Sunat-sunat Dalam Sembahyang

  • Memandang ke tempat sujud
  • Khusyuk
Memandang ke tempat sujud

Dalam kitab Sabilul-Muhtadin menyebut, 'Sunat mengekalkan tilik di dalam sekalian sembahyang kepada tempat sujud' (ms 228). Sama ada kita sembahyang bersendirian atau berjemaah, sama ada sebagai imam atau makmum, kita disunatkan memandang ke tempat sujud, sepanjang masa sembahyang kita. Sama ada kita sedang berdiri, rukuk, iktidal sehingga kepada saat-saat hendak sujud, mata kita sentiasa memandang ke tempat sujud. Ketika duduk antara dua sujud juga kita disarankan berbuat demikian. Bagi mereka yang pejam ketika sembahyang kerana baginya akan lebih khusyuk, maka hendaklah menundukkan kepalanya seperti sedang memandang ke tempat sujud.

Memandang ke tempat sujud ini meliputi semua keadaan dan suasana. Misalnya, jika kita sedang sembahyang mengadap kaabah sekalipun, hukumnya masih kekal, iaitu sunat memandang ke tempat sujud. Dalam kitab yang sama menyebut, 'dan jikalau ada ia di sisi kaabah atau di dalamnya sekalipun'. (ms 228).

Hukum ini meliputi juga bagi mereka yang buta atau yang sembahyang dalam kolam. 'dan jika ada ia buta atau di dalam kolam hendaklah ada kelakuannya seperti kelakuan orang yang menilik kepada tempat sujud'. (ms 228)

Mengapakah hukum ini diujudkan? Kitab yang sama menyebut, 'kerana yang demikian itu terlebih hampir kepada khusyuk, dan tempat sujudnya itu terlebih mulia'. (ms 288)

Tetapi ada ketikanya di mana kita tidak disunatkan memandang ke tempat sujud, iaitu ketika menyebut kalimah illal-llah ketika kita membaca tahyat awal dan tahyat akhir. Pada ketika itu kita disunatkan pula memandang kepada jari telunjuk. Dalam kitab menyebut, 'melainkan tatkala mengangkatkan telunjuk tatkala mengata illal-llah pada tasyhud, maka sunat baginya menilik kepada telunjuknya selama telunjuknya diangkatkan sehingga salam'. (ms 228)

Satu ketika lain yang tidak disunatkan ialah ketika kita sembahyang atas hamparan yang bercorak atau berlukis. Terpulanglah kepada anda untuk mentakrifkan corak dan lukisan yang dimaksudkan. Bandingkan dengan yang tersebut dalam kitab ini, yang menyebut, 'dan melainkan pada orang yang sembahyang atas hamparan yang bertulis dengan rupa haiwan dan lainnya yang melengkapi tulisannya itu pada tempat sujudnya, maka sunat baginya bahwasanya tidak menilik ia kepadanya'. (ms 228)

Khusyuk

Pada dasarnya khusyuk dalam sembahyang hukumnya sunat. Namun ada pendapat yang mengatakan bahawa khusyuk adalah satu daripada syarat sah sembahyang. Apakah yang dimaksudkan khusyuk dalam sembahyang?

Kitab ini menyentuh khusyuk dalam dua aspek, iaitu khusyuk dalam hati dan anggota, sebagaimana yang tercatat, 'Disunatkan di dalam sekalian sembahyang itu khusyuk dengan hatinya dan dengan sekalian anggotanya' (ms 229).

Khusyuk dalam hati iaitu menumpukan sepenuh hatinya terhadap sembahyang. Dengan kata lain, ketika dalam sembahyang, hati kita tidak terlintas langsung kepada perkara-perkara yang lain selain daripada yang berkait dengan sembahyang, iaitu bacaan-bacaan dan perbuatan-perbuatan dalam sembahyang, sebagaimana yang disebut dalam kitab berkenaan, 'Adapun khusyuk dengan hati, maka iaitu menghadirkan hati pada barang yang ia mengerjakandia seperti bahawa tiada dihadirkannya di dalam hatinya akan barang yang lain daripada barang yang ia di dalamnya' (ms 229).

Sehubungan ini, kitab ini juga memberikan contoh tentang perkara-perkara lain. Jika perkara yang dicontohkan ini berlaku dalam hati kita ketika sembahyang, akan dikira tidak khusyuk juga. Yang dimaksudkan ialah kita mengingat atau memikirkan dalam hati kita tentang akhirat. Kitab ini menyebut, 'dan jika ada yang lain itu taklik pada akhirat sekalipun' (ms 229).
Khusyuk anggota pula, kitab ini mencatatkan,
Adapun khusyuk dengan segala anggota maka iaitu mendiamkan dan menetapkan segala anggota seperti bahawa tiada digerakkannya dan tiada dipermainkan dengan salah satu daripadanya kerana bahawasanya Allah Taala telah memuji akan segala mereka yang khusyuk di dalam sembahyangnya.’


firmanNya () ertinya beroleh bahagia segala mukmin yang khusyuk mereka itu di dalam sembahyang mereka itu dan kerana bahawanya sembahyang dengan tiada khusyuk tiada pahala baginya.’ Tiada pahala bererti kita tidak mendapat apa-apa dari sembahyang kita. Mengapa tiada pahala? Telah disebutkan bahawa rukun-rukun sembahyang yang kita sempurnakan adalah hak Allah yang mesti ditunaikan, umpama kita membayar hutang kepada Allah yang menjadikan kita dengan segala rohani dan jasmani lengakap dengan segala pancaindera. Dengan menyempurnakan segala rukun yang ditetapkan sembahyang kita sah iaitu diterima Allah. Langsailah hutang kita. Tetapi apa yang kita dapat? Tiada pahala jika tiada khusyuk.
Dalam kitab yang sama, mencatatkan bahawa ada sesetengah pendapat yang menyatakan khusyuk itu sebagai satu syarat sah sembahyang. Dengan kata lain, tidak sah sembahyang jika tidak khusyuk; Kitab itu menyebut seperti berikut:
Dan lagi kerana bahawasanya ada bagi kita satu wajah yang mengatakan bahawa khusyuk itu satu syarat daripada segala syarat yang mengsahkan sembahyang.’ (ms 229)
Bagaimana cara mendapatkan khusyuk? Dicadangkan agar kita ibarat sedang berada dalam satu sesi bersama Allah s.w.t. Muka surat 229 kitab ini menyebut, 'Setengah daripada barang yang menghasilkan khusyuk bahawa menghadirkan yang sembahyang itu akan bahawasanya dirinya antara hadirat Tuhannnya yang amat besar kebesarannya dan kerajaannya, lagi yang amat tahu akan segala rahsia dan yang tersembunyi.’
Misalnya, apakah ertinya, ketika kita bersamaNya, sedang menghadapNya, tetapi hati dan perasaan kita ke tempat lain. Dalam kitab ini mencatatkan sebuah hadith, '() ertinya tiada bagi seorang daripada pahala sembahyangnya melainkan barang yang berakal ia dalamnya yakni barang yang hadir hatinya dalamnya.’ (ms229)
Satu cara lain untuk mendapatkan khusyuk ialah dengan memahami erti bacaan kita, atau yang sedang dibaca oleh imam ketika sembahyang berjemaan.
Dan disunatkan pula mentadbirkan akan qiraat yakni menghadirkan makna yang dibacanya akan dia daripada fatihah dan surah.’ (ms 229)
Antara yang menyebabkan kita tidak atau kurang khusyuk ialah gangguan fikiran kita tentang kerja-kerja yang belum selesai sebelumnya.
‘(Dan disunatkan) masuk kepada sembahyang itu dengan selesai hati daripada segala pekerjaan yang membimbangkan dia kerana bawasanya ia terlebih menolongi atas khusyuk.’ Sehubungan ini dalam satu ceramah di utara tanahair kita menyebut katanya, jika makanan sudah terhidang, ketika itu azan dilaungkan, maka kita diharuskan tidak perlu pergi berjemaah. Ini kerana dibimbangi kita tidak khusyuk sembahyang.
Wallahu-a'lam.



Semak-semaklah Sembahyang kita

Setiap orang yang sembahyang memang sudah mengetahui perkara-perkara yang membatalkan sembahyang. Bagaimanapun, ramai yang tidak menyedari beberapa perkara yang boleh membatalkan sembahyang kita. Ini berlaku tanpa kita sedari.
Sebagai contoh, ramai yang tidak menyangka bahawa berdehem membatalkan sembahyang. Ada pula yang tidak menyedari bahawa tumakninah kita tidak sempurna, boleh membatalkan sembahyang kita. Tentang sujud pula, ramai tidak menunaikan syarat-syaratnya, menyebabkan jika ini tidak disempurnakan akan batal sujud kita, sekaligus batallah sembahyang kita. Sekadar beberapa contoh.
Dimaklumkan, catatan ini saya asaskan kepada Kitab Sabilul-muhtadin, karangan Sheikh Muhammad Arshad bin Abdullah al-Banjari.

Syarat-syarat Sujud
Sujud adalah satu daripada 13 rukun sembahyang. Batal sujud, batallah sembahyang, kerana sembahyang kita tinggal 12 rukun. Sujud ada syarat-syaratnya, jika tidak dipenuhi, batallah sujud.



Sujud kita selalunya terbatal kerana tidak memenuhi syarat yang keempat yang akan disebutkan di bawah.


Kitab Sabilul-Muhtadin menggariskan syarat-syarat sujud ada 9 perkara: (Syahdan) adalah syarat sujud itu sembilan perkara. (Sabilul-Muhtadin, 215 baris 18).


Namun catatan berikut adalah menyentuh tentang syarat yang ke-4, yang sering menjadi sebab terbatalnya sembahyang kita. Tetapi kita sering terlepas pandang.


Kitab Sabilul-Muhtadin menyebut:


(syarat) yang keempat, menghantar satu suku daripada perut jari dua kakinya. Maka tiada memadai sujud dengan tiada menghantarkan sekalian yang tersebut itu kerana tersebut di dalam hadis Bukhari dan Muslim, yang ertinya: telah disuruh akandaku sujud atas tujuh anggota iaitu dahi dan kedua perut tapak tangan dan kedua lutut dan perut jari dua kaki.


Dalam ceramah-ceramah menjelaskan, hujung jari, termasuk hujung ibu jari, adalah dikira pesisir jari (bukan perut jari). Jadi ketika sujud, pastikan sekurang-kurangnya perut jari kaki terletak di tempatnya, bagi memenuhi syarat iaitu kita sujud di atas tujuh anggota yang tersebut dalam hadis.


Jika hujung jari sahaja yang menyentuh tempat sembahyang, dikira tidak cukup syarat. Dalam kata lain, kita sujud atas lima atau enam anggota sahaja. Maka batallah sujud kita, yang langsung membawa kepada batalnya sembahyang, kerana menurut imam Hanafi, Syafi’i dan Hambali, ia adalah anggota wajib. Tetapi bagi imam Maliki, tidak batal, kerana baginya, anggota sujud yang wajib hanyalah dahi.


Lebih malang lagi sesetengah kita terlepas pandang, tapak kaki kita terangkat, tidak menyentuh lantai tempat sembahyang.


Gambar-gambar berikut mungkin dapat membantu kita memahami maksud catatan di atas.








Cara paling selamat ialah dengan membengkokkan jari-jari kaki. Ini, “Keluar daripada khilaf dan melakukan yang terbaik untuk menuruti sunnah Nabi s.a.w adalah lebih elok.”*






Posisi kaki kurang sempurna.”* tetapi masih memenuhi syarat sujud – perut jari kaki terletak di tempat sembahyang.









