KISAH UNTUK DIJADIKAN SEMPADAN
Perangkap janji palsu - janganlah percaya pujukan suami orang
SAYA tak nafikan ramai wanita kecundang kerana
taktik lelaki penggoda, namun saya
tak salahkan lelaki semata-mata kerana kesalahan juga terletak di bahu
wanita. Jadi kalau wanita merasa kecundang, masa depan gelap dan hancur,
jangan salahkan orang lain tetapi salahkan diri sendiri.
''Contohnya
- saya. Elok-elok hidup membujang, ada rumah, ada kereta (walaupun
kecil) dan tak ada masalah adik-beradik tetapi terperangkap setelah
termakan hasutan kawan-kawan konon mahu lihat saya kahwin. Pelbagai
dalil, nasihat diberi supaya saya tamatkan zaman andartu. Akhirnya diri
merana. Kalau setakat diri sendiri, amin! Tetapi saya menyusahkan
hidup anak-anak saya.'' Itu cerita None dalam e-melnya dan kami sambung
cerita di telefon.
''Saya tak salahkan lelaki 100 peratus,
kelemahan daripada diri saya sendiri kerana dengar cakap kawan, lekas
percaya janji lelaki yang mengaku berani bertanggungjawab dan cepat
simpati dengan cerita sedih suami orang yang kononnya hidup merana.
''Lelaki
yang berjaya menggoda saya suami orang ada empat anak, Mock. Ibu dan
ayah membantah. Kata mereka jangan pilih suami orang, pilih lelaki
bujang biar tak berpangkat asalkan tak berkongsi.
''Tapi kata
kawan, daripada kahwin dengan lelaki yang kita terpaksa tanggung makan
minumnya, lebih baik suami orang, dia akan bagi nafkah sebab berduit.
Fikir punya fikir, saya pilih suami orang. Lagipun dia memang pandai
'ayat', sedia bertanggungjawab dan ingin menghabiskan sisa-sisa
hidupnya bersama saya.
''Katanya, isterinya suka memerintah,
anak-anak pula cuma sayangkan duitnya, tak tahu hormat dan suka melawan
kerana isterinya terlalu manjakan dengan kemewahan.
''Oleh
kerana keluarga membantah, kami nikah di sempadan. Ibu menangis tapi
apa nak kata, saya dah suka. Kata ibu, bersedialah lambat laun rahsia
kami akan terbongkar, ketika itu tunggulah serangan bom daripada isteri
pertama.
''Untuk menjaga rahsia agar tak pecah, saya setuju bila
Mock minta izin tidak bermalam di rumah saya. Jika saya mengikutnya
kerja luar daerah atau bercuti, barulah kami dapat bersama untuk
beberapa hari. Mock hanya datang rumah saya siang hari.
''Entah
macam mana lepas lima tahun kahwin dan dapat anak dua, tembelang kami
pecah. Apa lagi, bukan sahaja bom, rumah saya diserang siang malam oleh
madu dan anak-anaknya. Lebih dahsyat, rumah saya dibaling dengan pasu
bunga dan disimbah cat. Saya mengadu pada Mock dan dia suruh bersabar.
''Memang
saya boleh sabar, tapi yang malu saya seorang. Sejak itu Mock jarang
datang ke rumah biarpun siang hari. Telefon Mock ditamatkan
perkhidmatan. Telefon pejabat pula ada 'pengawal' dengan pelbagai soalan
atas arahan madu saya.
''Walaupun balik sesekali, saya masih
dapat lahirkan anak ketiga. Maka timbul cerita baru, madu tuduh saya
mengandung anak haram kerana katanya Mock tak balik ke rumah saya.
Pendek kata cuma lima tahun saya bahagia, sebelum rahsia pecah. Selepas
itu hidup macam sekam padi yang sentiasa terbakar dan berasap.
''Bagaimanapun
saya bersyukur Mock daftarkan perkahwinan kami di negara ini, biarpun
nun jauh di Perlis dengan bantuan kawannya. Kalau tidak, saya tak tahu
apa nasib anak-anak saya, mungkin tak boleh bersekolah.
Nafkah
''Untuk
redakan perang, Mock tak balik rumah saya lagi malah nafkah pun tak
diberi sebab semuanya di bawah kawalan madu saya. Sayalah yang terpaksa
besarkan anak-anak sendiri. Waktu itu baru saya tahu tinggi rendahnya
langit.
''Walaupun cermin kereta saya tak lagi pecah dan kemek,
rumah tak dibaling pasu bunga setelah saya buat laporan polis tetapi
saya terpaksa melunaskan sendiri ansuran rumah baru dan kereta di
samping belanja anak-anak. Saya juga terpaksa bayar gaji pembantu
rumah.
''Ketika inilah saya teringat kembali janji Mock yang mahu
bertanggungjawab dan hidup bahagia bersama saya, ketika ingin
berkahwin dulu. Kini, dia langsung tak berani balik rumah menjengok
anak-anak, hinggakan dua anak saya berusia 8 dan 7 tahun beritahu
adiknya yang ayah mereka dah mati. Anak ketiga saya berusia hampir 4
tahun langsung tak kenal ayahnya.
''Ada kawan nasihatkan saya
tuntut cerai, sebab selagi bergelar isteri saya tidak akan dapat nafkah
anak, sebab gajinya dikawal isteri pertama. Mulanya saya malu tetapi
fikirkan masa depan anak-anak dan tanggungjawab semakin berat, saya
beranikan diri ke mahkamah syariah. Malangnya Mock tidak mahu ceraikan
saya.
''Sudah dua kali saya ke mahkamah tapi kedua-duanya gagal.
Tuntutan nafkah anak-anak juga tidak berjaya dijalankan atas sebab yang
sama.
''Saya dapat tahu isteri Mock mahu saya dipanggang dan
disalai sampai mati. Sebab dia mahu saya hidup susah kerana tak dapat
nafkah. Jadi dialah yang larang Mock ke mahkamah.
''Bagi saya
Mock yang bersalah. Sebagai suami, dia tidak boleh takut dengan
isterinya. Dia mesti bertanggungjawab kerana anak-anak saya adalah
zuriatnya.
''Saya pernah menghubungi pihak atasan Mock tapi
mereka kata tak boleh bertindak selagi tak dapat perintah mahkamah.
Kini hampir lima tahun Mock tak balik rumah, hidup saya makin tertekan.
''Bohonglah
kalau saya tak kesal dengan perkahwinan ini, sesekali memang saya
menyesal. Dulu ada rumah sendiri biarpun apartmen tapi saya tak ada
hutang. Kerana dengar nasihat Mock suruh jual dan beli rumah lebih
besar, sekarang saya tanggung bayar seorang diri.
''Ditakdirkan
saya mati, rumah ini bukan saja Mock ada hak, madu dan anak-anaknya
juga ada hak. Sebab rumah ini atas nama kami berdua. Saya bimbang
mereka halau anak-anak saya, mana mereka nak pergi? Nak harapkan Mock
bela, tak mungkin, sebab Mock takutkan isterinya.
''Saya memang
bodoh, tak ada hutang buat hutang. Semuanya gara-gara nak rumah dan
kereta besar. Akhirnya sendiri merana. Setahun dua lagi Mock akan
bersara, macam mana dia nak tolong saya?
Kesimpulannya,
janganlah percaya pujukan suami orang, buat menyusahkan diri sendiri
saja. Lainlah kalau anda berani berperang dengan isteri pertama,'' itu
cerita None yang terjerat dengan janji palsu.
http://gambargambarpelik.blogspot.com
Comments
Post a Comment