinya tenteram dalam keimanannya - tetapi sesiapa yang dadanya dilapangkan dalam ketidakpercayaan, maka kepada merekalah kemurkaan daripada Allah, dan bagi mereka, azab yang besar.
Itu adalah kerana mereka lebih menyukai kehidupan dunia daripada akhirat, dan bahawa Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang tidak percaya." (16:106-107)
"Dan sabarkanlah diri kamu dengan orang-orang yang menyeru Pemelihara mereka pada waktu pagi dan petang, dengan menghendaki wajah (sokongan)-Nya, dan janganlah mata-mata kamu berpaling daripada mereka kerana menghendaki perhiasan kehidupan dunia; dan janganlah mentaati orang yang hatinya Kami melalaikan daripada mengingati Kami supaya dia mengikuti keinginannya, dan urusannya melewati batas." (18:28)
"Katakanlah, 'Bolehkah kami memberitahu kamu siapakah yang menjadi yang paling rugi dalam amalan mereka?
Orang-orang yang usahanya menjadi sesat di dalam kehidupan dunia sedang mereka menyangka bahawa mereka berbuat perbuatan baik.
Mereka itulah orang-orang yang tidak percaya kepada ayat-ayat Pemelihara mereka, dan pertemuan dengan-Nya; amalan-amalan mereka menjadi sia-sia, dan pada Hari Kiamat, Kami tidak menegakkan bagi mereka sebarang penimbangan.'" (18:103-105)
"Dan janganlah kamu memaksa hamba-hamba pemudi kamu untuk melakukan pelacuran, jika mereka menghendaki kesucian, kerana kamu mencari keuntungan kehidupan dunia. Sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah, setelah mereka dipaksa, Pengampun, Pengasih." (24:33)
"Maka berpalinglah kamu daripada orang yang berpaling daripada Peringatan Kami, dan menghendaki hanya kehidupan dunia." (53:29)
"Maka, bagi orang yang melampaui batas,
Dan lebih menyukai kehidupan dunia," (79:37-38)
"Beruntunglah orang yang menyucikan dirinya,
Dan mengingati (menyebut) nama Pemeliharanya, dan menyembah.
Tidak, tetapi kamu lebih menyukai kehidupan dunia," (87:14-16)
Senarai orang-orang yang disebut di dalam ayat-ayat di atas, iaitu mereka yang mengutamakan kehidupan dunia daripada akhirat, diringkaskan di bawah ini:
  • percaya sebahagian daripada al-Kitab, atau al-Qur'an
  • sangat berpuas hati dengan kehidupan dunia, dan tenteram padanya
  • lalai daripada ayat-ayat-Nya
  • menghalangi daripada jalan Allah, menginginkannya jadi bengkok
  • tidak percaya sesudah beriman
  • berpaling daripada orang-orang menyeru Allah pagi dan petang, yang menghendaki sokongan-Nya
  • tidak percaya kepada ayat-ayat Allah
  • menjadikan hamba pemudi pelacur
  • berpaling daripada ayat-ayat Allah
  • melampaui batas
  • tidak menyucikan diri, tidak mengingati nama Allah
  • tidak menyembah

