Diet masa haid (datang bulan) utk elak senggugut




Ada perempuan selalu mengadu sakit senggugut setiap kali datang haid. Adakah diet tertentu, atau jenis makanan tertentu, yang boleh diambil untuk mengurangkan masalah senggugut?
Ramai remaja mengalami senggugut, sakit akibat kekejangan di bahagian bawah abdomen, sebelum dan semasa haid atau datang bulan. Tiada diet khusus, atau jenis makanan tertentu yang dapat membantu mengurangkan kesakitan ini. Antara cara yang biasa digunakan untuk merawat kekejangan ini termasuk mandi air panas, mengambil ubat yang boleh dibeli daripada kaunter atau dengan preskripsi, dan bertuam menggunakan tungku atau botol air panas.


Semasa haid, remaja sepatutnya mengambil lebih zat besi, kerana mereka kehilangan banyak zat besi setiap hari semasa haid tiap bulan. Zat besi berfungsi membawa oksigen ke seluruh badan, dan tahap zat besi yang rendah (anemia) boleh menyebabkan keletihan, kelesuan, kekurangan tumpuan, kesingkatan tumpuan dan kemerosotan prestasi di sekolah. Justeru, gadis remaja perlu mengambil diet yang seimbang dan juga makanan yang kaya dengan zat besi.


Makanan sumber zat besi termasuk:


Sumber Haiwan


* Daging


* Ikan


* Ayam


* Itik


* Hati


* Kerang


* Ikan bilis


Sumber Tumbuhan


* Kacang pea dan kekacang


* Sayuran berdaun hijau (bayam)


* Buah delima


* Kismis


* Produk bijirin diperkayakan dengan zat besi (roti, bijirin sarapan)


Mereka disarankan mengambil sekurang-kurangnya satu jenis makanan mengandungi zat besi daripada sumber haiwan setiap hari kerana zat besi daripada haiwan biasanya lebih mudah diserap oleh badan kita berbanding dengan zat besi daripada sumber tumbuh-tumbuhan. Namun demikian, pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi sahaja adalah tidak mencukupi.


Untuk menjamin kesihatan dan kesejahteraan, remaja dinasihatkan supaya mengamalkan diet yang sederhana, seimbang, dan merangkumi pelbagai jenis makanan. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa amalan bersenam secara tetap dapat membantu mengurangkan sakit senggugut dan kekejangan. Sebaik-baiknya, jadikan senaman sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian, untuk membantu menghindarkan sakit semasa haid.


Sumber: Tip Gaya Hidup Sihat, Panduan Pemakanan Praktikal Untuk Keluarga, Bulan Pemakanan Malaysia, diterbitkan oleh Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Dietitian Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog