Jadikan kami hamba yang bersyukur.!
Ibnu
Atha'ullah Askandari berkata: "Sesiapa yang tidak mensyukuri nikmat,
maka dia membuka ruang seluas-luasnya untuk nikmat berkenaan hilang
daripadanya. Sedangkan sesiapa bersyukur, maka (bermakna) dia
mengukuhkan lagi ikatan kekalnya nikmat berkenaan kepada dirinya. Dan
sesiapa yang tidak mempedulikan nikmat Allah yang diperolehinya, maka
dia akan menghargainya apabila nikmat itu (telah) hilang daripadanya."
Assalamualaikum, salam lebaran buat semua, semoga sentiasa dalam rahmat dan redhaNya…
Alhamdulillah… Wa syukurillah…
Tidak mungkin
terungkap dengan kata-kata dan ucapan, selautan pujian dan kesyukuran
kita panjatkan kepada yang Maha Esa, Tuhan yang Maha Agung, Maha Pemurah
lagi Maha Penyayang.
Dia lah Tuhan,
yang memberi kita pelbagai nikmat untuk kita mengecapinya pada
kehidupan duniawi yang sementara ini. Tidak dapat untuk kita hitung,
tidak dapat pula untuk kita mengira segala jenis macam nikmat yang
diberikan oleh Ilahi kepada kita.
Bermula dengan
kesempatan kita berpeluang bertemu dan beribadah di bulan Ramadhan,
dibukakan pintu langit rahmat seluas-luasnya. Sangat beruntung bagi
mereka yang telah menggunakan peluang itu dengan sebaiknya dan lagi
bertuah bagi mereka yang dapat bertemu dengan malam lailatul qadar.
Sesungguhnya merugilah bagi mereka yang sepertimana disebutkan oleh Baginda SAW,
celakalah bagi mereka yang bertemu dengan Ramdhan tetapi tidak terampun
dosa-dosanya. Semoga kita termasuk golongan orang-orang yang beruntung,
Insya Allah…
Dan setelah
Ramadhan berangkat pulang, kini hadir pula Syawal, sambutan Eidulfitri
iaitu sambutan hari kemenangan dan hari keagungan bagi umat Islam
seluruhnya setelah berjaya menunaikan ibadah berpuasa selama sebulan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan
supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu
membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu
bersyukur." (QS. al-Baqarah: 185).
Lihatlah pada
diri kita. Nikmat sihat, dapat menjamu selera, rezeki yang melimpah
ruah, bertemu sanak saudara dalam mengikat tali hubungan silaturahim di
hari lebaran, dan seribu macam lagi nikmat yang Dia kurniakan. Dan
sebesar-besar nikmat adalah nikmat Islam dan nikmat Iman yang kita
miliki pada hari ini.
Subhanallah..! tidak tidak terkira banyaknya nikmat yang Allah bagi kepada kita semua.
Sepertimana
Allah SWT menghuraikan mengenai banyaknya nikmat kurniaan Allah kepada
manusia yang pasti tidak mampu dihitung. Firman Allah yang bermaksud:
"Dan jika kamu
menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya.
Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(QS. An-Nahl: 18)
Mari kita renung sejenak
Wahai saudara-saudaraku..
Dalam gembira, jangan kita lupa pada pencipta. Dalam berseronok dan bersuka ria, jangan kita lupa untuk bersyukur kepadaNya.
Jika bukan kerana
ALLAH yang Maha Pemurah, sudah tentu kita tidak mampu untuk mengecapi
walaupun setitis dari nikmatNya. Tidak mampu untuk kita menghirup nafas
walaupun sedetik cuma.
Semuanya itu Allah SWT yang berikan, ia hanyalah pinjaman yang sementara. Maka hargailah dengan sebaiknya.
Mari kita renung sejenak, apakah saudara seislam kita yang lain merasai seperti apa yang kita rasai ini?
Apakah mereka mampu untuk tersenyum dan tertawa di pagi raya sepertimana kita semua?
Mungkin di saat kita gembira, ada insan yang berduka.
Mungkin di saat kita seronok, ada insan yang sedang menitiskan air mata.
