KETAHUILAH KEALIMAN DAN KEFAQIHAN IMAM KITA YANG EMPAT

by Al-Asyairah Al-Syafii on Saturday, March 19, 2011 at 11:15pm
KISAH HIDUP IMAM-IMAM KITA YANG EMPAT.

Al-Imam Abu Hanifah:
Namanya ialah Nukman bin Thabit bin Zauthi.
Dilahirkan di Bandar Kuffah, Iraq pada tahu 80 H/699 M.
Beliau dihukum penjara kerana enggan menjadi hakim dan wafat di dalam penjara semasa pemerintahan Abu Ja`far al-Mansur akibat diracuni pada umur 70 tahun.

PELAJARAN DAN PENDIDIKANNYA:

Sejak kecil lagi beliau cenderung kepada pelajaran, rajin belajar mana-mana ilmu yang belum diketahuinya dan rajin mengajar mana-mana ilmu yang telah diketahuinya dan beliau suka berbahasa untuk mencara kebenaran, baik ilmu agama mahupun ilmu-ilmu am.

Semasa belajar tidak menghadapi masalah kewangan kerana ayahnya seorang saudagar, apa lagi masa kelahirannya dengan Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam Cuma 69 tahun. Dengan sebab itu beliau sempat menemui beberapa orang sahabat Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam yang masih hidup, walaupun telah tua, ini amatlah menggembirakan hati Imam Abu Hanifah. Dengan itu beliau dapat menerima hadith Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam melalui satu perantaraan antara sahabat-sahabat iaitu Sayyiduna Anas bin Malik, Abdullah bin Aufa dan lain-lain. Ada riwayat mengatakan ayah Imam Abu Hanifah pernah bertemu dengan Sayyiduna Ali bin Abi Thalib dan Sayyiduna Ali mendoakannya.

Selain daripada berguru dengan sahabat-sahabat Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam, Imam Abu Hanifah banyak belajar dengan Tabi`in dan para ulama yang ramai pada masa itu. Hingga ada yang menganggarkan kira-kira 200 orang ulama besar termasuk sahabat dan tabi`in yang menjadi guru kepada Imam Abu Hanifah. Antara guru yang paling lama mengajarnya iaitu Imam Hammad bin Sulaiman, kerana terlalu kasih kepada gurunya itu Imam Abu Hanifah menamakan anak sulungnya dengan nama Hammad.

KECERDIKANNYA:

Al-Imam al-Syafi`e bila ditanya tentang Imam Abu Hanifah, dijawabnya: “Tidak mungkin ada perempuan yang dapat melahirkan anak lebih cerdik dan cergas otaknya lebih daripada Imam Abu Hanifah” dan pada kali yang lain pula Imam al-Syafi`e berkata: “Umat Islam seluruhnya tentang ilmu fiqh adalah keluarga dan anak buah Imam Abu Hanifah”.
Imam Malik pula ditanya tentang Imam Abu Hanifah, dijawabnya: “Aku pernah bertemu beliau, beliau seorang lelaki yang bijak. Jika kamu berkata kepadanya supaya tiang ini dijadikan emas, nescaya beliau dapat memberi alasannya oleh kebijaksanaannya bercakap”. Beliau bersembahyang sepanjang malam sehingga ada orang mengatakan Imam Abu Hanifah sembahyang Subuh dengan wudhuk Isyaknya selama empat puluh tahun.

Beliau mempunyai segala imu pengetahuan yang mustahaka bagi umat Islam di zamannya. Beliau menghafal al-Quran dan membacanya dengan qiraat Ashim dan banyak menghafal hadith Nabi, pandai ilmu Nahu, Adab, Syaer dan berbahas, mahir dalam ilmu usuluddin, Imam mujtahid dan menjadi Imam dalam ilmu fiqh. Ilmu yang diperolehinya diajarkan pula kepada orang ramai. Kebanyakkan ilmu pengetahuannya dikumpulkan oleh murid-muridnya dalam berbagai kitab yang besar-besar dan antara yang terbesar ialah kitab al-Mabsuth iaitu sebesar-besar kitab fiqh dalam mazhab Hanafi mengandungi 15 jilid dan 30 juzuk. Mazhabnya berkembang luas terutama di timur tengah.

Al-Imam Malik:
Namanya ialah Malik bin Anas.
Dilahirkan pada tahun 93 H di kota Madinah.
Ada riwayat yang mengatakan ibunya mengandungkan beliau sehingga dua tahun, ada yang mengatakan tiga tahun.
Beliau wafat pada tahun 179 H.

PELAJARAN DAN GURUNYA:

Beliau seorang anak tabi`in dan cucu ulama besar dan berada pula di kurun pertama yang dinyatakan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam semulia-mulia kurun dan berada di antara suasana yang diliputi para sahabat, tabi`in dan ansahr juga cerdik pandai dan ahli hukum, ditambah pula dengan persediaan otaknya yang luar biasa, cerdik dan pengingat. Dari kecil lagi Imam Malik telah menghafal al-Quran seluruhnya, mempelajari hadith dan menguasai berbagai-bagai ilmu pengetahuan. Gurunya yang pertama ialah Imam Abd al-Rahman bin Hurmuz, ulama besar Madinah, kepadanyalah Imam Malik belajar paling lama, ada yang mengatakan lapan tahun berturut-turut dan kepadanyalah Imam Malik paling rapat mendampingi.

Beliau menambahkan lagi pengajian ilmu fiqh dengan berguru kepada ulama besar Madinah Rabiah Abd al-Rahman dan bagi ilmu hadith pula beliau berguru dengan Imam Nafik Maula ibni Umar radiyallahu`anhu, beliau juga berguru dengan Imam Malik bin Syihab al-Zuhri dan ramai lagi ulama yang lain.

PENGHORMATAN IMAM MALIK KEPADA HADITH NABI:

Ketika Imam Malik mendapat perintah daripada Khalifah Harun al-Rasyid supaya membawa kitab Muwatta’ ke istana kerana baginda hendak mempelajarinya di istana, Imam Malik menjawab kepada utusannya: “Sampaikan salam saya dan pesanan saya kepada khalifah, bahawa pelajaran itu harus sitinjau bukan disuruh meninjau dan pengetahui itu harus didatangi bukan mendatangi”. Dan al-Baramaki (Perdana Menteri) pun balik menyampaikan pesanan Imam Malik kepada baginda.

Pada suatu masa khalifah hadir di dalam majlis Imam Malik tetapi meminta supaya dikhususkan baginya untuk bacaan hadith dan orang ramai hendaklah diminta keluar. Imam Malik terang-terangan menolak titah baginda itu dengan katanya: “ Sesungguhnya salam ini aku tidak pernah membaca hadith ini untuk perseorangan”.

Ketika pembaca hendak membaca hadith daripada kitab Muwatta’, baginda masih bersama di samping Imam Malik, Imam Malik berkata: “Wahai Amir al-Mukminin! Aku banyak berjumpa dengan ahli ilmu di negeri ini, mereka sangat merendah diri terhadap ilmu pengetahuan”. Khalifah benar-benar terasa sindiran itu lalu baginda turun bersama pelajar-pelajar lain meninggalkan Imam Malik di tempat khasnya seorang diri.

Imam Malik ketika hendak membaca hadith kepada orang ramai, ia segera masuk ke tempat mandi, kemudian berwudhuk ataupun mandi,kemudian memakai pakaian yang indah dan kemas serta berserban dan menaruh selendangnya di kepala, baru keluar dan duduk di tempat khasnya, disampingnya dibakar gaharu supaya majlis itu menjadi harum sempena majlis Hadith Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam, tempat khasnya itu Cuma digunakan untuk memuliakan hadith Nabi, ditempat lain tidak.

Beliau tidak suka memberi pelajaran hadith di tengah-tengah jalan atau masa berdiri atau dalam keadaan terburu-buru, manakala didengarnya suara di majlis hadith, dimarahinya, disuruh diam menghormati hadith Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam.

DI MAJLIS PENGAJIAN IMAM MALIK:

Kalau kita hadir bersama di majlis pengajian Imam Malik, kita akan merasa gerun dan hebat oleh besarnya peribadi beliau. Murid-murid beliau senyap ibarat tikus jatuh ke beras atau ibarat orang ditenggek burung di kepala tiada bergerak, tiada mengantuk, bual-bula kecil atau gelisah. Masing-masing tertumpu kepada wajah beliau seolah-olah menanti amanah atau titah diraja dalama masa dunia sedang cemas. Khalifah Harun al-Rasyid semasa belajar terpaksa duduk bersila di hadapannya bersama-sama orang ramai kerana Imam Malik tidak mahu mengajar kitab Muwatta’ ke istana, meneurut kebiasaan titah khalifah-khalifah pada masa itu. Kebiasaannya khalifah-khalifah menitahkan ulama supaya membawa kitab ke rumahnya untuk mengajar khalifah atau keluarganya. Sebab menurut Imam Malik ilmu yang diajarkan kepada perseorangan itu tiada berkatnya dan ilmu ini besar martabatnya tidak boleh mendatang tetapi hendaklah didatangi.

