Setiap Peristiwa Berlaku Di Muka Bumi Mempunyai Kebaikan Di Sisi Allah SWT


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebagai insan biasa hidup kita tidak sunyi daripada kegembiraan dan kedukaan. Adakalanya kita berbahagia dan merasa seronok di atas kejayaan yang kita perolehi, tetapi tidak kurang juga merasai terharu kerana tidak tercapai hajat yang diimpikan. Kedua-dua perkara tadi adalah lumrah kehidupan.  

Fitrah manusia mahukan semuanya berlaku seperti yang dirancangkan dengan sempurna . Namun, sebagai syarat bagi ujian di dunia, banyak perkara yang berlaku tidak seperti yang dijangkakan. Sementara seseorang merasakan keadaan hidupnya sekarang ini cukup selesa dan berbahagia, tetapi di masa akan datang belum tentu berlaku seperti yang dirancangkan, mungkin berlaku sebaliknya dan tampak merugikan pada tanggapan awal.


Dalam keadaan itu, apa yang menimpa orang mukmin adalah untuk menyedarkanya bahawa setiap kajadian bagi setiap detik kehidupan seseorang, pasti ada hikmah di sebaliknya. Seseorang perlu ingat bahawa setiap yang dijangkakan berlaku, mungkin berubah menjadi tidak baik baginya.

Dalam Surah Al-Baqarah, Allah SWT mengaitkan setiap apa yang manusia sangka baik, mungkin buruk manakala apa yang disangka buruk, adalah baik untuknya seperti firmanNya yang bermaksud :

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah ayat 216)

Di antara rahasia ayat ini bahwa ayat ini menghendaki seorang hamba untuk menyerahkan urusan kepada Zat yang mengetahui akibat segala perkara serta reda dengan apa yang Dia pilihkan dan takdirkan untuknya, kerana dia mengharapkan daripada Allah SWT akibat-akibat yang baik.

Dalam ayat yang lain firman Allah SWT maksudnya : “Dan jika Allah menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah Menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurnia-Nya. Dia memberikan kebaikan kepada siapa sahaja yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya. Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Surah Yunus ayat 107)

Sahabat yang dimuliakan,
Seseorang yang berfikiran positif dan reda dengan takdir Allah SWT  akan menilai setiap saat dalam kehidupannya dengan panduan al-Quran, iman, kebijaksanaan dan panduan mata hati meyakini bahawa Allah SWT adalah sebagai 'Penolong' dan 'Teman' yang sebenarnya, mencipta sesuatu dengan kebaikan. Walaupun  nampak susahnya pada pandangan zahir . Dia juga tahu bahawa Allah SWT akan melindunginya dan dia tidak ragu-ragu meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Seseorang boleh melihat bagaimana takdir yang telah ditetapkan Allah SWT berlaku serta akibatnya hanya dalam waktu yang singkat. Takdir Allah SWT adalah suatu yang terbaik untuk kita.

Keyakinan seseorang yang baik dengan Allah SWT akan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada-Nya akan menilai/mempertimbangkan aspek tersirat disebalik sesuatu peristiwa. Dia tahu bahawa tiada sesuatu yang akan berlaku selain daripada apa yang telah ditakdirkan baginya oleh Allah SWT. Dia memandu dirinya dengan kesedaran bahawa segalanya berjalan di bawah kekuasaan Allah. Dalam surah Yunus ada menjelaskan bahawa Allah SWT mengetahui segala sesuatu.

