Lupa Tuhan Lantas Lupa Diri
“Beli 1 dapat 10!!!” sehelai kain bidang dibentang seluas-luasnya.
Bukan hanya kain bidang, malah semua orang memperkatakannya. “Talk of the town” kata orang putih.
Sebuah pasar raya membuat tawaran yang amat hebat. Bertaraf mega,
bahawa apa sahaja barang yang dibeli di pasar raya itu, belian 1 akan
diberi 10.
Bukan sahaja beli 1 dapat 10, malah jalan raya ke pasar raya itu telah diturap elok. Semua simpang lain telah dikenakan road block.
Lebih dari itu, kedai-kedai lain juga ditutup. Semuanya demi memudahkan
kita pergi mendapatkan tawaran mega itu iaitu beli 1 dapat 10.
Dengan pelbagai cabutan bertuah yang ada, anda mungkin dapat lebih dari 10. Ada hari istimewa di hujung-hujung mega sale
itu, anda boleh dapat 1000! Ya, melampau sungguh tawaran itu. Hanya
pasar raya yang maha untung dan kaya sahaja mampu menawarkan pakej
sehebat ini.
Tiba-tiba, anda buat tidak peduli sahaja. Melangut duduk di rumah dan
hanya memekakkan telinga dan membutakan mata daripada mendengar dan
melihat keghairahan orang lain berjalan, berlari, berkereta dan mungkin
ada yang sampai merangkak untuk ke pasar raya berkenaan. Macam tak ada
apa-apa yang berlaku.
Maknanya, anda memang tak teringin langsung dengan apa yang ditawarkan. Tak ada hati langsung… tak ada kena mengena langsung!
RAMADHAN
Rasulullah saw bersabda, ”Barangsiapa
membaca satu huruf dari Kitabullah, maka ia memperoleh satu kebaikan,
dan satu kebaikan berlipat sepuluh kali. Aku tidak katakana alif lam mim
itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim
satu huruf.” (HR. Tirmidzi)
Bukan sahaja begitu, malah Lailatul Qadar juga harus dilihat sebagai kemuncaknya.
“Lailatul Qadr itu lebih baik dari seribu bulan” [Al-Qadr 97.3]
Sudahlah Allah berjanji begitu, dipermudahkan pula segala jalan untuk merebutnya.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila tiba Ramadhan, maka pintu rahmat akan dibuka, pintu neraka Jahannam akan ditutup, dan syaitan akan ditambat”
TIBA-TIBA
Tiba-tiba kita buat tidak tahu sahaja. Macam tiada
apa-apa yang berlaku. Tidak teringin nak menambah amal. Tidak tergerak
untuk meninggalkan kejahatan. Dosa, pahala, Syurga, Neraka, memang tak
menarik langsung untuk diberi perhatian.
Maknanya memang seseorang yang tidak
mempedulikan Ramadhan, tak ingin langsung dengan apa-apa yang ada di
sisi Tuhan. Tak peduli dan langsung tidak mahu mengambil tahu. Sungguh
orang seperti ini tiada kena mengena dengan Allah SWT!
Pinggan tak retak, nasi tak dingin,
Allah tak hendak, dia pun tak ingin!
Allah tak hendak, dia pun tak ingin!
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasiq (derhaka). Tidaklah sama ahli Neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan [Al-Hashr 59 : 19-20]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
68000 AMPANG
http://saifulislam.com
Comments
Post a Comment