Facebook: Antara Pro dan Kontra
“Ustaz, do you have any networking account?” tanya Saeb kepada saya.
“You mean, like Friendster and Myspace?” saya meminta kepastian.
“Yes. But in the States we don’t use Friendster. We’re more into Facebook,” jelas Saeb kepada saya.
Beliau adalah anak kepada pensyarah saya, seorang warga Amerika Syarikat.
“Oh yeah. I have registered an account but completely forgot about it because there’s no one there,” saya memberitahu.
“Great. Probably Malaysians are still hanging around Friendster.
But anyway you’ll find us there. I’m trying to bring Dad into Facebook,
too!” gurau beliau.
PENYERTAAN AWAL KE FACEBOOK
Saya mendaftarkan akaun Facebook pada awal 2007 tetapi hanya
mengaktifkan penggunaannya semula kira-kira enam bulan selepas itu bagi
menguruskan jaringan sosial antara kami, AJK IYEP dengan peserta yang
datang dari seluruh dunia.
Ketika itu, amat kecil bilangan pengguna Malaysia yang berada di
dalam jaringan Facebook. Namun, saya berasa selesa menggunakannya
berbanding dengan Friendster kerana suasana di dalam Facebook lebih
teratur, kemas dan ‘tidak kebudak-budakan’. Di kala itu, memang sudah
menjadi buah mulut orang menganggap pembabitan anak muda di dalam
Friendster di negara kita amat mengundang mudarat. Perkongsian
gambar-gambar tidak senonoh hingga membabitkan beberapa artis ketika
itu, menyebabkan saya langsung tidak terfikir untuk mempertimbangkan
soal menyertai Friendster, biar pun untuk tujuan dakwah khususnya pada
mendekati golongan remaja.
Berbeza dengan Facebook, rakan-rakan yang lebih ‘sekepala’ dan
‘seusia’ bertambah dari semasa ke semasa melalui Facebook dan ia sangat
berkesan dalam usaha ‘menjejak kasih’ teman-teman lama dari seluruh
dunia.
Keadaan ini sedikit demi sedikit berubah apabila semakin ramai pengguna internet Malaysia menyertai Facebook.
Saya tidak pasti apakah yang patut ditunding kesalahan. Apakah kerana
kelompok yang membanjiri Facebook kebelakangan ini adalah remaja
bermentaliti kebudak-budakan, atau mereka bekas pengguna Friendster,
atau mereka mewakili suatu ngomelan tentang budaya kurang sihat di
Malaysia yang disebut sebagai ‘First Class Facility with the Third Class Mentality’.
Facebook mula comot dengan pelbagai aplikasi seperti kuiz, permainan
dan pelbagai fungsi yang menghilangkan hemah Facebook selama ini.
Keadaan menjadi lebih merunsingkan apabila kita memiliki 5000 orang
‘rakan’ di dalam senarai jaringan kita. Apabila beberapa ratus daripada
5000 itu menyebarkan sampah sarap, ia sudah cukup untuk merosakkan
fungsi asal Facebook yang menjadi asas tujuan kita memilih jaringan
sosial ini.
BOLEH MENJADI HARAM
Keasyikan pengguna-pengguna Facebook melayan kuiz dan permainan, di
samping sembang bual yang pada masa ini jumlah warga jaringan Malaysia
mencecah lebih 800,000 orang, boleh menghasilkan suatu ketagihan seperti
apa yang pernah menimpa pengguna perkhidmatan chatting MiRC suatu
ketika dahulu. Tambahan lagi, dengan kemudahan akses Facebook melalui
telefon bimbit, tahap ketagihan itu bisa jadi melampau dan merosakkan.
Dalam keadaan seperti ini, keharusan menggunakan Facebook boleh
bertukar menjadi HARAM ke atas individu yang menyalahgunakan Facebook
hingga berlaku kelalaian di tahap yang ekstrim.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
“Telah
nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka,
khusyu’ mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang
melalaikan, mereka menghindarkannya” [al-Mu'minun 23: 1-3]
Apa yang menjadi larangan bukanlah
Facebook sebagai medium. Tetapi larangan itu terkena ke atas individu
yang gagal mengawal dirinya hingga sesuatu yang asalnya begitu
bermanfaat berubah menjadi mudarat akibat lemah daya mengawal dan
membuat pilihan.