Oleh itu,
marilah kita sama-sama sentiasa bermuhasabah. Panjatkanlah
berbanyak-banyak kesyukuran kepada Allah kerana kita masih bisa
sempurna, masih dapat mengecapi pelbagai kesenangan dan kemudahan yang
diberikanNya...
Kalau kita
bermuhasabah, merenung dan berfikir,, jika dibandingkan dengan musibah
dan kenikmatan yang Allah berikan kepada kita yang manakah lebih banyak
diberikan?
Sudah pasti
kita tidak dapat membandingkan anugerahNya tidak terkira banyaknya
nikmat yang kita perolehi berbanding sakit musibah sedikit yang Allah
berikan…
Beza ‘Hamba dunia’ dengan ‘Hamba Allah’
Rasa syukur,
berterima kasih adalah salah satu tanda iman yang perlu ada pada diri
seorang hamba. Meskipun bergelar ‘hamba’, namun Allah itu Maha Baik,
teramat baik pada kita.
Jika status
seseorang yang bergelar 'hamba di dunia' ini tidak mungkin akan mendapat
apa-apa keistimewaan apatah lagi pelbagai pemberian kerana hakikatnya
dia cuma seorang hamba yang perlu patuh dengan pelbagai arahan tuannya.
Tetapi lain
pula bagi gelaran kehormat, ‘Hamba Allah’. Hamba Allah ini mendapat
layanan istimewa, pelbagai kurniaan dan pemberian.
DIA sentiasa
melimpah ruahkan pelbagai nikmat dan anugerahNya, tidak kira kepada
hambaNya yang kaya atau miskin, hitam atau putih, taat atau kufur,
semuanya diberikan dengan pelbagai kenikmatan dan kesenangan kerana
itulah tanda kebesaran dan keagungan dari ILAHI.
Sesungguhnya
jika kita semakin bersyukur, nescaya Allah tambahkan lagi nikmat dan
ganjaran pahala buat kita. Sebaliknya bagi orang yang tidak tahu atau
tidak mahu bersyukur, maka azab Allah bakal diterimanya di akhirat.
Sepertimana janjiNya;
"Dan (ingatlah
juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur,
pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari
(nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (QS. Ibrahim: 7)
SesungguhnyaAallah
tidak membutuhkan kesyukuran daripada kita, kerana Dia Maha Hebat dan
punyai segala-galanya. Namun begitu, ingatlah akan kesan dan akibatnya
di sana. Semua kurniaan ini akan disoal kelak, apakah kita telah bersyukur atau sebaliknya?
Maka
jika ‘hamba dunia’ pun tahu dan reti untuk berterima kasih kepada tuan
yang membuat kebaikan dan memberikan bermacam hadiah kepadanya, maka
lebih-lebih lagi kita sebagai ‘hamba Allah’ perlu lebih bersyukur dan
tahu berterima kasih kepada DIA setiap masa.
Sentiasa lupa untuk bersyukur
Kita
sememangnya sering lupa untuk bersyukur. Kebanyakan dari manusia tatkala
mendapat nikmat, akan menjadi asyik dan leka, menjadi alpa dan lagha
malahan menjadi takabbur lantaran rasa seronok dan gembira dengan nikmat
dunia yang sementara.
Memang sukar dan sedikit sekali manusia yang mahu mrenung, menghisab, bermuhasabah dengan nikmat-nikmat yang diturunkan olehNya.
Jika para ulamak,
mereka malahan menjadi insaf kerana menyedari dengan nikmat yang
diberikan oleh Allah itu sebenarnya ia suatu ujian kepada manusia.
Ya, ujian. Kita
seringkali memikirkan jika mendapat musibah atau bala itulah dipanggil
ujian dan dugaan yang diberikan oleh Tuhan.
Tetapi kita
tidak mengerti bahawa nikmat yang diberikannya juga menjadi ujian. Ujian
untuk menguji manusia apakah semakin bersyukur atau semakin kufur?
Semakin taat kepada perintahnya atau semakin takabbur?
Lihatlah contoh pada kisah Qarun. Semakin bertambah hartanya, semakin dia lupa kepada Pencipta. Lupa kepada Pemberi dan Pengurnia harta kepda dirinya.