PANDANGAN PARA ALIM ULAMA TENTANG IMAM MALIK:

Al-Imam al-Syafi`e berkata: “Apabila datang hadith kepadamu daripada Imam Malik, berpegang teguhlah dengan kedua-dua tanganmu kerana ia menjadi hujah bagimu". Dan beliau berkata lagi: “Apabila orang menyebut-nyebut ulama’ hadith,maka Imam Maliklah bintangnya dan tiada seorang pun yang lebih aku percayai tentangnya daripada Imam Malik”.
Al-Imam Hamad bin Salamah berkata: “Kalau ada orang berkata kepadaku: Pilihlah olehmu seorang daripada umat Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam yang patut menjadi Imam untuk diambil ilmunya, nescaya aku memilih Imam Malik”.
Dan Imam al-Laits berkata: “Demi Allah tidak akan aku bersua di muka bumi ini seorang yang lebih aku sayangi daripada Imam Malik”

Al-Muwatta’ merupakan kitabnya yang sangat terkenal, iaitu kitab yang berkaitan dengan hadith Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam dan mazhabnya banyak berkembang di bahagian utara benua Afrika dan sebahagian lagi di timur tengah.

Al-Imam Syafi`e:
Namanya ialah Muhammad bin Idris.
Dilahirkan di Palestin pada tahun 150 H/767 M.
Digelarkan sebagai al-Syafi`e sempena nama datuknya.

PELAJARAN DAN DIDIKANNYA:

Al-Imam al-Syafi`e mempelajari ilmu fiqh dengan Imam Muslim al-Zanji iaitu guru besar dan Mufti Makkah pada masa itu. Lamanya beliau belajar dengan Imam besar ini hingga diakui oleh gurunya bahawa beliau boleh mengajar dan boleh berfatwa tentang hukum-hukum agama. Dalam ilmu hadith pula beliau belajar dengan Sufian bin Uyainah iaitu ulama hadith yang terbesar di Makkah, manakala ilmu al-Quran beliau belajar dengan Imam Ismail bin Qusthanthin. Seterusnya belaiu mempelajari berbagai-bagai ilmu kepada beberapa orang guru di berbagai-bagai negeri. Kecerdikan dan kuat hafalannya terserlah, ketika berusia 10 tahun beliau tahu membaca kitab Muwatta’ karangan Imam Malik yang masyhur itu dan menurut Fakhr al-Razi, guru Imam Syafi`e banyak tetapi yang masyhurnya ialah 19 orang iaitu 5 di Makkah, 6 di Madinah, 4 di Yaman dan 4 di Iraq.

KUAT HAFALAN DAN TERANG HATI:

Kuatnya hafalan dan terangnya hati Imam Syafi`e memanglah luar biasa, ditambah lagi rajin belajar dan hemahnya terlalu kuat, memudahkan beliau mendapat berbagai-bagai ilmu pengetahuan seperti al-Quran, al-Hadith, fiqh, usul fiqh, bahasa, kesusasteraan, syaer, sajak dan lain-lain. Kekuatan ingatannya bukan sahaja sapat menghafal al-Quran sewaktu usianya masih muda, malah hadith-hadith dan buku-buku yang payah dibelinya atau sempat disalinnya, habis dihafalnya.

Satu masa bilik Imam Syafi`e telah penuh dengan tulang-tulang dan kertas-kertas catitan ilmu hingga payah baginya berbaring dan bererhat, hendak dibuangkan kertas-kertas catitan itu semuanya ilmu yang berharga belum dibukukan lagi. Beliau mengambil keputusan dan berazam menghafalkannya dan duduklah ia beberapa lama jarang keluar kerana menghafal catitan-catitan itu, akhirnya sedikit demi sedikit kertas itu dibuangnya hingga kosong biliknya kerana semua catitan itu habis dihafalnya.