Kedudukan jari kaki yang salah ketika sujud.”* Ini yang menyebabkan batal sujud, sekali gus membatalkan sembahyang.










(Gambar dan catatan huruf condong dipetik dari Buku Formula Solat Sempurna, oleh Ust. Zaharuddin Abd. Rahman, pensyarah UIA)


*Ust. Zaharuddin Abd Rahman, 2008. Cetakan perama. Formula Solat Sempurna. Kuala Lumpur: Telaga Biru.



Berdehem Batal Sembahyang
“Berdehem membatalkan sembahyang kecuali imam”. Begitulah kenyataan yang saya dapat dari ceramah agama di sebelah utara tanahair kita. Kata penceramah itu, imam dibenarkan berdehem dengan alasan kerana bacaan imam perlu didengar oleh para makmum di belakangnya. Tetapi bagi makmum, bacaannya tidak perlu diperdengarkan kepada sesiapapun, maka dilarang daripada berdehem. Dengan kata lain batal sembahyang makmum jika berdehem. Susulan kepada kenyataan ini:



· Saya tanyakan kepada seorang ustaz yang sedang bertugas di Institut Perguruan Islam, Bangi. Jawabnya ringkas dan tegas, “Ya, batal”, dan


· saya terpanggil untuk merujuk kitab yang saya ada, iaitu Kitab Sabilul-Muhtadin. Dari rujukan yang saya lakukan, mendapati, Kitab Sabilul-Muhtadin memasukkan tentang berdehem di bawah perkara ‘berkata-kata’, di muka surat 233 bermula dari baris 4, di bawah Bab Perkara-perkara Yang Membatalkan Sembahyang. Berikut adalah petikan-petikan daripada kitab-kitab tersebut:

(1) (Adapun) berdehem-dehem di dalam sembahyang dan tertawa dan menangis dan beraduh dan menghembus-hembus dengan mulut atau dengan hidung dan batuk dan bersin maka ditilik jika nyata dengan yang tersebut itu dua huruf yang mafhum batallah dengandia sembahyang. Dan jika tiada nyata ia maka tiadalah batal ia. (Sabilul-Muhtadin, 233:10-14).

Petikan ini mencatatkan, perbuatan-perbuatan yang membatalkan sembahyang, termasuk berdehem, jika nyata dengan yang tersebut itu dua huruf yang mafhum. Terpulanglah untuk mentafsirkan bunyi yang dua huruf itu.


Petikan berikut pula menunjukkan ada kekecualian tentang berdehem.


(2) Dan demikian lagi tiada batal sembahyang dengan umpama berdehem-dehem yang nyata dengandia dua huruf atau satu huruf yang mafhum jika adaia kerana ghalbah atasnya lagi ada ia sedikit pada ‘uruf inilah muktamad Sheikh Ibnu Hajar di dalam tuhfah. (Sabilul-Muhtadin, 234:3-5)


Petikan ini mencatatkan tentang umpama berdehem-dehem iaitu bunyi-bunyi suara yang seakan-akan berdehem. Walaupun bunyi itu nyata dengandia dua huruf atau satu huruf yang mafhum tidak membatalkan sembahyang disebabkan kerana ghalbah atasnya (iaitu kerana serak), lagi ada ia sedikit pada ‘uruf (mengikut Ibnu Hajar).


Satu lagi keadaan di mana berdehem tidak membatalkan sembahyang, iaitu berdehem kerana hendak memelihara bacaan bagi rukun qauli, seperti Fatihah. Jika seandainya tidak berdehem boleh menyebabkan bacaan Fatihah kita akan jadi rosak.


