Islam utama mutu khidmat awam
Lapan akhlak terpuji tingkat prestasi, kecekapan kakitangan kerajaan
ISLAM melihat perkhidmatan awam sebagai satu amanah besar yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin oleh kakitangannya. Adanya kecekapan akan mengurangkan kerenah birokrasi yang menjadi masalah dalam perkhidmatan awam pada hari ini.
Kecekapan boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu kecekapan membuat keputusan dan kecekapan membuat tindakan. Kecekapan membuat keputusan bermaksud, mesyuarat yang diadakan tidak perlu membincangkan sesuatu agenda dengan terlalu kerap dan melalui pelbagai peringkat.
Oleh itu, sesuatu agenda yang hendak dibincangkan perlu melihat peringkat manakah yang terpenting dalam membuat sesuatu keputusan, agenda itu terus diserahkan ke bahagian itu bagi menjimatkan masa.
Begitu juga kecekapan membuat sesuatu kerja dan ini akan terhasil jika kakitangan yang dilantik adalah mereka yang layak dan memiliki kebolehan melakukan kerja berkenaan.
Kecekapan kerja ditegaskan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT itu suka jika seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan cekap.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Di samping mementingkan kecekapan, kakitangan dalam perkhidmatan awam juga dituntut memiliki lapan akhlak terpuji iaitu:
Amanah dalam perkhidmatan awam ialah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan tekun serta mengikut peraturan yang ditetapkan. Perenggan 4, Perintah Am, Bab D (1980), Dasar Bersih, Cekap dan Amanah (1982) mewajibkan pentadbiran awam menghayati nilai itu.
Pentingnya sifat amanah dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” – (Surah al-Anfal, ayat 27)
Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman, taatlah kamu kepada Allah SWT dan taatlah kepada Rasulullah SAW dan kepada Ulil Amr (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu.” – (Surah An-Nisa’, ayat 59)
Kakitangan sebegini tidak akan terencat kerjanya jika tidak mendapat sebarang anugerah dan pujian, sebaliknya akan terus tekun memperbaiki mutu kerja yang diamanahkan kepadanya.
Kesungguhan pekerja begini sangat disukai Allah seperti dijelaskan dalam hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya.” (Hadis riwayat Muslim)
Mereka tidak berputus asa dan sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat organisasi, sanggup menghadapi cabaran dan persaingan yang sihat dalam kerjaya. Mereka adalah kakitangan yang menganggap kerja sebagai ibadat dan berserah kepada Allah.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan tidaklah Aku (Allah SWT) ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Aku (Allah SWT).” – (Surah Az-Zariyat, ayat 56)
Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud: “Yang sepatutnya mereka cari ialah keredaan daripada Allah SWT dan rasul-Nya, sekiranya mereka adalah daripada orang yang beriman.” – (Surah at-Taubah, ayat 62)
Sifat ini ditegaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam perkara kebajikan dan ketakwaan.” – (Surah al-Maidah, ayat 2).
Budi bahasa itu dilihat pada tutur kata yang lembut tetapi tegas, bermanis muka dan bersopan santun, tingkah lakunya disenangi pelanggan, bersifat ringan tulang untuk membantu orang dan sebagainya.
Mereka adalah orang yang suka melakukan kebaikan sama ada melalui perkataan mahupun perbuatan. Kebaikan mereka ini akan dibalas oleh Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Bagi orang yang berbuat baik (ihsan), ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya. Dan muka mereka tidak ditutupi debu hitam dan tidak (pula) kehinaan.” – (Surah Yunus, ayat 26)
Oleh itu, mereka perlu bersyukur seperti dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Kerana itu ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu mengingkari (nikmat-Ku).” – (Surah al-Baqarah, ayat 152)
Inilah elemen yang perlu ada pada kakitangan dalam perkhidmatan awam dari perspektif Islam iaitu kecekapan dan akhlak terpuji bagi menghasilkan kerja cemerlang.
Comments
Post a Comment