Beliau pernah menceritakan masa mudanya pernah bermimpinkan Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam. Dalam mimpinya itu Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bertanya siapa engkau wahai anak? Syafi`e menjawab aku Muhammad dan aku dari keturunanmu ya Rasulullah.mari hampir kepadaku, kata Nabi. Imam Syafi`e terus menghampirinya. Nabi menyapu muka, mulut dan bibirnya, lalu baginda bersabda: “Pergilah engkau moga-moga Tuhan memberkati hidupmu". Imam Syafi`e segera bangun dan teringatkan mimpinya itu dan dari masa itulah Imam Syafi`e merasakan satu kekuatan menghafal bertambah-tambah hingga kalau ada rasanya catitan setinggi bukit dapat dihafalnya, seolah-olah mimpinya itu kunci bagi otaknya.

Beliau hidup dengan gaya yang amat sederhana dan pernah beliau berkata” “Selama 16 tahun aku makan tidak pernah kenyang betul, kerana kenyang memberatkan badan, membekukan hati, menumpulkan fikiran dan membanyakkan tidur”.
Beliau pantang mendengar ada ulama’ besar. Bila beliau mendengar berita kebesaran Imam Malik bin Anas hatinya terlalu cinta untuk menemuinya. Satu hari peluang itu diperolehnya dan gurunya pula menggalakkannya, ketika itu beliau berusia 20 tahun. Beliau pergi berjumpa dengan Imam Malik dan berguru dengannya dan beliau juga merantau ke Iraq, Parsi, Yaman dan Mesir kerana menemui ulama besar dan belajar dengan mereka dan beliau tidak berhenti-henti mengajar ketika berada di Mesri dan disitulah beliau wafat ketika berusia 54 tahun kerana mengidap penyakit buasir.

KATA-KATA PARA ULAMA’ TENTANG IMAM AL-SYAFI`E:

Masa hidup, Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam pernah bersabda:
“Ada seorang alim Quraisy, ilmunya memenuhi muka bumi ini”. Ulama’ mentafsirkannya bahawa orang yang dimaksudkan itu adalah al-Imam al-Syafi`e. Al-Imam Malik berkata: “Tidak akan ada lagi keturunan Quraisy lebih pandai daripada al-Imam al-Syafi`e”. Al-Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku belum faham tentang nasikh dan mansukh hadith kecuali selepas belajar dengan al-Imam al-Syafi`e”. Dan Imam Ahmad berkata lagi: “Wahai anakku, Imam al-Syafi`e itu seperti matahari bagi dunia ini dan seperti kesihatan bagi tubuh, fikirlah adakah gunanya selain daripada dua ini?”. Imam Muhammad bin al-Hakam berkata: “Aki belum berjumpa seorang yang lebih mengetahui tentang usul fiqh selain al-Syafi`e dan aku belum berjumpa seseorang lebih mengetahui cerdik akalnya, lebih cergas fikirannya, lebih cermat amalannya dan lebih fasih lidahnya daripada al-Imam al-Syafi`e”.

Beliau banyak mengarang kitab antaranya al-Risalah, al-Umm, al-Jami’, al-Saghir, al-Jami’ al-Kabir dan lain-lain. Mazhabnya tersebar meluas seluruh dunia.


Al-Imam Hanbali:
Namanya ialah Ahmad bin Hanbal.
Dilahirkan di Baghdad pada tahun 164H/780 M.
Ayahnya meninggal dunia ketika beliau masih dalam kandungan ibunya.

PELAJARAN DAN PENDIDIKANNYA:

            Kebetulannya ramai ulama besar berada di Baghdad, maka ini merupakan suatu kesempatan bagi Imam Ahmad mempelajari berbagai cabang ilmu pengetahuan seperti ilmu al-Quran, Hadith, Tasawwuf, Bahasa, Falsafah dan ramai pendita-pendita dari berbagai cabang ilmu dibantu pula kecerdasan otaknya yang luar biasa dan keazamannya yang kuat serta rajin belajar dan mencari guru di mana ada orang pandai, disitulah ada Imam Ahmad belajar. Hingga berumur 16 tahun beliau masih menetap di Baghdad. Selepas itu beliau merantau ke Kuffah, Basrah, Syam, Yaman dan lain-lain negeri.