Dia menjadi
semakin lalai dan lupa, akhirnya bumi menelan segala-galanya. Oleh itu,
berwaspada dan beringat-ingatlah, jangan jadi manusia yang zalim dan
lupa diri seperti firmanNya menyebut yang bermaksud:
“Dan Dia telah
memberikan kepadamu segala apa yang kamu mohonkan kepadaNya. Dan jika
kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu
menghitungnya. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari
(nikmat Allah).” (Ibrahim:32-34)
Jadilah Golongan Yang Sedikit
Hakikatnya, kebanyakan manusia tidak bersyukur atau sedikit sekali yang ingin berterima kasih kepada Allah, seperti firman-Nya bermaksud:
“Dan sedikit sekali daripada hamba-Ku yang tahu berterima kasih (bersyukur).” (QS. Saba': 13)
Seterusnya Allah juga berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada manusia
(seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." (QS.
al-Baqarah: 243)
Diceritakan bahawa ada seorang pemuda pada zaman Saidina Umar al-Khattab yang sering berdoa di sisi Baitullah yang maksudnya: "Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit."
Doa pemuda ini
didengar oleh Saidina Umar ketika beliau (Umar) sedang bertawaf di
Kaabah. Umar berasa hairan, iaitu kenapa pemuda berkenaan memohon doa
sedemikian rupa.
Selepas
selesai melakukan tawaf, Saidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu
bertanya: "Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah!
masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan
lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?"
Pemuda berkenaan menjawab: "Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku (berasa) takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A'raaf ayat 10 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur."
Aku memohon
agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu (lantaran)
terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah, jelas pemuda
berkenaan.
Mendengar
jawapan itu, Umar al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada
dirinya sendiri: "Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai
lebih alim daripadamu."
Allahuakbar…Memanglah
teramat sedikit yang tahu dan mahu bersyukur dan semoga kita termasuk
dalam golongan yang sedikit berkenaan (yang bersyukur).
Buktikan kesyukuran
Nikmat yang
diterima terus-menerus dan tidak putus-putus ini sepatutnya menambahkan
lagi rasa terima kasih atau kesyukuran kepada Allah dan memperkuatkan
lagi ketaatan serta pengabdian kepada-Nya.
Bagaimanakah memastikan diri daripada kalangan orang yang bersyukur dengan segala nikmat yang diterima daripada Allah SWT?
Menurut Imam al-Junaid, "Syukur ialah seseorang yang tidak menggunakan nikmat Allah untuk melakukan maksiat kepada-Nya".
Ertinya, tanda
bersyukur ialah menggunakan segala nikmat atau rezeki kurniaan Allah
untuk melakukan ketaatan kepada-Nya dan memanfaatkannya ke arah
kebajikan, bukan menyalurkannya ke kancah maksiat atau kejahatan.
Ulama' bernama Ahsin bin Atha'ullah pula membahagikan syukur kepada tiga, iaitu:
1. Syukur dengan lidah, iaitu dengan cara menyebut nikmat kurniaan Allah seperti firman Allah: "Dan nikmat Tuhanmu hendaklah engkau menyebutkannya sebagai menzahirkan kesyukuran." (QS. adh-Dhuha: 11);
1. Syukur dengan lidah, iaitu dengan cara menyebut nikmat kurniaan Allah seperti firman Allah: "Dan nikmat Tuhanmu hendaklah engkau menyebutkannya sebagai menzahirkan kesyukuran." (QS. adh-Dhuha: 11);
2. Syukur dengan anggota badan, iaitu dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah, iaitu dengan menggunakan anggota badan ke atas perkara yang diredhai Allah;
3. Syukur dengan hati, iaitu mengiktiraf bahawa Allah sajalah pemberi segala nikmat di mana segala nikmat atau rezeki yang diperoleh oleh setiap manusia (hamba Allah) datangnya daripada Allah, sesuai dengan penjelasan Allah menerusi firman-Nya bermaksud:
"Apa jua nikmat yang kamu peroleh, maka ia datangnya daripada Allah." (QS. an-Nahl: 53)
Ucapkanlah tahmid,
tasbih, takbir kepada Ilahi, baik dengan ucapan ataupun lisan, tika
bersendirian atau berada bersama ramai orang.
