USTAZ NOR AZLI MUSA - SELAMATKAH AKIDAH KITA



1


2

3
4

5


6
7
8
9
10

Selamatkan Aqidah, Pertahankan Islam?


Picture by Pengiran92 of LangitIlahi

Mempertahankan Islam. Ya. Isu hangat kebelakangan ini di negara kita adalah berkenaan isu ‘menyelamatkan aqidah’. Ya, walaupun saya berada di luar negara, tetapi majoriti krew LangitIlahi adalah di Malaysia. Berita-berita Malaysia sentiasa saya perhatikan dan teliti.

Selamatkan Aqidah, pertahankankan maruah Islam. Ya. Wujud banyak pihak yang melaungkan perkara ini. Tidak ketinggalan kerajaan yang kita kasihi. Perkara ini nyata amat hangat.

Maka di sini saya ingin memberikan buah fikiran saya berkenaan isu mempertahankan Islam.

MURTAD dan Pergerakan Kristianisasi.
Isu yang hangat adalah kerisauan kita berkenaan isu murtad dan pergerakan kristianisasi. Kita membicarakan kerisauan kita akan derasnya pergerakan Kristianisasi dan bijaknya mereka bergerak. Bahkan, tidak kurang juga kita melebarkan pesanan berkenaan – Berhati-hati dengan Mubaligh Kristian, Agenda Kristian dan sebagainya.

Tidak kurang juga kita merasakan rasa kurang senang kita akan mereka yang Murtad, mereka yang kecewa dengan Islam, mereka yang menyuarakan penentangan terhadap Islam terang-terangan. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka ini adalah dari kalangan bangsa Melayu sendiri.

Di sinilah saya mengajak kita yang membaca artikel ini menekan butang ‘pause’.
Sebentar kita berhenti untuk memerhati.
Adakah salah Mubaligh Kristian? Atau Freemason, Illuminati, Yahudi dan sebagainya?
Adakah salah mereka yang Murtad?
Atau sebenarnya salah ini bermula daripada sistem yang rosak, dirosakkan lagi dengan syakhsiah Ummat Islam?

Sebelum Kita Tuding Jari Kepada Orang Lain.
Jika kita perasan, Islam di Malaysia sebenarnya amat sempit. Dibataskan dengan bangsa. Hingga timbul definisi Islam=Melayu. Sedangkan Islam bukan sedemikian rupa. Islam bukan milik melayu semata-mata. Tetapi di Malaysia, kita dibiasakan dengan perkara sedemikian rupa.

Perkara ini menjadi lebih buruk apabila di Malaysia, kita sering mengagunggkan ketuanan melayu, membuatkan bangsa lain terasa ditekan. Menyebabkan Islam kelihatan sangat tidak terbuka, sangat sempit dan sebagainya.

Apatah lagi Islam di Malaysia diwarnakan dengan warna yang agak ekstrem.

Apakah itu Islam? Maka terus orang menjawab Kerajaan Yang Amalkan Hudud. Kerana Islam di Malaysia diganggu dan dicemarkan oleh pertarungan Politik. Akhirnya Islam itu sendiri dipolitikkan, bukannya memandu politik. Akibatnya, wajah Islam di dalam masyarakat menjadi lebih buruk. Orang tambah celaru dengan Islam. Kerana bila dibahaskan berkenaan Islam, yang terbayang adalah potong tangan, hukuman bunuh, dan sebagainya. Itu belum lagi apabila Islam, istilah-istilah Islam, dipermainkan di dalam arena politik ini, hingga hilang wajah maruahnya.

Apabila kita luaska lagi skop, kita melihat pula industri hiburan kita yang nyata tidak ‘favour’ ke arah menyemai Islam yang sebenar, memberikan gambaran yang baik terhadap Islam. Apabila kita sering bangga-banggakan bahawa Melayu=Islam, tetapi artis-artis melayu kita berpakaian seperti orang bukan Islam, tidak menutup aurat, ditambah pula cerita-cerita yang jelas tidak menggambarkan kehidupan orang yang beragama, bahkan pelbagai peraturan agama itu sendiri dilanggar terang-terangan dalam penceritaan hiburan kita. Dan inilah yang mewarnai televisyen, radio, hiburan negara kita. Yang saban hari anak-anak dengar, pemuda-pemudi tonton dan sebagainya.

Satu contoh mudah sahaja saya ingin bawa. Dahulu di Malaysia ada Malaysian Idol. Namanya Malaysian Idol. Diterjemahkan secara literal bermaksud – Idola Orang Malaysia. Tetapi yang dinyanyikan lagu barat, dan pakaian idola orang Malaysia itu tidak lebih tidak kurang seperti orang barat juga. Maka, tanpa perlu saya utarakan soalan – di manakah Islamnya? Saya hanya perlu utarakan soalan – di manakah ‘Malaysia’nya?

Tambah memburukkan apabila artis-artis inilah yang digunakan sebagai ‘ikon’ cerita Islam, diajak membicarakan perihal Islam, memberikan pandangan terhadap hukum-hakam Islam dan kemudian dengan kehidupan mereka yang tidak berlandaskan Islam yang sebenar itu, terus merosakkan gambaran masyarakat terhadap Islam.

Itu belum kita ceritakan lagi bagaimana Pemimpin kita sendiri tidak mencerminkan akhlak Islam yang sebenar, dengan isteri/suami dan anak-anaknya tidak mematuhi peraturan Islam paling asas seperti menutup aurat contohnya.