Dalam masa yang sama juga beberapa konsep
akhlaq perlu diberikan penjelasan dalam konteks etika melayari internet
serta menggunakan aplikasi yang kedapatan, termasuk email dan Facebook.
EMAIL
Saya tidak menyiarkan alamat email di tempat terbuka.
Antara tujuannya ialah untuk melindungi
akaun email saya daripada kebanjiran email spam. Justeru untuk kemudahan
perhubungan, saya sediakan borang email dan semua mesej yang dihantar
di situ akan masuk terus ke akaun Gmail saya.
Akan tetapi, apabila mesej yang dikirim,
saya balas dengan memberikan jawapan yang diminta, penerima email itu
telah memasukkan email saya ke senarai email yang bakal menerima
artikel-artikel yang beliau hantar dalam jumlah yang sangat mengganggu.
Entah mengapa, ada sesetengah kita memiliki tabiat mengajukan
rantaian-rantaian artikel melalui email dalam bentuk yang tidak
terkawal. Tentu sahaja mengambil satu artikel lalu dikongsikan bersama
rakan-rakan lain agar tersebar manfaat, adalah suatu perbuatan yang
terpuji. Tetapi tatkala menerima satu email, dan kemudian terus menekan
butang REPLY atau REPLY TO ALL dengan email yang sudah lima lapis
diperlakukan sedemikian rupa, ia menampakkan bahawa email itu dihantar
lebih kepada tabiat suka mengajukan email (Email Forwarding) berbanding menghantarnya dalam keadaan sedar akan apakah tujuan ia dilakukan.
Ada yang menyebarkan secara BULK hingga 20 email sehari.
Bagaimanakah anda menguruskan akaun email apabila seorang yang tidak anda kenali, menghantar 20 forwarded email sehari (sebahagiannya adalah artikel anda sendiri yang diajukan kembali kepada anda)?
Kaedah mudahnya ialah tandakan sahaja email itu dan penghantarnya sebagai SPAM.
Tetapi atas dasar menghargai sesama Mukmin
yang berutusan email dengan maksud kebaikan, saya menghantar email
peribadi kepada si pelaku ini memohon jasa baiknya agar email saya
dikeluarkan daripada senarai penerima forwarded article beliau.
Permintaan saya itu telah menyebabkan
beliau melenting. Saya ditegur kerana ‘tidak menghargai kebaikan’,
‘sudah terlalu baik hingga tidak perlu ditegur oleh artikel-artikel yang
baik’ dan macam-macam lagi. Saya cuba untuk terangkan kepada beliau
bahawa sebahagian daripada artikel yang beliau hantar kepada saya adalah
artikel tulisan saya sendiri. Ini menunjukkan beliau tidak meneliti apa
yang dihantar dan kepada siapa ia dihantar. Semuanya dilakukan sebagai
tabiat bahawa selepas email dibaca, terus ditekan butang Forward untuk membina rantaian email yang menyemakkan.
Dek tindak balas beliau yang agresif, saya mengambil langkah drastik membuat tapisan (filter) bahawa semua email daripadanya, terus dipadam dan dimasukkan ke tong sampah (bin).
Sehingga kini ada lebih 20 filter yang berada di dalam email saya untuk menangkis kelakuan sebegini.
TAGGING DI DALAM FACEBOOK
Fungsi tagging di dalam Facebook mempunyai manfaat yang banyak.
Disebabkan oleh adanya fungsi ini, saya
sudah kurang menggunakan kamera sendiri untuk mengambil foto program
yang saya hadiri atau kendali. Lazimnya jurukamera atau peserta yang
bergambar akan memuatnaikkan fotonya dan tatkala saya ditanda dengan tagging, maka foto itu secara otomatik masuk ke koleksi foto saya.
Namun, terdapat sejumlah pengguna Facebook yang menggunakan fungsi tagging ini
sebahagian daripada apa yang dilakukannya di dalam kuiz dan permainan.
Mungkin hal ini lebih menjadi masalah apabila ia berlaku kepada pengguna
Facebook yang memiliki 5000 orang ‘rakan’ di dalam senarai jaringannya.
Kemunculan aplikasi seperti PICKUPFRIENDS telah mengundang lambakan ratusan tagging berserta mesej balasan yang mengganggu ketenteraman penerimanya.