(3) Dan demikian lagi tiada batal sembahyang dengan berdehem yang nyata dengandia yang tersebut itu kerana membaca bacaan yang wajib seperti Fatihah dan barang sebagainya daripada segala rukun qauli dengan tiada berdehem-dehem dan jika adaia banyak sekalipun. Inilah yang diiktimadkan Sheikh Ibnu Hajar di dalam syarah Ibab kerana bawasanya berdehem-dehem kerana kesukaran membaca akan rukun qauli itu terhenti atas sah sembahyang maka dimaafkanlah padanya berdehem-dehem yang bersalahan berdehem kerana ghilbah tiada terhenti atasnya sah sembahyang maka tiada dimaafkan melainkan jika adaia sedikit pada ‘uruf dan seperti demikian itulah yang mafhum daripada ibarat Sheikh Al-Islam (Sabilul-Muhtadin, 234:7-13)


Tetapi petikan ini mensyaratkan, bahawasanya berdehem-dehem kerana kesukaran membaca akan rukun qauli itu terhenti atas sah sembahyang. Jika berdehem kerana serak (kerana ghilbah)dan tiada terhenti atasnya sah sembahyang maka batal sembahyang.


Tetapi berdehem untuk memelihara bacaan yang sunat, atau untuk membolehkan dia membaca kuat adalah tidak dimaafkan. Maka batal sembahyang kerana dua sebab itu, seperti yang terkandung dalam petikan berikut:


(4) Dan tiada dimaafkan berdehem-dehem kerana kesukaran membaca bacaan yang sunat atau kerana kesukaran menyaringkan bacaan (Sabilul-Muhtadin, 234:16-17)


Bagaimana pula halnya, jika seseorang itu tidak tahu bahawa berdehem boleh membatalkan sembahyang? Sheikh Ibnu Hajar menyebut:


(5) (Bermula) bebal akan keadaannya berdehem itu membatalkan sembahyang jadi uzur pada hak segala yang awam, kata Sheikh Ibnu Hajar (Sabilul-Muhtadin, 234:17)


Dalam ceramah yang sama juga dijelaskan bahawa orang bebal yang dimaksudkan di sini ialah orang yang baru masuk Islam.


Kesimpulan yang boleh dibuat:


· Berdehem membatalkan sembahyang kecuali imam,Bagi makmum, atau bagi yang sembahyang bersendirian, tidak dibenarkan berdehem kecuali untuk memelihara rukun qauli, iaitu Fatihah dan Tahyat Akhir.



Berdiri Dalam Sembahyang
Bagi sembahyang fardhu, berdiri (qiyam) adalah satu rukun. Jadi mesti dilakukan walau dengan apa cara sekalipun. Jika tidak, batallah sembahyang kita kerana tidak cukup rukun. Tetapi berlainan pula halnya bagi sembahyang sunat, berdiri bukanlah rukun. Maka sah sembahyang sunat dengan terus duduk, tidak perlu dimulakan dengan berdiri.



Tuntutan untuk berdiri bagi sembahyang fardhu dicatatkan dengan jelas dalam kitab Hidayatus-Sobyan yang menyebut:


· Dan jikalau dengan bersandar ia kepada sesuatu atau dengan berpegang ia atasnya atau dengan dipegang orang akandia sekalipun memadalah ia.


· (dan jika) tiada kuasa ia berdiri betul maka wajib ia berdiri kadar sehabis-habis kuasanya.


· (dan jika) tiada kuasa berdiri sekali-kali seperti hasil baginya dengan dia musyqah yang sangat yang menghilang ia akan khusyuk dan hadhir hati atau takut ia akan jatuh ke dalam laut atau karam atau berpusing kepalanya atau takut keluar kencingnya atau keluar buasir bagi orang yang buasir dan yang umpama keduanya maka hendaklah ia sembahyang duduk.(17:14)


Petikan di atas memberi kita gambaran tentang tuntutan berdiri, iaitu rukun ini hendaklah ditunaikan sedapat mungkin, walau dengan apa cara sekalipun. Dengan kata lain, selagi kita boleh berdiri, maka tidak ada alasan untuk kita sembahyang dengan duduk. Walaupun kitab Hidayatus-Sobyan menetapkan syarat berdiri, katanya, Bermula syarat qiyam iaitu membetulkan akan tulang belakangnya (17:14), namun bagi yang bermasalah, dibenarkan berdiri sekadar yang mampu seperti yang tersebut dalam petikan di atas.