Maka jangan terkejut kalau orang bukan Islam di Malaysia celaru dengan Islam dan tidak tertarik dengannya. Bahkan saya yakin, hatta anak-anak muda Islam sendiri keliru dengan Islam yang diwarisi mereka. Mereka tiada contoh. Tiada qudwah. Belajar dalam buku teks lain, tetapi tengok pemimpinnya lain pula. Belajar di sekolah lain, tengok di televisyen artisnya lain pula. Belajar dalam Sirah Nabi lain, tetapi tengok dalam drama-drama melayu, lain pula gayanya.

Di tengah kekeliruan ini, yang tambah mendasyatkan lagi adalah cara berdakwah yang silap. Tidak berhikmah. Kerjanya adalah me’neraka’kan orang, meng’kafir’kan orang dalam mengajak ke arah Islam. Mengutuk-ngutuk, mengeji-ngeji. Sedangkan ramai orang hakikatnya bukan tidak mahu ikut kerana tidak mahu ikut. Tetapi kerana mereka tidak faham! Mereka tidak nampak contoh!
Ya.

Maka mengapa kita perlu terkejut dengan Murtad yang berleluasa?
Mengapa kita perlu marah dengan efektifnya mubaligh Kristian melaksanakan kerja mereka?
Sebenarnya, salah siapa?

Maka Jika Benar Hendak Mempertahankan Islam.
Maka jika kita benar adalah orang yang berhajat untuk mempertahankan Islam, hendaklah kita sendiri terutamanya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Yang luas. Yang sederhana. Mendidik keluarga kita apakah itu Islam yang sebenarnya.

Kemudian kita sepatutnya menghapuskan fitnah-fitnah yang berlaku terhadap Islam ini. Kita patut bersungguh-sungguh menyebar luas Islam dengan cara yang kreatif dan sederhana. Bukan kita sebarkan dalam bentuk kebencian kepada bangsa/agama lain.

Jika kita semua beroperasi, rasa bertanggungjawab dalam mengubah paradigma ini, pastinya Islam akan kelihatan indah dan cantik.

Adalah sebenarnya sangat melucukan sekiranya kita memarahi Mubaligh Kristian. Kerana, bukankah itu memang tugas dia? Dia yakin dengan agama dia, maka dia sebarkan sungguh-sungguh. Dia ingin penganut agamanya ramai, agamanya kuat, maka dia usaha sungguh-sungguh. Mengapa perlu kita marah dengan mereka atau rasa tidak senang dengan mereka?

Pada saya, kemarahan kita dan rasa tidak senang kita hanyalah satu ‘escapisme’ untuk menyembunyikan betapa kita tidak melaksanakan kerja-kerja yang sama untuk agama kita.

Kalau benar kita percaya dengan Islam, bukankah kita akan menegakkannya dengan sebaik mungkin? Kalau benar kita percaya bahawa deen ini benar, bukankah kita akan bersungguh-sungguh hendak menyebarkannya?
Tetapi bagaimana kita?
Satu persoalan yang sepatutnya kita tanya pada diri kita.

Penutup: Pesanan Sheikh Khalid Yasin.
Khalid Yasin adalah seorang penceramah bebas di eropah. Seorang yang berkulit hitam. Penyampaiannya sering bersamangat. Di dalam satu ceramahnya, dia berbicara berkenaan ‘Muslim Perlu Lakukan Reformasi Diri’.
Dia berkata:
“Kita sekarang sebenarnya terperangkap di dalam perut ikan paus, dan saban hari dikikis oleh asidnya yang kuat. Tetapi kita tidak usaha pun untuk keluarkan diri kita daripadanya. Yang kita salahkan adalah Bush, Howard dan Blair. Kita tidak sikit pun salahkan diri kita yang tidak berusaha. Apa kata kita berhenti menuding jari, dan tunjuk kepada diri kita. Katalah: Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku ini adalah dari kalangan yang menzalimi diri sendiri.”

Dia membawakan analogi Ikan Paus yang sangat cantik. Khalid Yasin berkata bahawa, Nabi Yunus itu, dikeluarkan dari perut ikan paus kerana dia menyedari salahnya sendiri, lantas bertaubat dan berjanji untuk melakukan perubahan. Maka Allah keluarkan dia daripada perut ikan paus.

Begitulah juga kita.
Sepatutnya kita lihat sendiri, apa kita, sebagai ORANG ISLAM, telah lakukan dalam sepanjang kita menjalani kehidupan di Malaysia yang majmuk masyarakatnya.
Apakah kita memberikan gambaran yang baik? Atau sebaliknya?
Apakah kita memberikan contoh yang baik kepada anak-anak muda kita? Atau sebaliknya?
Mari tepuk keimanan kita,
Dan kita sendiri menjawabnya.
Lakukanlah perubahan.
Mari Menjadi Hamba!

About The Author
Hilal Asyraf
Muhammad Hilal Asyraf bin Abd Razak. Lebih dikenali sebagai Hilal Asyraf di alam penulisan. Lahir pada 16 Januari 1989. Pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor. Kemudian di Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah(MATRI), Perlis. Berkelulusan B.A(hons) dalam bidang Usuluddin, Yarmouk University. Telah menghasilkan beberapa buah Novel seperti Novel VT, Novel Hero, Novel Takdir dan lain-lain, juga beberapa buah buku Motivasi yang terkenal dengan siri Buku Motivasi Langit Ilahi. Telah berkahwin dan kini aktif menerima jemputan program dan mengendalikan bengkel.

 http://langitilahi.com

Comments

Popular posts from this blog