Kehidupan dunia dinampakkan indah bagi orang-orang tidak percaya. Mereka mengejek orang-orang yang percaya. Contoh benda-benda yang dinampakkan indah, iaitu yang menunjukkan kesenangan dalam kehidupan dunia, telah diberi sebelum ini, tetapi ayatnya diturunkan lagi di bawah. Dua ayat berkaitan berbunyi,
"Dinampakkan indah bagi orang-orang yang tidak percaya ialah kehidupan dunia, dan mereka mengejek orang-orang yang percaya; tetapi orang-orang yang bertakwa adalah di atas mereka pada Hari Kiamat; dan Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki tanpa perhitungan." (2:212)
"Dinampakkan indah bagi manusia ialah kecintaan hawa nafsu (syahwat) daripada perempuan-perempuan, dan anak-anak, dan menimbunkan timbunan emas dan perak, dan kuda-kuda yang ditanda, dan binatang ternak, dan tanaman. Itulah kesenangan kehidupan dunia; tetapi Allah, di sisi-Nya tempat kembali yang terbaik." (3:14)
Ada juga yang sangat menginginkan kehidupan, termasuk mereka yang mempersekutukan Allah, dan antara mereka pula ingin diberi umur seribu tahun, seolah tidak mahu mati. Firman-Nya,
"Dan kamu mendapati mereka, manusia yang paling menginginkan kehidupan, dan daripada orang-orang yang mempersekutukan, ada seorang daripada mereka beringinkan bahawa dia diberi umur seribu tahun; namun begitu, dia dengan dipanjangkan umur, tidak akan menyingkirnya daripada azab. Allah melihat apa yang mereka buat." (2:96)
Selain itu, disebut orang yang percakapannya tentang kehidupan dunia sungguh menarik hati dan dia bersaksikan Allah, tetapi dia merupakan seorang yang paling degil dalam perbincangan mengenai Allah, dan tidak takut kepada-Nya, kerana sombong. Penjelasan sebenar dapat dibaca di bawah ini:
"Dan antara manusia, ada yang ucapannya terhadap kehidupan dunia menarik hati kamu, dan dia bersaksikan Allah atas apa yang di dalam hatinya, padahal dialah yang paling degil dalam pertengkaran...
Dan apabila dikatakan kepadanya, 'Takutilah Allah', kesombongan mengambilnya dalam dosanya. Maka cukuplah untuk dia Jahanam - betapa buruknya buaian!" (2:204 dan 206)
Turut mampu menarik hati ialah harta dan anak-anak kepunyaan orang-orang tidak percaya. Allah melarang berbuat demikian, kerana mereka menjadi bahan yang mengazab dalam kehidupan dunia. Ayatnya sudah dicatat juga di halaman ini, berbunyi,
"Maka janganlah harta-harta mereka, dan anak-anak mereka, menarik hati kamu; Allah hanya menghendaki dengannya untuk mengazab mereka di dalam kehidupan dunia ini, dan supaya jiwa-jiwa mereka melayang sedang mereka orang-orang yang tidak percaya." (9:55)

Ayat-ayat mengandungi frasa kehidupan dunia turut menyebut mengenai perang. Orang-orang yang berperang di jalan Allah dikatakan menjual kehidupan dunia dengan akhirat, dan yang rasa berat untuk pergi dikatakan pula sangat berpuas hati dengan kesenangan kehidupan dunia daripada akhirat. Firman-Nya,
"Maka hendaklah mereka berperang di jalan Allah, yang menjual kehidupan dunia dengan akhirat, dan sesiapa berperang di jalan Allah dan dibunuh, atau mereka mengalahkan, kelak Kami akan memberinya upah yang besar." (4:74)
"Wahai orang-orang yang percaya, mengapakah kamu apabila dikatakan kepada kamu, 'Berperanglah di jalan Allah', kamu menyerap dengan berat kepada bumi? Adakah kamu sangat berpuas hati dengan kehidupan dunia ini daripada akhirat? Namun begitu, kesenangan kehidupan dunia ini, dibandingkan dengan akhirat, adalah suatu yang sedikit." (9:38)
Dan, dalam peperangan terdapat keuntungan kehidupan dunia iaitu rampasan perang. Akan tetapi ia tidak diperoleh dengan mengatakan kepada orang yang memberi "Salam" bahawa dia bukan seorang mukmin untuk merampas daripadanya. Firman-Nya lagi,
"Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu berpergian di jalan Allah, telitilah kamu, dan janganlah mengatakan kepada orang yang melemparkan kepada kamu "Salam", "Kamu bukan orang mukmin", kerana mencari keuntungan kehidupan dunia. Di sisi Allah rampasan perang yang banyak. Demikianlah kamu dahulunya; tetapi Allah berbudi baik kepada kamu. Maka telitilah kamu; sesungguhnya Allah menyedari apa yang kamu buat" (4:94)

