Bersederhana Dalam Beribadah

 

Allah Ta’ala berfirman:

“Tidaklah Kami turunkan al-Quran itu padamu – wahai Muhammad agar engkau mendapat celaka.” (Thaha: 1-2)
Allah Ta’ala berfirman lagi:

“Allah menghendaki kemudahan padamu semua dan tidak menghendaki kesukaran untukmu semua.” (al-Baqarah: 185)

Sungguh banyak hadis yang menerangkan tentang keutamaan bersederhana dalam ibadah seharian kita kepada Allah swt. Di sini dinukilkan beberapa hadis sahih yang mana insya Allah akan menunjukkan kepada kita bahawa Nabi saw amat menyeru umatnya agar bersederhana..baik dalam aspek ibadahnya atau pun lain-lain perkara.

Firman Allah swt di atas juga memberitakan bahawa Allah swt Maha Pengasih terhadap hambaNya dan Islam yang diturunkanNya tidak lain melainkan untuk kemudahan hambaNya. Allah swt tidak sama sekali menghendaki kesukaran kepada kita, malah mahukan kemudahan untuk kita semua… SubhanAllah!

Dari Aisyah radhiallahu ‘anha bahwasanya Nabi s.a.w. memasuki rumahnya dan di sisi Aisyah itu ada seorang wanita. Beliau s.a.w. bertanya: “Siapakah ini?” Aisyah menjawab: “Ini adalah si Anu.” Aisyah menyebutkan perihal solatnya wanita tadi – yang sangat luar biasa tekunnya.

Beliau s.a.w. bersabda: “Jangan demikian, hendaklah engkau semua berbuat sesuai dengan kekuatanmu semua saja. Sebab demi Allah, Allah itu tidak bosan – memberi pahala – sehingga engkau semua bosan – melaksanakan amalan itu. Adalah cara melakukan agama yang paling dicintai oleh Allah itu ialah apa-apa yang dikekalkan melakukannya oleh orangnya itu – yakni tidak perlu banyak-banyak asalkan langsung terus.” (Muttafaq ‘alaih).

Dari Anas r.a., katanya: Ada tiga macam orang datang ke rumah isteri-isteri Nabi s.a.w. menanyakan tentang hal bagaimana ibadahnya Nabi s.a.w. Kemudian setelah mereka diberitahu lalu seolah-olah mereka menganggap amat sedikit saja ibadah beliau. s.a.w. itu.

Mereka lalu berkata: “Ah, di manakah kita ini – maksudnya: Kita ini jauh perbezaannya kalau dibandingkan – dengan Nabi s.a.w. sedangkan beliau itu telah diampuni segala dosanya yang lampau dan yang kemudian.”

Seorang dari mereka itu berkata: “Adapun saya ini, maka saya bersembahyang semalam suntuk selama-lamanya.” Yang lainnya berkata: “Adapun saya, maka saya berpuasa sepanjang tahun dan tidak pernah saya berbuka.” Yang seorang lagi berkata: “Adapun saya, maka saya menjauhi para wanita, maka sayapun tidak akan kawin selama-lamanya.”

Rasulullah s.a.w. kemudian mendatangi mereka lalu bersabda: “Engkau semuakah yang mengatakan demikian, demikian? Wahai, demi Allah, sesungguhnya saya ini adalah orang yang tertaqwa di antara engkau semua kepada Allah dan tertakut kepadaNya, tetapi saya juga berpuasa dan juga berbuka, saya pun bersembahyang tetapi juga tidur, juga saya suka kahwin dengan para wanita. Maka barangsiapa yang enggan pada cara perjalananku, maka ia bukanlah termasuk dalam golonganku.” (Muttafaq ‘alaih)

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: “Agama itu mudah, tidaklah agama itu diperkeraskan oleh seseorang melainkan agama itu akan mengalahkannya – yakni orang yang memperkeras-keraskan itu sendiri yang nantinya akan merasa tidak kuat meneruskannya. Maka dari itu, bersikap luruslah engkau semua, lakukanlah yang sederhana sahaja- jikalau tidak kuasa melakukan yang sesempurna-sempurnanya, bergembiralah – untuk memperoleh pahala, sekalipun sedikit, juga mohonlah pertolongan dalam melakukan sesuatu amalan itu, baik di waktu pergi pagi-pagi, sore-sore (petang-petang) atau pun sebahagian waktu malam.” (Riwayat Bukhari)

Dalam riwayat Imam Bukhari lainnya disebutkan: “Berlaku luruslah, lakukanlah yang sederhana, pergilah di waktu pagi, juga di waktu sore serta sebahagian di waktu malam. Berbuatlah sederhana,tentu engkau semua akan sampai pula – pada tujuannya.”

Justeru, jelas kepada kita semua dalam beribadah kepadaNya, memadailah dengan bersederhana. Jangan terlalu berlebihan sehingga memaksa dan memudaratkan diri, kerana dikhuatiri sampai suatu ketika, kita akan berasa bosan dan malas untuk meneruskannya (ibadah itu).

Allah swt lebih menyukai hambaNya untuk beribadah kepadaNya sekadar kemampuan. Yang paling penting di sisiNya bukanlah kuantiti ibadah itu, tetapi kualitinya! Maksudnya, istiqamahnya ibadah (amalan) tersebut! Biar sedikit, janji berterusan. InsyaAllah~

Oleh itu, marilah sama-sama kita berusaha untuk bersederhana dalam apa jua aspek kehidupan kita kerana terbukti itulah yang terbaik selain ia merupakan sunnah Nabi saw dan suruhanNya.
Allahualam~

 http://nowwhytwo.wordpress.com

Comments

Popular posts from this blog