Al-Imam Abu Siraj pernah berkata: “Aku sentiasa menjaga dan membelanjakan anak-anakku belajar dan menyerahkannya kepada para ulama yang terkenal supaya anakku mendapat pelajaran yang baik. Tetapi aku hairan dengan anak yatim iaitu Imam Ahmad bin Hanbal itu walaupun serba kekurangan, dengan senang dapat mengalahkan anak-anakku. Sekali pandang anak yatim itu mengejar ilmu, sekali-kali kita melihat ilmu pengetahuan sengaja mengejarnya kerana dalam masa yang singkat beliau telah menjadi alim yang terkenal di Baghdad. Setelah orang ramai tahu pemuda ini alim, tetapi beliau masih sibuk belajar dan belajar. Sehingga orang bertanya kepadanya: “Hingga bilakah agaknya tuan baru dapat berhenti belajar? Sedangkan tuan telah alim”. Dengan pantas beliau menjawab: “Hingga ke liang lahad akan aku bawa botol dakwatku ini”.

Di mana-mana boleh kedengaran orang bercakap-cakap tentang ulama’ muda Imam Ahmad bin Hanbal ini,bukan sahaja orang-orang awam malah para ulama turut memuji-muji tentang kealiman tokoh muda ini. Al-Syeikh Ahmad al-Razi berkata: “Aku belum berjumpa orang yang berambut hitam lebih hafal hadith-hadith nabi dan lebih fakih daripada Imam Ahmad bin Hanbal". Dan gurunya al-Imam al-Syafi`e pula berkata: “Al-Imam Ahmad bin Hanbal merupakan ulama’ besar tentang ilmu hadith, ahli tentang ilmu fiqh, ahli tentang faqar kepada Allah, ahli tentang zuhud, ahli tentang warak dan ahli tentang sunnah Nabi sallallahu`alaihi wasallam".

Al-Imam al-Syafi`e berkata lagi: “Saya keluar dari Baghdad dan saya tidak meninggalkan di kota itu seorang pun yang lebih pandai tentang hukum-hukum agama, lebih jauh daripada pengaruh kebendaan, lebih cermat tentang hukum, lebih teliti tentang menjaga diri daripada perbuatan yang salah dan lebih pandai tentang hukum agama selain daripada al-Imam Ahmad bin Hanbal.

GURU-GURU IMAM AHMAD BIN HANBAL:

Beliau seperti juga al-Imam al-Syafi`e suka belajar dan mencari guru kerana itu guru-gurunya sangat ramai dan beliau sempat berguru dengan al-Imam al-Syafi`e ketika berkunjung ke Baghdad. Al-Imam Ahmad sangat menghormati guru-gurunya bukan sahaja ketika beliau masih muda tetapi ketika beliau menjadi ulama’ besar bahkan lebih besar daripada gurunya. Beliau tetap menghormati gurunya seperti biasa. Di mana-mana majlis yang dihadiri jika terdapat gurunya di situ beliau tidak akan bercakap banyak dan sentiasa tunduk, walaupun gurunya memandangnya lebih alim daripada dirinya, menghormati beliau sepenuhnya sebagai ulama besar. Satu ketika beliau terkena sakit, al-Imam al-Syafi`e gurunya datang menziarah, dari jauh setelah dipandangnya al-Imam al-Syafi`e, dalam keadaan keuzuran dia terus berkemas menyonsong al-Imam al-Syafi`e, sesampainya di rumah didudukkan di tempatnya dan dia duduk di bawah dan tatkala al-Imam al-Syafi`e hendak berangkat balik dihantar gurunya hingga duduk betul di atas unta dan diiringinya hingga sampai ke rumah.

KARANGAN DAN MAZHABNYA:

Al-Imam Ahmad bin Hanbal belajar hadith sejak kecil lagi. Dikatakan beliau telah menghafal hingga satu juta hadith dan kitab hadithnya al-Musnad berisi 40 000 hadith iaitu pilihan daripada 750 00 hadith dan banyak lagi kitabnya, antaranya ialah kitab tafsir al-Quran, kitab Nasikh dan Mansukh dan lain-lain. Mazhabnya tersebar di timur tengah.

DIKELUARKAN OLEH: HAJI MOHD SAID ABDUL HADI
JABATAN AGAMA JOHOR.

Comments

Popular posts from this blog