Larangan Bertudung: Lebih British Daripada Britain




  by Abu Saif
Gambar hiasan
“Ustaz, apakah boleh dikira darurat untuk kami hadir ke gereja bagi upacara menghormati mayat kegunaan kelas anatomi?” tanya sekumpulan pelajar NUI Galway.
“Dah jauh benar soalan itu pergi” saya membalas.
“Jauh macam mana ustaz?” salah seorang mereka meminta penjelasan.
“Tidak perlu sampai mahu menggunakan peruntukan darurat. Mungkin kehadiran antum ke majlis itu tidak perlu pun. Asalkan kalian ada keberanian membawa isu ini ke perbincangan,” saya menjawab.
“Hmm!” keluh si anak muda. Dalam fikirannya.
“Sudah dibawa ke perbincangan?” saya mahukan kepastian.
“Belum” kata si penyoal tadi.
“Ustaz yakin, kalau antum bawa isu ini kepada perbincangan tentu ada penyelesaian yang lebih baik. Kita tidak hadir ke gereja itu bukan kerana tidak menghormati mayat, tetapi kerana ia adalah ritual agama, maka Islam menegah kita menyertainya. Kita menghormati mayat itu dalam bentuk kita sendiri. Aurat mayat dijaga. Cucuk-cucuk dibuat dengan tertib dan tidak mempersendakan apa-apa yang ‘tidak kena’ dengan mayat. Itu patut dijelaskan,” saya memberi cadangan.
“Betul juga” katanya.

CATATAN DI BUMI EROPAH

Lama dahulu, semasa saya bermastautin di Galway, Republic of Ireland, sekumpulan pelajar Malaysia di bidang perubatan National University of Ireland Galway (NUIG) meminta pandangan saya tentang masalah yang mereka hadapi. Para pelajar ini dikehendaki hadir ke sermon yang diadakan di gereja khusus untuk memberikan penghormatan kepada mayat-mayat yang digunakan di dalam pengajian mereka.

Selalunya, saya akan mencadangkan kepada para pelajar agar mereka bertindak proaktif, memanfaatkan profesionalisma masyarakat Barat dalam Kebebasan Beragama. Biasanya, jika hal ini dibincangkan secara baik dan kita pula membuat sedikit homework untuk menyediakan kertas kerja yang boleh dirujuk, permintaan untuk dikecualikan daripada majlis keagamaan Kristian tertentu tidak menjadi masalah.

Itulah khasiatnya bersikap proaktif.
Jangan reaktif, melatah atau bertindak melulu.
Sama juga dengan isu tuntutan memakai tudung di dalam bilik pembedahan oleh pelajar perubatan Muslimah. Andai timbul sebarang isu, selalunya ia selesai dengan perbincangan.

CATATAN DI TANAHAIR

Akan tetapi, keadaan yang sama ada perbezaannya di tanahair kita, Malaysia.

Saya berperasaan yang bercampur aduk di antara sedih dan marah apabila sering didatangi oleh mahasiswa dan mahasiswi yang terhalang daripada melaksanakan tuntutan asas mereka sebagai Muslim tatkala menuntut di universiti tempatan.

Pelajar perubatan dan pelajar kejururawatan sering terbelenggu oleh dilema larangan pihak universiti daripada pelajar perempuannya memakai tudung atau memakai baju lengan panjang. Alasan yang diberikan sangat tipikal. Seperti biasa, tudung dan baju lengan panjang dikaitkan dengan sumber jangkitan, tidak praktikal dan alasan-alasan yang seumpama dengannya.

Kesemua alasan itu bukan tiada jalan keluarnya.

Namun, apa yang menimbulkan kedukacitaan ialah apabila pihak kolej atau universiti bersikap lebih British daripada Britain bilamana mereka memberikan kata dua kepada pelajar bahawa pihak kolej atau universiti TIDAK AKAN SEKALI-KALI meminda polisi melarang pemakaian tudung tersebut.