Dan rasa
kesyukuran yang paling agung ia terus menerus terbit dalam hati,
sentiasa mengingatiNya, diselangi pula dengan perbuatan dan amal-amal
yang baik.
Buktikanlah
dengan nikmat Allah berikan membuatkan kita semakin menjadi hamba-Nya
yang taat, patuh, khusyuk, tawaduk dan semakin taqarub serta dekat
dengan Tuhan.
Sentiasa bersyukur, bersyukur dan bersyukur.!
Kita seringkali mudah mengeluh dan kecewa bila diberi musibah. Bila ditimpa bencana, kita jadi terpinga-pinga. Kemudian, barulah kita mengingati kembali nikmat-nikmat yang diberikanNya.
Jangan begitu. Marilah kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur, bersyukur dan bersyukur.
Bersyukur
ketika mendapat nikmat, bersyukur dan bersabar tika mendapat musibah.
Kerana itulah tanda keimanan yang jitu, kukuh dan ampuh yang perlu kita
semaikan dalam diri.
Insya allah, bahagia dapat kita kecapi dan mendapat ketenangan hati yang hakiki.
Dengan itu,
marilah kita panjatkan dengan doa agar kita sentiasa menjadi hambaNya
yang sentiasa bersyukur dengan setiap pemberianNya…
“Ya
Rabbi…jadikan kami orang yang tahu bersyukur..jadikan kami orang yang
tahu berterima kasih kepadaMu.. Di setiap detik dan waktu, bukan ketika
mendapat nikmat semata-mata, bahkan tika mendapat musibah kami juga bisa
menjadi orang yang bersyukur.
Kerana
boleh jadi dgn musibah itu dapat menghapuskan dosa-dosa kami yang lalu
dan Engkau memberikan gantian yang lebih baik, maka kami perlu bersyukur
kepadaMu.
Maha suci Engkau yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, jauhkan kami daripada sifat takabbur, tamak dan lupa kepada pemberianMu.
Sesungguhnya
segala anugerah yang Kau berikan hanyalah pinjaman cuma, kami akan
kembali kepadaMu dan semoga kembali kami dgn hati yang lapang dan
sentiasa bersyukur padaMu Ilahi. Amin”
Akhir kalam, pesanan penulis kepada diri sendiri dan kalian semua;
“Maka, sentiasa ucapkanlah Alhamdulillah…!.” (^^,)
*SALAM EIDULFITRI 1432H, MAAF ZAHIR & BATIN*
~Kullu ‘am wa antum bikhair~
"CariLah HikMah daLam SetiaP keteNtuaN TuhaN,,
Agar Timbul Rasa KeSyukUran daN KeredhaAn..."
Agar Timbul Rasa KeSyukUran daN KeredhaAn..."
1 Nostalgia Ramadhan: ‘Seharum Pemergianmu….’
Bismillahirrahmanirrahim…
Ahlan ya Ramadhan, ahlan wasahlan wa marhaban bikum…
Alhamdulillah,
kita bersyukur dan dipanjatkan selautan kesyukuran itu kepada yang
Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kerana hingga detik ini DIA
masih lagi ingin memberi peluang kepada kita semua mencicip hawa
rahmat kedatangan Ramadhan, masih lagi dapat menyentuh bayu keberkatan
dari-Nya serta masih dapat menadah tangan untuk memohon keampunan dan
maghfirah di bulan yang penuh dengan kemuliaan ini...