Tuntutan berdiri adalah sejajar dengan rukun sembahyang yang ke-13, iaitu tertib. Maksud tertib, hendaklah dilakukan bermula dengan rukun yang pertama, diikuti dengan rukun kedua, ketiga dan seterusnya. Berdiri adalah rukun ketiga selepas niat dan takbiratul-ikhram. Jadi bagi yang mampu berdiri, maka hendaklah sembahyang dimulakan dengan berdiri.


Kitab Sabilul-Muhtadin menyebut, bagi sembahyang fardhu, berdiri (qiyam) adalah rukun. Jadi syarat dan keadaannya juga jadi rukun.(198:2). Kitab ini menggariskan tentang syarat-syarat berdiri, iaitu:


· Menegakkan tulang belakang, tidak condong ke hadapan, kiri atau kanan.


· Berdiri atas kedua-dua kaki atau salah satunya.


· Jika tidak mampu berdiri tegak, melainkan terpaksa membongkok seperti orang sedang rukuk sekalipun kerana tua dan sebagainya, wajib berdiri juga sekadar yang mampu. Untuk rukuk, wajib menambah tunduknya, bagi membezakan antara berdiri dengan rukuknya.


· Jika tidak mampu untuk rukuk dan sujud kerana sesuatu penyakit yang melarangnya tetapi masih mampu berdiri, maka wajib juga berdiri. Dan diperbuatnya akan rukuk dan sujud dengan barang sedapatnya pada tunduknya bagi keduanya (198:24). Jika tidak mampu melakukan rukuk dan sujud dengan menambahkan tunduknya, boleh diisyaratkan dengan leher atau kepalanya, malah dengan matanya sekalipun.


· Jika mampu melakukan rukuk tetapi tidak mampu untuk sujud maka hendaklah dilakukan dua kali tunduk, sekali untuk maksud rukuk dan tunduk kedua bagi maksud sujud. Jikalau dapat akandia rukuk, tiada sujud hendaklah ia tunduk dua kali, sekali bagi rukuknya dan sekali bagi sujudnya dan jika kuasa ia melebihi tunduknya daripada sempurna rukuk, wajib atasnya melebihi tunduk bagi sujud kerana membezakan antara rukuk dan sujud (198-26)


· Jika tidak mampu berdiri, atau mendatangkan kesakitan jika berdiri, atau jika sembahyang dalam perahu takut terbalik jika berdiri, atau pening kepala jika berdiri, makan dibenarkan sembahyang duduk.


Sayarat-sayarat yang disenaraikan ini menunjukkan bahawa berdiri adalah sangat-sangat dituntut bagi sembahyang fardhu. Jadi berdiri perlu dilakukan, walau dengan apa cara sekalipun bagi memenuhi rukun sembahyang yang 13. Maka tidak sah sembahyang fardhu jika tidak berdiri sedangkan kita mampu melakukannya.


Rukun ke-13 bagi sembahyang fardhu ialah tertib. Tertib bermaksud rukun-rukun yang 13 itu perlu dilakukan dimulai dengan yang pertama, diikuti dengan yang kedua, ketiga dan seterusnya. Jadi bagi orang yang mampu berdiri maka hendaklah sembahyang kita dimulakan dengan berdiri. Maka hendaklah kita berdiri walau dengan apa cara sekalipun seperti yang digariskan oleh dua kitab yang tersebut di atas.


Rukun yang berikutnya ialah membaca Fatihah diikuti dengan rukuk. Bagi orang yang mampu rukuk, maka hendaklah ia rukuk. Kitab Sabilul-Muhtadin menggariskan rukuk, iaitu menundukkan badan kira-kira kedua-dua tapak tangan sampai ke lututnya. Jika tidak mampu rukuk atas sebab-sebab tertentu, maka hendaklah menundukkan sedikit badannya sekadar yang mampu bagi membezakan antara berdiri dengan rukuk. Kemudian iktidal. Untuk iktidal, maka hendaklah ia berdiri seperti berdirinya ia pada permulaan sembahyang. Iktidal yang sempurna mestilah ada tumakninah atau berhenti sekejap sekadar sempat menyebut subhanallah.


Iktidal diikuti dengan sujud. Bagi orang yang tidak mampu sujud seperti biasa, maka hendaklah tunduk semula selepas iktidal, bagi isyarat bahawa ia sujud. Sebaik-baiknya ialah tunduknya lebih rendah berbanding tunduk untuk rukuk. Kitab Sabilul-Muhtadin menyebut, “Jikalau dapat akandia rukuk, tiada sujud hendaklah ia tunduk dua kali, sekali bagi rukuknya dan sekali bagi sujudnya dan jika kuasa ia melebihi tunduknya daripada sempurna rukuk, wajib atasnya melebihi tunduk bagi sujud kerana membezakan antara rukuk dan sujud (198:26).


Rukun berikutnya ialah duduk antara dua sujud. Oleh kerana ianya rukun maka mesti dilakukan. Bagi orang yang tidak boleh duduk seperti biasa, maka perlu duduk sekadar yang mampu. Maka duduklah dengan apa cara sekalipun, asalahkan perbuatan kita itu dilihat sebagai duduk. Dan untuk sujud kali kedua boleh dilakukan seperti sujud yang pertama.


Selesai sujud, bagi orang yang mampu berdiri, ia mesti bangkit untuk berdiri semula walau dengan apa cara sekalipun, mengikut kitab Sabilul-Muhtadin. “Jikalau lemah ia daripada bangkit kepada berdiri melainkan dengan tolong seseorang, wajib atasnya bangkit dengan minta tolong” (198:13). Namun, ada pendapat yang didengar dari ceramah-ceramah agama yang menyebut, bahawa bagi orang yang sukar untuk berdiri semula, maka diharuskan terus duduk, dan teruskan sembahyangnya dalam keadaan duduk hingga salam. Dengan demikian sudah dianggap tertunailah rukun-rukun seperti yang dikehendaki. Jadi, insya-Allah sahlah sembahyang.


Kesimpulannya, dalam melakukan sembahyang setiap rukun perlu ditunaikan mengikut tertib. Bagi orang yang mampu berdiri, maka hendaklah dimulakan dengan berdiri, diikuti dengan rukun-rukun berikutnya. Dan setiap rukun mesti dilakukan satu demi satu mengikut tertib selagi ia mampu. Bagi mana-mana rukun yang tidak dapat dilakukan maka bolehlah dilakukan dengan isyarat.


Di Masjid al-Haram, biasa terlihat orang yang duduk atas kerusi untuk duduk dan duduk antara dua sujud. Ini mungkin pada pendapatnya bagi memudahkan dia bangkit untuk berdiri dengan mudah dan tidak mengganggu ahli jemaah di sebelahnya, sebab berdiri adalah rukun dan ia mampu berdiri. Mengganggu ahli jemaah lain yang sedang sembahyang adalah haram.


Sembahyang duduk dibenarkan hanya dengan syarat-syarat seperti yang digariskan pada awal tulisan tadi.


Antara perkara-perkara yang sunat ketika berdiri:


· Merenggangkan kedua-dua kaki kira-kira sejengkal,


· Memandang ke tempat sujud,


· Meletakkan kedua-dua tangan ke dada.

http://mustikaku.blogspot.com/p/sunat-sunat-dalam-sembahyang.html

Comments

Popular posts from this blog