Zaffan Khalid

Kehidupan Adalah Satu Perjalanan, Perjalanan Seorang Hamba

Subscribe to Zaffan Khalid

Wanita: Muslimah, Hijab Itu Sebahagian Dirimu

Suatu hari yang tenang sebelum ke Turki. Matahari menyinarkan cahayanya. Membuatkan siapa sahaja yang berjalan-jalan menghirup udara segar gembira dan bahagia. Hari itu saya berjalan kaki menuju ke perhentian bus. Daripada jauh saya lihat pelajar Malaysia. Saya pasti. Sememangnya pelajar Malaysia.
Untuk sampai ke perhentian bas, saya akan bertembung dengan mereka. Tidak dapat tidak. Ini peluang untuk bertegur sapa selepas masing-masing sibuk dengan urusan periksa. Cumanya, dari kejauhan saya seolah-olah tidak percaya dengan mata yang memandang. Siti dan cara pemakaiannya. Pertama kali saya melihatnya berpakaian begitu. Pertama kali melihatkan pelajar malaysia Islam berpakaian begitu. Ada perasaan teragak-agak. Mahu bertegur sapa atau tidak. Yang pasti, kami kenal antara satu sama lain.
Automatik saya membuat keputusan, melambaikan tangan pada Aminah yang bertudung litup disebelahnya. Mereka baru sedar kewujudan saya yang berjarak kurang 10 meter.
“Ya, saya tidak bersetuju dengan cara pemakaiannya yang tidak menutup aurat. Apatah lagi boleh dikatakan agak drastik perubahannya berbanding dirinya yang pernah saya kenali suatu ketika dahulu. Namun ini tidak menghalang untuk saya bertegur sapa dan memberi salam”, hal ini terdetik dalam hati.
“Aku hanya membenci perbuatannya sahaja. Aku bukan membenci orangnya. Hate the sin, not the sinner“, ayat-ayat yang pernah menghiasi baju Musolla Committee KYUEM mengukuhkan tindakan yang diambil.
Malu Dengan Manusia Atau Tuhan?
Usai melambai, Siti hilang dari pandangan.
“Eh, kemana pula perginya? Tiada lencongan yang boleh di ambil. Mahu tidak mahu, kita akan bertembung”, detik hati saya dan meneruskan perjalanan.
Aminah masih kelihatan. Kelihatan dia sedang bercakap-cakap dengan seseorang. Siti menyorokkan diri rupanya. Menyorokkan diri disebalik pokok-pokok ditepi jalan.
“Alhamdulillah, masih wujud perasaan malu dalam dirimu Siti. Biarpun malu dengan diriku ini yang amat hina. Diri ini yang bukan siapa-siapa. Hanyalah seorang insan yang kamu kenal sahaja. Biarlah malu yang berbekas dihatimu itu mendorongmu untuk kembali kepadaNya. Malu pada Allah yang sentiasa memandang kita”, saya tersenyum melihatkan apa yang terjadi lalu mendoakan. Doa buat Siti.
Saya teruskan perjalanan sehingga sampai di tempat Siti hilang dari pandangan. Saya buat seperti biasa. Bertanya khabar dan bertukar cerita. Sedikitpun tidak saya bicara tentang pemakaiannya. Lebih-lebih lagi apabila Aminah di sisinya. Saya kawal mata. Selain haram melihat aurat seorang wanita, saya tidak mahu dia terasa. Kerana dirinya sudahpun terasa sendiri. Saya yakin dia tahu. Dia pernah belajar dan punya ilmu. Jika tidak masakan dia berasa malu dan menyorokkan diri pada mulanya. Cukuplah, tidak perlu saya tambahkan lagi. Biar kesedaran timbul dalam diri. Saya hanya bantu mendoakan.
Selepas beberapa minit bertukar cerita, saya memohon izin untuk pergi. Bimbang terlepas bas pula. Kami berjalan arah bertentangan. Saya toleh kembali. Terasa kasihan dalam hati. Saya sedar, persoalan menutup aurat bukan isu pokoknya. Ada isu utama yang lebih berat dari itu. Semoga dirimu dikurniakan hidayah dan taufiq sahabat. Lebih-lebih lagi selepas memasuki alam pekerjaan yang mencabar nanti.
`Haram` Berhijab
I am so sorry. You can not enter the university wearing the scarf“, penjaga pintu Istanbul University menerangkan kepada kami penuh serba salah. Bimbang dikatakan menghina.
Really? We have to take off if we would like to enter?“, Diana hampir tidak percaya.
“Ini strategi agar wanita Islam mundur dan tidak berpelajaran. Jika mahu ke universiti, jangan bertudung. Memang kejam’, Diana memberikan pendapat.
Yes. I am so sorry“, dalam keberatan pakcik guard menjawab.
It is ok. It is not your fault“, saya ucapkan dan kami berlalu pergi.
Benar, bukan salah pakcik itu. Dia hanyalah terpaksa mengikut arahan orang atasan yang gila. Orang gila yang berkuasa. Saat itu saya tidak punya perasaan apa-apa. Sehinggalah bertemu Sumerya.
Hijab In Turkey