Semoga
kita juga masih berkesempatan merebut peluang bertemu dengan malam
lailatul Qadar. Insya Allah, pasti akan bertemu buat para hati dan jiwa
yang sentiasa tulus ikhlas mencari sinar keredhaanNya…
Penulis
ingin membuka tirai Ramadhan ini dengan berkongsi suatu kisah yang
berlaku pada awal bulan Ramadhan yang lalu. Jika kebanyakan entry dan
perkongsian para sahabat di blogger mengenai sambutan bulan Ramadhan,
kelebihan dan fadhilat serta pelbagai lagi amalan dan ibadah yang
dianjurkan untuk diamalkan sepanjang bulan yang mulia ini, tetapi
penulis memilih ingin membukanya dengan sebuah cerita tentang
‘kematian’…semoga dengan cerita yang serba ringkas nie dapat menjadi
muhasabah kepada diri dalam meniti madrasah sepanjang Ramadhan kali ini…
*********************************
Di
pintu awal Ramadhan...Betapa besar rahmat Ilahi yang meliputi seluas
langit dan bumi tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Dengan tinta
takdir dari-Nya penulis dilahirkan, dipinjamkan roh untuk bernafas
menjadi khalifah di muka bumi yang sementara ini.. terasa diri sangat
bertuah dan bersyukur dapat melihat dunia dengan keberkatan awal bulan
yang cukup mulia, semoga perjalanan hidup juga mendapat keberkatan
dari-Nya..insya Allah…
Dan dengan tarikh ini jualah ia menjadi lipatan sejarah, sebuah tarikh yang tak mungkin penulis lupakan… 2
Ramadhan 1431H….perginya seorang serikandi, seorang mujahidah, sebagai
teman dan seorang sahabat yang cukup meninggalkan kesan dalam hidup kami
semua, lebih-lebih lagi buat mereka yang menjadi teman terakrab dengan
arwah...
Berita
‘pemergiannnya’ yang tiba-tiba itu membuatkan kami semua terpana…kaget
dan terkejut…tertanya-tanya kesohihannya apabila mendapat berita hanya
melalui kiriman mesej.. seakan hati ingin menafikan…namun, berita itu
ternyata benar apabila nama yang tercatat adalah Nor Hidayah
Ibrahim…kami tidak tersilap lagi… sejurus mendapat berita tersebut, kami
semua terduduk…esakan silih berganti…air mata penulis juga kian
deras…tidak dapat menahan sebak dan pilu menyelubungi rasa hati…
Nyata
dia pergi jua dari hidup kami… sesungguhnya hajat arwah tidak
kesampaian untuk melanjutkan pengajiannya ke tanah Acheh… kemalangan
jalan raya yang telah menjadi asbab pemergiannya benar-benar merobek
hati dan jiwa kami… Tanyalah pada mana-mana orang yang pernah mengenali
dirinya, pasti mereka juga turut merasa hiba dengan pemergiannya…
Terbayang-bayang
di tubir mata penulis… Senyumannya yang sangat manis…keharuman
akhlaknya…kelembutan tutur katanya sangat memikat hati… tugas dan amanah
yang dipikul sebagai Timbalan Biro Kebajikan selayaknya Allah telah
memilihnya untuk menggalas tanggungajwab tersebut... terserlah sikapnya
yang ringan tulang, sangat suka membantu orang serta ketulusan hatinya
dalam menjaga dan menguruskan kebajikan para sahabat di kampus kami
suatu masa dahulu..
Meskipun
penat dan terbeban dengan banyak amanah yang harus dilaksanakan, tetapi
tidak pernah kedengaran suaranya merungut…jauh pula bermasam muka
apatah lagi mengikut rasa amarah…dia sentiasa tersenyum manis walaupun
di sebaliknya terselit luka…tidak pernah mengeluh dan mempamerkan
wajahnya yang duka... dia juga tidak pernah sesekali alah dan mengalah
menghadapi setiap ujian yang datang…
Arwah yang lebih dikenali sebagai ‘kak yah’ sememangnya seorang
yang sangat penyabar, pengasih, penyayang, peramah, mesra, baik hati,
sangat suka menghulurkan bantuan dan pendengar yang baik… serta terlalu
banyak lagi pesona akhlak yang tidak terungkap untuk dijelaskan dengan
setiap bait patah perkataan... Sungguh, penulis sangat terkesan
dengan akhlak dan peribadi arwah yang banyak mendidik jiwa penulis
sehingga kini ingin sentiasa mencontohi qudwah hasanah yang dimiliki
oleh arwah… sememanngya bagi yang mengenali diri arwah kak yah, akan
dapat menilai dan merasai sendiri kecantikan hati dan budi pekertinya…