Selanjutnya, didapati agak banyak ayat disuratkan untuk mendedah orang-orang ditipu kehidupan dunia. Mereka terdiri daripada orang-orang yang:
  • tidak percaya, mengambil agama untuk satu permainan, dan satu hiburan,
  • tidak percaya kepada ayat-ayat Allah
  • tidak percaya, melupakan pertemuan di akhirat, menyangkal ayat-ayat Allah
  • ditipu oleh penipu, contoh bapa dapat membela anak, dan sebaliknya, pada hari akhirat
  • ditipu oleh penipu mengenai Allah
  • mengambil ayat-ayat Allah dalam olok-olokan
  • ditipu oleh kesenangan kehidupan dunia
Senarai adalah ringkasan kepada mesej ayat-ayat di bawah mengenai orang-orang yang ditipu dengan kehidupan dunia:
"Dan tinggalkanlah orang-orang yang mengambil agama mereka untuk satu permainan, dan satu hiburan, dan yang kehidupan dunia menipu mereka. Peringatkanlah dengannya supaya sesuatu jiwa tidak dibinasakan kerana apa yang ia mengusahakan; selain daripada Allah, ia tidak ada wali (pelindung) dan tidak ada pengantara, dan jika ia menebus dengan yang setara, ia tidak akan diambil daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dibinasakan kerana apa yang mereka mengusahakan. Bagi mereka, minuman daripada air yang mendidih, dan azab yang pedih, kerana mereka tidak percaya." (6:70)
"'Wahai golongan jin dan manusia, tidakkah rasul-rasul datang kepada kamu sendiri yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat-Ku, dan memberi amaran kepada kamu mengenai pertemuan hari kamu ini?' Mereka berkata, 'Kami menyaksikan terhadap diri-diri kami sendiri.' Mereka ditipu oleh kehidupan dunia, dan mereka menyaksikan terhadap diri-diri mereka sendiri bahawa mereka adalah orang-orang yang tidak percaya." (6:130)
"Orang-orang Api memanggil orang-orang Taman, 'Curahkanlah kepada kami air, atau daripada apa yang Allah merezekikan kamu!' Mereka berkata, 'Allah mengharamkan mereka kepada orang-orang yang tidak percaya,
Yang menjadikan agama mereka sebagai satu hiburan, dan satu permainan, dan yang kehidupan dunia telah menipu mereka.' Maka pada hari ini, Kami melupakan mereka sebagaimana mereka lupa akan pertemuan hari mereka ini, dan mereka menyangkal ayat-ayat Kami." (7:50-51)
"Wahai manusia, takutilah Pemelihara kamu, dan takutilah akan satu hari apabila tiada bapa akan membela anaknya, dan tiada juga anak membela bapanya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah benar; maka janganlah kehidupan dunia menipu kamu, dan janganlah sekali-kali penipu dapat menipu kamu terhadap Allah." (31:33)
"Wahai manusia, janji Allah adalah benar; maka janganlah kehidupan dunia menipu kamu, dan janganlah seorang penipu dapat menipu kamu mengenai Allah." (35:5)
"'Itu adalah kerana kamu mengambil ayat-ayat Allah dalam olok-olokan, dan kehidupan dunia menipu kamu.' Maka pada hari ini, mereka tidak akan dikeluarkan darinya, dan tidak juga mereka diberi keredaan." (45:35)
"dan kehidupan dunia adalah tiada, melainkan kesenangan yang menipukan." (57:20)
 
Balasan atas kejahatan dalam kehidupan dunia disediakan. Ia bukan sahaja menimpa pada hari akhirat malah semasa hidup di dunia juga. Orang-orang yang ditimpa disenaraikan di bawah:
  • orang-orang tidak percaya yang mengadakan sekutu bagi Allah, seperti orang alim, yang disuruh menamakan sekutu mereka

    "Apa, Dia yang berdiri atas setiap jiwa dengan apa yang ia mengusahakan? Namun begitu, mereka mengadakan bagi Allah sekutu-sekutu. Katakanlah, 'Namakan mereka! Atau, adakah kamu akan memberitahu-Nya apa yang Dia tidak tahu di bumi; atau dengan ucapan yang nyata?' Tidak, tetapi dinampakkan indah bagi orang-orang yang tidak percaya, tipu daya mereka; dan mereka dihalangi daripada jalan Allah; dan sesiapa yang Allah menyesatkan, tiadalah yang memberi petunjuk kepadanya.
    Bagi mereka, azab dalam kehidupan dunia; dan azab akhirat adalah lebih berat; mereka tidak ada sesiapa untuk mempertahankan mereka daripada Allah." (13:33-34)
     
  • orang-orang tidak percaya diazab dengan harta dan anak-anak mereka
    "Maka janganlah harta-harta mereka, dan anak-anak mereka, menarik hati kamu; Allah hanya menghendaki dengannya untuk mengazab mereka di dalam kehidupan dunia ini, dan supaya jiwa-jiwa mereka melayang sedang mereka orang-orang yang tidak percaya." (9:55)
     
  • orang-orang tidak percaya - harta benda dan anak-anak tidak berguna untuk menolong mereka- nafkah tidak diterima - hidup bersenang-senang, sombong, dan berbuat kefasiqan (tidak mempedulikan perintah Tuhan)