Hijab Is Part Of Me
Usai solat maghrib secara berjemaah di Masjid Biru, saya mencapai Quran lalu membaca beberapa ayat. Duduk tidak jauh dari saya adalah seorang wanita muda. Memerhatikan.
Selepas membaca, saya baringkan badan sementara menunggu Diana datang. Di tangan memegang buku yang memuatkan tulisan Badiuzzaman Said An-Nursi, Ar-Risalah. Menarik cara penulisannya. Saya hanya sempat membaca beberapa muka surat.
Tidak lama selepas itu, wanita muda tadi yang asyik memerhati bersama rakannya menghampiri saya. Saya bingkas bangun dan terpinga-pinga juga.
Nice“, mereka menyatakan sambil memegang-megang telekung yang dipakai.
“Cantik sangatkah? Sudahlah telekung ini sedikit berkedut. Aduh”, terdetik dalam hati.
Where did you get this“, kemesraan terpancar dari wajah pemudi Turki itu.
From my country Malaysia“, saya menjawab.
Bermulalah perkenalan saya dengan Inci dan Sumerya. Mereka masih belajar. Istanbul Universiti!
“How do you enter the university? You are wearing hijab“, spontan saya tanyakan pada Sumerya yang bertudung litup lengkap serta berjubah hitam persis wanita Arab.
I have to take off in university“, jawab Sumerya.
How do you feel about that?” saya cuba memahami. Hampir tidak percaya wanita yang sempurna menutup auratnya terpaksa melihatkan kecantikannya demi menuntut ilmu.
Matanya berkaca. Sumerya menangis.
Of course, I feel sad. Hijab is part of me“, Sumerya menjawab sambil mengesat air mata yang mengalir di pipi.
Inci yang tidak berhijab hanya memandang disebelah. Dia memahami benar perasaan Sumerya saya kira.
“InsyaAllah, Allah will protect you and hopefully the situation will get better.” Terasa tidak mampu untuk menolong apa-apa. Sungguh terasa tidak berdaya. Ah..ini kerja para penguasa. Para pemerintah! Kurniakan kami para pemimpin yang soleh.

Kami berpisah selepas bergambar bersama-sama. Sungguh peramah dan baik hati sekali.
Memilih Atau Terpaksa
Hijab itu wajib hukumnya. Perintah Allah swt. Jelas dan tidak perlu dibahas. Ironinya dua kisah di atas. Membuatkan saya terfikir.
Siti yang dibesarkan di Malaysia. Suasana pendidikan agama sebagai PELENGKAP kepada kurikulum. Kemudiannya menyambung pelajaran di UK yang berpegang pada prinsip no rasicm kononnya. Tiada halangan untuk memakai hijab ketika di univerisiti memilih untuk tidak menutup aurat.
Sumerya pula gadis yang membesar dalam suasana sekular hasil pemerintahan Mustafa Kamal. Namun, dalam suasana sedahsyat itu, beliau mampu menutup aurat dengan sempurna. Tetapi kasihan, terpaksa membuka aurat untuk ke universiti.

Hijab Untuk Pahala, Bercantik Untuk Pahala

Berhijab itu dapat pahala. Sudah pasti apabila itu perkara yang disuruh Allah. Bahkan mendatangkan ketenteraman awam.
Dalam masa yang sama, berhias juga mendapat pahala. Bagaimana berhias membolehkan wanita meraih pahala? Selalunya, wanita berhias untuk kepuasan diri sendiri.
Ziarah saya ke rumah seorang kakak bercahaya mata empat orang membuka mata. Sepanjang ziarah, tidak pernah sekalipun saya melihat kakak ini membuka tudungnya. Begitu juga anak-anak perempuannya walaupun baru berusia kurang 12 tahun. Sedangkan tiada lelaki ajnabi dirumah tersebut. Selain seorang anak teruna  berusia 3 tahun, semuanya wanita muslim.
Namun, ziarah dan bermalam dirumahnya, tidak sekalipun saya melihat rambutnya. Sedangkan rambut itu bukan aurat sesama wanita Islam. Namun, hal ini membuatkan saya berfikir kembali. Apakah perlu dia memperlihatkan rambutnya. Tiada keperluan.
Andai berhijab itu mendapat pahala, maka kecantikan yang Allah kurniakan itu pasti tidak sia-sia. Kecantikan itu andai dipertontonkan pada yang sepatutnya dan dipelihara, akan mendatangkan ganjaran yang besar disisi Allah. Keperluan berhias dan bercantik-cantik adalah buat pasangan. Selain daripada bersama pasangan, suasana lain menuntut kepada penampilan yang kemas dan bersih. Namun tidak perlu berlebih-lebihan dalam berhias dan bercantik-cantik.



Muslimah, Hijab Itu Sebahagian Dirimu

Dahulu, saya mencari-cari identiti dalam berpakaian. Namun tidak dinafikan, setiap kali melihatkan wanita berpakaian muslimah, hati cair dan tenang sekali. Sejuk mata memandang dan mendamaikan.
Seperti kata Sumerya, “Hijab is part of me’. Benar sekali, hijab itulah yang mengangkat darjat kaum wanita untuk dihormati dan tidak dipandang sembarangan oleh mereka yang buruk hatinya.
Usah ragu lagi, hijab itulah pakaian wanita muslimah. Hijab itu identiti muslimah. Hijab yang sebenar. Doakan agar kita semua istiqamah.
Why Hijab?
  1. udon Said, “Bahkan mendatangkan ketenteraman awam.”
    ingin SANGAT bersetuju dengan yang ini sahaja, boleh?
    yang lain2 itu, haruslah kena bersetuju. cuma yang tadi, nak lebih sikit. ngeh.
    siti dan aminah, bukan nama sebenar. ye dak? kena disclaimer, nanti menimbulkan curiga (or at least to me… sedang membaca duk cuba mengungkai identiti cik siti dan cik aminah. not the best thing to do, but it happened. so… yeah., you get the point)
  2. admin Said, well..udon yang membaca setiap bait perkataan…
    haruslah setiap bait perkataan itu membawa makna dan punya tujuan
    “sedikit saranan….tontonlah filem berkualiti indonesia..laskar pelangi..ketika cinta bertasbih..pasti terpesona dengan setiap bait dialog yang cukup bermakna andai dikurangi sedikit maka tidak lengkaplah cerita”
    yes..siti dan aminah bukan nama sebenar..tp wataknya hidup
  3. Lailatulema Said, Assalamualaikum sahabat yg jauh di mata namun dekat di corong2 ym dan telefon,pastinya dekat di hati,hehe
    menitis air mata,kepingin bertemu sumarya, berkongsi semangat izzah pada agama tercinta.
    suatu masa nanti insyaAllah akan berpijak juga pada bumi turki.ameen :)
    moga setiap dari kita thabat dan istiqamah pada jalanNya, bukan hanya manfaat pada diri,namun seluruhnya.
    takut dengan masa depan, selalu2 ingatkan sahabat mu ini ye!



http://zaffankhalid.iluvislam.com/?p=231

Comments

Popular posts from this blog