Kenangan
satu persatu dengan arwah tersingkap... berada bersama arwah walaupun
sekejap namun meninggalkan kenangan yang sukar untuk dilupakan… berada
di sampingnya, penulis sentiasa tertawa... begitu pandai arwah mengambil
hati dengan kata-katanya yang menghiburkan jiwa… panggilan ‘dik yoni’
kepada penulis masih terngiang-ngiang kedengaran…
Arwah
merupakan sahabat kepada kakak penulis.. dan dalam masa yang sama,
arwah juga menjadi rapat dengan penulis dek layanannya yang mesra dengan
semua orang…sehinggakan penulis begitu senang berkongsi apa jua cerita
dan masalah kepada arwah…begitu tekun dia menjadi pendengar setia serta
memahami dan cuba
menyelami masalah yang dikongsi…selalu juga dia memberi kata puji,
semuanya lahir tulus dari hatinya dalam menuturkan madah bicara…
Lamunan
terhenti…kini kembali kepada hakikat realiti…dia pergi buat
selama-lamanya tidak akan lagi kembali…kami pasrah dan meredhai…setiap
yang hidup pasti akan mati…ia sudah menjadi sunnah azali…tiada siapa
yang mampu menyangkal lagi…sebutir permata hilang dan pergi.... :'(
‘Telah
tiba saat dan waktunya Engkau menjemputnya kembali semula padaMu Ya
Allah... padahal kami belum puas untuk bersama dan bermesra dengannya…
terasa saat panggilanMu terlalu cepat namun siapalah kami dalam
menentukan batasan waktu yang Engkau tetapkan kerana semunya telah
tercatat dan tertulis di Luh mahfuzMu, sungguh tiada daya kami pula
untuk menahan saat terhentinya ‘jemputan khusus’ itu...
Kami
menerima takdiranMu yang ternyata lebih menyayangi dirinya daripada
kasih sayang kami…tempatkanlah dia di sebaik-baik tempat rehat…tempat
yang tenang dan bahagia di syurgaMu…di tempat yang telah Engkau janjikan
yang terbaik untuk para pejuangmu…di kalangan orang-orang solehin dan
muttaqin…semoga roh arwah dicucuri rahmat…amin’
(Al-Fatihah buat arwah k.yah)
**********************************
Semoga dengan cebisan kisah yang penulis paparkan ini, sedikit sebanyak menjadi muhasabah kepada diri yang dapat sama-sama kita renungi…Berbanyak-banyaklah
bersyukur kepada-Nya kerana sehingga saat ini Allah SWT masih lagi
memberi peluang dan nafas kepada kita untuk bertemu lagi dengan Ramdhan
pada kali ini dan masih memberi kita peluang untuk melakukan amal yang
terbaik di sisi-Nya…
Sesungguhnya,
di sebalik keghairahan kita menyambut Ramadhan, di sebalik keasyikan
dan keseronokan kita ingin melipat gandakan amal di bulan yang penuh
dengan kemuliaan ini, tetapi jangan sesekali kita lupa kepada intaian
sebuah panggilan kematian…yang bila-bila masa kita semua akan dijemput
untuk bertemu semula dengan-Nya…
Erm...
Hingga kadang-kadang tersorok sebuah persoalan di sudut hati penulis…
seandai diberi pilihan, ingin dimatikan dalam bulan yang mana? Lalu hati
kecil berbisik, ingin memilih dijemputNya di bulan Ramadhan.. tapi
‘seandainya punya pilihan’….
Namun diri kemudian kembali tersedar, kita cuma hambaNya yang kerdil… mati bila, di mana, bulan apa dan bagaimana…? Semuanya
menjadi rahsia Allah yang telah termaktub di Luh Mahfuznya…kita tidak
bisa memilih tetapi kita cuma bisa berdoa dan berharap…
Oleh itu, sebelum kita menutup mata, selagi belum sampai ajal menjelma… penulis menyeru kepada diri sendiri terutamanya dan para pembaca juga agar
memanfaatkan peluang beramal di bulan Ramadhan kali ini dengan
sesungguh hati, sepenuh keikhlasan dan ketulusan…kerana kita tidak tahu
apakah akan bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun hadapan??
Jadikan ia medan madrasah yang dapat mendidik jiwa agar semakin taqarrub denganNya…memohon berbanyak-banyak keampunan dan maghfirah...agar
kembalinya kita semua nanti dijemput dengan sebaik-baik
jemputan…diakhiri nafas dengan husnul khatimah…dan bertemu denganNya
dengan qalbun saalim…amin ya Rabb….
Sekian…
http://hikmatul-islam.blogspot.com
Comments
Post a Comment