    "Sesungguhnya orang-orang yang tidak percaya, harta benda mereka tidak akan berguna bagi mereka, dan tidak juga anak-anak mereka sedikit pun terhadap Allah; mereka itulah orang-orang Api, di dalamnya tinggal selama-lamanya.
    Persamaan apa yang mereka menafkahkan dalam kehidupan dunia ini seperti persamaan angin yang sangat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menzalimi diri-diri mereka sendiri, lalu ia memusnahkannya; Allah tidak menzalimi mereka, tetapi diri-diri mereka sendiri mereka menzalimkan." (3:116-117)

    "Pada hari apabila orang-orang yang tidak percaya dikemukakan ke Api: 'Kamu telah menghilangkan benda-benda kamu yang baik dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu bersenang-senang dengannya; maka pada hari ini, kamu dibalas dengan azab yang hina kerana kamu menyombongkan diri di bumi tanpa patut, dan kerana kamu berbuat kefasiqan." (46:20)
     
  • orang-orang mendustakan ayat-ayat Allah

    "Orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan, kemudian azab datang kepada mereka dari tempat yang mereka tidak menyedari.
    Maka Allah merasakan kepada mereka kerendahan dalam kehidupan dunia ini; dan azab akhirat adalah sungguh lebih besar jika mereka mengetahui.
    Sesungguhnya Kami membuatkan untuk manusia di dalam al-Qur'an ini tiap-tiap macam persamaan supaya mereka mengingati." (39:25-27)
     
  • orang-orang yang sombong dan menyangkal ayat-ayat Allah, seperti kaum Ad

    "Bagi Ad, mereka menyombongkan diri di bumi tanpa patut, dan mereka berkata, "Siapakah yang lebih kuat daripada kami dalam kekuatan?" Apa, tidakkah mereka melihat bahawa Allah, yang mencipta mereka, Dia lebih kuat daripada mereka dalam kekuatan? Dan mereka menyangkal ayat-ayat Kami.
    Kemudian Kami mengutus kepada mereka angin yang sangat bising pada hari-hari yang malang, supaya Kami merasakan kepada mereka azab kerendahan dalam kehidupan dunia; dan azab akhirat adalah lebih rendah lagi, dan mereka tidak ditolong." (41:15-16)

     
  • orang-orang yang mengambil patung Anak Lembu sebagai tuhan, daripada kaum Nabi Musa

    "Sesungguhnya orang-orang yang mengambil untuk mereka Anak Lembu, kemurkaan akan sampai kepada mereka daripada Pemelihara mereka, dan kehinaan dalam kehidupan dunia ini; begitulah Kami membalas orang-orang yang mengada-adakan" (7:152)

    dan ayat lain mengenai patung itu berbunyi,

    "Berkata, 'Pergilah! Bagi kamu dalam seluruh kehidupan dunia ini adalah untuk berkata, 'Jangan sentuh aku!', dan selepas itu ada janji temu bagi kamu yang kamu tidak mungkir. Lihatlah pada tuhan kamu, yang kamu tetap bertekun padanya! Sungguh, kami akan membakarnya dan menaburkan abunya ke dalam laut, bertaburan." (20:97)
Nabi Muhammad pun tidak berkecuali daripada menerima azab, tetapi baginda akan menerima dua kali ganda di dunia dan dua kali ganda di akhirat. Cerita selajutnya berbunyi,
"Sungguh, mereka hampir-hampir menggoda kamu daripada apa yang Kami mewahyukan kamu, supaya kamu mengada-adakan terhadap Kami yang selain daripadanya, dan kemudian tentu mereka akan mengambil kamu sebagai sahabat.
Dan sekiranya Kami tidak memperteguhkan kamu (Muhammad), sungguh, kamu hampir cenderung sedikit kepada mereka dengan sesuatu.
Kemudian tentu Kami akan merasakan kepada kamu dua kali ganda dalam kehidupan, dan dua kali ganda daripada kematian; dan kemudian kamu tentu mendapati tiada sesiapa yang menolong kamu terhadap Kami." (17:73-75)
Jenis-jenis balasan yang menimpa orang-orang bersalah daripada kesalahan di atas adalah:
  • azab dalam kehidupan dunia, azab akhirat lebih berat
  • azab yang hina
  • Api (neraka)
  • kerendahan dalam kehidupan dunia ini, azab akhirat lebih besar
  • azab kerendahan dalam kehidupan dunia, azab akhirat lebih rendah lagi
  • kehinaan dalam kehidupan dunia
 
