Masalah Bahan Lucah

 

Baru-baru ini kita sekali lagi melihat kesungguhan pihak berkuasa dalam membanteras pengedaran cakera padat video (VCD) lucah. Persoalannya, mampukah usaha ini menjadi titik penamat kepada masalah pornografi dalam masyarakat kita?

Usaha kerajaan untuk membanteras VCD lucah ini memang disokong dan dialu-alukan. Namun, kita perlu ingat bahawa walaupun kita berjaya menghapuskannya, tetapi bahan-bahan pornografi ini masih boleh diperoleh di Internet.

Memetik kata-kata seorang penulis, “Pornografi telah sedia ada dalam rumah kita menerusi lebuh raya maklumat, yang mana kebanyakannya adalah hard-core dan percuma.”

Bagaimana kita mengawal pornografi di Internet? Sudah pasti kita tidak boleh melakukannya. Oleh itu, saya berpendapat ada usaha lain yang perlu kita usahakan secara besar-besaran iaitu membenteng diri individu dalam masyarakat, khususnya umat Islam, agar tidak berminat terhadap perkara ini.

Rasa ingin tahu terhadap pornografi memang wajar. Namun, ia tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang mesti, apalagi menjadi sesuatu yang diketagihkan. Jika ibu bapa memainkan peranan penting untuk memberitahu anak-anak bahawa dadah itu adalah najis, saya kira ibu bapa juga perlu memainkan peranan untuk memberitahu kepada anak-anak bahawa pornografi itu haram dan dilarang agama.

Dalam Islam, usaha membenteng diri anak-anak daripada pengaruh seks ini bermula dari awal mengikut tahap perkembangan anak-anak itu sendiri. Ia bermula dengan didikan meminta izin untuk masuk ke bilik ibu bapa (An-Nur: 58-59).

Menurut adab ini, anak-anak kecil, perlu dibiasakan dengan amalan meminta izin untuk masuk ke bilik ibu bapanya pada tiga masa iaitu sebelum sembahyang Subuh, waktu tengah hari dan sesudah sembahyang Isyak. Ini kerana pada masa-masa tersebut suami isteri sedang duduk bersama dan mungkin dalam keadaan yang tidak sesuai dilihat oleh anak-anak, walaupun anak-anak kecil.

Bila anak-anak sudah baligh, menjadi kewajipan mereka untuk meminta izin sebelum masuk ke bilik ibu bapanya.

Selain adab meminta izin, anak-anak juga perlu dididik dengan adab melihat. Dalam buku Pendidikan Anak-anak Dalam Islam, adab ini merangkumi siapa yang boleh dilihat auratnya dan siapa yang tidak; adab melihat tunangan; adab melihat isteri; adab melihat perempuan asing; adab melihat kaum sejenis; adab wanita kafir melihat wanita Muslimah; adab melihat anak muda yang cantik; adab wanita melihat orang asing; adab melihat aurat anak kecil serta keadaan-keadaan darurat yang mengharuskan melihat. Melihat kepada perincian di atas, jelas bahawa Islam menekankan tentang hal ini dan oleh itu kita perlu mengambil serius tentangnya.
Selain adab meminta izin dan adab melihat, ibu bapa juga perlu mendidik anak mereka tentang keperluan mengawal pandangan, memelihara kehormatan dan menutup aurat kepada kedua-dua anak lelaki dan perempuan (An-Nur: 30-31). Untuk mengelakkan daripada pengaruh seks juga, Islam menuntut agar ibu bapa memisahkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan mereka bila telah sampai usia 10 tahun. Selain itu, perlu diawasi apa yang ditontonnya di televisyen dan apa yang dibacanya di majalah dan buku agar tidak mengandungi perkara-perkara yang boleh merangsang naluri seks mereka.

Dalam usaha menjauhkan anak-anak daripada pengaruh seks ini, mereka perlu disedarkan tentang akibat-akibat buruk daripada penglibatan mereka dengan bahan-bahan lucah, apalagi dengan seks itu sendiri.

Anak-anak perlu disedarkan bahawa dengan melihat bahan-bahan lucah itu naluri seks mereka boleh terangsang dan rasa ingin tahu mereka akan mendorong mereka untuk terlibat dengan aktiviti seksual pula. Oleh itu, mereka perlu mengelakkan diri daripada melihat bahan-bahan lucah dan mengghairahkan. Mereka juga perlu diingatkan tentang kesan negatif penglibatan mereka dalam aktiviti seksual yang tidak sihat yang mana boleh memudaratkan kesihatan, rohani, moral, masyarakat dan mengundang bahaya di dunia dan akhirat.

Kata orang, apa yang dilihat di mata akan turun ke hati. Jika apa yang dilihat itu baik, maka baiklah pula kesannya dan begitu juga sebaliknya. Bahan-bahan lucah boleh merangsang naluri seks kanak-kanak serta memberi mereka idea-idea yang tidak sepatutnya mereka fikirkan pada usia itu. Inilah yang ingin dielakkan oleh Islam dan itulah sebabnya Islam mengambil berat tentang apa yang dilihat oleh kanak-kanak.

Kita sering membaca kes-kes jenayah seksual yang dilakukan oleh kanak-kanak dan remaja. Setiap kali kes seumpama ini berlaku, kita akan bertanya bagaimana mereka yang semuda itu boleh melakukan perkara tersebut. Namun, Islam tidak pernah memandang rendah kepada kemampuan kanak-kanak untuk melakukan apa yang orang dewasa lakukan.

Adab meminta izin dan adab melihat itu adalah pendekatan proaktif Islam supaya anak-anak tidak melihat sesuatu yang boleh merangsang naluri seks mereka. Mungkin ada yang bertanya, apalah yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak? Namun, kes-kes jenayah seksual yang dilakukan oleh kanak-kanak dan remaja itu membuktikan bahawa pendekatan Islam ini dapat menyelamatkan keadaan.

http://www.eserikasih.com

Comments

Popular posts from this blog