Tabiat-tabiat seperti ini tidak seharusnya
berlaku. Ia menggambarkan betapa kita tidak menghargai ruang
persahabatan yang wujud lantas mengisinya dengan benda-benda yang
disangka lucu tetapi hakikatnya menyakiti orang lain. Cukuplah pesanan
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
“Daripada Abdullah bin ‘Umar
radhiyallaahu ‘anhuma beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa
sallam telah bersabda, “Seorang Muslim itu ialah seorang yang kaum
Muslimin lain terselamat daripada (kejahatan) lisan dan tangannya.
Seorang muhajir pula ada orang yang berhijrah meninggalkan apa yang
dilarang oleh Allah kepadanya” [muttafaq 'alayh]
FACEBOOK DAN YAHUDI
Dalam sentimen kemarahan kita terhadap apa
yang menimpa umat Islam di bumi Palestin, kemahuan untuk melakukan
sesuatu yang berbalut emosi sering membuatkan kita keterlaluan dalam
tindakan.
Suatu ketika, kempen boikot berlangsung
secara aktif. Senarai panjang barangan dan perkhidmatan disebarkan
untuk diboikot. Masyarakat terbahagi kepada beberapa kelompok dalam hal
ini. Ada yang menolak sepenuhnya tindakan boikot, ada yang bertindak
memboikot sepenuhnya apa sahaja yang berkaitan dengan Yahudi dan Amerika
Syarikat, dan di celah kedua-dua aliran itu, ada yang bertindak
memboikot secara selektif.
Tindakan memboikot secara selektif ini
didorong oleh kesedaran bahawa mengharamkan secara mutlak urusniaga yang
membabitkan Yahudi atau Nasrani semata-mata kerana dia itu Yahudi atau
Nasrani, adalah suatu tindakan yang tidak menepati kehendak Syara’.
Di dalam Majalah al-Islam keluaran
September 2009, terdapat sebuah artikel yang tajuknya amat serius
berbunyi, “ZUCKERBERG GUNA FACEBOOK UNTUK BUNUH PENDUDUK PALESTIN”.
Apa yang tidak wajar berlaku ialah,
makalah tersebut hanya mendedahkan aktiviti biasa pengasas Facebook,
Mark Zuckerberg, sebagai seorang Yahudi yang ‘multazim’ (mempraktikkan
agama Yahudi dalam kehidupan seharian). Tetapi justifikasi terhadap
kebenaran dakwaan bahawa Zuckerberg menggunakan Facebook untuk membunuh
penduduk Palestin, hanya ditulis dalam sebuah perenggan ringkas
berbunyi:
“… Pun begitu sebelum pengharaman oleh dua buah negara tersebut dibuat, wujud desas-desus yang mengaitkan penglibatan laman web tersebut dalam membiayai peperangan di Gaza”
Itu sahaja kenyataan yang wujud di
sepanjang artikel berkenaan dalam mengaitkan Facebook dengan jenayah
perang di Palestin. Ada pun isi kandungan lain, kesemuanya menceritakan
tentang betapa Yahudinya seorang anak muda bernama Mark Zuckerberg,
sesuatu yang tidak pernah diputuskan oleh Islam sebagai sebab untuk
produk atau perkhidmatannya diharamkan.
ASAL KEHARUSAN MUAMALAH BERSAMA YAHUDI
Terdapat begitu banyak keterangan daripada
Sunnah bahawa berurusniaga dengan kaum Musyrikin dan Yahudi itu adalah
harus. Misalnya di dalam sepotong hadith:
“Sesungguhnya Nabi sallallaahu
‘alayhi wa sallam membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan
pembayaran secara bertangguh dan mencagarkan baju besi baginda
sallallaahu ‘alayhi wa sallam.” [Hadith riwayat al-Bukhari nombor 2326, 2/841]
Al-Imam al-Bukhari juga memberikan tajuk
kepada salah satu bab di dalam Sahih beliau, yang mendatangkan hadith di
atas sebagai, “BAB BERJUAL BELI DENGAN KAUM MUSYRIK DAN YAHUDI”.