Menyebut mengenai orang-orang yang percaya pula. Mereka juga dibalas dua kali, iaitu kehidupan dunia dan di akhirat. Ganjaran bagi mereka disenaraikan seperti di bawah:
  • diberi berita gembira
  • dihilangkan azab kerendahan, dan diberi kesenangan dalam kehidupan dunia
  • ucapan yang teguh
  • ditolong Allah
  • malaikat menjadi wali atau sahabat
  • diberi upah
Ayat-ayat menjadi ringkasan di atas yang menyebut ganjaran di dunia dan akhirat, bagi orang-orang yang percaya dan yang bertakwa, adalah seperti berikut:
"Orang-orang yang percaya dan bertakwa,
Bagi mereka berita gembira dalam kehidupan dunia, dan di akhirat. Tidak ada pertukaran bagi kata-kata Allah; itulah kemenangan yang besar." (10:63-64)
"apabila mereka percaya, Kami menghilangkan daripada mereka azab kerendahan dalam kehidupan dunia, dan Kami memberi mereka kesenangan untuk suatu waktu." (10:98)
"Allah memperteguhkan orang-orang yang percaya dengan ucapan yang teguh, di dalam kehidupan dunia, dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim; dan Allah buat apa yang Dia mengkehendaki." (14:27)
"Sesungguhnya Kami akan menolong rasul-rasul Kami dan orang-orang yang percaya, di dalam kehidupan dunia, dan pada hari apabila saksi-saksi bangkit," (40:51)
"Orang-orang yang berkata, 'Pemelihara kami Allah', kemudian mereka meluruskan (meneguhkan) pendirian, kepada mereka malaikat-malaikat turun, dengan berkata, 'Jangan takut, dan jangan bersedih; bergembiralah dengan Taman yang kamu telah dijanjikan.
Kamilah wali-wali (sahabat-sahabat) kamu dalam kehidupan dunia, dan di akhirat; di dalamnya kamu mendapati semua yang jiwa kamu menginginkan, dan apa yang kamu seru,'" (41:30-31)
Dan akhir sekali, ayat berbunyi,
"Tiadalah kehidupan dunia melainkan satu permainan dan satu hiburan; dan jika kamu mempercayai dan bertakwa, Dia akan memberi kamu upah kamu, dan tidak meminta kepada kamu harta-harta kamu." (47:36)
Selain bermaksud diberi upah, ayat di atas, menurut pendapat penulis, mengingatkan orang-orang yang ingin bermain atau terhibur dalam kehidupan dunia supaya melakukan mereka dalam kepercayaan dan takwa kepada Allah.

Justeru, manusia harus hidup dengan mempercayai ayat-ayat Allah supaya tidak menjadi seperti orang yang menyesal di akhirat kerana tidak mendahulukan kehidupan di akhirat dengan Peringatan atau ayat-ayat Allah. Firman-Nya,
"Dan Pemelihara kamu datang, dan malaikat-malaikat, barisan atas barisan,
Pada hari itu, Jahanam didatangkan; pada hari itu, manusia mengingati; dan bagaimanakah Peringatan baginya?
Dia berkata, "Alangkah baiknya sekiranya aku telah mendahulukan untuk kehidupanku (di akhirat)!" (89:22-24)

Kehidupan dunia bagi mukmin, lelaki dan perempuan, harus dihiasi dengan, misalan, kerja-kerja kebaikan, takwa, memberi zakat, dan mempercayai ayat-ayat Allah dengan benar-benar percaya. Dua Peringatan di bawah menyatakan demikian, dan satu daripadanya mengandungi doa, yang juga menjadi penutup bagi perbincangan mengenai kehidupan dunia di sini.
"Dan sesiapa yang membuat kerja kebaikan, lelaki atau perempuan, dan dia mukmin, sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan Kami akan membalas mereka dengan upah mereka mengikut yang paling baik daripada apa yang mereka telah buat." (16:97)
"Dan tuliskanlah (tetapkanlah) untuk kami dalam kehidupan dunia (haadzihi dun-ya) ini yang baik, dan di akhirat; kami bertaubat kepada Engkau.' Berkatalah Dia, 'Azab-Ku, Aku menimpakan dengannya siapa yang Aku mengkehendaki, dan pengasihan-Ku, merangkumi segala sesuatu, dan Aku akan menuliskannya untuk orang-orang yang bertakwa, dan memberi zakat, dan orang-orang yang benar-benar mempercayai ayat-ayat Kami," (7:156)
http://www.e-bacaan.com/artikel_kehidupandunia.htm

Comments

Popular posts from this blog