Firman Allah SWT maksudnya :  "Dan tidakkah engkau (Muhammad) berada dalam suatu urusan, dan tidak membaca suatu ayat al-Quran serta tidak pula kamu melakukan suatu pekerjaan, melainkan Kami menjadi saksi atasmu ketika kamu melakukannya. Tidak lengah sedikit pun dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah, baik di bumi ataupun di langit. Tidak ada sesuatu yang lebih kecil dan yang lebih besar daripada itu, melainkan semua tercatat dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh)." (Surah Yunus ayat 61)

Bahawa bila seorang hamba menyerahkan urusan kepada Rabbnya serta reda dengan apa yang Allah SWT pilihkan untuk dirinya, Allah SWT pun akan mengirimkan bantuan-Nya kepadanya untuk melakukan apa yang Allah SWT pilihkan, berupa kekuatan dan tekad serta kesabaran.  Dia juga maklum bahawa dengan bersabar dan yakin kepada Allah dalam keadaan yang paling sukar sekalipun, dia akan tetap mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT dengan balasan syurga.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tidak seorangpun di rugikan walau sedikit, sekalipun hanya seberat biji sawi, pasti Kami mendatangkannya (pahala). Dan cukuplah Kami yang membuat perhitungan.” (Surah al-Anbiya ayat  47)

Namun, jika Allah menginginkan sesutu yang baik. Tiada siapa yang dapat menghalangnya. Untuk itu, seorang muslim tidak patut menyimpang daripada mempercayai Allah sepanjang hidupnya. Dia perlu menunjukkan keazaman dan kesabaran yang jitu. Bertindak dengan menyedari bahawa apa yang menimpanya hanyalah satu ujian daripada Allah untuk membuatkannya layak ke syurga. Sebagai balasan daripada ketabahan yang ditunjukkannya, dia mengjangkakan untuk kekal di dalam syurga selama-lamanya sebagai seorang yang mendapat cinta dan keredaan Allah SWT. Semua ini hanya diperolehi orang beriman yang tabah dalam kesabaran dan meletakkan kepercayaannya kepada Allah SWT sehingga akhir hayatnya.

Seseorang yang beriman mesti sentiasa ingat tiada sesuatu selain Allah boleh masuk campur dalam apa-apa perkara. Melupakan kebenaran ini membawa seseorang kepada kelalaian. Syaitan akan memperdaya manusia dengan menimbulkan rasa kecewa dan mudah untuk mempersoalkan qada dan qadar Allah SWT. Jika hati manusia sudah terpesong jauh dan menyalahkan takdir maka keadaan ini boleh jatuh syirik dan boleh menjejaskan akidah. Walaubagaimanapun, ini sesungguhnya adalah tipudaya syaitan yang mematahkan semangat seseorang dan menghalangnya daripada berfikir dengan waras.

Firman Allah SWT maksudnya : "Jika Allah Menolong kamu, maka tidak ada yang dapat mengalahkanmu, tetapi jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapa yang dapat menolongmu setelah itu? Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mukmin bertawakal.” (Surah Ali ‘Imran ayat 160)

Sahabat yang dikasihi,
Kita perlu merancang kehidupan kita sebaik-baiknya. Jika berjaya apa yang kita rancangkan maka sebenarnya berlaku disebabkan keizinan Allah SWT maka hendaklah kita banyak bersyukur. Tetapi jika sekirannya rancangan kita gagal dan apa yang kita hajatkan tidak berhasil, percayalah itu semua berlaku disebabkan Allah SWT ada perancangan yang lebih baik untuk kita sedangkan kita tidak mengetahuinya. Hikmah dan hikmatnya yang tersirat berada di dalam ilmu Allah SWT. maka kita perlu banyak bersabar dan berbaik sangka dengan Allah SWT. Jika perkara ini kita boleh terima dan reda insya Allah kita akan menjadi hamba Allah yang dirahmati dan dikasihi-Nya di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT maksudnya : “Katakanlah, 'Siapakah yang dapat melindungi kamu dari (ketentuan) Allah jika Dia "mengkehendaki bencana atasmu atau mengkehendaki rahmat untuk dirimu?” mereka itu tidak akan mendapatkan pelindung dan penolong selain Allah.” (Surah al-Ahzab ayat 17)

Comments

Popular posts from this blog