Dalam mengulas hal ini, al-Imam al-Nawawi membuat kesimpulannya di dalam syarahan beliau kepada Sahih Muslim dengan berkata:
“Telah ijma’ seluruh umat Islam pada keharusan urusan dengan Ahli Zimmah dan lain-lain orang Kafir selagi mana urus niaga itu tidak jatuh di dalam perkara yang haram. Akan tetapi umat Islam tidak boleh ( haram) menjual senjata kepada musuh Islam yang sedang memerangi Islam, dan tidak boleh juga membantu mereka dalam menegakkan agama mereka” [Sharah Sahih Muslim oleh al-Nawawi, 11/40]
Keharusan ini hanya berubah dengan adanya
dalil lain yang mengubah keharusan itu, atau berlakunya sesuatu yang
mengubah konteks hadith ini. Di dalam kes Facebook, adalah sangat
penting untuk didatangkan bukti bahawa Mack Zuckerberg membiayai regim
Zionis di Palestin, dan artikel di Majalah al-Islam September 2009 itu
gagal mendatangkannya.
Di hujung artikel tersebut, satu lagi dakwaan dibuat pada menyatakan bahawa, “dengan klik sahaja pada Facebook kita juga turut sama menjadi pembunuh orang Palestin di Gaza"
Namun sama juga seperti sebelumnya, tiada
sebarang bukti diketengahkan pada menunjukkan bagaimanakah penjanaan
keuntungan Facebook disalurkan kepada regim Zionis yang menjajah bumi
Palestin”.
Kita tidak mahu wujudnya satu budaya
paranoid umat Islam yang melatah dengan mudah tatkala didatangi oleh
kenyataan-kenyataan seperti ini. Orang Islam sangat cepat dimanipulasi
sebagai agen merosakkan produk dan perkhidmatan melalui penyebaran email
yang mendakwa ada benda tidak halal, ada campuran beracun dan lain-lain
yang mana sebahagaiannya adalah palsu. Ia hanya membuktikan bahawa
orang Islam banyak kerisauan tetapi tidak banyak berusaha untuk
menyelidik bagi menghilangkan kerisauan tersebut.
Islam tidak pernah mengharamkan Muslim membeli atau menggunakan
apa-apa produk dan perkhidmatan daripada non Muslim termasuk Yahudi.
Mengharamkan pembelian atau penggunaan sesuatu produk atau perkhidmatan
hanya dengan alasan ia milik Yahudi, boleh mengheret kita terjebak
kepada perbuatan MENGHARAMKAN APA YANG HALAL, yang mana perbuatan itu
sama buruknya dengan MENGHALALKAN APA YANG HARAM.
Malah perbuatan anti Yahudi secara semberono begitu adalah bersifat perkauman yang dibenci oleh Islam.
Facebook terbuka sebagai satu ruang untuk dimanfaatkan sebagai medium
perhubungan dan penyebaran maklumat. Ia boleh berfungsi sebagai alat
dakwah serta penyebaran maklumat, sebagaimana ia juga boleh berfungsi
sebagai alat pemasaran. Seandainya di Facebook ada kempen yang
memburuk-burukkan Islam, maka gunakanlah ruang yang ada untuk kempen
memburuk-burukkan Islam itu ditukar kepada suatu bentuk promosi yang
menimbulkan rasa ingin tahu manusia kepada Islam, seperti yang banyak
berlaku pasca 11 September 2001.
Namun, jika umat Islam menghabiskan masa di Facebook dengan aplikasi
yang melalaikan tanpa sebarang tujuan, penggunaan Facebook boleh menjadi
haram ke atas golongan seperti ini, sama seperti pembabitannya dalam
aktiviti kosong yang lain.
PANDUAN MENGATASI KETAGIHAN
Sedikit nasihat buat mereka yang mengalami ketagihan Facebook, buangkan segala aplikasi third party
seperti kuiz, permainan dan yang seumpama dengannya. Gunakan Facebook
sebagai alat komunikasi bersama rakan-rakan, isikan ia dengan
perbincangan, perbualan yang merapatkan ukhuwwah dan menambah
pengetahuan secara berhemah.
Andaikata langkah mudah ini pun gagal mengurangkan tahap ketagihan
berkenaan, tamatkan akaun Facebook dan carilah kehidupan yang lebih
bermakna di luar sana.
Tepuk dada, tanyalah Iman!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com68000 AMPANG
Saifulislam.Com kini dihoskan di dedicated server. Perkongsian anda untuk kelangsungan operasinya amat dihargai
© SAIFULISLAM.COM (1997– 2012)
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra, Kajang
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu.
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra, Kajang
http://saifulislam.com/
Comments
Post a Comment