Semua orang faham, bahawa sehingga tahun 2009 ini, ramai tenaga pengajar dari kalangan pensyarah kolej dan universiti mempunyai latar belakang pendidikan dan latihan yang sangat British Oriented. Britain yang sekular itu mungkin sudah terlupa bagaimana bidang kejururawatan dikendalikan oleh Catholic Nuns yang rata-ratanya bertudung tanpa sebarang masalah yang terbit daripada pemilihan pakaian mereka. Akan tetapi, para senior yang berpendidikan British ini mungkin sudah tidak mengikuti perkembangan semasa di Britain, bahawa persoalan aurat yang merupakan perintah Allah ini bukan lagi suatu taboo malah ia boleh diuruskan dengan baik secara win-win situation.

Sudah tentu, apa yang kita maksudkan di sini adalah pemakaian tudung kepala dan baju lengan panjang sebagai tuntutan asas dalam agama. Ada pun pemakaian purdah menutup muka doktor atau jururawat ketika berurusan dengan pesakit, ia adalah isu lain yang tiada kena mengena dengan persoalan asas ini.

LEMAH SEMANGAT

Ada pelajar yang patah semangat untuk belajar dan mahu berhenti sahaja.

Akan tetapi saya cuba memujuk mereka agar tidak mengalah. Sebaliknya usahakan perbincangan selagi ada ruang untuk isu ini diperbincangkan. Kita tiada medan getir seperti perjuangan srikandi Islam di era Khadijah atau Khansa’. Justeru terimalah sedikit kesusahan ini sebagai sebahagian daripada perjuangan. Biar pun agak mengaibkan untuk berfikir, kita terpaksa berjuang di Malaysia untuk mendapat kebenaran bertudung!

Saya sarankan mereka bertindak mengusulkan perbincangan. Nyatakan dalam bahasa yang profesional, kedudukan tudung di dalam Islam, bagaimanakah saranan anda untuk mengatasi kekhuatiran faktor kebersihan tudung sama ada di pihak anda, atau di pihak universiti dan hospital, dengan kata kuncinya, PROAKTIF. Buat sedikit kaji selidik dengan meneliti integriti dan kompetensi doktor atau jururawat bertudung di pusat-pusat rawatan yang memberikan kebebasan bertudung ini di dalam dan luar negara. Analisa sejauh mana benarnya dakwaan tudung sebagai suatu ancaman kepada profesionalisma perkhidmatan kesihatan.

Namun, jika pihak kolej atau universiti berdegil, bersikap tertutup dan enggan membuka meja rundingan, saya cadangkan agar kes ini diajukan ke badan-badan bebas untuk dinilai daripada aspek perundangan.

Apakah pihak kolej dan universiti mempunyai HAK  untuk menyekat pelajarnya bertudung di sisi Perlembagaan Negara. Khidmat nasihat boleh diperolehi  daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) atau mungkin badan seperti Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM).

Jika perlu, kes ini juga wajar dibawa ke Parlimen melalui wakil-wakil rakyat kerana perbuatan menyekat pelajar daripada mengamalkan tuntutan asas agama mereka adalah jenayah yang amat serius, bertentangan dengan semangat Islam sebagai agama rasmi di Malaysia serta mencabuli hak kebebasan beragama.

UNIVERSITI HARAM

Seandainya tiada perubahan berlaku, saya kira ada kewajaran untuk universiti, kolej universiti dan kolej sama ada pusat pengajian tinggi awam mahu pun swasta yang menawarkan kursus-kursus kritikal ini dilabelkan sebagai UNIVERSITI HALAL atau UNIVERSITI HARAM, sebagai panduan kepada orang ramai. Universiti yang mempunyai polisi mencabut tudung pelajarnya biar atas nama apa sekali pun, harus dilabelkan HARAM bagi Muslim menghantar anak mereka ke situ.

Islamophobia bukan hanya penyakit di Eropah.

Di tanah bekas jajahan British ini juga, ada sindrom lebih British daripada Britain.

Suatu kemalangan ke atas umat!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
 http://saifulislam.com

Comments

Popular posts from this blog